Monday, February 27, 2012


PROGRAM CERAMAH ISU-ISU SEMASA:
CERAMAH UMUM
DI KAMPUNG PAYA RESAK
BUKIT PAYONG, MARANG
PADA 29HB FEB 2012
JAM 9.30 MALAM
PENCERAMAH-PENCERAMAH :

1. Y.B USTAZ MOHD NOR HAMZAH

(ADUN BUKIT PAYONG)

2. Y.B KHALID SAMAD

(AHLI PARLIMEN SHAH ALAM SELANGOR)

3. Y.B CHAN MENG KAI

(ADUN SIMPANG PULAI, PERAK)

ANDA DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI

Saturday, February 25, 2012

Titian Baru : Satu majlis hi-tea telah diadakan semalam bagi tujuan mengutip dana pendidikan bagi menampung kos pengurusan Madrasah Darul Iman (MDI) di sini semalam.

Majlis anjuran Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dengan kerjasama MDI itu telah Berjaya mengutip sumbangan dari orang ramai sebanyak RM3000 hasil daripada jualan kupon hi-tea itu.

Ustaz Kamaruzzaman Abdullah(kanan) telah dijemput sebagai tetamu khas majlis tersebut.

Dalam ucapannya beliau merayu kepada tetamu yang hadir agar turut sama dengan pihak PIBG dan sekolah untuk berkempen bagi mengutip derma-derma sebegini bagi pihak sekolah.

Tambahnya lagi sekolah-sekolah agama (SAR) rakyat sekarang ini tidak lagi dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling berdasarkan pencapaian semasa SAR.

“Kalau dulu orang tidak yakin dengan sekolah agama, tetapi alhamdulillah sekarang mereka telah lihat keupayaan kita dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak dan berilmu,” tegas beliau.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) member galakan agar semua pihak menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar yang belajar agama kerana balasan di sisi Allah sangat besar.

Bagi mereka yang berminat untuk menghulurkan sumbangan kepada MDI bolehlah berhubung dengan Mudir MDI, Ustaz Mazlan Ibrahim di talian 019-9024674.
Marang : Unit Amal yang telah ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu, hari ini semakin mengorak langkah megah sebagai sebuah pasukan sukarela yang disegani lawan dan kawan.

Hal ini dapat dilihat dengan pengiktirafan orang ramai terhadap badan sukarela itu menunjukkan kumpulan ini semakin diterima masyarakat.

Jika dahulu berpakaian hijau tetapi sekarang dengan pakaian merah hati, beserta beret ala komando, mereka gagah melangkah ditengah-tengah masyarakat apabila ada sesuatu bencana atau keadaan yang memerlukan tenaga sukarela.

Dek kerana tugasan yang semakin mencabar dan memerlukan tenaga yang lebih ramai, maka Unit Amal kemudiannya telah ditukar kepada Jabatan Amal.

Lihat sahaja sumbangan besar mereka dalam beberapa pehimpunan yang besar, tugas mereka jelas membantu pasukan keselamatan awam bagi mengawal keadaan.

Begitu juga dalam peristiwa banjir besar seperti di Johor, Perlis dan boleh dikatakan seluruh negara mereka akan memberikan sumbangan mereka yang tidak sedikit.

Malah ramai diantara mereka juga telah menyumbang tenaga sukarela mereka sehingga ke peringkat antarbangsa.

Bertolak atas dasar ingin mengajak lebih ramai lagi orang ramai untuk turut serta bersama mereka, Jabatan Amal Marang semalam telah mengadakan satu majlis bagi mengenang jasa bekas-bekas ahli Jabatan Amal Marang.

Menurut ketuanya saudara Abu Dardaa Mohammad (kiri), majlis ini adalah sebagai satu cara bagi mengenang budi dan jasa bekas-bekas ahli Unit Amal Marang.

