Sunday, December 30, 2012

 Petikan : Malaysiakini
Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata tindakan boleh diambil ke atas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya presiden PAS itu tetap mahu mempertahankan satu amanat kontroversi pada 1981 yang didakwa mengkafirkan Umno.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Othman berkata jabatan itu bagaimanapun akan memanggil Abdul Hadi terlebih dahulu dan mahu presiden parti tersebut menarik balik amanat berkenaan.

"Kesan amanat itu besar, mereka lepaskan kepada masyarakat dan tidak cuba memperbetulkan semula, tuduh orang Islam lain tidak boleh kawan, kafir.

"Kalau kita lihat, di negara Arab mereka berpecah-pecah soal mazhab, kita di sini soal amanat... sebenarnya mengkafirkan orang (Islam) lain itu lebih parah," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa tindakan telah dijalankan ke atas isu berkenaan sebelum ini dan mendakwa jabatan itu mempunyai bukti berhubung elemen mengkafir itu.

"Benda ini (amanat) pun sudah lama, tindakan pun sudah diambil, tapi timbul balik... Mengikut rekod kami yang dikumpul sejak amanat itu diucapkan, elemen mengkafir itu jelas ada.

"Kami ada bukti dan simpan semua termasuk rakaman ceramah mereka. Kesan apa yang mereka ucapkan itu juga berlaku termasuk dalam majlis perkahwinan, kenduri kendara, makan sembelihan orang Umno tak boleh," katanya.

MP Shah Alam Khalid Samad pada hujung minggu lalu menjelaskan bahawa petikan ucapan Abdul Hadi Awang yang dinamakan sebagai 'Amanat Haji Hadi' tidak pernah sama sekali mengkafirkan mana-mana ahli Umno.

Sebaliknya, Khalid berkata, dakwaan bahawa Hadi mengkafirkan orang Umno menerusi amanat itu adalah "putar-belit media Umno" semata-mata.

"Ia (amanat itu) sebenarnya petikan ucapan Ustaz Hadi yang dinamakan 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli PAS," kata Khalid.
Petikan : Bernama
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan diberi peluang memberi penjelasan mengenai amanatnya yang didakwa mengkafirkan Umno pada 1981, di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Abdul Hadi perlu memohon kepada kementerian mengenai saluran yang dipilihnya untuk memberi penjelasan itu.

"Pihak RTM boleh siarkan kenyataannya sekiranya kandungannya sesuai dan ada nilai berita. Tetapi pada masa yang sama, Abdul Hadi perlu memberi peluang kepada pihak lain memberi pandangan mereka kerana amanatnya ini telah dibuat pada 1981," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan raptai sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka di ibunegara hari ini. Sambutan itu dijadual diadakan pada 31 Disember.

Rais berkata pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mufti perlu diambil kira untuk mengetahui status amanat itu yang mengkafirkan Umno dari sudut akidah.

Presiden PAS itu hari ini berkata beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

Ditanya mengenai masalah masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus akibat masalah teknikal, Rais berkata ia bukan kesalahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya syarikat telekomunikasi harus memberi penjelasan lengkap kepada pengguna mengenai masalah itu dan menyatakan jumlah talian terputus dialami pengguna telefon bimbit pada setiap bulan.

"SKMM boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat telekomunikasi masih gagal mengatasi masalah tersebut," katanya.

Minggu lepas, media melaporkan mengenai masalah talian telefon mudah alih terputus yang semakin teruk di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Pembangunan Industri dan Sumber Perancangan SKMM Datuk Ali Hanafiah telah memberi amaran dan berkata SKMM tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Berhubung cadangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya kerajaan tidak meletakkan had pada harga telefon pintar 3G bagi membolehkan orang ramai mendapatkan rebat sebanyak RM200, Rais berkata beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet pada 2 Jan depan.

Mengenai persiapan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka, Rais berkata beliau berpuas hati dengan raptai hari ini yang lancar.

Beliau berkata Dataran Merdeka dipilih untuk majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas, sambutan Tahun Baru 2013 serta acara Larian Tahun Baru 1Malaysia pada 31 Dis ini kerana ia adalah lokasi bersejarah untuk negara.

"Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru diadakan serentak kali ini untuk memberi kelainan dan menyemarakkan semangat perpaduan semua kaum di
Malaysia selari dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata Ketua Paderi Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam turut dijemput untuk mewakili masyarakat Kristian pada rumah terbuka itu.
Kenyataan Media Ketua Penerangan PAS Pusat :

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita11/TG%201%20Jam%20live.jpgPAS menyokong penuh hasrat Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk diberi peluang satu jam bagi menjelaskan isu amanat Haji Hadi di RTM1 dan TV3 secara langsung.

Setelah berminggu menyerang Presiden dalam isu ini menggunakan seluruh media perdana, kerajaan sewajarnya memberikan ruang sebagaimana yang diminta Presiden PAS untuk memberikan penjelasan kepada pengikut media perdana yang sama yang mengikuti serangan Umno dalam isu ‘Amanat Hadi’.

PAS melihat isu ini sebagai isu yang sengaja dibangkitkan semula bagi mengelirukan orang ramai. Peluang 1 jam ini wajib diberi kepada Presiden Pas untuk menjawab segala tohmahan jijik ke atas beliau yang telah berminggu lamanya.

Adalah sesuatu yang sangat tidak adil apabila peluang tidak diberi kepada yang dituduh dan sepatutnya golongan yang membuat tuduhan mesti mendengar dahulu penjelasan dari beliau.

Lebih malang bagi kalau ada mufti atau golongan agama yang terikut sama dalam kemelut yang sengaja ditimbulkan oleh golongan yang jahil terhadap agama.

Kenapa Presiden PAS tidak dipanggil, diminta penjelasan dan diberi peluang beliau menjelaskan segala pertuduhan?

Sehubungan dengan desakan Presiden ini, kita harap pihak kerajaan membuka laluan bagi beliau untuk memberi penjelasan melalui media perdana secara langsung. Kerajaan tidak perlu berdolak-dalih dalam isu ini bagi meraih populariti murahan, mahupun membiarkan isu ini menjadi polemik berterusan.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Disember 2012

Tuesday, December 25, 2012

Program Jom Bersama PAS
akan diadakan selama empat
 hari berturut-turut di sekitar
DUN Bukit Payong
Datanglah beramai-ramai
ke setiap acara yang disediakan
Jangan lupa ajak semua
keluarga dan kawan-kawan
 
 
 

Sunday, December 23, 2012


Satu kejohanan badminton Tertutup Bukit Payong telah diadakan pada hari Jumaat lepas bertempat di DS Sport Center Wakaf Mempelam Kuala Terengganu.

Kejohanan anjuran Jabatan Pembangunan Remaja (WAJA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang dan sebagai salah satu cara bagi mengekalkan kesihatan diri.

Menurut penganjur kejohanan yang mahu dikenali sebagai Mat Cah, sebanyak 16 pasukan telah mengambil bahagian yang melibatkan 32 pemain dari seluruh DUN Bukit Payong.

Kejohanan yang bermula jam 9.00 pagi itu berakhir pada jam 12.30 tengahari hari yang sama telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang Ustaz Zakaria Ismail menggantikan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang tidak dapat hadir.

Ustaz Zakaria dalam ucapan perasmiannya telah memberikan galakan agar penganjuran seperti ini diperbanyakkan lagi supaya dapat tarikan kepada anak-anak muda untuk bersama bergiat dengan Dewan Pemuda PAS di kawasan masing-masing.
 
 

Pasangan bergu Hakim dan Mazli dari Kampung Atas Tol telah keluar sebagai juara apabila berjaya menewaskan lawan mereka di peringkat akhir iaitu pasangan bergu Aizuddin dan Afifi.

Thursday, December 20, 2012

Petikan : Buletin Online
 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhZBmIKKF3PUXU4FQVwniOjpNt6mR51AoK-rHukf9Rw4_y4jc6lO5etxozlbZ1wi9pKoOIPfqgD6mIj0YUoQRo0B6hgzkR126QLZd-Ow3qwBTLE_78CjtPCfio63U-gVmpQgmNc4w66MlM/s1600/IMG_6915.jpgKAHERAH - Kemenangan kepada Islam hanya akan tiba apabila seseorang muslim itu menepati ciri-ciri seorang hamba dan menjadi menjadi hamba Allah dalam konteks yang sebenarnya.

