Sunday, September 25, 2011

Marang : Semalam telah diadakan satu perlumbaan ujian masa bagi pertandingan 4x4 anjuran Pemuda PAS Kampung Seberang Marang.

Acara perlepasan perlumbaan itu telah disempurnakan oleh wakil rakyat DUN Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah petang semalam.

Dalam ucapannya sebelum acara perlepasan itu, beliau meletakkan harapan kepada golongan belia untuk terus bersama-sama memeriahkan acara sukan dan dalam masa yang sama menunjukkan akhlak muslim ketika bersukan.

“Golongan belia hendaklah sentiasa menjaga kesihatan dengan menyertai sukan yang menyihatkan fizikal.

Akan tetapi dalam masa yang sama, amat penting kita menjaga akhlak Islam agar pemuda-pemuda Islam dipandang tinggi oleh masyarakat,” kata beliau.

Turut diadakan antaranya ialah sukan bolasepak pantai dan permainan tradisi iaitu dam aji.

Thursday, September 22, 2011

Sumber: Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 22 Sept: Pendakwah popular tanah air, Ustaz Azhar Idrus (gambar) berkata, kontroversi satu dialog dalam filem Hantu Bonceng tidak boleh diletakkan kepada pelakon sahaja.

"Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa," ujarnya sebagaimana yang dipetik daripada kuliah beliau yang disiarkan di dalam blog http://pulakdah.blogspot.com di bawah tajuk Zizan telefon Ust Azhar Idrus rujuk isu Hantu Bonceng.

Penulis blog itu menyatakan, menurut Ustaz Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan 'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh.

Berikut ialah petikan daripada blog tersebut.

Menurut Ust Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan 'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh. Beliau menerima panggilan daripada Zizan yang menggunakan 'private number' untuk merujuk permasalahan ini.

"Saya ni baru kena marah dengan orang kerana filem Hantu Bonceng. Saya kata 'Asyhaduanna Muhammadarr' lepas tu nampak syaitan datang..saya kata SYAITAN" kata Zizan.

Jawab Ust Azhar Idrus. Dia boleh jadi dua hujah. Boleh jadi ada niat untuk mempersendakan Islam dan boleh jadi tidak berniat untuk mempersendakan Islam. Dalam kes ini dia mengucap ketika di dalam ketakutan, dalam cerita kelakar maka dia buat dialog mengucap "Asyhadu an la ilaha ill-Allah, wa asyhadu ana Muhammadarr.....Syaitan! Syaitan!."

Jadi boleh dikatakan bahawa penulis skrip ini untuk menghina nabi, dan boleh juga dikatakan penulis skrip berniat untuk menggambarkan seseorang yang di dalam ketakutan tidak sempat menghabiskan lafaz syahadahnya kerana ternampak syaitan. Ia boleh jadi ada niat untuk mempersenda.

Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa. Pelakon bukannya (perlu) belajar pondok untuk berlakon filem. Tetapi Penerbit, Penulis skrip dan Pengarah sepatutnya kena rujuk dahulu perkara ini kepada Pejabat Agama atau Jabatan Kuasa Fatwa. Skrip ini boleh jadi untuk mempersendakan Islam dan boleh juga bukan berniat untuk mempersendakan Islam.

"Walaupun ia bukan untuk mempersendakan Islam, ia tetap juga HARAM sebab mendatangkan FITNAH" tambah Ustaz Azhar Idrus lagi. Fitnah ini yang perlu di jaga dan kita perlu berhati-hati. Zizan sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak pernah terniat untuk mempersendakan Islam.

"Jadi kita ambil secara baik, dia (Zizan) tidak berniat mempersenda Islam, tetapi kerana kejahilan punya fasal ia memberi fitnah." rumus Ust Azhar Idrus.

Monday, September 19, 2011

Sumber : Buletinonline

1. Sungguh menyedihkan ! Ramai pihak sangat kesal dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem [LPF] di bawah Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan [KPKK] sehingga membenarkan filem-filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontotan umum.

2. Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah “Hantu Bonceng” yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak [Zizan RL]. Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

3. Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. Sementelah pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.

