Friday, January 31, 2014

Petikan : Buletin Online
 
MARANG – “Terima kasih Yang Berhormat,” itulah kata-kata yang diucapkan oleh Sin Kun Huan, 65 seorang penerima buah tangan dari ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika berkunjung ke rumahnya, sempena kedatangan hari besar, Tahun Baru Cina.
 
Warga emas yang juga seorang peniaga itu, telah lama tinggal di Bukit Payong, dikunjungi Oleh Ustaz Mohd Nor bersama rombongannya yang terdiri dari Pengerusi Lujnah Perpaduan Mohd Nasir Ismail serta beberapa Ahli Jawatakuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong.
 
Kedai Kun Huan yang yang terletak di pekan Bukit Payong menjalankan perniagaan alat ganti motosikal diwarisinya dari mendiang ayahnya, dan telah beroperasi selama lebih 60 tahun.
 
tmp_IMG-20140130-WA00401452234928 YB Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Penerangan PAS negeri Terengganu mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga Tionghua dimana jua mereka berada khususnya di negeri Terengganu.
 
“Selamat Tahun Baru China khusus untuk warga Tionghua di Dun Bukit Payong dan seluruh di negeri Terengganu, kita meraikan bersama perayaan mereka untuk mengeratkan lagi persaudaraan kovensional.
 
“Dan merapatkan lagi hubungan perkauman walaupaun kita berbeza dari sudut agama dan etnik,” ujarnya ketika ditemui selepas menziarahi warga Tionghua dan mengagihkan buah limau mandarin disekitar pekan Bukit Payong disini pagi ini Khamis 30 Januari.
 
Katanya, dengan kunjung mengunjung diantara kaum membuktikan PAS sebagai parti yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam turut ‘tumpang gembira’ bersama kaum Cina yang telah diiktiraf melalui perlembagaan sebagai warganegara dan menjadi satu rumpun yang membentuk bangsa Malaysia.
 
Beliau berkata, Islam telah berada di kalangan bangsa Cina sejak ribuan tahun dahulu dan tidak timbul sebarang masalah.
 
“Bahkan ramai pembesar dan orang-orang termasyhur dalam sejarah dunia dari negara Cina adalah di kalangan orang Islam seperti Laksmana Cheng Ho yang belayar dengan armada besar ke negeri Melaka,”jelasnya.
 
Tegasnya, Islam juga tidak pernah mengajar penganutnya bersikap sentimen perkauman atau ‘rasis’ walaupun berbeza agama bukan seperti yang ditunjukkan oleh parti-parti perkauman dalam Barisan Nasional seperti Umno, MCA dan MIC.

Tuesday, January 28, 2014

Assalamualaikum

Suka saya mencatatkan beberapa pandangan sebagai seorang ahli PAS dan penyokong PR lanjutan daripada beberapa isu dalaman PKR yang membawa kepada perletakan jawatan ADUN Kajang. Kemungkinan pandangan ini tidak dipersetujui oleh pihak tertentu dengan anggapan 'jangan ganggu masalah dalaman parti lain', 'bukan tugas awak' , 'awak siapa nok kritik PKR', dan seumpamanya tapi saya yakin seluruh ahli PAS dan penyokong PR seia dan sekata dengan saya dalam nasihat dan pesanan ini.

1- Masalah PKR mula melibatkan rakan PR, apabila perletakan ADUN Kajang dan usaha untuk menukar MB Selangor kerana kemenangan ADUN Kajang bukan dengan sebab undi ahli dan pimpinan PKR sahaja tapi dengan usaha jentera PAS dan DAP dan undi penyokong PAS dan DAP. Tetapi pimpinan PKR telah mengkhianati mandat dan sokongan rakyat. Pimpinan PKR seolah-olah mahu mempermainkan undi rakyat. Di samping menyumbang pembaziran wang rakyat dan sumbangan duit dan tenaga penyokong PR dalam perbelanjaan pilihanraya umum dan pilihan kecil dalam suasana kita berusaha mendesak kerajaan BN supaya berjimat cermat dan menurunkan kos sara hidup rakyat.


