Sunday, December 30, 2012

 Petikan : Malaysiakini
Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha berkata tindakan boleh diambil ke atas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya presiden PAS itu tetap mahu mempertahankan satu amanat kontroversi pada 1981 yang didakwa mengkafirkan Umno.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, Othman berkata jabatan itu bagaimanapun akan memanggil Abdul Hadi terlebih dahulu dan mahu presiden parti tersebut menarik balik amanat berkenaan.

"Kesan amanat itu besar, mereka lepaskan kepada masyarakat dan tidak cuba memperbetulkan semula, tuduh orang Islam lain tidak boleh kawan, kafir.

"Kalau kita lihat, di negara Arab mereka berpecah-pecah soal mazhab, kita di sini soal amanat... sebenarnya mengkafirkan orang (Islam) lain itu lebih parah," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa tindakan telah dijalankan ke atas isu berkenaan sebelum ini dan mendakwa jabatan itu mempunyai bukti berhubung elemen mengkafir itu.

"Benda ini (amanat) pun sudah lama, tindakan pun sudah diambil, tapi timbul balik... Mengikut rekod kami yang dikumpul sejak amanat itu diucapkan, elemen mengkafir itu jelas ada.

"Kami ada bukti dan simpan semua termasuk rakaman ceramah mereka. Kesan apa yang mereka ucapkan itu juga berlaku termasuk dalam majlis perkahwinan, kenduri kendara, makan sembelihan orang Umno tak boleh," katanya.

MP Shah Alam Khalid Samad pada hujung minggu lalu menjelaskan bahawa petikan ucapan Abdul Hadi Awang yang dinamakan sebagai 'Amanat Haji Hadi' tidak pernah sama sekali mengkafirkan mana-mana ahli Umno.

Sebaliknya, Khalid berkata, dakwaan bahawa Hadi mengkafirkan orang Umno menerusi amanat itu adalah "putar-belit media Umno" semata-mata.

"Ia (amanat itu) sebenarnya petikan ucapan Ustaz Hadi yang dinamakan 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli PAS," kata Khalid.
Petikan : Bernama
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan diberi peluang memberi penjelasan mengenai amanatnya yang didakwa mengkafirkan Umno pada 1981, di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Abdul Hadi perlu memohon kepada kementerian mengenai saluran yang dipilihnya untuk memberi penjelasan itu.

"Pihak RTM boleh siarkan kenyataannya sekiranya kandungannya sesuai dan ada nilai berita. Tetapi pada masa yang sama, Abdul Hadi perlu memberi peluang kepada pihak lain memberi pandangan mereka kerana amanatnya ini telah dibuat pada 1981," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan raptai sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka di ibunegara hari ini. Sambutan itu dijadual diadakan pada 31 Disember.

Rais berkata pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mufti perlu diambil kira untuk mengetahui status amanat itu yang mengkafirkan Umno dari sudut akidah.

Presiden PAS itu hari ini berkata beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

Ditanya mengenai masalah masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus akibat masalah teknikal, Rais berkata ia bukan kesalahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya syarikat telekomunikasi harus memberi penjelasan lengkap kepada pengguna mengenai masalah itu dan menyatakan jumlah talian terputus dialami pengguna telefon bimbit pada setiap bulan.

"SKMM boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat telekomunikasi masih gagal mengatasi masalah tersebut," katanya.

Minggu lepas, media melaporkan mengenai masalah talian telefon mudah alih terputus yang semakin teruk di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Pembangunan Industri dan Sumber Perancangan SKMM Datuk Ali Hanafiah telah memberi amaran dan berkata SKMM tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Berhubung cadangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin supaya kerajaan tidak meletakkan had pada harga telefon pintar 3G bagi membolehkan orang ramai mendapatkan rebat sebanyak RM200, Rais berkata beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet pada 2 Jan depan.

Mengenai persiapan Rumah Terbuka Malaysia Krismas dan sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Merdeka, Rais berkata beliau berpuas hati dengan raptai hari ini yang lancar.

Beliau berkata Dataran Merdeka dipilih untuk majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas, sambutan Tahun Baru 2013 serta acara Larian Tahun Baru 1Malaysia pada 31 Dis ini kerana ia adalah lokasi bersejarah untuk negara.

"Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru diadakan serentak kali ini untuk memberi kelainan dan menyemarakkan semangat perpaduan semua kaum di
Malaysia selari dengan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata Ketua Paderi Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam turut dijemput untuk mewakili masyarakat Kristian pada rumah terbuka itu.
Kenyataan Media Ketua Penerangan PAS Pusat :

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita11/TG%201%20Jam%20live.jpgPAS menyokong penuh hasrat Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk diberi peluang satu jam bagi menjelaskan isu amanat Haji Hadi di RTM1 dan TV3 secara langsung.

Setelah berminggu menyerang Presiden dalam isu ini menggunakan seluruh media perdana, kerajaan sewajarnya memberikan ruang sebagaimana yang diminta Presiden PAS untuk memberikan penjelasan kepada pengikut media perdana yang sama yang mengikuti serangan Umno dalam isu ‘Amanat Hadi’.

PAS melihat isu ini sebagai isu yang sengaja dibangkitkan semula bagi mengelirukan orang ramai. Peluang 1 jam ini wajib diberi kepada Presiden Pas untuk menjawab segala tohmahan jijik ke atas beliau yang telah berminggu lamanya.

Adalah sesuatu yang sangat tidak adil apabila peluang tidak diberi kepada yang dituduh dan sepatutnya golongan yang membuat tuduhan mesti mendengar dahulu penjelasan dari beliau.

Lebih malang bagi kalau ada mufti atau golongan agama yang terikut sama dalam kemelut yang sengaja ditimbulkan oleh golongan yang jahil terhadap agama.

Kenapa Presiden PAS tidak dipanggil, diminta penjelasan dan diberi peluang beliau menjelaskan segala pertuduhan?

Sehubungan dengan desakan Presiden ini, kita harap pihak kerajaan membuka laluan bagi beliau untuk memberi penjelasan melalui media perdana secara langsung. Kerajaan tidak perlu berdolak-dalih dalam isu ini bagi meraih populariti murahan, mahupun membiarkan isu ini menjadi polemik berterusan.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Disember 2012

Tuesday, December 25, 2012

Program Jom Bersama PAS
akan diadakan selama empat
 hari berturut-turut di sekitar
DUN Bukit Payong
Datanglah beramai-ramai
ke setiap acara yang disediakan
Jangan lupa ajak semua
keluarga dan kawan-kawan
 
 
 

Sunday, December 23, 2012


Satu kejohanan badminton Tertutup Bukit Payong telah diadakan pada hari Jumaat lepas bertempat di DS Sport Center Wakaf Mempelam Kuala Terengganu.