4. Dewan Pemuda PAS turut mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF ataupun diperingkat FINAS sendiri mengenai filem-filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini ? apa yang ditapis selama ini ? penapis apa yang mereka pakai ? penapis tea ? atau penapis cendol yang berlubang besar ? sehingga masih banyak adegan yang "menyenakkan mata" dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan.

5. Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa -apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Sedih sungguhnkami dibuatnya. Apalah erti dan makna pihak berkuasa agama ? sebelum ini, JAKIM seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorundum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara.

6. Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen samaada melalui chanel RTM ataupun chanel swasta seperti Astro terus bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama. Apa sudah jadi ? Apakah pihak berkuasa agama tidak menyedari perkara ini ? jika orang awam pun menyedari berlakunya perkara ini, bagaimana pihak berkuasa agama masih tidak menyedarinya ?

7. Kerajaan juga selayaknya serius melihat perkara ini. Jangan biarkan filem menjadi medium untuk menghina, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini. Sebelum ini, peka benar kerajaan terhadap isu Kalimah Allah, Isu Gereja dan isu komunis yang tidak wujud. Kenapa dalam perkara ini pihak kerajaan dan jabatan Agama kelihatan seperti "mati pucuk" ? tidak tahu dan tidak berupaya bertindak selayaknya.

8. Dewan Pemuda PAS sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis pandu yang berlandaskan Syariat Islam menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem-filem yang lebih “luar biasa” akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak-pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku. Bukan sahaja kepada filem tempatan yang semakin hari semakin memperlihatkan kepada umum bagaimana hilangnya nilai seni, moral, adab serta adat ketimuran tetapi juga kepada filem luar [asing] yang mengundang kepada keruntuhan moral, akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat kita.

9. Justeru, Dewan Pemuda PAS meminta pihak FINAS mahupun LPF untuk mewujudkan panel syariah yang berauthoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara lansung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia [JAKIM] terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri.

10. Dewan Pemuda PAS juga menyeru kepada para artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur-unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada para ulamak . Perkara ini juga mesti dilakukan oleh pihak penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini.

Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata - mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem di bioskop antarabangsa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
..

Wednesday, September 14, 2011

(Encik Ghani)



(Isteri Encik Rizuan menerima sumbangan bagi pihak suaminya)


(Encik Nizarudin)


(Encik Saiful)


(Atap rumah Ayah Long masih belum dibaiki)


(Ayah Long)


(Encik Ramli)



Marang : Hasil dari kutipan derma melalui Tabung Rakyat Sejahtera DUN Bukit Payong, ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah, hari ini telah menghulurkan sumbangan kepada mangsa yang terkena ribut baru-baru ini.

Beliau yang telah meluangkan masa selama kira-kira 40 minit melawat kesemua mangsa tanpa mengira parti untuk bertanya khabar dan menyerahkan sumbangan.

Ribut kedua yang berlaku pada sabtu lalu telah menyebabkan kerosakan kecil keatas enam buah rumah di sekitar Kampung Alur Parit.

Kali pertama ribut berlaku pada hari raya keempat yang menyebabkan kerosakan yang agak teruk di kawasan Machang Lada , Sena Rendang dan beberapa tempat lagi.Rumah YB juga terkena kesan ribut pertama itu.

Tiada sebarang kecederaan yang menimpa semua mangsa dilaporkan, hanyalah kerosakan kecil yang dialami mereka.

Beberapa mangsa yang ditemui mengeluh kerana masih belum mendapat sebarang bantuan dari pihak yang berwajib, walaupun nama-nama mereka telah diambil oleh pihak terbabit.

“Ada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mari baru ni ambil nama, tapi takdok mende-mende (bantuan)pun.Rosok bukan banyak sangat,” kata Encik Ramli ketika ditanya tentang bantuan yang telah diterima.

Ustaz Mohd Nor yang ditemui selepas lawatannya itu mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan orang ramai yang telah diterimanya melalui Tabung Rakyat Sejahtera.