Bahkan pengkhianatan ini juga berlaku pada rakan PR, perletakan ADUN Kajang tanpa perbincangan dan persetujuan bersama dalam pakatan rakyat. PENGKHIANATAN ini tidak boleh dibela dan dipertahankan kerana Rasulullah bersabda : "Tanda seorang munafiq tiga perkara : apabila bercakap dia berbohong, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya dan apabila berjanji dia mungkir janji."


2- Sikap tidak jujur dan telus dalam usaha untuk menukar MB Selangor juga mengundang kecurigaan dan kecemburuan oleh rakan PR. Kerusi MB, bukan milik mutlak PKR tapi ia milik bersama. Oleh itu, perlantikan dan pertukaran MB Selangor mesti diputuskan dan dibincang dalam mesyuarat majlis Presiden. Bahkan tidak salah jika PAS turut mengemukakan nama MB Selangor kerana dua faktor :


 a) Kemenangan Kerusi PAS melebihi kerusi PKR.
 b) untuk memberi pilihan kepada Tuanku Sultan , jika tidak berkenan dengan calon yang dikemukakan oleh PKR.


 3- PKR sepatutnya tidak mengkhianati rakan PR dalam menentukan apa-apa keputusan. Oleh itu, wajar pimpinan mengemukakan pandangan untuk mengkaji semula persepakatan dengan PKR, apabila DS Anwar Ibrahim mula mencetuskan idea permuafakatan nasional dengan BN tanpa persetujuan dan perbincangan yg lumat dengan PAS dan DAP. Kebimbangan dan kecemburuan ini tidak boleh dimarahi okeh pimpinan PKR kerana mereka tidak bersikap jujur dan menghormati rakan-rakan dalam PR. 


4- Persoalan mula timbul, apakah wajar seluruh ahli PAS membiarkan PRK Kajang kepada pimpinan PKR sahaja untuk mengurus calon mereka di Kajang kerana PKR begitu angkuh dengan kemenangan dan menganggap kemenangan hanya dengan sebab sokongan dan kekuatan PKR sahaja. Kita menghargai dan menghormati pimpinan PKR dengan membiar mereka bersendirian dalam pilihanraya kecil kali ini. Disamping itu, apa salahnya kita mengemukakan calon PAS untuk pilihan rakyat dalam sistem demokrasi yang bebas ini. PKR tidak berhak memarahi kita sebagaimana mereka tidak pernah mengira kemarahan PAS dalam perletakan jawatan ADUN Kajang ini.


5- BN tidak berhak untuk campurtangan isu dalaman PR untuk melaga-lagakan dan memecah belahkan pakatan ini. Jika BN cuba mengambil peluang di air yang keruh, PKR perlu dipersalahkan kerana pimpinan mereka telah mengeruhkan pakatan ini. Tapi saya yakin rakyat akan terus bersama dengan PR, khususnya PAS yang konsisten dengan pendirian dan jujur dalam persepakatannya.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
ADUN BUKIT PAYONG


28hb Jan 2014/26 Rabiul Awwal 1435

Saturday, January 25, 2014

Petikan : Buletin Online
 
KUALA TERENGGANU – Ribuan hadirin membanjiri perkarangan Markaz Tarbiyah PAS Kubang Lembik, Manir dekat sini bermula seawal jam 7 pagi untuk menghantar pulang ‘sang murabbi’ al-Marhum Tuan Guru Datuk Harun Taib pulang menemui penciptanya Allah SWT.

ustaz harun meninggal2[Gambar kanan - Kedua-dua anak lelaki al-Marhum Ustaz Harun, Hamdi (kiri) dan hilmi (kanan) mengusung jenazah ayahandanya menuju tanah perkuburan]

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 12.10 tengah malam Sabtu 25 Januari setelah dimasukkan ke hospital Sultanah Nurzahirah, sehari sebelumnya.
ustaz harun meninggal3Antara pemimpin yang hadir mendirikan solat jenazah yang diimamkan ole Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, Ahli Jawayankuasa Kerja PAS YB Ustaz Idris Ahmad, Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu Datuk Husin Awang serta lain-lain pimpinan peringkat negeri dan nasional.
ustaz harun meninggal4Turut hadir adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub yang tiba sejurus selepas jenazah dibawa ke tanah perkuburan.
Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir serta rombongannya, hadir bersama tokoh Maal Hijrah Terengganu Ustaz Zulkifli al-Bakri dan pulang lebih awal sebaik ketibaan Presiden PAS sebelum solat jenazah.

