Oleh : Mat Teropong
Bismillah.Kisah-kisah
ini adalah samada dari kuliah, bacaan dan pengalaman aku sendiri:
Kisah 1 :
Diceritakan ketika
Rabiatul Adawiah lahir (zaman selepas wafatnya rasulullah saw), ayahnya tidak
mempunyai wang. Takdir Allah dia bermimpi berjumpa rasulullah s.a.w dalam
tidurnya. Rasulullah menyuruh dia pergi ke rumah menteri dan mengambil 400
dinar daripada menteri tersebut kerana menteri tersebut “berhutang” dengan
baginda.
Apabila hal itu
diajukan kepada menteri itu, maka dia amat terkejut kerana bagaimana mungkin
dia berhutang dengan rasulullah kerana mereka tidak pernah bertemu. Setelah
lama baru dia mendapat jawapan 400 dinar itu adalah kafarah baginya kerana lupa
berselawat pada hari Jumaat. Amalan menteri itu ialah berselawat sebanyak 1000
kali seminggu iaitu 100 kali setiap hari dan 400 kali pada hari Jumaat dan pada
suatu Jumaat dia terlupa untuk berselawat. Dengan senang hati ,menteri itu
menyerahkan 400 dinar dan bersyukur kerana rasulullah menerima selawatnya
dengan izin Allah.
Kisah 2 :
Seorang ibu tua
sedang dalam keadaan sakit. Lalu anaknya menziarahinya. Rumahnya diperbuat dari
tanah liat seperti rumah orang zaman dahulu dan dia tidak mahu meninggalkan
rumahnya itu. Anaknya menawarkan doktor yang terbaik bagi merawatnya, tetapi
dia menolak. Dia menjawab bahawa dia mengetahui apa sebab sakitnya itu dan
ubatnya. Katanya “Jika tiga hari aku tidak bertemu dengan rasulullah, maka aku
akan sakit,” sambil mulutnya tak lepas-lepas dari berselawat. Bayangkan sudah
berapa lama ibu itu bermimpi berjumpa rasulullah? Sehinggakan selawat adalah
ubat kepada sakitnya.
Kisah 3 :
Aku bertemu
seorang tua yang menjadi bilal di Masjid Paka. Aku mengetahui melalui kawan aku
bahawa dia pernah bermimpi bertemu dengan rasulullah. Aku terus bertanya berkenaan
mimpi dia itu. Pada mulanya dia keberatan untuk menjawab takut riak mungkin.
Tapi lepas beberapa lama diapun berkongsi petua. Katanya paling kurang
berselawatlah 100 kali sehari.
Kisah 4 :
Aku terbaca di
Harakah berkenaan pendedahan Tuan Guru Nik Aziz bahawa Tuan Guru Haji Hadi
sudah beberapa kali bermimpi bertemu rasulullah. Suatu petang lepas solat asar
aku menunggu TG Haji Hadi di pintu keluar masjidnya (dia ada laluan khusus
untuk keluar) terus aku beri salam, bersalaman dengannya dan terus bertanya
apakah amalan yang dia lakukan setiap hari hingga dapat bermimpi bertemu
rasulullah. Dia jawab ringkas “ selawat”, aku tanya lagi banyak mana sehari?
Dia jawab dia tak mengira berapa banyak dia selawat sehari.
Kisah 5 :
Seorang murid
bertanya kepada seorang imam berkenaan cara untuk bermimpi berjumpa rasulullah.
Imam itu menyuruh dia ke rumahnya pada malam itu untuk mendapatkan cara bermimpi
bertemu rasulullah. Pesan imam kepada muridnya supaya makan malam di rumahnya. Sampai
di rumah imam, muridnya dijamu dengan
makanan-makanan yang masin semuanya. Selesai makan tanpa diberi minum muridnya
disuruh tidur untuk bermimpi berjumpa rasulullah.
Keesokan harinya
mereka bangun bersolat dan selesai semua solat dan wirid, imam itu bertanyakan
mimpi muridnya. Jawab muridnya “Saya bermimpi saya ditimpa hujan yang sangat
lebat semalam, tetapi tidak pula berjumpa rasulullah tuan” Jawab imam, “Benar,
itulah mimpi yg betul” yang membuatkan muridnya kehairanan. Dia yang tidak
puashati terus bertanya apa maksudnya dengan mimpi itu.
Jawab imam “Kamu
sangat dahagakan air kerana selepas makan malam dengan makanan yang masin,
pastinya kamu mencari air. Kerana air itu yang sangat-sangat bermain dalam
fikiran kamu maka kamu bermimpi berjumpa air. Begitulah juga dengan rasulullah,
jika rasulullah sentiasa berada dalam hati dan pemikiran kita kerana cinta dan
kasihnya kita kepada baginda, maka kita akan bertemu dengan baginda. Tetapi
rasulullah tiada di hati kita, mana mungkin kita bertemu dengan baginda” terang
imam lagi.
Lima kisah
teratas bukan dalil, ianya hanya pengalaman yang diberitakan. Tidak kisah
samada mahu dipertikaikan atau diterima, yang penting ianya melibatkan menteri,
presiden parti, seorang bilal yang tua naik motor sahaja berulang alik ke
masjid dan seorang makcik tua yang miskin, yang satu persamaan mereka ialah
mereka dapat bertemu dengan rasulullah dalam mimpi. Dengan amalan yang hampir
sama oleh mereka semua iaitu berselawat dengan sebanyak-banyaknya, maka tidak
kira pangkat dan harta, mereka mendapat keistimewaan ini.
Jadi untuk kita
menjadi umat yang dikasihi dan mengasihi rasulullah, maka kita hendaklah
sentiasa mengingati baginda dalam apa jua keadaan. Dengan selawat 100 kali yang
kurang dari lima minit untuk di selesaikan, kita kelihatannya amat berkira-kira
dengan baginda, tetapi dalam masa yang sama mengaku kononnya sebagai pengikut
rasulullah s.a.w. Sedangkan Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas
nabi, maka apakah kita lebih tinggi dan mulia dari keduanya? Berselawatlah tanpa
menetapkan hari-hari khusus, tetapi berselawatlah sentiasa kerana rasulullah
s.a.w berpesan orang yang paling hampir dengan baginda di akhirat nanti ialah
orang yang paling banyak berselawat ke atas baginda. Tidak inginkah kita kepada
syafaat baginda?
Sahabat
sekelian, kita semakin jauh dari rasulullah dengan pelbagai keadaan. Samada jauh
itu kerana dua sebab iaitu meninggalkan sunnahnya dan satu lagi jarak zaman
kita dengan baginda. Satu tidak dapat dikembalikan iaitu zaman atau masa, kita
tidak mungkin dapat hidup bersama baginda lagi selama-lamanya di dunia ini.
Tetapi satu lagi dapat kita ambil semula iaitu kembali kepada sunnah baginda
dengan mengamalkannya semampu kita untuk menjadikan rasulullah dekat dengan
kita. InsyaAllah kita akan menjadi golongan yang rasulullah sebutkan iaitu kaum
yang tidak mengenali baginda tetapi berpegang dengan bersungguh-sungguh sunnah
baginda. Moga kita dikurniakan syafaat oleh baginda dengan izin Allah.
Allahumma Solli a’la Muhammad Wa’ala aali Muhammad.
0 comments :
Post a Comment