John Douglas ( Amin Abdullah - tengah) sedang berkongsi pengalaman beliau
Apabila hidayah
datang kepada seseorang hamba, maka tiada apapun didunia ini akan dapat
menafikannya. Pengalaman yang dialami oleh seorang saudara baru John Douglas
Nelson yang dikongsi dengan teman-temannya sangat mengujakan. Hampir sejam
setengah perbualan santai itu menjadi semakin menarik dengan kisahnya yang
terkadang menyentakkan perasaan kita sebagai seorang yang bergelar muslim. Bukan
sahaja dia menjelaskan bagaimana hidayah itu datang, malahan juga kritikannya
kepada muslim turut perlu kita selesaikan untuk kita lebih sedar apakah
tindakan kita terhadap bukan Islam selama ini benar atau tidak.
Beliau
dilahirkan di Amerika. Setelah menyertai banyak syarikat-syarikat besar bagi
menjalankan projek-projek besar di serata dunia, akhirnya dia bekerja di sebuah
syarikat petroleum di Abu Dhabi. Dalam syarikat itu dia berkenalan dengan
seorang muslim yang bernama Dr. Mohammed. Menurut beliau, dia sangat kagum
dengan Dr. Mohammed itu atas sikapnya yang sangat tenang dan tinggi akhlaknya. Walaupun
jelas dia dikhianati oleh rakan-rakan yang lain, dia tetap fokus dengan
kerjanya dan memberikan sepenuh komitmen kepada amanah yang diberikan
kepadanya. Akhlak inilah yang mengagumkan John Douglas terhadap Dr. Mohammed.
Tetapi kekagumannya itu bukanlah diatas dasar agama, hanya individu.
Masa terus
berlalu dan mereka meneruskan kehidupan masing-masing dan kedua-duanya menjadi
teman rapat. Tidak pernah sekalipun kata John Douglas, Dr. Mohammed
mengeluarkan perkataan untuk mengajaknya masuk Islam. Dr. Mohammed hanya
menjalankan rutin harian beliau sebagai muslim iaitu dengan tidak meninggalkan
solat berjemaah lima kali sehari dan kewajipan-kewajipannya yang lain. Malah
John Douglas juga turut berpuasa sebagai menghormati rakan muslimnya itu. Sehinggalah
pada suatu waktu John Douglas diberikan terjemahan al-Quran. Pada malam itu dia
cuba membacanya tetapi hanya sedikit sahaja, kemudian dia terlelap. Selang
beberapa lama selepas malam itu, dia tiba-tiba bermimpi didatangi oleh suatu
suara yang menyuruhnya bersolat…. “Pray….pray” bunyi suara itu.
Dia tersedar
mendengar suara itu lalu mencarinya. Dalam hatinya menjawab “Bagaimana aku mahu
solat sedangkan aku tak tahu”. Keesokan harinya dia terus menemui Dr. Mohammed
untuk bertanya tentang mimpinya malam tadi. Dr. Mohammed setelah mendengar
kisahnya itu memberitahu itu adalah syahadah iaitu ketika semua manusia di alam
roh, manusia telah melafazkan ikrar bagi mengaku bahawa Allah adalah tuhan
seluruh alam. John Douglas bukanlah seorang yang kuat pegangan kristiannya
walaupun dia pernah bercita-cita ingin menjadi paderi. Jadi dia tidaklah
membantah perkataan Dr. Mohammed itu. Dia kemudiannya sedikit demi sedikit
memahami tentang Islam.
Sekali peristiwa,
dia kemudiannya bermimpi lagi. Kali ini suara itu menyuruhnya membaca pula….
“Read….read”. Dia yang tersedar kemudiannya mengambil terjemahan quran yang ada
di sisinya terus membacanya. Setelah dia mengetahui bahawa itu adalah panggilan
dari tuhan agar dia kembali kepada tuhan, diapun terus berbincang secara serius
dengan Dr. Mohammed perihal perkara itu. Setelah mendapat maklumat tentang
Islam dengan lebih jelas diapun mengambil keputusan untuk memeluk Islam.
Apabila hasratnya dimaklumkan kepada Dr. Mohammed pada suatu hari Jumaat, Dr.
Mohammed bertanya adakah dia serius dan sudah memikirkan semasak-masaknya
tentang keputusannya itu. Dia tuntas menjawab “Yes”.