Kami memohon penjelasan daripada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi merungkai kekeliruan berkenaan penjelasan beliau mengenai program lawatan ke Antartika dan juga penafian penglibatan oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) melalui Setiausaha Kerjanya Mohd Azrul Ismail hari ini.

Persoalan-persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana berlaku percanggahan kenyataan ini sedangkan didalam laporan akhbar pada 15 Januari 2014, jelas dilaporkan bahawa lawatan ini adalah anjuran Kementerian Sains Teknologi dan Inovas melalui inisiatif dari YDSM.

Berapakah kos keseluruhan wang rakyat secara terperinci yang digunakan bagi menampung perbelanjaan lawatan ini sepertimana yang telah ditanya oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Saiful Bahari Mamat sedikit masa dahulu yang belum dijawab oleh MB.

Begitu juga apakah hasil pulangan yang signifikan bagi rakyat terbanyak di Terengganu atas lawatan ini dan juga penyelidikan yang dilakukan di sana? Adakah akan membantu rakyat menampung kos sara hidup yang semakin mencengkam ketika ini? Ataupun akan dapat membantu rakyat Terengganu yang berkedudukan ketiga termiskin di Malaysia naik kepada kedudukan yang lebih baik?

Kami juga berharap agar nama baik YDSM yang telah banyak memberikan sumbangan kepada rakyat tidak dikambing hitamkan demi menyelamatkan pihak yang lain dan kami tidak akan berdiam diri sekiranya nama baik Tuanku Sultan Terengganu juga terpalit dengan isu ini.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
22 Rabiul awal 1435H/ 24 Jan 2014m

Wednesday, January 22, 2014

Petikan : Buletin Online
 
MARANG – Majlis ‘Pecah Tanah’ pembinaan kompleks bangunan baru Madrasah Darul Iman (MDI) yang terletak dalam DUN Bukit Payong, akan disempurnakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 31 Januari 2014.
 
Menurut Pengarah Majlis tindakan DUN (MTD) tersebut, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, kompleks yang dijangka menelan belanja sebanyak RM400, 000 itu akan dilengkapi dengan ruang pejabat dan kedai.
 
“Angaran kos pembinaan kompleks tersebut RM400 ribu,didirikan setinggi 3 tingkat, aras pertama dibina ruangan pejabat dan kedai.
 
“Aras dua pula akan dibina rumah penginapan, manakala aras tiga akan dijadikan dewan utama,” ujarnya ketika ditemui ketika membuat lawatan ke tapak kompleks tersebut.
 
MDI2Beliau berkata, dana untuk pembinaan seluruh kompleks pendidikan itu adalah hasil dari sumbangan orang ramai serta beberapa program yang dianjurkan MTD Bukit Payong, seperti jualan meja makan malam.
 
Beliau berharap, orang ramai terus memberikan sokongan kepada pendidikan Islam dan memberikan sumbangan kepada pembinaan yang sedang berlangsung.
 
“Hasil dari dana yang dikumpul setakat ini hanya mampu untuk pembinaan fasa pertama sahaja, untuk mencari dana tambahan, MTD Bukit Payong akan mengadakan satu lagi program besar.
 
“(Iaitu) majlis makan sambil menderma disertakan dengan Majlis Pecah Tanah yang akan disempurnakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi pada 31 Januari ini,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong.
 
Beliau berkata, skim jualan lot wakaf bangunan tersebut juga telah dilancarkan dengan harga RM50 sekaki persegi.
 
“Untuk sebarang sumbangan, boleh dibuat terus ke akaun Maybank Kompleks Madrasah Darul Iman No akaun: 5630 1923 3967.
 
“Sumbangan dari semua pihak amat diharapkan untuk mempercepatkan dan melancarkan perjalanan pembinaan kompleks tersebut,”tambahnya

Tuesday, January 21, 2014

               

 
Petikan : Sinar Harian

Patuhi harga kawalan 

Ibrahim tetap menjual daging pada harga ditetapkan dan mengakui masih memperoleh keuntungan.                                                      
 
MARANG – “Harga daging tidak boleh melebihi RM24 hingga RM25 sekilogram dan peniaga daging di negeri ini perlu mematuhi ketetapan harga kawalan semasa berkenaan bagi mengelak dikenakan tindakan termasuk kompaun.

