Walaupun rata-rata penduduk di DUN Kuala Besut kurang mengenali calon kedua-dua calon BN dan PAS dalam pilihan raya kecil kali ini, calon PAS Azlan Yusof bagaimanapun dilihat lebih berdepan tugas besar untuk merampas kerusi itu.

Faktor keluarga menjadi antara sandaran terbesar bagi calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman untuk mempertahankan kerusi DUN ini selepas kematian bekas wakil rakyatnya Datuk A Rahman Mokhtar, 64, akibat kanser paru-paru.

NONERata-rata penduduk yang ditemui Malaysiakini sekitar Kuala Besut mengakui faktor keluarga Tengku Zaihan memberi kelebihan padanya dalam pilihan raya kecil 24 Julai ini.

Bapanya Che Ku Abdul Rahman amat kenali di kalangan penduduk tempatan kerana pernah mengajar agama di masjid sekitar kawasan itu bahkan mempunyai ramai anak murid.

Che Ku - yang juga bekas ahli jawatankuasa Umno Besut - dipetik sebagai berkata, keluarga besarnya yang dianggarkan seramai 3,000 itu akan memberi kelebihan kepada anaknya.

"Di kalangan ahli keluarga itu, ada yang terdiri daripada pembangkang, tetapi menyatakan persetujuan untuk menyokong BN kerana faktor keluarga," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Perwatakan Azlan dapat pujian

Malah keluarga Tengku Zaihan juga mempunyai persatuan dan koperasi keluarga yang dikenali sebagai "Keluarga Tuan Fatimah Tuan Long".

"BN boleh menang di sini. Ayah calon memang dikenali sini," kata seorang peniaga Cina yang ditemui Malaysiakini malam kelmarin.

"Calon BN tidak dikenali di sini. Tapi keluarga dia memang duduk di sini. Bapanya pula ustaz. 'Che Ku' pangkat bagi orang yang berada, keluarga bangsawan.

"Memang di sini (selama ini), menang calon BN," kata seorang penduduk yang enggan namanya disebut.

NONESekalipun begitu, Azlan (gambar kiri, dua dari kanan) juga tidak kurang hebatnya apabila perwatakannya mendapat pujian, menurut penduduk setempat.

"Beliau ini ahli perniagaan, kontraktor. Warak, tak tinggal solat, berniaga betul, amanah," katanya.

"Dia kalau masuk kedai makan, kalau ada orang 10 meja, dia bayar. Dia pemurah sekalipun tak gaul (dengan) sangat," celah seorang pemuda yang ditemui di Surau Kuala Besut.

Azlan merupakan anak tempatan di Kampung Baru, bekerja sebagai kontraktor kelas A dilantik sebagai bendahari PAS kawasan Besut.

Beliau yang mesra dipanggil Che Long dianggap sebagai anak tempatan yang "dermawan dan ahli perniagaan berjaya" oleh Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman Mokthar daripada BN menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Pilihan raya kecil kali ini diadakan ekoran kematian A Rahman akibat kanser paru-paru.

Bimbang majoriti kurang

Sementara itu, bagi pemandu teksi Abdullah Derahim, 60, ketika ditemui Malaysiakini turut berpandangan BN boleh menang walaupun Tengku Zaihan kurang dikenali.

Apatah lagi, berdasarkan sejarah kerusi itu merupakan kubu kuat BN selama ini kecuali pada 1999.

NONE"Semua orang tidak biasa dengan dia (Tengku Zaihan). (Tetapi) Keluarganya memang ramai di sini. Memang ada peluang besar untuk menang," katanya.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai 'Pak Su Yee' berkata mengakui calon BN boleh menang disebabkan faktor keluarga.

Bagaimanapun, lelaki yang tinggal di situ sejak 48 tahun lalu, bimbang jumlah majoriti berkurangan disebabkan ada di kalangan penduduk yang mahukan calon lain memandangkan Tengku Zaihan kurang dikenali.

"Dia pegawai JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), tidak bergaul. Lagilah, kalau di sini orang nelayan, kalau duduk satu meja dalam kedai kopi, belanja minum orang suka.

"Banyak orang tidak kenal. Orang kenal sebab bapa dia. Kalau menang mungkin disebabkan bapanya," katanya.