“Ini adalah wang sumbangan rakyat kepada rakyat.Kita tidak malu mengaku bahawa ini adalah wang rakyat.Yang kita takut apabila kita mengaku wang rakyat sebagai wang kita sendiri dan berbuat sesuka hati.

Saya hanyalah menjadi perantara untuk menyampaikan sumbangan ini kepada mangsa.Terima kasih kepada penyumbang,”tegas beliau.

Sikap tegas beliau ini jelas kerana kepada setiap mangsa yang diberikan sumbangan, mulut beliau tidak lekang menyatakan “Ini duit sumbangan orang ramai,saya tolong sampaikan sahaja”.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu kemudiannya mengajak semua lapisan masyarakat agar turut menderma bagi Tabung Rakyat Sejahtera ini bagi kesejahteraan semua.

Beliau mengingatkan semua akan kelebihan bersedekah dijalan Allah sepertimana yang telah dinukilkan di dalam al-Quran iaitu dalam ayat ke 261 dalam surah al-Baqarah.

“Bandingan (pemberian) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuannya.”

Kepada sesiapa yang berminat untuk menghulurkan sumbangan kepada Tabung Rakyat Sejahtera DUN Bukit Payong bolehlah memasukkan sumbangan anda ke akaun Maybank 5630 1902 4338.

Tuesday, September 13, 2011


Petikan Harakahdaily:

KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS menyifatkan penangguhan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pengguna talian telefon prabayar oleh kerajaan hanya sekadar permainan politik BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ianya tidak lebih sekadar sandiwara kerajaan Umno BN, bagi meredakan kemarahan rakyat yang terbeban dengan kos hidup dibawah pemerintahan mereka.

"Ini hanya satu sandiwara untuk meredakan kemarahan rakyat menjelang PRU ke-13 nanti.

"Sedangkan, pihak Telco hanya menguatkuasakan apa yang dibentangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dalam Bajet 2011 tahun lalu," katanya.

Beliau yang juga pengerusi Kempen Protes Barang Naik (Protes BN) berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini yang mengumumkan bahawa kerajaan dan semua syarikat telekomunikasi (telco) bersetuju menangguhkan kutipan cukai berkenaan yang sepatutnya bermula 15 September ini.

Penangguhan itu katanya sehingga perbincangan semula dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini, Najib dalam pembentangan Bajet 2011 didakwa telah memasukkan kutipan cukai enam peratus tersebut dan Telco hanya melaksanakannya.

Baru-baru ini, telco telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak enam peratus dalam semua jualan kad pra bayarnya mulai 15 September ini.

Ini bermakna, setiap RM10 nilai kad pra bayar, harganya akan menjadi RM10.60 di mana 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

Jumlah 60 sen setiap RM10 ini akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan.

Kerajaan dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai ini untuk tahun ini sahaja.

Namun begitu, jumlah ini tidak sebanyak mana jika dibandingkan dengan pendapatan yang akan diperolehi kerajaan jika menarik balik subsidi kepada enam Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu sebanyak RM17 bilion setahun.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyeru kepada seluruh pengguna prabayar agar tidak termakan sandiwara itu.

Katanya, tiada sebarang jaminan oleh kerajaan bahawa cas enam peratus itu tidak akan dikenakan selepas pilihan raya umum.

"Saya minta kepada pengguna prabayar agar terus memberi tekanan kepada kerajaan agar cukai ini dimansuhkan terus.

"Guna telefon prabayar anda untuk memastikan BN ditolak pada PRU ke-13 nanti," katanya.

Petikan Harakahdaily:


KUALA LUMPUR, 12 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa berpura-pura lupa atau sememangnya tidak tahu apa-apa dengan cukai enam peratus cukai pra bayar kerana ia telah dimasukkan dalam Bajet 2010 lalu oleh beliau.

"Pihak Telco hanya melaksanakan Bajet yang telah dibentangkan oleh Najib menjelang tahun 2010 lalu dan telah diluluskan oleh kerajaan.