Ianya juga sebagai satu langkah untuk mengajak orang ramai agar turut serta bersama Unit Amal dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

Majlis yang diadakan berhampiran Sekolah Rendah Kedai Buloh itu, diserikan dengan kehadiran wakil rakyat Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Dalam ucapannya, Ustaz Mohd Nor (kiri) memuji Jabatan Amal sebagai golongan yang sedia memberikan khidmat secara ikhlas kepada masyarakat tanpa ada apa-apa ganjaran menarik.

Mengimbau kembali kisah lama, beliau berkata semangat itu telah memberikannya motivasi yang tinggi untuk turut serta bersama Jabatan Amal ketika beliau masih remaja.

“Saya sanggup panjat pagar KUSZA semata-mata nak turut serta dengan mereka dalam jambori Unit Amal di Pantai Tok Jembal pada awal tahun 90-an dulu.

Walaupun KUSZA ketika itu mengamalkan disiplin yang kuat untuk tidak membenarkan pelajar-pelajarnya keluar bukan pada waktunya, tapi saya tak kisah kalau dikenakan tindakan displin, semata-mata ingin bersama Unit Amal,” ujarnya sambil tersenyum.

Beliau seterusnya menyeru masyarakat setempat agar turut serta dalam Jabatan Amal ini agar jabatan ini dapat diperkuatkan lagi fungsinya.

Turut serta dalam majlis itu semalam ialah bekas-bekas ketua Jabatan Amal Marang manakala bekas ketua Unit Amal Malaysia Cikgu Hussin Ismail yang turut dijemput, tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Majlis diakhiri dengan acara penyampaian cenderahati kepada bekas-bekas ketua Jabatan Amal Marang sebagai tanda terima kasih atas jasa-jasa mereka.

Thursday, February 23, 2012

Petikan Sinar Harian :

KUALA TERENGGANU – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Bakar mengesyorkan mana-mana individu yang akan dicalonkan atau digugurkan perlu diberitahu lebih awal bagi mengelak perkara tidak diingini dalam parti.

Beliau berkata, ia juga boleh me­ngelakkan perkara sama yang pernah berlaku kepada beliau apabila mendakwa pernah ditipu oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh ketika pengumu­man calon pada pilihan raya umum lepas.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Marang pada waktu itu dimaklumkan Idris bahawa semua Ketua Umno Bahagian akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), sebaliknya lain yang berlaku apabila nama beliau dan beberapa ketua Umno bahagian lain tidak tersenarai ketika pe­ngumuman calon Februari 2008.

“Saya bukannya sedih kerana tidak dicalonkan pada waktu itu sebaliknya diberitahu bahawa semua Ketua Umno Bahagian akan dicalonkan. Begitu juga sehari sebelum pengumuman calon, kita dimaklumkan perkara yang sama bahkan turut meminta gambar.

“Cara itu menipu dan kita tertipu lainlah kalau diberitahu awal-awal kita tidak bertanding. Tidak menjadi calon tidak me­ngapa tetapi cara dia (Idris) buat, sepatutnya diberitahu awal-awal.

“Apabila diumumkan begitu, semua orang marah, penyokong kita juga mahu tahu sama ada kita mempunyai rekod buruk atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Antara Ketua Umno Bahagian lain yang tidak dicalonkan pada waktu itu ialah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pengundi Luar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Umno Terengganu berkata, jika dimaklumkan awal sama ada digugurkan atau dicalonkan, ia dapat memastikan kedua-dua pihak memberi komitmen yang baik demi kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bagi bakal calon, katanya, sudah tentu ia mempengaruhi persediaan dari segi mental, fizikal dan kewangan dalam usaha melawan musuh parti.

“Memilih calon pun memerlukan transformasi dan perlu diberitahu awal-awal supaya mereka bersedia dari semua aspek. Kalau diberitahu dalam masa singkat, dibimbangi mereka tidak bersedia,” katanya.

Bagi calon yang akan digugurkan, beliau berkata, individu terlibat juga perlu dijelaskan lebih awal supaya mereka tidak berasa dianiaya selain memberi peluang memujuk diri kerana beliau percaya segelintirnya tidak dapat menerima hakikat tersebut.