Kejohanan anjuran Jabatan Pembangunan Remaja (WAJA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama ahli Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang dan sebagai salah satu cara bagi mengekalkan kesihatan diri.

Menurut penganjur kejohanan yang mahu dikenali sebagai Mat Cah, sebanyak 16 pasukan telah mengambil bahagian yang melibatkan 32 pemain dari seluruh DUN Bukit Payong.

Kejohanan yang bermula jam 9.00 pagi itu berakhir pada jam 12.30 tengahari hari yang sama telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang Ustaz Zakaria Ismail menggantikan YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang tidak dapat hadir.

Ustaz Zakaria dalam ucapan perasmiannya telah memberikan galakan agar penganjuran seperti ini diperbanyakkan lagi supaya dapat tarikan kepada anak-anak muda untuk bersama bergiat dengan Dewan Pemuda PAS di kawasan masing-masing.
 
 

Pasangan bergu Hakim dan Mazli dari Kampung Atas Tol telah keluar sebagai juara apabila berjaya menewaskan lawan mereka di peringkat akhir iaitu pasangan bergu Aizuddin dan Afifi.

Thursday, December 20, 2012

Petikan : Buletin Online
 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhZBmIKKF3PUXU4FQVwniOjpNt6mR51AoK-rHukf9Rw4_y4jc6lO5etxozlbZ1wi9pKoOIPfqgD6mIj0YUoQRo0B6hgzkR126QLZd-Ow3qwBTLE_78CjtPCfio63U-gVmpQgmNc4w66MlM/s1600/IMG_6915.jpgKAHERAH - Kemenangan kepada Islam hanya akan tiba apabila seseorang muslim itu menepati ciri-ciri seorang hamba dan menjadi menjadi hamba Allah dalam konteks yang sebenarnya.

"Jadilah seorang hamba Allah yang sebenar-benarnya, bila kita telah menepati ciri-ciri seorang hamba, Allah akan mengurniakan kemenangan kepada kita,"ujar Mantan Mursyidul Am Ikhwan al-Muslimin Sheikh Mehdi Akif.

Beliau berkata demikian ketika meraikan kunjungan rombongan Misi Yayasan Amal Malaysia ke Gaza yang singgah di Kaherah pada 15 Disember lalu.

Sheikh Mehdi Akil, 75 tahun, pernah menghadapi mehnah keluar masuk penjara dalam perjuangan dan dakwah Islam bersama Ikhwan al-Muslimin di Mesir.

Beliau adalah aktivis dan tokoh Ikhwan yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha kepada empat orang Musryid Am Ikhwan antaranya Syeikh Mustafa Masyhur.

Beliau menambah, bahawa kemenangan sebenarnya adalah milik Allah, sementara tanggungjawab kita sebagai umat Islam adalah menunaikan kewajipan, melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang.

Di dalam kunjungan itu juga, ahli rombongan misi bantuan ke Gaza telah diberikan penjelasan oleh kakitangan Ibu Pejabat Ikwan al Muslimun berkaitan dengan peristiwa serangan yang telah dilakukan oleh golongan penentang yang mengakibatkan kerosakkan dan kecederaan kepada kakitangan bertugas.

Sementara itu, rata-rata pemimpin Ikhwan yang ditemui menyatakan, mereka mengikuti secara dekat perkembangan politik di Malaysia serta mendoakan kemenangan kepada Parti Islam Semalaysia (PAS) di dalam pilihanraya umum akan datang.

Mereka menyifatkan, kedatangan rombongan Yayasan Amal dari jauh semata-mata untuk membantu saudara seagama di Gaza adalah suatu perasaan yang hebat lantaran kita adalah ummat yang satu. Dengan kesatuan kita ini di atas dasar aqidah yang satu, kita akan menjadi ummat yang hebat.

Turut sama dalam rombongan misi Yayasan mal itu adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said

Wednesday, December 19, 2012

Petikan : BuletinOnline

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgGshqgGPaFV5wELYZPbidD53Eju22vwiTLWLwaxuDrCLDYGo1xgV8GmNR5-uGgg7vf3aPYFUJNk5fe1BrWcrqWVQcxZ6XdsVfNbFjK-Zt5EODWbq66yent2o0_0bgTFChtjDXIa4FHtyA/s1600/IMG_7084.jpgKAHERAH – Misi Perubatan dan Rehabilitasi Yayasan Amal Malaysia berjaya menghantar ubat-ubatan bernilai RM50,000 ke wilayah Gaza dengan kerjasama Perastuan Doktor-doktor Seluruh Mesir (Egyptian Medical Syndicate - EMS).

Ubat-ubatan yang diangkut dengan sebuah lori itu masuk ke Gaza melepasi pintu Rafah di sempadan Gaza pada kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, Isnin 17 Disember.

Sebelum itu, Setiausaha Agong EMS, Dr Abdul Fattah Rezki menyifatkan misi bantuan Yayasan Amal ke Gaza adalah antara langkah penting dalam rangka untuk mengembalikan kedaulatan bumi ummat Islam Palestin.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam, mengembalikan Masjidil Aqsa yang pernah menjadi tempat Isra’ Nabi Muhammad s.a.w supaya ianya dapat diziarahi dan dijadikan tempat solat untuk seluruh ummat Islam.

[Gambar atas - Doktor Suhazeli memeriksa ubat-ubatan yang dimuatkan dalam lori sebelum kenderaan tersebut melepasi pintu Rafah semalam; Gambar bawah - Pertemuan dengan EMS ]

"kedatangan kamu dari Malaysia sangat penting kepada perjuangan umat Islam di Palestin yang berjuang bagi kedaulatan Islam, mengembalikan masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama orang Islam,"ujarnya.

Dr Fattah berkata demikian pada majlis pertemuan diantara rombongan Misi Perubatan dan Rehabilitasi Yayasan Amal bersama EMS di pejabatnya di sini pada 16 Disember.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhOmdjD6152jqKeWTNhPgbi7KH1AZOvIN3V7akIKQGOApWmMTHifsZL72W4DIKzItO4BqewH2RwpPwXm2wS1eO3A4d31wlMrz3vGxuBys-dzimOvlSWO6VmqzElGUyLuuWaRfwursRYCkg/s1600/IMG_7012.jpgBeliau memaklum, pertubuhannya telah lama menjalin hubungan erat dengan pihak berkuasa Gaza, khususnya dalam menyalurkan bantuan kesihatan dan perubatan.

Menurutnya, EMS merupakan NGO pertama hadir memberikan khidmat bantuan sebaik Gaza diserang oleh pengganas Zionis Israel selama 18 hari baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 10 juta dollar telah dibelanjakan untuk misi bantuan samada dalam bentuk perubatan, pakaian, bahan-bahan makanan dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Misi Bantuan Yayasan Amal Malaysia, Dr Suhazeli Abdullah memaklumkan, Yayasan Amal Malaysia membawa sumbangan dari umat Islam di Malaysia dalam rangka bukan hanya setakat untuk membawa bantuan perubatan.