"Kini apabila mereka hanya ingin melaksanakannya, Najib menyalahkan Telco pula, seolah-olah beliau pemimpin yang prihatin menjelang pilihan raya ini," kata Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) , Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Bagi Dr Dzulkefly, Najib jelas lupa bahawa cukai hanya boleh dikuatkuasakan oleh kerajaan bukannya mana-mana pihak swasta termasuk Telco.

Baru-baru ini, syarikat telekomunikai di Malaysia telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak enam peratus dalam semua jualan kad pra bayarnya mulai 15 September ini.

Ini bermakna, setiap RM10 nilai kad pra bayar, harganya akan menjadi RM10.60 di mana 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

Jumlah 60 sen setiap RM10 ini akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan.

Kerajaan dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai ini untuk tahun ini sahaja.

Namun begitu, jumlah ini tidak sebanyak mana jika dibandingkan dengan pendapatan yang akan diperolehi kerajaan jika menarik balik subsidi kepada enam Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu sebanyak RM17 bilion setahun.

"Persoalan ini membuat kita tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang ditakuti dan disayangi oleh Najib?" soal Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat dan anggota Parlimen Kuala Selangor.

Kesan teruk

Langkah mengenakan cukai ini memberikan tekanan teruk kepada golongan berpendapatan rendah terutama remaja, pelajar dan pekerja kilang kerana mereka golongan paling banyak menggunakan perkhidmatan pra bayar ini.

Golongan yang mempunyai pekerjaan tetap dan berada biasanya menggunakan khidmat post paid atau menggunakan bil penggunaan.

Harakahdaily difahamkan, terdapat 26 juta nombor prepaid yang dikeluarkan oleh Telco di negara ini.

Ekoran pengumuman Telco untuk melaksanakan cukai ini, pelbagai pihak khasnya golongan remaja membuat bantahan terhadapnya melalui laman sosial dan media baru yang kebanyakannya dikuasai mereka.

Ekoran itu, Perdana Menteri Najib menyalahkan Telco kerana mengenakan cukai ini padahal ia telah dikemukakan beliau melalui Bajet 2011 dan pihak Telco hanya melaksanakan keputusan itu sahaja.

Harakahdaily difahamkan, selama ini cukai hanya diserap oleh Telco melalui keuntungan jualan pre paid mereka namun ia tidak mampu lagi berbuat demikian sedangkan duit itu dibayarkan kepada kerajaan dan bukannya diperolehi mereka.

Ekoran itu, semua Telco, terutama tiga yang utama iaitu Celcom, Digi dan Mexis akan mula mengenakannya kepada pengguna pra bayar.

Difahamkan, pengguna terbesar pra bayar adalah pengguna Digi.

Najib baru-baru ini mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi mengkaji semula langkah mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas kad prabayar sambil menegaskan ia sukar untuk diterima dalam situasi kenaikan kos sara hidup sekarang.

Perdana Menteri menegaskan cukai itu dikuatkuasakan ketika kerajaan pula sedang berusaha untuk mengurangkan beban di sebalik kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan yang lalu.

“Reaksi dan maklum balas daripada orang awam ialah langkah Telco, tidak popular dan sukar untuk diterima,” kata beliau.

“Jadi, saya berharap Telco akan mengkaji semula langkah ini memandangkan kita sedang cuba mengurangkan beban ke atas orang ramai yang perlu menanggung kenaikan kos harga barang,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Najib juga menafikan Telco telah menerima kelulusan Kementerian Kewangan, sebaliknya menjelaskan keputusan itu dibuat oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sendiri.

Pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan sejak semalam berkata pihaknya kesal dengan keputusan syarikat telekomunikasi yang mengumumkan pengenalan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pembelian tambah nilai prabayar dan pek atau kad SIM berkuat kuasa pada 15 September ini.

Sunday, September 11, 2011

(Antara petugas-petugas majlis)


(Bahagian muslimat)



(Antara tetamu muslimin)



(Antara juadah yang disediakan)




(Ustaz Mohd Nor menyambut antara tetamu yang hadir)





Marang : Walaupun sibuk melayan tetamu yang datang tetapi kepuasan jelas tergambar di wajah petugas-petugas PAS dalam Majlis Rumah Terbuka Eidulfitri DUN Bukit Payong semalam.