"Jadilah seorang hamba Allah yang sebenar-benarnya, bila kita telah menepati ciri-ciri seorang hamba, Allah akan mengurniakan kemenangan kepada kita,"ujar Mantan Mursyidul Am Ikhwan al-Muslimin Sheikh Mehdi Akif.

Beliau berkata demikian ketika meraikan kunjungan rombongan Misi Yayasan Amal Malaysia ke Gaza yang singgah di Kaherah pada 15 Disember lalu.

Sheikh Mehdi Akil, 75 tahun, pernah menghadapi mehnah keluar masuk penjara dalam perjuangan dan dakwah Islam bersama Ikhwan al-Muslimin di Mesir.

Beliau adalah aktivis dan tokoh Ikhwan yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha kepada empat orang Musryid Am Ikhwan antaranya Syeikh Mustafa Masyhur.

Beliau menambah, bahawa kemenangan sebenarnya adalah milik Allah, sementara tanggungjawab kita sebagai umat Islam adalah menunaikan kewajipan, melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Di dalam kunjungan itu juga, ahli rombongan misi bantuan ke Gaza telah diberikan penjelasan oleh kakitangan Ibu Pejabat Ikwan al Muslimun berkaitan dengan peristiwa serangan yang telah dilakukan oleh golongan penentang yang mengakibatkan kerosakkan dan kecederaan kepada kakitangan bertugas.

Sementara itu, rata-rata pemimpin Ikhwan yang ditemui menyatakan, mereka mengikuti secara dekat perkembangan politik di Malaysia serta mendoakan kemenangan kepada Parti Islam Semalaysia (PAS) di dalam pilihanraya umum akan datang.

Mereka menyifatkan, kedatangan rombongan Yayasan Amal dari jauh semata-mata untuk membantu saudara seagama di Gaza adalah suatu perasaan yang hebat lantaran kita adalah ummat yang satu. Dengan kesatuan kita ini di atas dasar aqidah yang satu, kita akan menjadi ummat yang hebat.

Turut sama dalam rombongan misi Yayasan mal itu adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said

Wednesday, December 19, 2012

Petikan : BuletinOnline

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgGshqgGPaFV5wELYZPbidD53Eju22vwiTLWLwaxuDrCLDYGo1xgV8GmNR5-uGgg7vf3aPYFUJNk5fe1BrWcrqWVQcxZ6XdsVfNbFjK-Zt5EODWbq66yent2o0_0bgTFChtjDXIa4FHtyA/s1600/IMG_7084.jpgKAHERAH – Misi Perubatan dan Rehabilitasi Yayasan Amal Malaysia berjaya menghantar ubat-ubatan bernilai RM50,000 ke wilayah Gaza dengan kerjasama Perastuan Doktor-doktor Seluruh Mesir (Egyptian Medical Syndicate - EMS).

Ubat-ubatan yang diangkut dengan sebuah lori itu masuk ke Gaza melepasi pintu Rafah di sempadan Gaza pada kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, Isnin 17 Disember.

Sebelum itu, Setiausaha Agong EMS, Dr Abdul Fattah Rezki menyifatkan misi bantuan Yayasan Amal ke Gaza adalah antara langkah penting dalam rangka untuk mengembalikan kedaulatan bumi ummat Islam Palestin.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam, mengembalikan Masjidil Aqsa yang pernah menjadi tempat Isra’ Nabi Muhammad s.a.w supaya ianya dapat diziarahi dan dijadikan tempat solat untuk seluruh ummat Islam.

[Gambar atas - Doktor Suhazeli memeriksa ubat-ubatan yang dimuatkan dalam lori sebelum kenderaan tersebut melepasi pintu Rafah semalam; Gambar bawah - Pertemuan dengan EMS ]

"kedatangan kamu dari Malaysia sangat penting kepada perjuangan umat Islam di Palestin yang berjuang bagi kedaulatan Islam, mengembalikan masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama orang Islam,"ujarnya.