"Kami bukan sahaja membawa sumbangan ubat-ubatan, tetapi kami juga mempunyai perancangan jangka panjang,

"bagi membina sebuah makmal pembuatan anggota palsu Gaza agar saudara seagama kita yang mengalami kecacatan dalam peperangan dapat dibantu,"kata Dr Suhazeli yang mengetuai Misi pada kali ini.

Monday, December 17, 2012

Petikan : BuletinOnline
 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMaM7oOwK5oDJGc6O4NSkwblCsVoFK0zkz0L3iJFriPvsvUBk4IRpqQIcIOfTqPVwjejxYSxxyULk79bzHeGhTLV81qG6QiUW9AwpHlsyTMJOYuSOPbbvbaSFeLR95IbO-RdwedGcecpE/s1600/kam2457(d)-hkr4.jpgDUNGUN - Kehadiran lebih 50,000 rakyat berbilang bangsa dan agama di tapak Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Terengganu, Paka, Dungun Terengganu hari ini telah membuktikan kejayaan pakatan rakyat berjaya memikat hati rakyat dengan pelbagai isu negeri dan negara tengah malam semalam.

Kehadiran ketua rapat umum Dato' Seri Anuar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Haji Mohd Sabu, wakil anti Lynas, wakil Anak, wakil royalti pusat dan Terengganu, wakil waris, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, Datuk Saifuddin Nasution, Eng Chai Heng (DAP Terengganu), Azan Ismail (PKR Terengganu) dan NGO-NGO dari seluruh negara berjaya membakar semangat kearah perubahan yang lebih baik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhyiddin Abdul Rashid yang dimaklumkan jumlah mereka yang menyertai himpunan seramai itu menyifatkan rakyat bersedia melakukan perubahan nanti.

“Dengan kehadiran seramai ini, ia membuktikan rakyat mahukan perubahan di Terengganu. PAS Terengganu yakin dan bersedia untuk menumbangkan Umno dan BN,” tegasnya.

Menurutnya, pemimpin Umno negeri kini semakin angkuh dengan rakyat termasuk merampas tanah yang telah diberikan oleh kerajaan PAS negeri sebelum ini.

“Bagaimana kerajaan PAS telah lulus tanah untuk Sekolah Agama Al-Bayan di Paka tapi kerajaan Umno telah rampas semula tanah tersebut dan serahkan tanah tersebut kepada JKKK dan isteri mereka,” ujarnya.

Dato' seri Anuar Ibrahim turut mengulangi "jika pakatan rakyat memperolehi kerajaan hari ini, turun harga minyak" katanya.

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzilr dalam ucapannya, beliau membongkarkan kelemahan dan ketirisan wang rakyat dari hasil penipuan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN pada hari ini.

Pelbagai isu yang timbul dripada kegagalan Barisan Nasional mengotakan janji-janji yang ditabur ketika PRU sebelum ini, Hak rakyat dinodai dengan 100 keluarga petani yang buka tanah sejak 36 tahun lalu seluas 200 ekar telah dirampas oleh Umno dan dijadikan jelapang padi negeri dengan keluasan 1000 ekar.

"Penduduk lansung tidak diberi pampasan hasil usaha mereka yang hampir 40 tahun..kezaliman Umno terserlah,"katanya

Friday, December 7, 2012

Petikan : Buletinonline
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita10/IMG_6363.jpg
KUALA TERENGGANU
- Pemuda PAS Terengganu menyifatkan kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) ‘hiporkrit’ dalam tindakannya membantu umat Islam di Gaza, Palestin.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor mendesak agar kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Umno-BN memutuskan hubungan dagangnya dengan pihak Israel.

Kata beliau, kerajaan Umno-BN bersikap ‘hiporkrit’ terhadap umat Islam di negara ini kerana didakwa mempunyai hubungan dagang serta diplomat dengan Israel dan sekutunya.

Menurutnya, jika kerajaan Malaysia benar-benar jujur dan ikhlas ingin membantu umat Islam di Gaza-Palestin putuskan hubungan dagang tersebut.

“Saya mendesak kerajaan Malaysia menarik-balik dan menghentikan segera pelaburan atau penjualan minyak sawit Malaysia kepada pihak-pihak Israel, jika Malaysia benar-benar ikhlas dan jujur untuk membantu umat Islam di Palestin.

“Kerajaan Malaysia menjanjikan sumbangan RM1 juta kepada Gaza, Palestin. Ini kerana, bagi menutup isu yang sedang didedahkan oleh Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) apabila minyak sawit Malaysia dijual kepada negara Israel.

“Ini (sumbangan) untuk menutup sebenarnya, bagaimana kerajaan Malaysia bersikap ‘hiporkrit’ dengan mengadakan hubungan dagang dan diplomat dengan Israel secara senyap-senyap.

“Mereka (kerajaan BN) sanggup menjual minyak sawit Malaysia ini kepada Israel, yang menggunakan segala kekuatan ekonomi mereka (Israel), ketenteraan mereka dengan mengepung dan membunuh umat Islam di Gaza-Palestin,” jelasnya.

Beliau mendedahkan Felda Oil Products Sdn. Bhd telah menjual hasil minyak sawit Malaysia kepada syarikat Israel iaitu Bunge Agribusiness Singapore yang berpengkalan di Singapura.

Sementara itu, satu majlis penyampaian sumbangan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berjumlah lebih RM22,000.00 hasil kutipan derma selama seminggu diserahkan kepada pihak Amal Malaysia.

Ustaz Mohd Nor melahirkan rasa syukur dan gembira dengan sikap keprihatinan anak-anak muda serta orang ramai terhadap isu kemanusiaan, penindasan dan kezaliman Israel terhadap umat Islam Palestin.

Ini kerana, katanya, dalam tempoh satu minggu Pemuda PAS berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak lebih RM22,000.00 bagi membantu umat Islam di Palestin.

“Kita (Pemuda PAS) menyampaikan sumbangan daripada anak-anak muda dan orang ramai di negeri Terengganu yang kita berjaya kumpulkan sebanyak RM22,261.00 dalam tempoh satu minggu.

“Bermula dengan demontrasi aman di perkarangan Masjid Pengadang Baru pada Jumaat lalu, alhamdulillah..anak-anak muda menunjukkan sikap keprihatinan mereka tentang isu kemanusiaan, isu penindasan dan kezaliman Israel serta sekutu-sekutunya terhadap umat Islam di Gaza, Palestin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pemuda PAS Terengganu kepada Yayasan Amal Malaysia cawangan Terengganu, di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, 4 Disember lalu.