Mereka begitu bersemangat melayan tetamu yang datang dari pelbagai pelusuk Bukit Payong dan kawasan berhampiran itu hadir bertali arus ke majlis itu yang berlangsung selama lebih empat jam.

Ada yang datang bersama keluarga tidak kurang juga bersama teman-teman dan juga berseorangan.

Salah seorang petugas yang dikenali sebagai Li berkata dianggarkan lebih dua ribu tetamu telah hadir ke majis itu semalam.

"Kita menyediakan lima kawah gulai dan seratus kilo laksa untuk majlis ini.

Satu kawah biasanya untuk 400 orang tetamu dan seratus kilo laksa juga untuk 400 orang tetamu.Kesemuanya habis,"katanya gembira.

Seorang lagi petugas yang tidak mahu namanya disiarkan berkata walaupun penat melayan tetamu seramai itu dalam masa yang singkat tetapi kerana ini adalah kerja kebajikan dia rasa gembira melakukannnya.

Sementara itu wakil rakyat DUN Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika dihubungi melahirkan rasa puas hati beliau dengan jumlah kehadiran itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu.

Tidak lupa juga beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas yang telah bertungkus lumus untuk memastikan majlis itu berjalan lancar.

Friday, September 9, 2011

Assalamualaikum


Dijemput semua

untuk hadir ke


Majlis Rumah Terbuka

DUN Bukit Payong


Bertempat di PASTI Iman

Pekan Bukit Payong

(berhampiran Sek.Keb.Bukit Payong)


Pada hari Sabtu

10hb September 2011


Bermula jam 10.00 pagi

hingga

jam 2.00 petang


Datanglah beramai-ramai bersama keluarga

Kita kukuhkan ukhuwwah sambil menjamu selera

Thursday, September 8, 2011


Kopi kecubung tewaskan kekebalan Mat Indera

2010/12/13
NAMA Jawa Ponorogo pernah terkenal dengan berita penangkapan anggota komunis, Ahmad Indera atau dikenali sebagai Mat Indera, berdarah pahlawan daripada keturunan Datuk Bentara Husin Lela Pahlawan Siak Seri Inderapura yang menjadi panglima kanan Sultan Sharif di Siak.

Meskipun Mat Indera dikaitkan sebagai pengganas oleh sesetengah orang kerana pembabitannya dalam komunis dan dilabelkan sebagai petualang oleh kerajaan Inggeris, ramai masyarakat Jawa Ponorogo menganggapnya pejuang dalam menuntut kemerdekaan, cuma memilih jalan yang salah. Pemuda kelahiran Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat itu mempunyai peribadi tinggi dan dikatakan kuat beribadat serta tinggi pengetahuan agamanya. Justeru, dia disenangi penduduk di Sri Medan yang kerap membantunya membekalkan makanan ketika dia dalam parti komunis. Namun, tekanan yang diberikan Inggeris terutama kepada rakan karibnya, Mat Tukyo supaya menangkap Mat Indera atau tindakan tegas dikenakan terhadap penduduk Sri Medan menyebabkan mereka tiada pilihan selain memastikannya ditangkap. Namun, bukan kerja mudah menangkapnya kerana kehebatan dan ketinggian ilmu Mat Indera.

Ugutan Inggeris terus menjadi tekanan kepada penduduk Sri Medan termasuk untuk memindahkan mereka dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang membantu membekalkan makanan kepada Mat Indera.

Penangkapan Mat Tukyo oleh Inggeris sebelum ditawarkan beberapa ganjaran selain hidup bebas di Sri Medan menjadi kemuncak tindakan nekad penduduk Jawa Ponorogo, namun perlu melalui kaedah terancang kerana semua mengetahui kesaktian Mat Indera.

