Sunday, February 19, 2012

Petikan Sinar Harian :



BUKIT PAYONG - Entah di mana silapnya, jalan di sekitar Pekan Bukit Payong sering rosak walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah melakukan kerja pembaikan seperti menampal dan menurap lubang di permukaan jalan rosak sejak Jun tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian selepas menerima aduan penduduk setempat semalam mendapati, kawasan jalan rosak juga perlu disediakan garisan putih sebagai pemisah be-rikutan laluan itu sentiasa sibuk dengan kenderaan.

Penduduk yang hanya ingin dikenal sebagai Abdullah berkata, dia terkilan kerana jalan yang rosak itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah turut menyumbang kepada kerosakan tayar kenderaan dan kemalangan kecil membabitkan motosikal kerana perlu mengelak lubang.

“Saya lihat kenderaan semakin sibuk tetapi faktor keselamatan di kawasan ini tidak diutamakan. Tambahan pula, pelajar turut menggunakan laluan ini dan ia membahayakan kerana kenderaan tidak bergerak dengan teratur akibat jalan rosak serta tiada garisan (putih),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Bukit Payung, Kamaruddin Mat Amin, 60, ketika diminta mengulas berkata, kerosakan jalan berlaku selepas simpang di jalan utama ditutup sejak tujuh bulan lalu malah alasan ditutup juga tidak dinyatakan.

Menurutnya, PBT menutup jalan simpang ke kanan di jalan utama dari arah Bukit Payong ke Chendering menyebabkan kenderaan berat terpaksa membuat pusingan ke kanan iaitu di jalan hadapan Masjid Bukit Payong sebelum memasuki laluan Pekan Bukit Payong.

“Ini berlaku selepas PBT menutup simpang di jalan utama menuju ke Chendering dari Bukit Payong tidak lama dahulu. Penutupan jalan menyebabkan kenderaan berat terpaksa melalui jalan di pekan untuk masuk semula ke jalan utama Bukit Payong menuju ke Chendering,” katanya yang turut berjanji mendesak PBT agar membuka semula jalan tersebut.

Menurut Abdullah, disebabkan penutupan itulah jalan di situ terus mengalami kerosakan walaupun sudah beberapa kali ditampal dan diturap oleh PBT termasuk pihak Majlis Daerah Marang (MDM).

Kamaruddin berkata, simpang itu perlu dibuka semula bagi me-ngelak kesesakan di pekan berkenaan termasuk mengelak kerosakan jalan berlaku secara berterusan akibat kenderaan berat sehingga menjejaskan keselesaan pengguna lain.

Sementara itu, skuad Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi pihak PBT mengenai masalah ini namun gagal.

0 comments :

ARKIB