Tuesday, March 18, 2014


Bukit Payong : Satu kejohanan bolasepak Piala YB Bukit Payong telah diadakan selama dua hari bermula 14 – 15 Mac lalu di Padang Bola Kampung Gong Kubur, berdekatan Kampung Paya Resak dekat sini.
Kejohanan anjuran Pemuda PAS Dun Bukit Payong itu, bermatlamat bagi mengeratkan lagi hubungan antara rakyat agar dapat membentuk masyarakat yang lebih bersefahaman dan boleh bekerjasama sesama mereka terutama dari kalangan pemuda.
Sebanyak 32 pasukan dari seluruh Dun Bukit Payong telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah RM1500 dan piala dan dijalankan berasaskan kehendak syariat iaitu semua pemain mesti menutup aurat.
Menurut penganjur program, saudara Rahim Razali, kejohanan ini akan dicadangkan supaya dijadikan acara tahunan memandangkan sambutan yang diluar dugaan ini.
Tambah beliau, PAS sentiasa peka dengan kehendak golongan muda dan sentiasa berusaha bagi menyediakan platform yang sesuai untuk orang muda mengenengahkan bakat mereka.
Pertandingan itu dirasmikan oleh wakil rakyat Dun Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan majlis penutupan serta penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pemuda Dun Bukit Payong Ustaz Zakaria Ismail.
Dalam ucapan perasmiannya Ustaz Mohd Nor berkata sukan adalah salah satu cara bagi Pas mempromosikan parti dikalangan masyarakat terutamanya anak-anak muda.
Kata beliau lagi, tidak perlu bertumbuk atau bergaduh semata-mata kerana merebut hadiah kerana itu bukan dari ajaran Islam, malah sepatutnya melalui sukan persahabatan akan lebih kukuh dibina.
“Tak perlulah kita berbalah atau berkelahi untuk merebut juara kerana bukan itu matlamat sebenar bersukan.
Dengan sukan sepatutnya kita yang dari mempunyai sedikit kawan, menjadi semakin ramai kawan dan bukannya lawan,” ujar beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur kejohanan yang bertungkus lumus mengendalikan kejohanan dengan bersungguh-sungguh serta para penyokong yang memeriahkan lagi kejohanan itu.
Manakala ketika pada ucapan penutup dan majlis penyampaian hadiah, Ketua Pemuda Dun Bukit Payong, Ustaz Zakaria Ismail berkata, kejohanan ini bersandarkan kepada prinsip syariah yang menyerlahkan kecantikan Islam.

“Ukhuwah, menutup aurat serta dalam masa yang sama kita berdakwah kepada masyarakat.
Inilah kecantikan Islam yang mana kita boleh melakukan apa-apa perkara yang difikirkan baik asalkan selari dengan kehendak syariat,” tegasnya.
Dalam kejohanan itu pasukan tuan rumah, Gong Kubur telah muncul sebagai juara dengan menewaskan pasukan Kedai Buloh di perlawanan akhir manakala pasukan Surau Haji Mat Zain tempat ketiga dan Titian Baru keempat

0 comments :

ARKIB