Tuesday, January 21, 2014

               

 
Petikan : Sinar Harian

Patuhi harga kawalan 

Ibrahim tetap menjual daging pada harga ditetapkan dan mengakui masih memperoleh keuntungan.                                                      
 
MARANG – “Harga daging tidak boleh melebihi RM24 hingga RM25 sekilogram dan peniaga daging di negeri ini perlu mematuhi ketetapan harga kawalan semasa berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan termasuk kompaun.

Demikian peringatan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu, Syamsul Badrin Mohshin mengenai harga kawalan semasa daging di negeri ini.

“Peniaga daging juga tiada sebab munasabah untuk menaikkan harga daging yang dijual melepasi harga telah ditetapkan itu,” katanya mengulas dakwaan pengguna mengenai harga daging di daerah ini yang dikatakan dijual RM28 sekilogram.

Syamsul ketika dimaklumkan mengenai perkara itu terkejut kerana peniaga bukan sahaja tiada alasan munasabah untuk menaikkan harga daging malah, pihaknya sentiasa membuat pemantauan mengenai perkembangan harga barang di setiap daerah.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku di kawasan luar pasar utama membabitkan peniaga yang menjual daging di tepi jalan dan di dalam kampung,” katanya.

Sementara itu, peniaga daging di Kedai Buluh dekat sini, Ibrahim Yusof, 68, turut membidas sikap peniaga menaikkan harga daging melepasi harga kawalan semasa sehingga mencecah RM28 sekilogram dan menyifatkan peniaga terbabit tamak.

“Sejak dua tahun lalu pakcik masih mampu untuk mengekalkan harga daging RM24 sekilogram dan mendapatkan bekalan lembu hidup daripada penternak tempatan..setakat ini harga itu masih mampu beri untung.

“Tindakan segelintir peniaga yang jual daging melebihi harga ditetapkan itu akan hanya menjejaskan nama baik peniaga daging di daerah ini khususnya peniaga sepenuh masa seperti pakcik,” katanya kepada Sinar Harian.

0 comments :

ARKIB