“Mereka patut diberitahu lebih awal supaya dapat menerima hakikat tidak dicalonkan dan diberi masa supaya dapat menyokong calon lain. Tempoh yang masih panjang sesuai untuk muhasabah diri, membelai diri, memujuk diri dan menerima hakikat mereka tidak dicalonkan,” katanya.

Sunday, February 19, 2012

Petikan Utusan Malaysia :

KUALA TERENGGANU 18 Feb. -Tahap penguasaan jawi di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh dan di sekolah-sekolah agama ternama di negeri ini agak membimbangkan di sebalik kecemerlangan akademik mereka.

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Terengganu menyimpulkan keadaan itu berasaskan tinjauan beberapa pihak termasuk Jabatan Pelajaran sendiri.

Setiausahanya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, masih terdapat kalangan pelajar gagal menulis dan membaca jawi, sedangkan ia merupakan asas bagi subjek teras iaitu bahasa Arab dan sumber penguasaan al-Quran.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak-pihak berkenaan agar mengambil langkah pro-aktif dengan mewajibkan para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke sekolah seumpama itu menduduki ujian khas tulisan jawi.

"Ujian khas tulisan jawi itu perlu dijadikan sebagai syarat tambahan kepada pengambilan pelajar untuk meneruskan pengajian mereka ke sekolah agama," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Memperkasakan Tulisan Jawi Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad di sini hari ini.

Pelancaran program anjuran Gagasan Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah itu disempurnakan oleh Pengerusi Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI), Datuk Zubir Embong.

Hadir sama, Penolong Pengarah Yayasan Terengganu (YT) yang juga Yang Dipertua Gagasan Kuala Terengganu, Dr. Wan Shaari Wan Ismail; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Abdullah Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Wilayah Timur, Ahmad Din Mahmud .

Syed Anuar juga menyarankan supaya Kementerian Pelajaran menjalankan kajian teliti mengenai perkara itu termasuk meminda sukatan pelajaran sedia ada dalam usaha menarik minat pelajar terhadap tulisan jawi.

Beliau yang memuji usaha Utusan Malaysia yang terus mempertahankan tulisan jawi berharap agar akhbar sisipannya menggunakan ejaan yang diselaraskan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurutnya, langkah itu demi kepentingan semua pihak khususnya para pelajar agar tidak timbul kekeliruan mengenai ketepatan ejaan jawi apabila wujud dua versi yang berbeza.

Sementara itu, bagi menjayakan program tersebut, sebanyak 4,800 naskah akhbar sisipan Utusan Melayu Mingguan (jawi) diedarkan kepada lapan buah sekolah rendah sekitar daerah ini untuk selama lapan minggu bermula 13 Februari lalu hingga 21 Mei ini.

Sepanjang tempoh itu, beberapa siri pertandingan akan diadakan termasuk buku skrap, menulis jawi, membaca jawi dan sudut jawi.

***
Inilah hasil peninggalan Umno yang satu ketika dahulu telah menukarkan tulisan jawi menjadi tulisan kelas kedua yang akhirnya meninggalkan kesan mendalam kepada generasi terkemudian.Kebiasaannya kalau seseorang itu pandai baca jawi,maka akan mudahlah baginya untuk membaca al-Quran.Alhamdulillah kita ada sekolah agama rakyat yang meletakkan tulisan jawi pada tempat yang sepatutnya.
Petikan Sinar Harian :



BUKIT PAYONG - Entah di mana silapnya, jalan di sekitar Pekan Bukit Payong sering rosak walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah melakukan kerja pembaikan seperti menampal dan menurap lubang di permukaan jalan rosak sejak Jun tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan penduduk setempat semalam mendapati, kawasan jalan rosak juga perlu disediakan garisan putih sebagai pemisah be-rikutan laluan itu sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Penduduk yang hanya ingin dikenal sebagai Abdullah berkata, dia terkilan kerana jalan yang rosak itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah turut menyumbang kepada kerosakan tayar kenderaan dan kemalangan kecil membabitkan motosikal kerana perlu mengelak lubang.