Menurutnya, sumbangan yang disalurkan melalui Yayasan Amal Malaysia akan dibawa terus kepada gerakan Islam Hamas dan umat Islam di Gaza, Palestin.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan ketua Pemudanya, Ustaz Ridzuan Hasyim dan Bendahari Amal Malaysia cawangan Terengganu, Mustafa Ismail.

Wednesday, November 28, 2012

Assalamualaikum
 
Majlis silaturrahim santai bersama rakan-rakan maya YB Ustaz Mohd Nor akan diadakan :
 
Hari : Sabtu
 
Tarikh : 1hb Disember 2012
 
Lokasi : PASTI Pekan Bukit Payong (diantara sekolah menengah dan sekolah rendah)
 
Makanan ringan : Jagung Bakar akan disediakan
 
Masa : 8.30 malam
 
Tetamu : Semua rakan maya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah (Face Bookers,Bloggers dan lain-lain)
 
Sila hebahkan kepada semua yang berminat untuk hadir bagi beramah mesra dengan YB Ustaz di alam realiti
 
Meh pakak mari belaka dehh sambil kita makan JAGUNG BAKAR

Saturday, November 24, 2012

Bismillahir rahmaanir rahiim

Surah Ibrahim :

42. Dan janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa Yang dilakukan oleh orang-orang Yang zalim; Sesungguhnya ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari Yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku).

43. (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka Dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

44. Dan berilah amaran (Wahai Muhammad) kepada manusia Yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat Yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang Yang berlaku zalim akan merayu Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah Kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada Kami hingga ke suatu masa Yang dekat, supaya Kami menyahut seruanmu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya Kami menurut ugama Yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". dan (rayuan mereka akan ditolak Dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan Bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu Dalam dunia) dahulu, Bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan?

KENAPA UMNO TAKUT DENGAN DOA ?
Media pro Barisan Basional cuba mengeksploitasikan doa yang digumandangkan dalam Majlis Solat Hajat sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat di stadium Sultan Muhammad V, Kelantan. Maka ulama UMNO mengambil kesempatan untuk memasyhurkan diri dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan untuk mempersalahkan doa tersebut.
1-     Tidak boleh berdoa untuk kehancuran  sesama Islam dan doa yang tiada adab.

2-     Berdoa kehancuran untuk Narisan Nasional bermakna berdoa kehancuran untuk ahli-ahli dan pendokong-pendokong UMNO.

3-     Tiada dalam ajaran Rasulullah berdoa “ ko BN , BN ko”.

Suka saya mengemukakan beberapa soalan sebelum saya menjawab tentang keraguan yang ditimbulkan oleh media tentang doa tersebut untuk menarik pengundi melayu agar membenci PAS.
1-     Apakah pemimpin dan ulama UMNO berdoa untuk kekuatan PAS ?.

2-     Apakah pemimpin dan ulama UMNO bertindak untuk memberi kekuatan kepada PAS atau memang setiap masa, pemimpin Barisan Nasional  bercakap dan bertindak  dengan kuasa untuk menghancurkan PAS ?.

3-     Kenapa pemimpin dan ulama UMNO terasa amat takut dengan doa untuk kehancuran Barisan Nasional, sedangkan doa tersebut hanya dipohon kepada Allah yang Maha mengetahui dan Maha berkuasa untuk memustajabkan dan menentukannya ?.

4-     Kenapa UMNO terasa takut untuk kehancuran Barisan Nasional, sedangkan Barisan Nasional disertai oleh banyak parti yang membenci dan menghina Islam seperti MCA atau memang UMNO sentiasa berdoa untuk kekuatan MCA dan parti-parti yang menghina syariat Islam ?.

5-     Apakah ulama UMNO bersetuju dan menghalalkan supaya menunaikan solat hajat dan berdoa untuk kemenangan calon MCA dan MIC dalam pilihanraya, walaupun untuk kekalahan calon melayu Islam daripada PAS dan PKR ? Adakah doa dan solat hajat untuk tujuan ini tidak salah seperti pilihanraya kecil calon MCA di DUN Bandar, Terengganu dan calon MIC di Parlimen Hulu Selangor ?
 
BARISAN NASIONAL ZALIM
Barisan Nasional yang memegang tampuk pemerintahan Negara ini dengan kepimpinan dan sokongan pendokong-pendokong Barisan Nasional semenjak merdeka. Sepanjang kekuasaan Barisan Nasional, Barisan Nasional telah melakukan kezaliman terhadap syariat Islam dan sesama Islam dengan mengenepikan nilai-nilai Islam, kemanusiaan dan demokrasi. 20 tahun kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan rakyat Kelantan dizalimi dengan didiskirimasi oleh kerajaan Barisan Nasional, walaupun rakyat Kelantan terpaksa membayar berbagai cukai kepada kerajaan Persekutuan. Kerajaan Kelantan diketepikan dan dikhianati hak royalti petroleum, walaupun petroleum itu dijumpai di tanah dan lautan milik rakyat Kelantan tetapi kerajaan Barisan Nasional sanggup menyalurkan dan membangunkan petroleum di negara Thailand yang bukan Islam. Betapa media pro Barisan Nasional berpesta dan berseronok untuk memburukkan dan menipu dunia tentang kerajaan dan rakyat Kelantan. Kerajaan Barisan Nasional sanggup mengenepikan hak kerajaan Kelantan dan mengabaikan tanggungjawab pembangunan di Kelantan kerana tidak sanggup menerima pilihan rakyat Kelantan.
Pengarang kitab ‘Al-Kabair’ (Dosa-Dosa Besar) telah menyebut banyak nas-nas daripada Al-Quran dan Hadis Rasulullah yang mengingatkan tentang kebencian Allah dan azabnya terhadap dosa kezaliman. Bahkan Allah menggalakkan golongan yang dizalimi agar berdoa kepada Allah. Allah Taal berfirman dalam surah As-Syuaara
227. dan (ingatlah), orang-orang Yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.
Rasulullah bersabda kepada Muaz bin Jabal, ketika baginda mengutusnya ke Yaman :

((واتق دعوة المظلوم، فإنه ليس بينه وبين الله حجاب)).

Maksudnya : “Takutlah dengan doa orang dizalimi, tiada hijab antaranya dan Allah.”

Rasulullah juga bersabda :

((ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ)).

Maksudnya : Tiga doa yang dimustajabkan tanpa keraguan padanya iaitu doa seorang ayah, doa musafir dan doa orang yang dizalimi.
 