Demikian peringatan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu, Syamsul Badrin Mohshin mengenai harga kawalan semasa daging di negeri ini.

“Peniaga daging juga tiada sebab munasabah untuk menaikkan harga daging yang dijual melepasi harga telah ditetapkan itu,” katanya mengulas dakwaan pengguna mengenai harga daging di daerah ini yang dikatakan dijual RM28 sekilogram.

Syamsul ketika dimaklumkan mengenai perkara itu terkejut kerana peniaga bukan sahaja tiada alasan munasabah untuk menaikkan harga daging malah, pihaknya sentiasa membuat pemantauan mengenai perkembangan harga barang di setiap daerah.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku di kawasan luar pasar utama membabitkan peniaga yang menjual daging di tepi jalan dan di dalam kampung,” katanya.

Sementara itu, peniaga daging di Kedai Buluh dekat sini, Ibrahim Yusof, 68, turut membidas sikap peniaga menaikkan harga daging melepasi harga kawalan semasa sehingga mencecah RM28 sekilogram dan menyifatkan peniaga terbabit tamak.

“Sejak dua tahun lalu pakcik masih mampu untuk mengekalkan harga daging RM24 sekilogram dan mendapatkan bekalan lembu hidup daripada penternak tempatan..setakat ini harga itu masih mampu beri untung.

“Tindakan segelintir peniaga yang jual daging melebihi harga ditetapkan itu akan hanya menjejaskan nama baik peniaga daging di daerah ini khususnya peniaga sepenuh masa seperti pakcik,” katanya kepada Sinar Harian.