Pada 14 Oktober 1952, lima lelaki Jawa Ponorogo yang diketuai Md Sham dan dibantu Ismail Mustakim (Misban), Beladang, Mat Tukyo dan Bajuri menggunakan tipu helah untuk memberkas Mat Indera.
Ia bermula dengan jemputan Mat Tukyo dan Misban untuk mengadakan perbincangan mengenai pelan bantuan orang kampung kepada Mat Indera. Dalam perbincangan itu, dia dijamu dengan tempe dan kopi yang dicampur kecubung. Akibat itu Mat Indera mabuk dan mengantuk.

Kesempatan itu digunakan untuk menanggalkan semua tangkal serta mengikat tangannya dengan lalang. Dikatakan, kerana itulah ilmu ghaib dan kehebatan Mat Indera tidak lagi dapat digunakan.

Bekas ketua kampung Parit Warijo, Malik Samuri menjadi saksi bagaimana Mat Indera dibawa dengan basikal sedang tangannya diikat daun lalang. Peristiwa itu sebenarnya menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat Jawa Ponorogo. Ada yang gembira dan ada yang sebak.

Mohd Abidin Ismail iaitu anak salah seorang yang menangkap Mat Indera, Misban, berkata meskipun terbabit secara langsung dalam tipu helah itu, sepanjang hidup ayahnya tidak pernah menyatakan kebanggaan atas kejayaan itu, malah tidak sesekali melabelkan Mat Indera sebagai petualang.

“Cuma apa yang kerap diceritakannya ialah tindakan mereka ketika itu adalah disebabkan tekanan yang dihadapi akibat ugutan Inggeris. Mungkin ada melabelkannya sebagai petualang tetapi saya merasakan dia seorang pejuang tetapi memilih jalan yang salah.

“Tidak adil terus melabel Mat Indera sebagai pengkhianat kerana dia juga berjuang untuk menuntut kemerdekaan. Cuma kumpulan yang disertainya itu tidak sesuai, itupun disebabkan tiada kumpulan lain ketika itu. Kumpulan Melayu lain terlalu lambat bertindak” katanya.

Sumber asal:

http://www.bharian.com.my/articles/KopikecubungtewaskankekebalanMatIndera/Article/

(taat setia mereka terhadap Queen of England dengan lagu "God Save the Queen")

Isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari tahun 1950 (sebelum Merdeka) telah dikenang sebagai serangan kumpulan pengganas ke atas sekumpulan angggota polis yang bertahan di rumah pasong. Persepsi ini telah ditulis oleh pengkaji sejarah mengikut acuan pihak tertentu bagi menyembunyikan hakikat sebenar – pihak yang menentukan apakah kriteria pejuang kemerdekaan.

Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi betapa pihak yang menyerang rumah pasong Bukit Kepong itu adalah pengganas sedangkan gerakan yang diketuai oleh Mat Indera juga sebenarnya harus dikenang sebagai salah satu serangan ke atas kubu British yang menjajah Tanah Melayu untuk beberapa abad lamanya.

[Gambar - 'The Federations of Malays States Police' adalah rancangan General Harold Briggs bagi menyelamatkan kepentingan British di Malaya. Polis DiRaja Malaysia di anugerahkan oleh Yang DiPertuan Agong Malaysia Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhamad pada 24 Julai, 1958]

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa sejarah kemerdekaan negara harus segera dikaji semula oleh pengkaji sejarah yang tidak berkepentingan selain daripada merekodkan sejarah sebenar, bukan oleh pengkaji sejarah upahan yang menulis berdasarkan telunjuk pihak yang menang bagi menutup sejarah di sebalik sejarah.


Tindakan Timbalan Presiden PAS Mohd Sabu mengulas mengenai peristiwa Bukit Kepong dan watak sebenar Mat Indera dalam ceramahnya harus dipuji kerana ia membangkitkan ghairah rakyat terutamanya dari golongan anak muda untuk mengetahui sejauh manakah British itu dianggap sebagai penjajah dan apakah dengan menyerang British itu akan dianggap sebagai pengkhianat di Tanah Melayu.