TIDAK SALAH BERDOA UNTUK KEHANCURAN SI ZALIM
Nabi Musa yang berdoa untuk kehancuran Firman dan kerajaannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dengan firmannya dalam surah Yunus ; 88 – 89 :
88. Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda Yang mewah Dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (kemewahan Yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka Dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab Yang tidak terperi sakitnya.
89. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang Yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".
Penulis-penulis sejarah Islam menyebut, tatkala Rasulullah menghantar surat menyeru Kisra (raja Parsi) kepada Islam, tiba-tiba Kisra telah mengoyak surat Baginda. Rasulullah berdoa kepada Allah :

((اللهم مزق ملكه))

Maksudnya : Ya Allah ! Hancurkanlah kerajaan Kisra.

Hadis sahih menetapkan bahawa Rasulullah berkata :

((اذهبوا إلى صاحبكم فأخبروه أن ربي قد قتل ربه الليلة))

Maksudnya : Pergilah bertemu dengan raja kamu dan beritahu kepadanya, sesungguhnya Tuhanku telah membunuh tuhanmu pada malam ini.”
Soalan yang dikemukakan kepada (اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء ) yang diketuai olehSheikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz dan dianggotai oleh Sheikh Abdul Aziz Ali Sheikh, Sheikh Bakar Abu Zaid, Sheikh Soleh Fauzan dan Sheikh Abdullah Ghudyan.
“ Adakah harus bagi seorang muslim berdoa kehancuran ke atas muslim yang melakukan kezaliman kepadanya ?. Adakah harus bagi seorang muslim melakukan perkara yang sama ke atas orang yang menzaliminya ?.”
Jawapan : Seseorang yang dizalimi hendaklah menyebut nama Allah dan mengancam  orang  yang melakukan kezaliman dengan azab Allah, moga dia mengambil nasihat dan tidak melakukan kezaliman lagi. Jika dia terus melakukan kezaliman, maka buat aduan kepada pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan kezaliman itu. Orang yang dizalimi dalam semua keadaan ini, dia boleh memohon dan mengharapkan pertolongan daripada Allah untuk menyelamatkan dia daripada kezaliman dan si zalim. Jika dia berdoa ke atas si zalim  agar Allah bertindak dengan sewajarnya, membalas segala kejahatannya dan menjadikan segala tipu daya terjerat pada leher si zalim, maka tidak salah kerana Firman Allah dalam surah an-Nisa'
148. Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk Yang dikatakan Dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang Yang dianiayakan. dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Sheikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut dalam kitab “Fiqh Al-Aqliyyat” dengan katanya : Ada doa setengah salafusoleh :

"اللهم اشغل الظالمين بالظالمين وأخرجنا من بينهم سالمين".

Sheikh berdalil dengan apa yang datang dalam kitab Kasyfu Al-Khafa’ oleh Al-Ajluney :

إن الله ينتقم من الظالم بالظالم.

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah akan membalas dengan menghancurkan si zalim dengan si zalim.”

DOA SALAFUSOLEH KE ATAS SESAMA ISLAM YANG ZALIM
Kehidupan salafusoleh menjadi pengajaran sangat indah tentang doa untuk kehancuran golongan si zalim.

1-     Seorang perempuan yang bernama Arwa binti Uwais telah mengadu kepada Marwan bin Al-Hakam, Gabenor Madinah pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufian. Perempuan ini menuduh Said bin Zaid telah mengambil tanahnya. Said bin Zaid berdoa kepada Allah : Ya Allah ! Jika perempuan itu berbohong, maka jangan engkau matikan dia sehingga engkau butakan matanya dan engkau matikan dia lemas di dalam telaga.” Selepas berlalu beberapa hari, perempuan telah dibutakan oleh Allah. Ketika dia berjalan menuju ke rumahnya, tiba-tiba dia terjatuh ke dalam telaga dan mati di dalamnya.

2-     Hajjaj bin Yusof Athaqafi merupakan seorang Gabenor kerajaan Umawiyyah yang menaruh jasa kepada Al-Quraan, tetapi dia bersifat zalim kepada golongan yang menentang kerajaan Umawiyyah sehingga dia sanggup membunuh dan menyeksa ulama yang tidak menyokong kerajaan Umawiyyah. Dia telah menyeksa dan membunuh seorang ulama tabein iaitu Said bin Jubair. Sebelum kematian Said bin Jubair, beliau berdoa ; Ya Allah jangan kurniakan kuasa kepada Hajjaj sehingga dia boleh membunuh orang lain selepas kematianku. Hajjaj mati selepas itu dengan doa kehancuran dan kemusnahan ke atas Hajjaj daripada  Said bin Jubair.

3-     Ibu Kathir telah menyebut dalam kitab “bidayah wa Nihayah” daripada Wahab bin  Munabbih tentang satu kisah : Seorang anak raja yang masih muda telah memimpin satu angkatan tentera. Dia telah terjatuh daripada kudanya dan mati hampir dengan satu negeri. Ayahnya sangat murka dan bersumpah untuk membunuh semua penduduk  negeri  itu dan menghancurkan mereka dengan gajah-gajah. Maka tiada seekor gajah melainkan akan diiringi dengan beberapa kuda dan setiap ekor kuda akan ditunggangi oleh seorang tentera. Raja pun menuju ke negeri  itu setelah diberi minum gajah-gajah dan kuda-kuda dengan arak. Penduduk negeri  mendengar berita kemaraan tentera Tuanku Raja, maka mereka keluar semuanya berdoa, mengadu dan memohon kepada Allah supaya menyelamatkan kejahatan raja yang zalim dan usahanya untuk menghancurkan penduduk negeri ini. Ketika Raja dan tenteranya mara dan penduduk negeri mengadu, berdoa dan merintih kepada Allah. Tiba-tiba seekor kuda turun dari langit dan menerkam di tengah-tengah angkatan tentera Raja, maka gajah-gajah berkeliaran dan memijak kuda-kuda sehingga kuda-kuda memijak tentera-tentera Raja. Raja terbunuh dan seluruh tentera mati dihancurkan oleh gajah-gajah dan kuda-kuda. Allah telah menyelamatkan penduduk negeri ini daripada kezaliman dan kejahatan raja dan tentera-tenteranya.

4-     Yahya bin Hubairah, seorang menteri yang soleh bercerita : “Sultan Masu’d bin Mohammad Al-Saljuqi dan pengikut-pengikutnya memerintah dalam tempoh yang sangat lama dan melakukan kerosakan sehingga Khalifah berazam untuk memeranginya. Yahya berkata : Kemudian saya terfikir dan berpendapat bahawa tidak tepat berhadapan dengan Sultan Mas’ud dan pengikut-pengikutnya secara terbuka kerana kekuatan pertahanannya. Aku mengadap Khalifah Al-Muktafa dan berkata : Aku berpendapat tiada jalan dalam urusan ini melainkan mengadu dan benar-benar bergantung harap kepada Allah. Khalifah menerima pendapatku dan bertitah : Tiada jalan melainkan doa. Kemudian aku menulis kepada Khalifah tentang doa Rasulullah ke atas kaum Ra’l dan Zakwan sebulan dan sepatutnya kita juga berdoa sebulan. Khalifah bersetuju. Kemudian aku terus berdoa setiap malam pada waktu sahur. Aku berdoa kepada Allah. Mas’ud  Al-Saljuqi mati genap sebulan doaku, tidak lewat dan lebih daripada sebulan. Sultan Mas’ud dan pengikut-pengikutnya hilang kekuasaan di Iraq dan kami telah mewarisi tanahair dan kerajaan Iraq.”