“Saya lihat kenderaan semakin sibuk tetapi faktor keselamatan di kawasan ini tidak diutamakan. Tambahan pula, pelajar turut menggunakan laluan ini dan ia membahayakan kerana kenderaan tidak bergerak dengan teratur akibat jalan rosak serta tiada garisan (putih),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Bukit Payung, Kamaruddin Mat Amin, 60, ketika diminta mengulas berkata, kerosakan jalan berlaku selepas simpang di jalan utama ditutup sejak tujuh bulan lalu malah alasan ditutup juga tidak dinyatakan.

Menurutnya, PBT menutup jalan simpang ke kanan di jalan utama dari arah Bukit Payong ke Chendering menyebabkan kenderaan berat terpaksa membuat pusingan ke kanan iaitu di jalan hadapan Masjid Bukit Payong sebelum memasuki laluan Pekan Bukit Payong.

“Ini berlaku selepas PBT menutup simpang di jalan utama menuju ke Chendering dari Bukit Payong tidak lama dahulu. Penutupan jalan menyebabkan kenderaan berat terpaksa melalui jalan di pekan untuk masuk semula ke jalan utama Bukit Payong menuju ke Chendering,” katanya yang turut berjanji mendesak PBT agar membuka semula jalan tersebut.

Menurut Abdullah, disebabkan penutupan itulah jalan di situ terus mengalami kerosakan walaupun sudah beberapa kali ditampal dan diturap oleh PBT termasuk pihak Majlis Daerah Marang (MDM).

Kamaruddin berkata, simpang itu perlu dibuka semula bagi me-ngelak kesesakan di pekan berkenaan termasuk mengelak kerosakan jalan berlaku secara berterusan akibat kenderaan berat sehingga menjejaskan keselesaan pengguna lain.

Sementara itu, skuad Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi pihak PBT mengenai masalah ini namun gagal.

Friday, February 17, 2012

Berikut adalah ringkasan salinan laporan yang diperbaharui yang dibuat semalam oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Dr Alias Razak yang juga ADUN Bukit Tunggal, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) Ustaz Mohd Nor Hamzah, ADUN Bukit Payong dan Dr Syed Azman Nawawi ADUN Batu Burok.

Laporan ini telah diserahkan kepada wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam di kaunter pejabat SPRM di tingkat 10 Wisma Persekutuan Kuala Terengganu kira-kira jam 2.45petang.

Turut mengiringi, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu Dr. Bala Chandran, Naib Ketua DPPNT Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Pengerusi DAP Negeri Terengganu Ng Chai Heng dan penyokong-penyokong PR.










Monday, February 13, 2012

Kenyataan Media:



Kami dengan penuh rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan PAS daripada tuduhan jahat Dato Seri Ahmad bin Said, Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan juga Menteri Besar Terengganu yang menyatakan PAS ialah Parti Ajaran Sesat

Sesiapa sahaja boleh juga menuduh UMNO sebagai United Musyrik National Organization. Tetapi kami tidak merasa selesa untuk membuat tuduhan ini dengan menggunakan uslub celupar Dato Seri Ahmad Said.

Kami juga meminta pihak penguasa buat penyiasatan segera tentang tulisan dalam Sinar Harian yang bertajuk “Mat Said mempertikaikan hukum liwat” yang diluluskan dalam Enakmen Jenayah Syar’ei Terengganu (Hudud dan Qisas) 2003. Pertikaian Dato Seri Ahmad bin Said tentang peruntukan dalam Enakmen ini juga menggambarkan sikap beliau yang menghina Enakmen ini dan Tuanku Sultan Terengganu yang telah menandatangani Enakmen ini. Sikap Dato Seri Ahmad bin Said yang mempertikaikan Enakmen ini juga menolak pandangan Ijma’ Ulama tentang kesalahan suami yang meliwat isteri tidak boleh dijatuhkan hukuman Hudud. Dato Seri Ahmad bin Said mula berada dalam kesesatan, bila mana beliau mempertikaian pendapat Ijma’ Ulama.

