Marang : Rakyat
negeri Terengganu kebanyakannya mengambil sikap berhati-hati, menunggu apakah
hasil siasatan oleh pihak berwajib berkaitan kes keracunan makanan yang
dipercayai dibeli di Pasar Minggu Taman Syahbandar minggu lepas.
Ini penting bagi
rakyat Terengganu kerana isu yang melibatkan kesihatan orang ramai bukanlah
sesuatu isu yang boleh diambil mudah oleh sesiapapun apatah lagi jika ianya
melibatkan nyawa orang yang tidak bersalah.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS negeri
Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditemubual baru-baru ini berkata,
sememangnya rakyat perlu mengambil langkah berhati-hati dalam hal ini.
Beliau menambah,
jika semakin lama rakyat menunggu, maka akan semakin banyaklah lagi khabar
angin yang akan tersebar yang boleh memberikan keadaan tidak selesa kepada
masyarakat.
“Sekurang-kurangnya
bagitahulah sedikit maklumat bagi rakyat memahami keadaan agar menutup ruang
bagi pihak yang tidak bertanggungjawab dari membuat spekulasi.
Tambah-tambah
lagi dengan adanya teknologi di tangan seperti Facebook, Twitter,WhatsApp, blog
dan lain-lain lagi, amat mudah berita disebar,” katanya.
Beliau ditemui
ketika membuat lawatan ke Pasar Malam Atas Tol yang baru dipindah lokasinya
dari Kampung Atas Tol ke perkarangan Pasar Kedai Buloh yang baru.
Tapak tersebut dipindahkan kerana mengelakkan ganguan trafik serta lebih bersih, teratur dan menarik lagi dan ianya dipersetujui oleh persatuan peniaga.
YB Ustaz Mohd Nor yang juga Wakil Rakyat Dun Bukit Payong berkata pihaknya juga
menerima banyak keluhan para peniaga pasar malam yang mendakwa perniagaan
mereka terjejas dengan kes keracunan makanan ini.
Menurut aduan
yang diterima oleh pihaknya, ramai pelanggan ketika ini mengurangkan aktiviti
membeli belah terutamanya makanan di pasar-pasar malam kerana isu ini.
Ini menyebabkan
para peniaga yang bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan makanan di
pasar-pasar malam mengalami kejatuhan jualan yang agak teruk dan sekaligus
menjejaskan pendapatan mereka.
Beliau berkata
lagi, rakyat bertindak sedemikian kerana kekurangan maklumat dan yang menjadi
mangsa adalah peniaga-peniaga yang jujur, bersih serta yang mengamalkan etika
berniaga dengan betul.
“Yang kasihan
ialah peniaga-peniaga yang jujur yang kita tahu kejujuran mereka,” ujar beliau.
Oleh itu beliau
menggesa agar pihak yang berkenaan tampil memberikan maklumat-maklumat bagi
memahamkan orang ramai berkaitan isu ini.
Sementara itu
beliau juga berharap agar tapak pasar malam yang baru ini akan memberikan lebih
keselesaan kepada para peniaga serta pelanggan.
Beliau juga mendoakan
agar semua kira-kira 40 orang peniaga itu mendapat keberkatan dalam perniagaan mereka di tapak yang
baru.
Seorang peniaga Suhana Hussin 35, berharap agar perniagaan akan lebih maju lagi di tapak baru ini dan kejadian keracunan makanan itu tidak berulang lagi.
0 comments :
Post a Comment