John Douglas ( Amin Abdullah - tengah) sedang berkongsi pengalaman beliau
 
Apabila hidayah datang kepada seseorang hamba, maka tiada apapun didunia ini akan dapat menafikannya. Pengalaman yang dialami oleh seorang saudara baru John Douglas Nelson yang dikongsi dengan teman-temannya sangat mengujakan. Hampir sejam setengah perbualan santai itu menjadi semakin menarik dengan kisahnya yang terkadang menyentakkan perasaan kita sebagai seorang yang bergelar muslim. Bukan sahaja dia menjelaskan bagaimana hidayah itu datang, malahan juga kritikannya kepada muslim turut perlu kita selesaikan untuk kita lebih sedar apakah tindakan kita terhadap bukan Islam selama ini benar atau tidak.
Beliau dilahirkan di Amerika. Setelah menyertai banyak syarikat-syarikat besar bagi menjalankan projek-projek besar di serata dunia, akhirnya dia bekerja di sebuah syarikat petroleum di Abu Dhabi. Dalam syarikat itu dia berkenalan dengan seorang muslim yang bernama Dr. Mohammed. Menurut beliau, dia sangat kagum dengan Dr. Mohammed itu atas sikapnya yang sangat tenang dan tinggi akhlaknya. Walaupun jelas dia dikhianati oleh rakan-rakan yang lain, dia tetap fokus dengan kerjanya dan memberikan sepenuh komitmen kepada amanah yang diberikan kepadanya. Akhlak inilah yang mengagumkan John Douglas terhadap Dr. Mohammed. Tetapi kekagumannya itu bukanlah diatas dasar agama, hanya individu.
Masa terus berlalu dan mereka meneruskan kehidupan masing-masing dan kedua-duanya menjadi teman rapat. Tidak pernah sekalipun kata John Douglas, Dr. Mohammed mengeluarkan perkataan untuk mengajaknya masuk Islam. Dr. Mohammed hanya menjalankan rutin harian beliau sebagai muslim iaitu dengan tidak meninggalkan solat berjemaah lima kali sehari dan kewajipan-kewajipannya yang lain. Malah John Douglas juga turut berpuasa sebagai menghormati rakan muslimnya itu. Sehinggalah pada suatu waktu John Douglas diberikan terjemahan al-Quran. Pada malam itu dia cuba membacanya tetapi hanya sedikit sahaja, kemudian dia terlelap. Selang beberapa lama selepas malam itu, dia tiba-tiba bermimpi didatangi oleh suatu suara yang menyuruhnya bersolat…. “Pray….pray” bunyi suara itu.
Dia tersedar mendengar suara itu lalu mencarinya. Dalam hatinya menjawab “Bagaimana aku mahu solat sedangkan aku tak tahu”. Keesokan harinya dia terus menemui Dr. Mohammed untuk bertanya tentang mimpinya malam tadi. Dr. Mohammed setelah mendengar kisahnya itu memberitahu itu adalah syahadah iaitu ketika semua manusia di alam roh, manusia telah melafazkan ikrar bagi mengaku bahawa Allah adalah tuhan seluruh alam. John Douglas bukanlah seorang yang kuat pegangan kristiannya walaupun dia pernah bercita-cita ingin menjadi paderi. Jadi dia tidaklah membantah perkataan Dr. Mohammed itu. Dia kemudiannya sedikit demi sedikit memahami tentang Islam.
Sekali peristiwa, dia kemudiannya bermimpi lagi. Kali ini suara itu menyuruhnya membaca pula…. “Read….read”. Dia yang tersedar kemudiannya mengambil terjemahan quran yang ada di sisinya terus membacanya. Setelah dia mengetahui bahawa itu adalah panggilan dari tuhan agar dia kembali kepada tuhan, diapun terus berbincang secara serius dengan Dr. Mohammed perihal perkara itu. Setelah mendapat maklumat tentang Islam dengan lebih jelas diapun mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Apabila hasratnya dimaklumkan kepada Dr. Mohammed pada suatu hari Jumaat, Dr. Mohammed bertanya adakah dia serius dan sudah memikirkan semasak-masaknya tentang keputusannya itu. Dia tuntas menjawab “Yes”.
Bersyukur dengan keputusan itu Dr. Mohammed, mengajarnya mengambil wudhu’ untuk bersama-sama ke masjid bagi solat dan melakukan syahadat sebagai merasmikan John Douglas Nelson sebagai seorang muslim dengan disaksikan oleh para jemaah di masjid itu dan di syahadahkan oleh imamnya. Beliau kemudiannya menukar namanya kepada Amin Abdullah. Sebagai orang yang baru yang memeluk Islam, sudah pastinya keterujaan untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain tinggi. Alhamdulillah beliau diizinkan Allah untuk menunaikan haji buat pertama kalinya.
Ketika di Mekah, dirinya diuji dengan perlakuan sesetengah orang Islam yang baginya sangat menjengkelkan. Dia merasakan sesuatu yang tidak kena apabila orang ramai melangkah dia yang sedang solat, sedangkan itu bukan akhlak yang dia ketahui dalam Islam. Fikirannya menjadi kacau dengan perlakuan manusia-manusia itu. Adakah dia telah tersalah pilih jalan atau dia tertipu. Maha suci Allah yang memberikan ilham kepadanya ketika sujud untuk mengenepikan gangguan aqidah itu hasil dari perlakuan yang tidak betul sesetengah orang Islam tersebut. Dia mendapat keyakinan ketika sujud dengan berkata kepada dirinya sendiri, “Aku di sini bukan kerana manusia, tetapi kerana Allah. Pedulikan semua perlakuan manusia kerana aku menyembah Allah” begitulah seterusnya dia menguatkan hatinya bagi mengenepikan hal lain dalam hatinya kecuali Allah.
Walaupun keluarganya tidak dapat ditarik bersama untuk masuk ke dalam Islam, tetapi dia redha dengan ketentuan Allah. Dia hanya mengharapkan yang terbaik dan cuba menunjukkan contoh yang mulia kepada isteri dan anak perempuannya. Bagaimanapun kata beliau, keadaan agak sukar di Amerika dengan propaganda samada dalam majalah atau televisyen terhadap Islam begitu kuat sehingga Islam dikenali sebagai agama kejahatan oleh kebanyakkan orang di sana.
Begitulah serba sedikit tentang kisah John Douglas Nelson memeluk Islam. Dia secara jelas mengakui tertariknya dia dengan Islam adalah kerana akhlak Dr. Mohammed. Apa yang cuba saya sampaikan disini bukan sahaja kisahnya, malah jauh dari itu keadaan akhlak kita sebagai orang Islam yang telah jauh tersasar dari matlamat menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Kita tidak mampu berdakwah dengan perkataan atau tulisan iaitu hal yang agak mudah berbanding dengan berdakwah melalui akhlak kepada bukan Islam. Tetapi Dr. Mohammed berjaya melakukannya kerana mingikut Rasulullah saw, contoh terbaik yang diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia sejagat. Sayangnya kita yang mengaku menjadi umat Muhammad majoritinya gagal dalam berakhlak dengan sebenar-benar akhlak yang ditunjukkan contoh oleh rasulullah saw.
Kita tidak mampu menimbulkan rasa kasihan dalam diri kita, kerana mereka yang bukan Islam itu, mereka sebenarnya tersesat jalan yang sepatutnya kita membawa mereka kembali ke jalan yang benar iaitu Islam. Malah sebahagian dari kita pula mengadakan sempadan dengan bukan Islam, seperti mereka tidak layak dilayan seperti hamba Allah. Lebih parah lagi jika ada yang mengambil kesempatan mengapi-apikan agama bagi kepentingan diri yang sedikit. Bila bukan Islam ingin mendekati Islam, dia yang menjadi penghalang agar bukan Islam tidak masuk Islam. Begitulah kejahilan yang meliputi pemikiran masyarakat Islam masakini. Mereka dengan kejahilan itu akan lebih mudah diperbodohkan oleh golongan-golongan berkepentingan itu. Ubahlah akhlak kita, tambahkanlah ilmu kita bukan sahaja kerana ingin membawa bukan Islam masuk Islam, tetapi jauh lebih penting bagi memastikan diri kita sendiri terselamat dari api neraka dan juga keluarga kita. Selesai itu barulah difikirkan tentang masyarakat kita secara keseluruhannya. Firman Allah “Wahai orang-orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka”. Sejauh manakah kita sudah mengamalkan ayat Allah ini? Wallahua’lam.