5-     Di sebut dalam kitab sejarah, bahawa tatkala seluruh keluarga Khalid Al-Barmaqi hancur dan dia dan anaknya ditahan, anaknya berkata kepadanya : Wahai ayahku ! Selepas kemuliaan, hari ini kita berada dalam penjara dan diikat. Khalid al-Barmaqi berkata : Wahai anakku ! Doa orang yang dizalimi berlaku pada waktu malam dalam keadaan kita tidak menyedarinya tetapi Allah tidak pernah melupainya.”
Bagusnya jika pemimpim-pemimpin dan seluruh pengikut Barisan Nasional merasa takut dengan doa pihak yang dizalimi, agar mereka kembali kepada Islam. Barisan Nasional telah melakukan kezaliman puluhan tahun dan terus tidak menyedari kezaliman mereka. Kehancuran Barisan Nasional akan tiba tetapi rakyat  OK  di bawah kerajaan yang adil dan berkebajikan. Ahli-ahli dan pengikut-pengikut Barisan Nasional jangan bimbang bahawa mereka akan selamat, jika mereka berenang meninggalkan BN dan bahtera yang hampir hancur  dan segera menuju ke bahtera Pakatan Rakyat yang akan membangun Negara Berkebajikan.Wallahua'lam
 
Mohd Nor Hamzah
9 Muharram 1434

Friday, November 23, 2012


Titian Baru : Satu kem yang dinamakan Program Perkaderan dan Tarbiyyah Anak-Anak Ahli PAS ( PROTAPAS) sedang diadakan di Madrasah Darul Iman Titian Baru bermula semalam Khamis, 22 November dan dijadualkan tamat pada Sabtu 24 November ini.
Program yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) itu mendapat kerjasama dari Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), NISA Terengganu dan juga Jabatan Pembangunan Remaja (JPR).
Menurut pengarah program, Ustaz Harun Isa (kiri), objektif program ini adalah bagi mendidik anak-anak ahli PAS agar mengenal Allah, Islam, jemaah, diri sendiri serta tujuan mereka dijadikan khalifah selain daripada memberi motivasi dalaman kepada mereka.
Juga penekanan terhadap konsep dan penghayatan terhadap aqidah Islamiyyah, ibadat, syariat juga untuk menjadikan mereka sebagai pejuang-pejuang Islam yang sebenar-benarnya.
Ustaz Harun berkata, penyertaan yang disasarkan sekitar 200 orang peserta sahaja untuk seluruh negeri Terengganu itu telah menerima permohonan melebihi jangkaan.
“Kita menjangkakan sekitar 180 hingga 200 orang peserta sahaja.
Tetapi alhmadulillah apabila datang angka sebenarnya, mencecah seramai 366 orang peserta dari seluruh negeri.
Oleh kerana kita tidak mahu menghampakan harapan ibu bapa, maka kita menerima kesemuanya,” kata beliau.
Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan ini, beliau menjangkakan siri kedua program akan diadakan tidak lama lagi dan akan diputuskan tempat dan masanya dengan kadar segera.
Perasmian program yang julung-julung kali diadakan itu telah disempurnakan oleh ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan aspek pendidikan agama dalam diri peserta-peserta program supaya menjadi insan yang berilmu agar tidak mudah terpedaya dengan perkara-perkara yang menyesatkan dan melalaikan mereka.
Kem yang mensasarkan penyertaan anak-anak remaja dari umur 13 tahun hingga 16 tahun itu dijangka akan ditutup oleh Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang pada Sabtu ini.

Friday, November 16, 2012


Bismillahirrahmanirrahiim

Segala puji bagi Allah yang memanjangkan usia kita untuk berada di dalam tahun baru hijrah ke 1434 ini. Dalam kita membicarakan perihal hijrah, kita tidak mahu terjebak dalam polemik bilakah tarikh hijrahnya rasulullah s.a.w, bulan Muharramkah atau bulan yang lain. Akan tetapi yang lebih penting kita berusaha untuk menyelami semangat penghijrahan rasulullah s.a.w bersama-sama sahabat-sahabat baginda.

Penghijrahan mereka itu dengan semangat bagi meletakkan Islam pada tempat yang tinggi bukan dengan dijanjikan dengan kesenangan dan kemewahan dunia, akan tetapi merekalah yang terpaksa berkorban dengan mengorbanan harta, meninggalkan keluarga, rumah dan juga tanah air mereka.

Tidak terjangkau difikiran kita dengan kesanggupan mereka meninggalkan segalanya hanya kerana kepercayaan mereka dengan janji-janji rasulullah yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan dirasai dengan deria, malahan yang dirasai mereka ialah kesakitan, kesengsaraan dan penghinaan seperti yang berlaku keatas Ammar bin Yaasir, Bilal bin Rabah, Mus’ab bin Umay, Suhaib al Rumi dan lain-lain lagi.

Tiada siapa yang tertinggal dalam menghadapi kesulitan dan kepedihan untuk berhijrah ini walaupun rasulullah sendiri. Inilah jual beli yang sangat beruntung di sisi Allah kerana Allah membeli jualan mereka dengan syurga sebagaimana ucapan rasulullah kepada Suhaib al Rumi apabila dia yang sampai agak lewat dalam peristiwa hijrah itu “beruntunglah perniagaan Suhaib”.

Dengan bantuan Abdullah bin Uraiqit seorang kafir yang dipercayai (walaupun ada suara-suara yang mengatakan bahawa Islam menang tanpa bantuan bukan Islam) dengan jerih payah, baginda rasulullah bersama Abu Bakar telah berjaya memboloskan diri dari kepungan Quraisy Mekah dan akhirnya berjaya sampai ke Madinah dan mendirikan sebuah negara Islam di sana.

Kisah hijrahnya rasulullah dan sahabat-sahabat baginda bukanlah hanya sekadar cerita yang di ratib setiap kali datangnya bulan Muharram, kisah ini ialah contoh kepada kesanggupan manusia berkorban untuk Allah, kisah yang sangat memberi makna kepada kehidupan setiap jiwa yang mengaku beriman kepada Allah. Kisah ini tidak bernilai jika tidak dihayati dengan sesungguh hati. Hati yang sentiasa rindukan Allah, percaya kepada janji Allah dan rasul.