Pihak polis di rumah pasong Bukit Kepong itu juga bertugas bagi mempertahankan kepentingan British seperti estet getah dan ladang. Adakah Pasukan polis ketika zaman jajahan British menunjukkan taat setia mereka terhadap Queen of England apabila lagu "God Save the Queen" didendangkan setiap kali lawatan pegawai tertinggi British ? Ini juga persoalan yang harus digali semula untuk rakyat mengetahui sejarah penentangan penjajah yang sebenar.

Ia berkait rapat dengan proses menuntut kemerdekaan apabila semua kumpulan, kesatuan dan pertubuhan yang bergerak menuntut kemerdekaan telah diharamkan kecuali Umno. Kumpulan penuntut kemerdekaan ini akhirnya dituduh sebagai pengkhianat dan pengganas hanya kerana menentang British yang statusnya masih lagi penjajah di Tanah Melayu ketika itu. Turut menjadi persoalan ialah, mengapa Umno sahaja yang dibenarkan berkempen untuk merdeka sedangkan banyak lagi pergerakan menuntut kemerdekaan. Adakah Umno membenarkan pertubuhan mereka menjadi talibarut British demi untuk merdeka di atas acuan penjajah ?

Oleh yang demikian, SAMM Wilayah Persekutuan di atas rasa tanggungjawab ke atas sejarah negara yang dikhuatiri terperosok, harus digemburkan semula untuk tatapan rakyat. Sejarah peradaban negara juga seharusnya disifatkan dengan lebih keterbukaan kerana ia membentuk asal usul kita rakyat Malaysia. Rakyat juga harus lebih terbuka dan berjiwa besar untuk menerima hakikat sebenar sejarah negara, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan proses menuntut kemerdekaan.


Bagi kami anak muda inilah satu peluang sangat baik sempena pasca hari kemerdekaan ke-54, untuk rakyat mengasak pihak berwajib bagi menampilkan sejarah sebenar kemerdekaan negara. SAMM akan ke hadapan bagi merealisasikan apa itu sejarah.

** tulisan adalah kenyataan media SAMM

Wednesday, September 7, 2011

Marang : ADUN Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah mengucapkan tahniah kepada Encik Zulkefli Ali diatas perlantikannya sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Marang (MDM) yang baru kelmarin.

Beliau mengharapkan agar kerjasama lebih erat dengan pihak MDM dapat dijalinkan untuk kepentingan rakyat di daerah Marang amnya dan di kawasan Bukit Payong khasnya.

Beliau juga mendoakan agar Allah membimbing YDP MDM yang baru dengan sifat taqwa dan amanah.

Petikan Sinar Harian:

Zulkefli Yang Dipertua MDM baru

Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol, Zulkefli Ali menerima tugas sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM) bagi menggantikan Ibrahim Mohamad yang bertukar ke Majlis Daerah Besut (MDB).

Majlis penyerahan tugas dilakukan di pejabat Majlis Daerah Marang (MDM), kelmarin.

Zulkefli sebelum ini pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah Dungun pada 1991 hingga 1995 dan menguruskan perihal tanah, sebelum ditugaskan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol.

Zulkefli yang ditemui selepas majlis penyerahan tugas itu mengucapkan terima kasih atas pelantikan itu dan akan menjalankan tugas dimanahkan dengan sebaik mungkin.

“Dari segi pelaksanaan, seperti yang saya sedia maklum, MDM adalah agensi barisan hadapan kepada orang ramai. Jadi maklumat dan segala respons daripada orang ramai akan kita ambil kira untuk memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Ditanya strategi yang akan dijalankannya, Zulkefli berkata, beliau akan meneruskan segala perancangan yang telah dibuat sebelum ini, selain melihat potensi yang boleh dimajukan lagi di daerah Marang yang terkenal dengan pelbagai produk pelancongan.

“Mengenai keperluan rakyat, saya akan mengambil inisiatif untuk mendapatkan apa juga maklumat diperlukan dan terjemahkan ia dengan pelaksanaan. Maklumat yang sama juga akan diperoleh daripada pemimpin masyarakat.

