Bismillahir rahmaanir rahiim
Alhamdulillah, dua hari lepas seramai enam orang tahanan terakhir Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telahpun dibebaskan. Kita mengucapkan syabas
kepada semua tahanan dan tidak lupa juga kepada kumpulan di belakang tabir yang
begitu gigih memperjuangkan nasib tahanan ISA ini iaitu Gerakan Mansuhkan ISA
(GMI). Kejayaan semua pihak terbabit dalam memastikan ISA tidak lagi diperlukan
pada zaman yang moden ini sekaligus membuktikan bahawa kerajaan BN sebenarnya
turut memperakui akta ISA ini tidak lagi sesuai.
Dengan penghapusan ISA ini sepatutnya kerajaan memohon maaf terhadap
mangsa-mangsa ISA yang dengan terang dan nyata telah dizalimi. Ada yang
bercerai dengan pasangan masing-masing, ada yang tidak mampu menyara anak untuk
bersekolah, ada juga pasangannya sehinggakan berkerja di kelab-kelab malam bagi
menyara keluarga. Begitulah dosa-dosa kerajaan yang tidak pernah mendakwa
tahanan-tahanan ISA ini di mahkamah bagi membuktikan pertuduhan tetapi
menjatuhkan hukuman dengan menahan mereka tanpa bicara.
Kita menyambut baik langkah menghapuskan ISA tetapi dalam waktu yang sama
masih ragu-ragu dengan akta yang baru kerana dibimbangi akan digunakan secara
salah untuk kepentingan politik BN yang sudah dimaklumi seperti yang pernah
dilakukan dalam Operasi Lalang, dan lain-lain operasi yang jelas menganiaya
penentang politik BN.
Kita ingin mendapatkan kepastian dan juga jaminan dari pihak kerajaan bahawa
bentuk ISA tidak akan berulang dalam akta baru iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) 2012 pada 31 Julai 2012 yang menggantikan ISA.
Kami yang berkeyakinan penuh dengan sistem perundangan Islam ingin
mempelawa agar kerajaan memilih untuk menyelesaikan isu-isu perundangan dengan menggunakan
cara Islam yang mana sistem pendakwaan Islam adalah jelas, adil dan dapat mencegah
jenayah dari berleluasa berbanding sistem ciptaan manusia.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
08 Januari 2014 bersamaan 6 Rabiul Awwal 1435
0 comments :
Post a Comment