Tuesday, March 18, 2014


1. Solat adalah wajib atas setiap muslim yang mukallaf walau apa jua keadaan sekalipun. Sehinggakan Islam telah menetapkan tatacara solat bagi orang yang sakit. Solat adalah menjadi fardu ain kepada semua muslim.

2. Saya terkejut dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Persatuan Pembelajaran Perubatan Pasca Siswazah (PGMES) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang menyebut hanya 20 peratus pesakit beragama Islam menunaikan solat semasa mendapatkan rawatan di wad HSNZ. Menurut pengerusinya, Dr Nujaimin Uidin berkata, sebanyak 80 peratus pesakit yang ditempatkan di wad hospital berkenaan pula memberikan pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan solat sedangkan menunaikan solat adalah wajib walaupun ketika sakit.

3. Kenyataan tersebut amat mendukacitakan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu (BPPNT) yang bercita-cita mendaulatkan agama Islam di negeri ini. Saya difahamkan juga bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan satu konsep yang diberi nama Hospital Mesra Ibadah (HMI) lebih 5 tahun yang lepas. Akan tetapi perlaksanaan bagi merealisasikan konsep tersebut jauh terkebelakang. Ianya nampak tidak kemas dan tiada penegasan dari pihak hospital itu sendiri.

4. Adakah anggota hospital yang telah dilatih setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan protokol atau tatacara dari HMI tersebut? Jika HMI ini dilaksanakan sepenuhnya, sudah tentu pesakit akan termotivasi bagi melaksanakan ibadah fardu ain mereka. Disamping itu saya melihat, suasana wad di HSNZ tidak kondusif untuk memudahkan pesakit melaksanakan ibadah harian mereka. Sebagai contohnya, sistem tandas yang tiada pengasingan antara tandas dan tempat mengambil wudhuk. Begitu juga tiada debu tayammun disediakan oleh pihak berwajib bagi membolehkan setiap pesakit yang terhalang mengangkat wudhuk dengan air.

5. Difahamkan HSNZ adalah salah sebuah hospital ‘Rakan Bayi’ dan telahpun berjaya dengan kempen-kempen program tersebut dengan memberikan maklumat dan kefahaman bagi ibu-ibu untuk menyusu badan. Oleh itu tiada alasan bagi pihak hospital untuk tidak melakukan program yang sama keatas solat dengan menekankan kembali perlaksanaan secara serius konsep Hospital Mesra Ibadah dengan meletakkan pegawai-pegawai agama dan kelengkapan dan keperluan solat serta kempen-kempen yang berterusan bagi membantu pesakit-pesakit melaksanakan solat ketika mendapat rawatan kerana solat adalah tiang agama, jauh lebih penting dari segala-galanya. Menurut tinjauan yang dilakukan, pihak hospital tidak proaktif dalam memberi penerangan kepada pesakit mengenai kepentingan ibadah solat. Bahan-bahan bermanfaat yang menerangkan tatacara solat semasa sakit juga tidak diwujudkan secara komprehensif.

6. Oleh itu kami BPPNT menggesa agar kerajaan negeri dan pihak Kementerian Kesihatan bersikap proaktif dalam mengangani masalah pesakit yang tidak solat ini agar kita semua tidak didakwa oleh Allah di akhirat nanti.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah Ketua Penerangan BPPNT 15 Jamadil Awwal 1435 bersamaan 18 March 2014

0 comments :

ARKIB