Dr Fattah berkata demikian pada majlis pertemuan diantara rombongan Misi Perubatan dan Rehabilitasi Yayasan Amal bersama EMS di pejabatnya di sini pada 16 Disember.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhOmdjD6152jqKeWTNhPgbi7KH1AZOvIN3V7akIKQGOApWmMTHifsZL72W4DIKzItO4BqewH2RwpPwXm2wS1eO3A4d31wlMrz3vGxuBys-dzimOvlSWO6VmqzElGUyLuuWaRfwursRYCkg/s1600/IMG_7012.jpgBeliau memaklum, pertubuhannya telah lama menjalin hubungan erat dengan pihak berkuasa Gaza, khususnya dalam menyalurkan bantuan kesihatan dan perubatan.

Menurutnya, EMS merupakan NGO pertama hadir memberikan khidmat bantuan sebaik Gaza diserang oleh pengganas Zionis Israel selama 18 hari baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 10 juta dollar telah dibelanjakan untuk misi bantuan samada dalam bentuk perubatan, pakaian, bahan-bahan makanan dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Misi Bantuan Yayasan Amal Malaysia, Dr Suhazeli Abdullah memaklumkan, Yayasan Amal Malaysia membawa sumbangan dari umat Islam di Malaysia dalam rangka bukan hanya setakat untuk membawa bantuan perubatan.

"Kami bukan sahaja membawa sumbangan ubat-ubatan, tetapi kami juga mempunyai perancangan jangka panjang,

"bagi membina sebuah makmal pembuatan anggota palsu Gaza agar saudara seagama kita yang mengalami kecacatan dalam peperangan dapat dibantu,"kata Dr Suhazeli yang mengetuai Misi pada kali ini.

Monday, December 17, 2012

Petikan : BuletinOnline
 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMaM7oOwK5oDJGc6O4NSkwblCsVoFK0zkz0L3iJFriPvsvUBk4IRpqQIcIOfTqPVwjejxYSxxyULk79bzHeGhTLV81qG6QiUW9AwpHlsyTMJOYuSOPbbvbaSFeLR95IbO-RdwedGcecpE/s1600/kam2457(d)-hkr4.jpgDUNGUN - Kehadiran lebih 50,000 rakyat berbilang bangsa dan agama di tapak Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Terengganu, Paka, Dungun Terengganu hari ini telah membuktikan kejayaan pakatan rakyat berjaya memikat hati rakyat dengan pelbagai isu negeri dan negara tengah malam semalam.

Kehadiran ketua rapat umum Dato' Seri Anuar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Haji Mohd Sabu, wakil anti Lynas, wakil Anak, wakil royalti pusat dan Terengganu, wakil waris, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Saifuddin Nasution, Eng Chai Heng (DAP Terengganu), Azan Ismail (PKR Terengganu) dan NGO-NGO dari seluruh negara berjaya membakar semangat kearah perubahan yang lebih baik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhyiddin Abdul Rashid yang dimaklumkan jumlah mereka yang menyertai himpunan seramai itu menyifatkan rakyat bersedia melakukan perubahan nanti.

“Dengan kehadiran seramai ini, ia membuktikan rakyat mahukan perubahan di Terengganu. PAS Terengganu yakin dan bersedia untuk menumbangkan Umno dan BN,” tegasnya.

Menurutnya, pemimpin Umno negeri kini semakin angkuh dengan rakyat termasuk merampas tanah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS negeri sebelum ini.

“Bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk Sekolah Agama Al-Bayan di Paka tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka,” ujarnya.

Dato' seri Anuar Ibrahim turut mengulangi "jika pakatan rakyat memperolehi kerajaan hari ini, turun harga minyak" katanya.

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzilr dalam ucapannya, beliau membongkarkan kelemahan dan ketirisan wang rakyat dari hasil penipuan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN pada hari ini.

