Friday, June 29, 2012


Pas terus bangkit ‘mood’ rakyat

KUALA TERENGGANU – Pas terus membangkitkan ‘mood rakyat’ ketika ini melalui beberapa siri program yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan tahap keyakinan dan sokongan golongan muda bertambah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Pemuda Pas Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, ia bermula dengan moto Pas Ganti Umno (PGU) yang diikuti beberapa program, antaranya Jelajah PGU 1.0 di Kemaman, PGU 2.0 di Jertih dan PGU 3.0 di Kuala Terengganu.

Menurutnya, kelangsungan itu diteruskan dengan sambutan Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Kedah dan terbaru Ekspresi Hijau Anak Muda Ke Putrajaya anjuran Dewan Pemuda Pas Pusat yang diadakan di Terengganu.

“Kali ini kita akan adakan di peringkat negeri Terengganu bagi mengumpul seluruh petugas dan ahli Pemuda bagi menggerakkan kerja Pemuda dan menggerakkan ‘mood’ rakyat dan generasi ‘Y’ agar mereka dapat membuat perubahan.

“Kita akan gunakan satu moto iaitu 'Pakat Pangkoh Pas, Boh'. Kita ajak anak-anak muda kali ini ubahlah Umno-BN yang telah lama memerintah lebih daripada 50 tahun,” katanya ketika berucap sempena program makan malam meraikan peserta Himpunan Bersih 3.0, di sini.

Hadir sama, Naib Ketuanya, Kamaruzzaman Abdullah dan Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong turut yakin golongan muda akan terus bersama pembangkang sebagaimana kehadiran yang memberangsangkan dalam program-program terdahulu.

“Kita tengok Himpunan Hijau ke Putrajaya yang diadakan di Kedah itu 80 peratus adalah anak-anak muda. Begitu juga dengan Himpunan Aman Bersih 3.0 'Duduk dan Bantah' adalah terdiri di kalangan anak-anak muda.

“Saya yakin Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Terengganu juga akan mendapat sokongan anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menganggap pilihan raya sudah hampir dan mengharapkan menonjolkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memimpin Malaysia Baru.
Pakat Mari Ramai-Ramai