Secara ringkasnya tiada kemenangan mutlak di sisi Allah yang akan datang bergolek kecuali dengan berhijrah dari keburukan kepada kebaikan, daripada kemalasan kepada kerajinan, daripada kejahilan kepada keilmuan daripada kederhakaan kepada ketaatan. Inilah resepi kejayaan umat contoh terbaik dizaman rasulullah s.a.w.

Maka dengan semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh para sahabat r.a, maka saya menyeru agar semua dari kalangan orang Islam yang cintakan Islam, yang bersemangat untuk mendaulatkan Islam, yang bercita-cita untuk melihat suatu hari agama Islam ini menjadi tunggak kepada perlembagaan Islam di bumi ini dan yang bercita-cita bertemu Allah dalam keadaan dirinya diredhai Allah, maka sama-samalah kita melakukan penghijrahan tingkah laku kita daripada tingkah laku yang berlawanan dengan kehendak Islam kepada semulia-mulia tingkah laku dan akhlak menurut Islam.

Jika tidak kita yang menghijrahkan diri kita, maka siapa lagi? Kita hendaklah mendirikan Islam itu bermula dari dalam diri kita sendiri dahulu sebelum mengembangkannya kepada keluarga dan kemudiannya masyarakat. Ini memerlukan ilmu yang benar, agar kita sentiasa berada di atas landasan yang lurus yang mengikut al-Quran dan as-sunnah.

Betulkan dan ikhlaskan niat hanya untuk Allah.Ini kerana didalam sebuah hadis yang masyhur berkenaan dengan niat dinyatakan bahawa jika seseorang itu berhijrah kerana sesuatu perkara dunia maka tiadalah bahagiannya di akhirat kelak:

"Sesungguhnya, setiap amalan itu bermula dengan niat. Dan bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah kerana apa yang dikehendaki."

(HR Bukhari dan Muslim)

Ayuh semua, kemenangan semakin hampir. Dengan semangat hijrah dan muktamar yang sedang berlangsung ini, insyaAllah kita akan berjaya. Persiapkan diri kamu semua dengan ilmu dan berhijrahlah agar kita dapat membawa negara ini kepada jalan yang dituntut oleh Allah dan rasulNya. Kita sayangkan negara dan kita ingin menyelamatkan negara daripada tangan-tangan yang kotor yang sedang mengotori negara yang kita cintai ini. Semoga Allah memberkati kita semua dan memberikan kemenangan didalam PRU nanti insyaAllah. Selamat menyambut Maal Hijrah.
 
Ustaz Mohd Nor Hamzah
1 Muharram 1434

Wednesday, November 14, 2012

Petikan : Buletin Online

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita8/Selamat%20Bermuktamar%20BO.jpgMARANG - Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mengucapkan Selamat Bermuktamar kepada semua perwakilan Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-53 yang dijangka dirasmikan esok 14 November.

Ketuanya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Malayia dan Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan yang bertungkus lumus menyediakan segala kemudahan untuk perhimpunan tahunan pimpinan pemuda PAS se Malaysia tersebut.

“Selamat bermuktamar kepada semua pemuda PAS dan saya ucap terima kasih khusus kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia dan juga Dewan Pemuda PAS Kelantan dengan segala persiapan,”ujarnya ketika dihubungi hari ini Selasa 13 November.

Beliau berharap agar seluruh pemuda yang menjadi perwakilan dari seluruh-seluruh kawasan negeri Terengganu mengambil perhatian serius terhadap ucaputama Ketua Pemuda PAS Malaysia dan ucapan pimpinan lain dalam menggerakkan jentera pemuda PAS negeri Terengganu.

Katanya, DPPNT mewakilkan semangat dan hasrat pemuda PAS Terengganu kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Kemaman untuk berucap selaku jurucakap kepada DPPNT.

“Jurucakap bagi Pemuda PAS Terengganu ialah Ustaz Hisyamudin, Ketua Dewan Pemuda PAS Kemaman, saya yakin beliau akan dapat ‘melakar’ dalam ucapannya ‘rangka tindakan’ persiapan untuk kita menang dalam PRU13 dan mengambil alih Putrajaya, InsyaAllah.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita8/ust%20m%20nor.jpgJusteru, beliau menegaskan, Muktamar Pemuda PAS kali ini adalah suatu medan menggilap semangat juang bagi menggerakkan ‘agenda besar’ PAS Ganti Umn (PGU) yang mesti digempur habis-habisan sebaik pulang (dari Muktamar) nanti,”tegasnya.

Berikut disenaraikan perwakilan Pemuda Kawasan-kawasan dari negeri Terengganu;

Pemuda Besut
1. Zukri Bin Jusoh
2. Wan Anuar Bin Wan Ahmad
3. Mohd Syamri Bin Abd Razak
4. Mohd Hafizi Bin Mamat

Pemuda Kemaman;
1. Hishamuddin Abd Karim
2. Sukiman Jinazan Jusoh
3. Saiful Azmi Suhaili
4. Wan Faisal Wan Abdullah

Pemuda Setiu;
1. Ust Mohd Souffi Ismail
2. Mohd Zaidan Abdullah
3. Dzakaria Mohd Salleh
4. Arif Yusof

Pemuda Kuala Nerus;
1. Ust Ridwan Hashim
2. Mohd Fauzi Abu Samah
3. Hamidi Jusoh
4. Zulkarami Salleh

Pemuda Dungun;
1. Ust Mohd Hanafi bin Abd Aziz.
2. En Muhammad Fakharuddin bin Abdullah.
3. Mohd Azizul Hisham bin Zulkifli.
4. En Mohd Zafran bin Suhaimee @ Ismail

Pemuda Kuala Terengganu;
1. Ustaz Wan faizul Wan Abbas
2. Yusof bin Embong
3. Mohd Azrin Aris
4. Ustaz Mohd Nafizul Ismai

Pemuda hulu Terengganu;
1.Ustaz Kamaruzaman Abdullah
2. Mohd Azri Abd Aziz
3. Mohd Zainol Abidin Ahmad
4. Muhamad Hamdi Harun

Monday, November 12, 2012

Petikan : Sinar Harian                 
Mohd Nor Hamzah

 
KUALA TERENGGANU – Selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding di Parlimen Kemaman, Pemuda Pas Negeri Terengganu pula mencabar Ahmad untuk bertanding di Rhu Rendang.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah yang kurang bersetuju dengan tindakan Ahmad berkata, Umno tidak sepatutnya mencampuri hal ehwal ‘rumah tangga’ parti itu termasuk membabitkan penetapan calon Pas di kerusi tertentu.

Beliau juga turut melihat kenyataan Abdul Hadi yang bersedia bertanding di Parlimen Pekan sebelum ini juga tiada kaitan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), kerana Pas berhak meletakkan calon di mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai.