Tuduhan jahat Dato Seri Ahmad bin Said terbongkar daripada hati yang jahat dan kebencian yang membara kepada rakyat yang mendampingi, menyokong dan bangkit bersama PAS untuk menjatuhkan kesombongan, pembaziran, penyelewengan dan penyalahgunakuasa pemimpin-pemimpin UMNO. Isu NFC, penyalahgunaan wang zakat, stadium runtuh dan banyak isu yang menjerat UMNO untuk mempermudahkan rakyat menggantikan UMNO dengan PAS dan pakatan Rakyat (PGU).

Tuduhan Dato Seri Ahmad bin Said yang berupa fitnah yang berkemungkinan mencetuskan perpecahan, perbalahan dan huru-hara dalam masyarakat. Tuduhan ini bukan sahaja menafikan dan mempertikaikan sistem Demokrasi yang diamalkan dan pihak Pendaftaran Pertubuhan dalam Negara, tetapi juga menghina sejuta ahli PAS dan jutaan penyokong dan pengundi PAS yang terdiri daripada ulama, tuan guru-tuan guru, pegawai-pegawai Kerajaan, golongan profesional, ustaz-ustazah, guru-guru, petani-petani, nelayan-nelayan, anak-anak muda dan mahasiswa. Tuduhan jahat ini juga menghina dan mencerca ahli keluarga, saudara mara, sahabat-sahabat, jiran-jiran yang mempunyai hubungan erat dengan ahli UMNO. Kami yakin ahli-ahli UMNO juga tidak setuju dan marah dengan tuduhan dan tohmahan sebagai penganut ajaran sesat dikaitkan kepada mana-mana peribadi yang mempunyai hubungan dengan mereka. Oleh itu, kami menyeru ahli UMNO supaya menentukan sikap ‘tidak setuju’ kepada Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO dalam Pilihanraya Umum ke 13 iaitu PAS ganti UMNO (PGU).

Tuduhan Dato Seri Ahmad bin Said menggambarkan sikap beliau yang cuba mempertikaikan kewibawaan Ashabul Samahah Mufti-Mufti dan penguatkuasa syariat yang boleh membuat penyiasatan dan pendakwaan ke mahkamah syarei terhadap mana-mana pihak yang membawa ajaran sesat. Dato Seri Ahmad bin Said boleh mengarahkan jabatan yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan pendakwaan terhadap tuduhannya. Tetapi PAS merupakan parti politik yang berdaftar telah melayari bahteranya menjangkau 60 tahun dengan sokongan ulama dan tok guru-tok guru pondok, bahkan beberapa peribadi yang telah memegang jawatan mufti seperti Datuk Ishak Baharom . Sebaliknya, UMNO pernah diharamkan oleh mahkamah. PAS juga pernah bersedia untuk berdebat dengan ulama UMNO tetapi perdebatan itu telah dibatalkan oleh kerajaan dengan sikap bacul dan pengecut.

Akhirnya, kami menyokong kenyataan yang dibuat oleh Dato Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat yang telah cukup tempoh untuk Dato Seri Ahmad bin Said menarik balik kenyataannya dan memohon maaf pada hari ini. Kami bersedia berdebat dengan Dato Seri Ahmad bin Said di medan yang terbuka agar rakyat boleh membuat keputusan dan menentukan sikap dalam Pilihanraya Umum ke 13. Di samping itu, kami akan membuat laporan polis dan tindakan mahkamah terhadap tuduhan jahat ini agar tidak berulang dan dilakukan oleh mana-mana pemimpin UMNO.

Sekian, wassalam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu
ADUN Bukit Payong

Sunday, February 12, 2012

Petikan Sinar Harian :

TERENGGANU – Jadi ‘port’ dadah. Demikianlah keadaan tapak pasar lama Pekan Kedai Buloh di sini. Tapak pasar lama itu kini tidak lagi beroperasi selepas peniaga diarah berpindah ke pasar baru tidak jauh daripada kawasan itu setahun lalu.

Penduduk ditemui Sinar Harian melahirkan rasa kesal dengan kehadiran sekumpulan individu dipercayai penagih dadah pada setiap petang di kawasan itu. Malah, senario itu turut menimbulkan kebimbangan penduduk berdekatan.