Pelbagai isu yang timbul dripada kegagalan Barisan Nasional mengotakan janji-janji yang ditabur ketika PRU sebelum ini, Hak rakyat dinodai dengan 100 keluarga petani yang buka tanah sejak 36 tahun lalu seluas 200 ekar telah dirampas oleh Umno dan dijadikan jelapang padi negeri dengan keluasan 1000 ekar.

"Penduduk lansung tidak diberi pampasan hasil usaha mereka yang hampir 40 tahun..kezaliman Umno terserlah,"katanya

Friday, December 7, 2012

Petikan : Buletinonline
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/IMG_6363.jpg
KUALA TERENGGANU
- Pemuda PAS Terengganu menyifatkan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) ‘hiporkrit’ dalam tindakannya membantu umat Islam di Gaza, Palestin.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor mendesak agar kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Umno-BN memutuskan hubungan dagangnya dengan pihak Israel.

Kata beliau, kerajaan Umno-BN bersikap ‘hiporkrit’ terhadap umat Islam di negara ini kerana didakwa mempunyai hubungan dagang serta diplomat dengan Israel dan sekutunya.

Menurutnya, jika kerajaan Malaysia benar-benar jujur dan ikhlas ingin membantu umat Islam di Gaza-Palestin putuskan hubungan dagang tersebut.

“Saya mendesak kerajaan Malaysia menarik-balik dan menghentikan segera pelaburan atau penjualan minyak sawit Malaysia kepada pihak-pihak Israel, jika Malaysia benar-benar ikhlas dan jujur untuk membantu umat Islam di Palestin.

“Kerajaan Malaysia menjanjikan sumbangan RM1 juta kepada Gaza, Palestin. Ini kerana, bagi menutup isu yang sedang didedahkan oleh Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) apabila minyak sawit Malaysia dijual kepada negara Israel.

“Ini (sumbangan) untuk menutup sebenarnya, bagaimana kerajaan Malaysia bersikap ‘hiporkrit’ dengan mengadakan hubungan dagang dan diplomat dengan Israel secara senyap-senyap.

“Mereka (kerajaan BN) sanggup menjual minyak sawit Malaysia ini kepada Israel, yang menggunakan segala kekuatan ekonomi mereka (Israel), ketenteraan mereka dengan mengepung dan membunuh umat Islam di Gaza-Palestin,” jelasnya.

Beliau mendedahkan Felda Oil Products Sdn. Bhd telah menjual hasil minyak sawit Malaysia kepada syarikat Israel iaitu Bunge Agribusiness Singapore yang berpengkalan di Singapura.

Sementara itu, satu majlis penyampaian sumbangan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berjumlah lebih RM22,000.00 hasil kutipan derma selama seminggu diserahkan kepada pihak Amal Malaysia.

Ustaz Mohd Nor melahirkan rasa syukur dan gembira dengan sikap keprihatinan anak-anak muda serta orang ramai terhadap isu kemanusiaan, penindasan dan kezaliman Israel terhadap umat Islam Palestin.

Ini kerana, katanya, dalam tempoh satu minggu Pemuda PAS berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak lebih RM22,000.00 bagi membantu umat Islam di Palestin.

“Kita (Pemuda PAS) menyampaikan sumbangan daripada anak-anak muda dan orang ramai di negeri Terengganu yang kita berjaya kumpulkan sebanyak RM22,261.00 dalam tempoh satu minggu.

“Bermula dengan demontrasi aman di perkarangan Masjid Pengadang Baru pada Jumaat lalu, alhamdulillah..anak-anak muda menunjukkan sikap keprihatinan mereka tentang isu kemanusiaan, isu penindasan dan kezaliman Israel serta sekutu-sekutunya terhadap umat Islam di Gaza, Palestin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pemuda PAS Terengganu kepada Yayasan Amal Malaysia cawangan Terengganu, di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, 4 Disember lalu.

Menurutnya, sumbangan yang disalurkan melalui Yayasan Amal Malaysia akan dibawa terus kepada gerakan Islam Hamas dan umat Islam di Gaza, Palestin.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan ketua Pemudanya, Ustaz Ridzuan Hasyim dan Bendahari Amal Malaysia cawangan Terengganu, Mustafa Ismail.

ARKIB