“Apa kaitan Pas dan Umno dan dia (Ahmad) sendiri pun tidak tahu menjadi calon di mana. Jadi, apa peranan dia untuk mengganggu ketetapan calon Pas dan Pas berhak menentukan calonnya di mana-mana kerusi. Kita juga cabar beliau tanding di kerusi Rhu Rendang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dun Rhu Rendang ketika ini disandang Abdul Hadi dan kerusi tersebut dikatakan sebagai kubu kuat Pas.

Mohd Nor berkata demikian sebagai mengulas laporan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ahmad yang juga Pengerusi Umno Terengganu berkata, Abdul Hadi sepatutnya bertanding di Kemaman, bukan menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Pekan, Pahang.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong dilihat tidak berpuas hati apabila turut mencabar Ahmad supaya bertanding di Parlimen Besut.

Sementara itu, beliau turut menganggap cabaran yang dibuat pimpinan Umno itu menunjukkan ketakutan terhadap kegagalan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Umno dalam keadaan takut kerana sehingga sekarang mereka tidak dapat menentukan tarikh pilihan raya,” katanya.

Bagi Pas katanya, beliau yakin dengan kewibawaan Presiden parti itu dan calon-calon Pakatan Rakyat (PR) yang lain untuk membawa kemenangan pada pilihan raya umum nanti.

“Kita yakin berasaskan perubahan rakyat untuk mendapatkan sokongan bukan sahaja terhadap Presiden Pas tetapi juga calon PR,” katanya.

Monday, October 29, 2012

 

Kursus Bahasa Arab cuti sekolah kembali lagi
 
Inginkan anak anda fasih berbahasa arab?


Untuk keterangan lanjut sila layari:

 
Tempat adalah terhad
 
Daftarlah dengan segera

Thursday, October 25, 2012

Assalamualaikum
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Walillaahil Hamd
Segala puji bagi Allah kerana dengan kehendakNya, kita bertemu lagi dengan Eidul Adha pada tahun 1433 ini. Semoga kita semua mendapat lebih kebaikan pada hari yang penuh barakah ini. Ketika ini (9 Zulhijjah) umat Islam yang menjadi tetamu Allah sedang menjalani rukun haji iaitu Wuquf di Arafah. Manakala kita yang tidak menunaikan haji, disunatkan berpuasa sunat Arafah sebagai mengejari ganjaran yang dijanjikan rasulullah s.a.w.
Suka saya mengingatkan peristiwa pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ketika menerima ujian agar meninggalkan anak dan isterinya di tanah yang tandus dan gersang dan tidak berpenghuni  iaitu di Mekah atas nama perintah dari Allah. Kekuatan jiwa isteri baginda Hajar, juga dapat dilihat apabila dia menerima dengan redha ketika bertanya kepada Nabi Ibrahim adakah ini arahan Allah? Dan apabila nabi Ibrahim menjawab “Ya” diapun membalas dengan penuh keyakinan “Maka Allah tidak akan mensia-siakan kami”.
Begitulah pula apabila anak lelaki baginda, nabi Ismail, apabila telah meningkat dewasa, didatangkan kepada oleh Allah nabi Ibrahim mimpi agar menyembelih satu-satunya anaknya itu. Jelas terbukti kekuatan jiwa ayah serta ibunya telah diwarisi oleh anaknya Ismail dengan menyuruh nabi Ibrahim melakukan penyembelihan itu hasil keyakinannya yang tidak berbelah bagi kepada Allah. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran sebagai bukti kepada ketaatan keluarga nabi Ibrahim ini untuk dijadikan contoh kepada umat terkemudian.
Akan tetapi satu persoalan kepada para pembaca yang saya kasihi, disebalik kisah pengorbanan keluarga nabi Ibrahim ini, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar telah menghayati hakikat pengorbanan itu. Adakah kita sudah dikira berkorban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti yang diajarkan oleh rasulullah? Adakah dengan menghadam cerita pengorbanan keluarga nabi Ibrahim saban tahun ketika menghampiri Eidul Adha dikira sebagai berkorban?
Sudah tentu tidak semudah itu hakikat korban dihayati. Apa yang lebih penting setelah kita mendengar cerita kisah keluarga nabi Ibrahim dan menyembelih binatang sebagai tanda pengorbanan kita ialah kita mesti bersungguh-sungguh menghayati hakikat korban itu  dengan memenuhi segala kehendak Allah keatas hambanya. Kita berkorban waktu tidur kita semata-mata mencari keampunan dan redhaNya di tengah-tengah malam. Kita mengorbankan harta benda kita demi menegakkan agama Allah. Kita mengorbankan rasa takut kita kepada ancaman dari mana-mana pihak kerana kita mencegah mungkar. Kita berkorban masa bagi memelihara keluarga kita dari api neraka serta lain-lain jalan pengorbanan yang memerlukan kekuatan jiwa yang kental.
Dan akhirnya kemuncak pengorbanan kita kepada Allah ialah mengorbankan jiwa kita demi kerana Allah. Pastinya pengorbanan jiwa kerana Allah tidaklah semudah seperti yang dikatakan atau didengar. Kerana ianya satu perniagaan yang menguntungkan yang dijamin oleh Allah seperti dalam firmanNya dalam surah as-Shaf ayat 10:
“Wahai orang-orang yang beriman mahukah Aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang melepaskan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta benda kamu dan dengan jiwa kamu. Dan itu lebih baik jika kamu mengetahuinya”
Tetapi sayang, dek kerana kelemahan dan ketakutan kita untuk berkorban, maka agama kita dihina sebegitu rupa. Tiada jalan lain lagi yang harus kita lakukan kecuali berkorban dengan segala kepunyaan kita kerana Allah untuk menaikkan kembali ketinggian Islam. Ingatlah akan amaran Allah yang Dia akan menggantikan dengan kaum lain sekiranya kita tidak mahu berkorban mempertahankan agamaNya
Oleh itu sentiasalah bersiap sedialah untuk berkorban demi kerana Allah. Jika kita sentiasa dalam keadaan bersedia berkorban demi kerana Allah maka insyaAllah Allah akan membantu kita dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar ini. Hanya orang-orang yang benar-benar cintakan Allah sahaja yang akan berkorban kerana Allah. Maka persiapkanlah diri kita semua agar menjadi hamba yang mencintai Allah dengan sepenuh jiwa dan raga. Jagalah Allah, maka Allah akan menjaga kamu. Semoga pengorbanan kita semua diterima Allah dan kita semua termasuk dari kalangan hambaNya yang berkorban demi kerana Allah insyaAllah.
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Walillaahil Hamd
Ustaz Mohd Nor Hamzah
9 Zulhijjah 1433

ARKIB