Penduduk ditemui, Zulkepli Yusof, 49, berkata, keadaan tapak pasar lama itu juga dipenuhi dengan sampah dan pelbagai peralatan yang dibiarkan begitu sahaja.

Menurutnya, penduduk berdekatan terpaksa ‘menutup mata’ kerana bimbang kumpulan itu mengancam keselamatan mereka.

Namun, ada juga pihak yang berani memberi amaran walaupun langsung tidak diendahkan.

“Dahulu, bahagian hadapan pasar lama itu ditutup dengan zink tetapi selepas kehadiran penagih dadah penduduk membuka zink tersebut agar tidak menjadikan kawasan itu sebagai ‘port’ mereka.

“Namun, mereka tetap kelihatan di tapak pasar lama itu pada setiap petang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedai Buloh, Mohd Noor Omar, 71, ketika dihubungi mengesahkan wujudnya aktiviti penagihan dadah di situ dan pihaknya berharap ia segera dihentikan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu malah penagih itu juga menjadikan sebuah pondok telefon berdekatan dewan serba guna kampung ini sebagai tempat pertemuan mereka.

“Saya harap ia segera dihentikan kerana JKKK sentiasa membuat pemantauan bagi menjamin keselamatan penduduk kawasan itu,” katanya.

Friday, February 3, 2012

Petikan : The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR 1 Feb - PAS mengajak rakyat Malaysia untuk turut sama dalam penghasilan manifesto pilihan raya ke-13 parti Islam dengan memberi cadangan dan harapan sekiranya Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata manifesto parti itu menekankan harapan rakyat Malaysia selepas Barisan Nasional BN gagal menjadi pemerintah yang baik.

Kita akan membuat manifesto pilihan raya umum daripada cadangan yang menjadi harapan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat .

Cadangan ini boleh dihantar kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas SMS emel Facebook atau Harakahdaily.Kita lakukan ini dengan harapan kita dapat tahu hasrat rakyat dan apa yang mereka mahukan dalam sesebuah kerajaan selepas pelbagai keadaan yang kurang di bawah BN katanya yang merupakan pengerusi jawatankuasa manifesto pilihan raya PAS.

Beliau menambah cadangan-cadangan yang sesuai akan dimasukkan ke dalam manifesto sebagai penhargaan kepada rakyat.

Husam berkata cadangan itu dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan boleh di hantar pada bila-bila masa.

Saya menjangkakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat ia boleh dihantar katanya.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengumumkan Tawaran Jingga iaitu tawaran manifesto Pakatan Rakyat yang menekankan dasar-dasar bersama tiga parti komponen.

Manifesto itu menggabungkan Rangka Kerja Bersama dan Buku Jingga Pakatan Rakyat yang mengandungi janji parti perikatan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas menawan Putrajaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih merahsiakan tarikh pilihan raya umum ke-13 namun BN dan Pakatan Rakyat telah menggerakkan jentera masing-masing sebagai persediaan.

Mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.
Sumber : Malaysiakini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akur dengan keputusan Lajnah Politik PAS yang menolak hasratnya mengundurkan diri menjadi calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keputusan itu dibuat selepas lajnah itu bermesyuarat semalam dan sebulat suara menolak hasratnya untuk tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum sama ada di peringkat DUN atau parlimen.

"Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU ke-13.

"Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti," kata ketua penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri).

"Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agung abad ini."

Minggu lalu, dalam wawancara eksklusif yang disiarkan Sinar Harian, Abdul Hadi dilapor menawarkan berundur berdasarkan khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai yang berhormat.

Ekoran kenyataan tersebut, ia mengundang pelbagai reaksi dari pemimpin Pakatan, termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata PAS bersetuju dengan pandangan Nik Aziz yang menegaskan perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat dan pemimpin Pakatan masih memerlukan khidmat Abdul Hadi.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, hasrat Abdul Hadi membuat tawaran itu "lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang mana jawatan bukan perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah".

"Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jemaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin," katanya.

ARKIB