Friday, March 14, 2014


1. Pas Negeri Terengganu memandang serius dengan suasana jerebu yang melanda seluruh  negara ketika ini. Sehingga minggu lepas, angka terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar mendapati bahawa majoriti negeri-negeri di Malaysia mengalami jerebu tahap kedua (IPU : 51 - 100 habuk halus). Manakala di beberapa tempat di negeri Selangor mengalami paras tidak sihat dengan IPU melebihi 200 habuk halus. Sehingga kenyataan ini ditulis, sebanyak 131 buah sekolah di daerah Klang telahpun diarahkan tutup. Negeri Terengganu juga tidak terkecuali mengalami masalah jerebu ini. Bacaan terkini IPU di Kemaman ialah 55. Di daerah-daerah lain seluruh Terengganu, alhamdulillah mencatatkan bacaan baik setakat ini.

2. Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan menganggarkan bahawa akan berlaku cuaca panas terik sehingga pertengahan Mac ini. Suhu pada siang hari boleh mencecah sehingga 40 darjah selsius. Keadaan ini boleh menimbulkan gejala 'heat stroke' kepada individu yang melakukan aktiviti terdedah dibawah panas terik matahari.

3. Pas Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat Malaysia amnya dan seluruh rakyat Terengganu khasnya agar menjaga kesihatan diri dan keluarga. Meminum air masak secukupnya (lapan gelas air sehari). Mengurangkan pengambilan minuman berkafein dan makanan yang masin, berpakaian agak longgar. Memilih untuk melakukan aktiviti dalaman, mengurangkan aktiviti luar terutamanya aktiviti yang terdedah kepada cahaya matahari dan dalam suasana jerebu ini. Keadaan ini boleh memberi kesan kesihatan yang teruk kepada pengidap asma. Tidak terkecuali juga penyakit-penyakit lain yang tidak boleh terdedah kepada cuaca panas dan berjerebu. Rakyat juga diminta mendapatkan info kesihatan dari semasa ke semasa daripada pihak yang berwajib.

Sekian

 
Yb Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Lajnah Penerangan BPPNT

11 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 14 Mac 2014

0 comments :

ARKIB