Thursday, June 7, 2012


Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah
Bismillahirrahmaanirrahiim
Budaya mengugut dan membangkit-bangkit apa yang kononnya dikatakan sebagai kebaikan kerajaan sekarang ini oleh pimpinan Umno Terengganu semakin menjadi-jadi. Kenyataan demi kenyataan oleh pimpinan Umno Terengganu kebelakangan ini, sangat jelas mengugut pegawai kerajaan dan juga kepada rakyat marhaen agar menyokong Barisan Nasional (BN) dan menolak Pakatan Rakyat (PR).
Beberapa hari lepas Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad bin Said telah mencabar anggota-anggota keselamatan yang menyokong kerajaan supaya meletakkan jawatan sekiranya berhasrat menyertai pembangkang. Ini menurutnya lagi, adalah jelas satu pengkhianatan kepada Negara kerana tindakan mereka sepatutnya tidak bercanggah dengan dasar pemerintah yang sedia ada. Kemudian datang pula laporan tentang cabaran Ahmad Said agar peserta Felda keluar dari tanah rancangan sekiranya benar-benar mereka mendapati Felda telah menipu mereka.
Semalam (6hb Jun) pula dalam laporan sebuah akhbar harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh Muhammad Ramli Haji Nuh (kiri) pula telah mengeluarkan kenyataan membangkit-bangkit pemberian oleh kerajaan BN. Beliau menganggap pihak yang tidak menyokong kerajaan sebagai golongan yang lupa diri terhadap jasa dan sumbangan kerajaan.
“Mereka lupa asal usul dari mana dan lupa datuk nenek mereka dahulu bergantung kepada kerajaan. Kita tidak kata semua terlibat tetapi unsur-unsur kebergantungan kepada kerajaan itu sudah dilupakan,” beliau dipetik sebagai berkata.
Begitulah ugutan-ugutan yang telah dikeluarkan oleh pimpinan Umno negeri Terengganu. Satu tindakan desperado oleh Umno Terengganu. Saya ingin menasihatkan Menteri Besar Terengganu dan Adun Tepoh, supaya belajar dahulu makna demokrasi sebelum membuat kenyataan sebegitu.
Kenyataan dangkal sebegini secara tidak langsung menyerlahkan ketakutan yang amat sangat dengan suasana kebangkitan rakyat sekarang ini yang jelas menolak Umno dan sekutunya. Malang bagi Umno Terengganu kerana ketuanya memilih untuk kembali kepada pemikiran 30 - 40 tahun yang lalu iaitu mengugut rakyat dari menggunakan hak mereka untuk mengundi sesiapa sahaja yang mereka kehendaki menjadi pemimpin. Hak kebebasan rakyat telah cuba disekat dan dicabuli oleh Umno.
Kalaulah begitu kenyataannya, maka kakitangan kerajaan negeri dibawah pemerintahan PR juga wajib menyokong kerajaan negeri yang sedia ada. Atau pegawai-pegawai kerajaan negeri di bawah pemerintahan PR yang menyokong BN mesti meletak jawatan mereka sesuai dengan pemikiran kolot Ahmad Said ini. Bukan kita ingin mengugut tetapi sebagai menyesuaikan keadaan dengan kenyataan beliau itu.
Membangkitkan pemberian hanya menyebabkan rakyat menjadi semakin mual. Sekali lagi Umno cuba memperbodoh-bodohkan pemikiran rakyat yang semakin bijak menilai apa itu demokrasi. Jika soalan itu yang dibangkitkan Umno, maka rakyat juga boleh membangkitkan kembali soalan kepada Umno, dari mana mereka mendapat wang bagi membiayai semua prasarana-prasarana yang telah mereka dirikan?
Ramli hanya tahu apa yang kerajaan berikan kepada rakyat dalam masa yang sama cuba memadamkan hakikat atau buat-buat lupa bahawa kerajaan bergantung kepada cukai dan zakat yang dikutip dari rakyat untuk mengurus tadbir negeri. Rakyat yang tidak bergantung kepada kerajaan seperti yang didakwa oleh Ramli adalah rakyat yang bijak kerana mereka tahu yang mereka sepatutnya hanya bergantung kepada Allah.
Saya menyeru kepada seluruh rakyat di luar sana terutama penyokong-penyokong Umno agar melihat dengan mata hati perangai dan pemikiran pemimpin-pemimpin Umno ini. Bagi mereka semakin rakyat bodoh, semakin mudah bagi mereka untuk berbuat sesuka hati mereka. Tiada persoalan atas apa jua perlakuan mereka. Siapa yang melawan akan diugut, dikenakan tindakan, memotong bantuan dan sebagainya. Bagaikan khazanah kerajaan yang sebenarnya hasil duit kutipan dari rakyat itu kepunyaan atau milik mutlak keluarga mereka. Maaf, kita bukan lagi dizaman sebegitu.
Kerana itulah mereka sangat takut dengan rakyat yang cerdik kerana rakyat akan mempersoalkan ke mana perginya wang mereka. Kalau di Britain, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat kerana mereka tahu bahawa rakyat mereka cerdik dan tidak mudah ditipu. Malah mereka menamakan “Wang Pembayar Cukai” sebagai ganti istilah “Wang Kerajaan” sepertimana yang digunapakai di Malaysia ini.
Oleh itu bangunlah rakyat sekelian jangan kita berterus-terusan diperbodohkan oleh Umno. Marilah kita bersama PAS dan Pakatan Rakyat untuk membangun Negara Berkebajikan dari rakyat untuk rakyat insyaAllah. Wallahua’lam

Tuesday, June 5, 2012


Kuala Terengganu : Empat orang tertuduh dalam kes anggota polis menembak orang awam dibawah Sesyen 27(5)(a) Akta Polis iaitu Suwandi Abd Ghani 43, Muhammad Azman Aziz, 26, Hisham Aziz@Abdul, 43, dan A.Rahman Abdullah, 67, dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Keputusan pembebasan itu telah dibacakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Mohammad Khalid Haji Ab. Karim pagi tadi, kemudiannya telah disambut dengan laungan takbir oleh saudara mara, rakan-rakan tertuduh dan orang ramai yang bersama-sama menanti keputusan itu.
Suwandi yang ditemui selepas keputusan itu melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan yang sudah beliau jangkakan itu.

 
“Alhamdulillah. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang telah memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk.

Ucapan terima kasih ini juga kepada pimpinan kita yang banyak membantu saya dalam menghadapi situasi sukar ini,” katanya sambil tersenyum.

Manakala Azman juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantunya dalam semua aspek terutamanya keluarga beliau.

Ustaz Mohd Nor Hamzah yang tidak dapat hadir ke mahkamah kerana ada urusan kematian di Bukit Payong turut mengucapkan tahniah kepada mereka melalui telefon sebaik sahaja mendapat berita gembira itu.

Sebelum ini, Suwandi dan Azman dituduh bersama 18 orang yang lain pada 8 September 2007, jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Polis yang bertugas ketika menyurai perhimpunan tersebut iaitu Wan Aziz Wan Omar (RF143706) telah melepaskan tembakan peluru hidup hingga hampir meragut nyawa Suwandi dan Azman.

Kira-kira 50 orang yang berkumpul di hadapan mahkamah kemudiannya bersurai setelah sama-sama membaca doa kesyukuran yang diketuai oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

ARKIB