Saturday, January 25, 2014


Kami memohon penjelasan daripada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi merungkai kekeliruan berkenaan penjelasan beliau mengenai program lawatan ke Antartika dan juga penafian penglibatan oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) melalui Setiausaha Kerjanya Mohd Azrul Ismail hari ini.

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana berlaku percanggahan kenyataan ini sedangkan didalam laporan akhbar pada 15 Januari 2014, jelas dilaporkan bahawa lawatan ini adalah anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovas melalui inisiatif dari YDSM.

Berapakah kos keseluruhan wang rakyat secara terperinci yang digunakan bagi menampung perbelanjaan lawatan ini sepertimana yang telah ditanya oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Saiful Bahari Mamat sedikit masa dahulu yang belum dijawab oleh MB.

Begitu juga apakah hasil pulangan yang signifikan bagi rakyat terbanyak di Terengganu atas lawatan ini dan juga penyelidikan yang dilakukan di sana? Adakah akan membantu rakyat menampung kos sara hidup yang semakin mencengkam ketika ini? Ataupun akan dapat membantu rakyat Terengganu yang berkedudukan ketiga termiskin di Malaysia naik kepada kedudukan yang lebih baik?

Kami juga berharap agar nama baik YDSM yang telah banyak memberikan sumbangan kepada rakyat tidak dikambing hitamkan demi menyelamatkan pihak yang lain dan kami tidak akan berdiam diri sekiranya nama baik Tuanku Sultan Terengganu juga terpalit dengan isu ini.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
22 Rabiul awal 1435H/ 24 Jan 2014m

0 comments :

ARKIB