Saturday, January 18, 2014

 
 
Assalamualaikum

Saya merujuk kepada satu surat bertarikh 14hb Disember 2013 yang bertajuk “Memohon Pemberhentian Guru KAFA Dan Guru Al-Quran Dewasa / Kampung” yang ditandatangani oleh Haji Rosdi Haji Mohammad Salleh iaitu salah seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Palas, Bukit Payong, Marang, Terengganu kepada Pegawai Yayasan Islam Daerah Marang.

 Menurut surat JKKK Kubang Palas itu yang jelas menamakan dua orang guru Kafa dan guru al-Quran dewasa untuk diberhentikan perkhidmatan mereka kerana dituduh menyokong parti pembangkang dalam Pilihanraya ke 13 baru-baru ini. Oleh kerana sokongan mereka berdua kepada pembangkang, maka mereka telah digelar sebagai individu yang terlibat dengan aktiviti menentang kerajaan. Kemungkinan, surat ini adalah satu daripada himpunan surat-surat JKKK yang tegar Umno sehingga akhirnya terbukti penamatan kontrak hampir 300 guru Kafa. Tema maulid Rasulullah, "Wasotiyyah tonggak kesatuan ummah" hanya kata-kata kosong sahaja.
 
Disebabkan hal ini berlaku di dalam Dun saya, maka saya sebagai Wakil Rakyat yang sah yang dipilih dalam PRU ke 13 baru-baru ini, maka saya rasa bertanggungjawab bagi menjelaskan kepada masyarakat bahawa :

 1- Saya telah diiktiraf oleh Tuanku Sultan Terengganu dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu sebagai Wakil Rakyat yang sah disisi undang-undang bagi negeri Terengganu mahupun Malaysia melalui proses demokrasi berparlimen, dengan kerajaan BN telah menjemput saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan saya telahpun dua kali menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi tahun 2013 lalu. Jika saya, parti dan penyokong saya telah melakukan aktiviti menentang kerajaan, dan memudaratkan keselamatan dan keharmonian kampung, sila laporkan kepada pihak berkuasa dan buktikan dibawah peruntukan undang-undang mana, kami dituduh sedemikian.

 2- Tidak pernah ada peruntukan undang-undang yang menghalang kakitangan kerajaan menyokong parti-parti yang mereka sukai, sekaligus membuktikan JKKK Kubang Palas tidak demokratik cuba menafsir sendiri undang-undang dan bersikap kaduk naik junjung dengan sewenang-wenangnya cuba menggunakan kuasa dan menuduh penduduk kampung mereka sendiri memecahbelahkan rakyat, disamping cuba mempengaruhi pegawai Yayasan Islam Daerah Marang dengan tuduhan palsu.

 3- JKKK Kubang Palas juga telah jelas lari dari peranannya sebagai pihak yang sepatutnya merapatkan persefahaman sesama penduduk kampung, menjaga keselamatan dan keharmonian kampung tetapi sebaliknya mereka memilih untuk memecahbelahkan perpaduan penduduk Kampung Kubang Palas dengan mengkategorikan individu sebagai pembangkang atau bukan.

 4- JKKK Kubang Palas juga jelas gagal dalam memahami peranan guru-guru al-Quran ini sebagai golongan yang dipuji Allah kerana ilmu yang mereka ada bagi mendidik masyarakat agar kenal dengan kitab suci Allah ini. Allah dan Rasulullah meletakkan golongan yang paling baik ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarnya. Tetapi dendam politik mereka lebih menebal berbanding memikirkan fungsi sebenar guru al-Quran ini.

 5- JKKK Kubang Palas menganggap mereka mempunyai kuasa yang sangat besar bagi menentukan nasib seseorang terutama yang tidak sehaluan dengan mereka. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka lupa bahawa duit elaun mereka itu dibayar oleh rakyat.

Suka saya mencadangkan kepada kerajaan negeri Terengganu agar dimasa hadapan, memilih JKKK yang lebih matang dan  sayang ilmu agama serta sedar diri. Ini penting bagi menjamin keselamatan, kemajuan dan keharmonian sesuatu kampung itu terpelihara. Jangan nanti yang menjadi mangsa ialah penduduk kampung sendiri kerana kedangkalan dan tahap berfikir JKKK terlalu rendah seperti yang ditunjukkan oleh JKKK Kubang Palas.
 
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
Ketua Penerangan BPPNT

0 comments :

ARKIB