Oleh : Mat Teropong
Saya hadir ke majlis berbuka
puasa anjuran Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT). Antara tetamu istimewa yang
dijemput ialah Zua bekas ahli kumpulan rock diawal tahun 90-an. Dewan makan di
sebuah restoran di sekitar Besut tadinya agak hingar dengan masing-masing
bersembang tiba-tiba diam apabila tiba kepada bait-bait perkataan “mengambil
nyawa” yang disebutkan oleh Zua. Semua mata sekarang tertumpu kepada Zua untuk
mendengar sambungan kepada cerita kisah bagaimana dia mendapat keinsafan.
“Saya tolong bawak balik kawan
saya tu dari Chow Kit, dan dia memang nazak. Puas saya menasihati dia kenapa
dia melakukan perkara begitu sedangkan M.Nasir, Lolok dahpun kaya hasil dari
mencipta lagu,” kata beliau sedih, mengimbau kenangan dia bersama seorang
sahabatnya yang mati dalam keadaan memilukan.
Sedang dia menasihati sahabatnya
itu, tiba-tiba mata sahabatnya itu memandang ke atas sambil jarinya
menunjuk-nunjuk ke atas. Dan pada ketika itulah dia mendengar suatu suara yang
mengatakan “Aku mahu ambil nyawa”. Dia yang ketika itu masih belum menunaikan
solat zohor terus bergegas bersolat kerana takut dengan suara itu.
Ketika dia selesai solat, maka
isteri sahabatnya memanggil dia, dan dia faham sahabatnya mungkin sudah dijemput
Allah. Dan benarlah, sahabatnya sudah menemui penciptanya dalam keadaan
menyedihkan. Begitupun masalah tidak berakhir disitu, dia yang tak pernah
menguruskan pengkebumian, terkial-kial mencari orang yang sanggup menguruskan
jenazah sahabatnya sehinggakan terpaksa membayar sekali ganda kos pengurusan
jenazah. Dia berfikir, apa nak jadi bila dia mati, dengan segala benda dalam
agama dia tak tahu.
Selepas kejadian itu, dia menjadi
seperti orang yang tidak normal, pendiam, murung sehinggakan isterinya terpaksa
balik ke kampung kerana bimbang dengan perubahan sikapnya. “Saya cuba mulakan
langkah untuk ke masjid dan surau, tetapi sehingga tiga bulan berlalu, saya
masih tak boleh naik ke surau atau masjid kerana malu. Akhirnya saya berjaya
juga melakukan solat jemaah dengan percubaan pertama, saya masuk solat ketika
orang hendak ruku’ dan keluar sebaik sahaja selesai beri salam,” jelasnya
sambil diringi gelak ketawa hadirin.
Dalam majlis berbuka puasa
bersama pemuda Kuala Besut yang turut dihadiri oleh Ketua DPPNT YB Ustaz Mohd
Nor Hamzah serta Ketua Penerangan DPPP Ustaz Ridhuan Mohd Nor itu Zua bekas
pemain gitar bass Kumpulan XPDC menasihatkan para pemuda agar mendalami ilmu
Islam dan memilih perjuangan Islam agar selamat dunia dan akhirat. Selain dari
dia menyuruh untuk menghormati ulamak sebagai pemimpin, dia juga menyeru kepada
anak-anak muda Kuala Besut agar “Jangan Tinggal Solat” berulang-ulang kali
ketika mengakhiri ucapannya. Dia sangat berubah berbanding dahulu ketika mana
dia masih dalam kumpulan rock.
Kisah Zua di atas sangat
,menyentuh hati para pendengar memandangkan ia bukan sahaja merubah hatinya
seorang akan tetapi dia sekarang sudah mempunyai kekuatan untuk mengajak orang
lain agar turut serta dalam dakwah. Paling utama ialah ajakannya kepada anak-anak
muda agar jangan terlalu gila dengan hiburan tetapi tumpukan kepada ibadat,
bukan sahaja solat dan kewajipan-kewajipan lain tetapi juga turut menyeru agar
anak-anak muda celik politik agar dapat memandu negara suatu hari nanti ke arah
yang diredhai Allah.
Inilah keindahan Islam, apabila
kita berjaya, kita tidak akan berjalan berseorangan tetapi akan mengajak sama
sesiapa sahaja yang kita kenal. Apa yang dilakukan oleh DPPP apabila mereka
rapat dengan artis? Mereka menubuhkan satu kumpulan usrah dikalangan
artis-artis. Inilah jalan dakwah yang sebaik-baiknya ditempuh iaitu mengajak
manusia kearah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Sekarang kita mempunyai
sekumpulan artis-artis yang tahu agama yang bukan sahaja untuk diri mereka
malahan berjaya mengajak anak-anak muda agar hidup dalam acuan Islam.
Kita lihat dalam PRK Kuala Besut,
tiadapun artis tajaan Umno datang ke sini berbanding artis pro PAS. Kenapa?
Sebabnya mudah. Artis pro Umno hanya tahu berhibur dan apabila dibulan
ramadhan, mereka akan mengurangkan hiburan dan juga takut undi Umno jatuh
kerana bila buat hiburan dibulan Ramadhan semasa berkempen, tambahan Kuala
Besut pula kedudukannya di luar bandar, maka apa kata orang kampung yang
sememangnya “taboo” dengan hiburan dibulan Ramadhan?
Berbeza dengan artis pro Pas.
Mereka sanggup datang berkempen kerana selain daripada mereka mempersembahkan
hiburan alternatif seperti nasyid atau memberi sedikit tazkirah bagaimana
mereka berhijrah, mereka juga sebenarnya tahu yang mereka sebenarnya sedang
berdakwah mengajak masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah. Maka dapatkah
anda lihat bezanya? Fikirkanlah wahai pengundi-pengundi Kuala Besut.
0 comments :
Post a Comment