“Saya berharap, kesemua pihak khususnya semua kakitangan MDM dapat memberikan kerjasama baik kepada saya selepas ini demi memastikan semua perancangan yang dibuat sebelum ini dapat diteruskan tanpa halangan,” katanya

Tuesday, September 6, 2011

(Makcik Semek yang kematian suaminya)




(Encik Aziz Deraman menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu)




(Haji Salleh Cik yang kematian isterinya hajjah Zainon pada hari raya kedua)




(Makcik Aisyah hampir 80 tahun sudah tak mampu berjalan)



Petang tadi kira-kira jam 5.30 petang, Ustaz Mohd Nor memulakan program ziarah beliau ke beberapa lokasi di sekitar DUN Bukit Payong. Ada beberapa orang yang dikenal pasti sebagai uzur dan kematian waris telah dikunjungi oleh Ustaz Mohd Nor.Alhamdulillah ada kira-kira empat orang yang telah berjaya ditemui dalam masa kira-kira sejam itu.



Mereka ialah Encik Aziz Deraman di Kampung Wakaf Kedondong yang sudah setahun tidak bekerja kerana menghidap kencing manis yang akhir-akhir ini semakin teruk. Haji Salleh di Kapung Padang Air Deras yang kematian isterinya Hajjah Zainon pada hari raya kedua yang lalu.


Makcik Aisyah jiran Haji Salleh seorang warga emas yang sudah tidak mampu berjalan berumur hampir 80 tahun dan Makcik Semek juga dari Kampung Padang Air Deras yang kematian suaminya kira-kira setahun yang lalu.

Ustaz Mohd Nor juga mengambil kesempatan untuk menghulurkan bantuan peribadi kepada mereka-mereka yang berkenaan. Beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga Mak Long Lijah di Kampung Undang atas pemergiannya tengahari tadi.Moga Allah mengampunkan kesalahannya

Walaupun dengan keterbatasan masa dan kewangan namun kesungguhan wakil rakyat kita untuk menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat atas dasar amanah yang dipikul mengatasi segala-galanya tanpa mengira parti. Kita mendoakan semoga YB terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk menjalankan amanah ini. InsyaAllah

Monday, September 5, 2011

Assalamualaikum

Saya dimaklumkan ada segelintir individu di dalam Facebook telah mempersoalkan dimanakah saya ketika kejadian ribut yang berlaku sekitar DUN Bukit Payong dua hari lalu.Ada yang dengan nada menyindir mengatakan bahawa YB Bukit Payong tak nampak batang hidung pada masa-masa begini.

Alhamdulillah sebagai insan yang kurang pahala saya sangat gembira dengan fitnah itu semoga pahala saya bertambah-tambah lagi kerana kesabaran menghadapi fitnah ini.

Untuk makluman semua agar fitnah tidak terus tersebar,saya sebenarnya telahpun sampai ke lokasi pada petang itu juga.Antara kawasan yang terjejas dalam kejadian ribut itu ialah Kedai Buloh, Titian Baru, Macang Lada dan sekitarnya.Rumah saya sendiri juga tercabut atap.Alhamdulillah tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Antara mangsa yang kita bantu ialah Puan Jamilah yang ketika kejadian berada di Kuala Lumpur yang mana rumahnya terkunci.

Saya sebagai wakil rakyat DUN Bukit Payong ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mangsa-mangsa tempohari dan saya juga amat berharap agar kerajaan negeri dapat menjalankan amanah mereka dengan menghulurkan bantuan kepada semua mangsa secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang mereka.

Akhirnya saya berpesan kepada jari-jari dan mulut-mulut yang suka menabur fitnah agar meluangkan sedikit masa untuk merenung kembali apa yang telah kita lakukan dalam bulan Ramadhan yang lalu,baru sahaja kita meninggalkannya,adakah ini yang dikatakan sebagai akhlak orang yang bertaqwa? jadi jangan sia-siakan ramadhan anda dengan fitnah-fitnah sebegini.Kepada semua,berhati-hatilah dengan fitnah.

Saya mohon kepada Allah agar memberikan hidayah kepada anda semua insyaAllah.

Terima kasih
Ustaz Mohd Nor Hamzah
ADUN Bukit Payong

ARKIB