Bersyukur dengan
keputusan itu Dr. Mohammed, mengajarnya mengambil wudhu’ untuk bersama-sama ke
masjid bagi solat dan melakukan syahadat sebagai merasmikan John Douglas Nelson
sebagai seorang muslim dengan disaksikan oleh para jemaah di masjid itu dan di
syahadahkan oleh imamnya. Beliau kemudiannya menukar namanya kepada Amin
Abdullah. Sebagai orang yang baru yang memeluk Islam, sudah pastinya keterujaan
untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain tinggi. Alhamdulillah beliau diizinkan
Allah untuk menunaikan haji buat pertama kalinya.
Ketika di Mekah,
dirinya diuji dengan perlakuan sesetengah orang Islam yang baginya sangat
menjengkelkan. Dia merasakan sesuatu yang tidak kena apabila orang ramai
melangkah dia yang sedang solat, sedangkan itu bukan akhlak yang dia ketahui
dalam Islam. Fikirannya menjadi kacau dengan perlakuan manusia-manusia itu.
Adakah dia telah tersalah pilih jalan atau dia tertipu. Maha suci Allah yang
memberikan ilham kepadanya ketika sujud untuk mengenepikan gangguan aqidah itu
hasil dari perlakuan yang tidak betul sesetengah orang Islam tersebut. Dia
mendapat keyakinan ketika sujud dengan berkata kepada dirinya sendiri, “Aku di
sini bukan kerana manusia, tetapi kerana Allah. Pedulikan semua perlakuan
manusia kerana aku menyembah Allah” begitulah seterusnya dia menguatkan hatinya
bagi mengenepikan hal lain dalam hatinya kecuali Allah.
Walaupun
keluarganya tidak dapat ditarik bersama untuk masuk ke dalam Islam, tetapi dia
redha dengan ketentuan Allah. Dia hanya mengharapkan yang terbaik dan cuba
menunjukkan contoh yang mulia kepada isteri dan anak perempuannya. Bagaimanapun
kata beliau, keadaan agak sukar di Amerika dengan propaganda samada dalam
majalah atau televisyen terhadap Islam begitu kuat sehingga Islam dikenali
sebagai agama kejahatan oleh kebanyakkan orang di sana.
Begitulah serba
sedikit tentang kisah John Douglas Nelson memeluk Islam. Dia secara jelas
mengakui tertariknya dia dengan Islam adalah kerana akhlak Dr. Mohammed. Apa
yang cuba saya sampaikan disini bukan sahaja kisahnya, malah jauh dari itu
keadaan akhlak kita sebagai orang Islam yang telah jauh tersasar dari matlamat
menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Kita
tidak mampu berdakwah dengan perkataan atau tulisan iaitu hal yang agak mudah
berbanding dengan berdakwah melalui akhlak kepada bukan Islam. Tetapi Dr.
Mohammed berjaya melakukannya kerana mingikut Rasulullah saw, contoh terbaik
yang diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia sejagat. Sayangnya kita yang
mengaku menjadi umat Muhammad majoritinya gagal dalam berakhlak dengan
sebenar-benar akhlak yang ditunjukkan contoh oleh rasulullah saw.
Kita tidak mampu
menimbulkan rasa kasihan dalam diri kita, kerana mereka yang bukan Islam itu, mereka
sebenarnya tersesat jalan yang sepatutnya kita membawa mereka kembali ke jalan
yang benar iaitu Islam. Malah sebahagian dari kita pula mengadakan sempadan
dengan bukan Islam, seperti mereka tidak layak dilayan seperti hamba Allah.
Lebih parah lagi jika ada yang mengambil kesempatan mengapi-apikan agama bagi
kepentingan diri yang sedikit. Bila bukan Islam ingin mendekati Islam, dia yang
menjadi penghalang agar bukan Islam tidak masuk Islam. Begitulah kejahilan yang
meliputi pemikiran masyarakat Islam masakini. Mereka dengan kejahilan itu akan
lebih mudah diperbodohkan oleh golongan-golongan berkepentingan itu. Ubahlah
akhlak kita, tambahkanlah ilmu kita bukan sahaja kerana ingin membawa bukan
Islam masuk Islam, tetapi jauh lebih penting bagi memastikan diri kita sendiri
terselamat dari api neraka dan juga keluarga kita. Selesai itu barulah
difikirkan tentang masyarakat kita secara keseluruhannya. Firman Allah “Wahai
orang-orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari
api neraka”. Sejauh manakah kita sudah mengamalkan ayat Allah ini?
Wallahua’lam.
**John Douglas
Nelsom @ Amin Abdullah sekarang ini bertugas di Qatar setelah projeknya di Abu
Dhabi selesai.
0 comments :
Post a Comment