**John Douglas Nelsom @ Amin Abdullah sekarang ini bertugas di Qatar setelah projeknya di Abu Dhabi selesai.

Saturday, January 18, 2014

 
 
Assalamualaikum

Saya merujuk kepada satu surat bertarikh 14hb Disember 2013 yang bertajuk “Memohon Pemberhentian Guru KAFA Dan Guru Al-Quran Dewasa / Kampung” yang ditandatangani oleh Haji Rosdi Haji Mohammad Salleh iaitu salah seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubang Palas, Bukit Payong, Marang, Terengganu kepada Pegawai Yayasan Islam Daerah Marang.

 Menurut surat JKKK Kubang Palas itu yang jelas menamakan dua orang guru Kafa dan guru al-Quran dewasa untuk diberhentikan perkhidmatan mereka kerana dituduh menyokong parti pembangkang dalam Pilihanraya ke 13 baru-baru ini. Oleh kerana sokongan mereka berdua kepada pembangkang, maka mereka telah digelar sebagai individu yang terlibat dengan aktiviti menentang kerajaan. Kemungkinan, surat ini adalah satu daripada himpunan surat-surat JKKK yang tegar Umno sehingga akhirnya terbukti penamatan kontrak hampir 300 guru Kafa. Tema maulid Rasulullah, "Wasotiyyah tonggak kesatuan ummah" hanya kata-kata kosong sahaja.
 
Disebabkan hal ini berlaku di dalam Dun saya, maka saya sebagai Wakil Rakyat yang sah yang dipilih dalam PRU ke 13 baru-baru ini, maka saya rasa bertanggungjawab bagi menjelaskan kepada masyarakat bahawa :

 1- Saya telah diiktiraf oleh Tuanku Sultan Terengganu dan kerajaan Barisan Nasional Terengganu sebagai Wakil Rakyat yang sah disisi undang-undang bagi negeri Terengganu mahupun Malaysia melalui proses demokrasi berparlimen, dengan kerajaan BN telah menjemput saya mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan saya telahpun dua kali menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi tahun 2013 lalu. Jika saya, parti dan penyokong saya telah melakukan aktiviti menentang kerajaan, dan memudaratkan keselamatan dan keharmonian kampung, sila laporkan kepada pihak berkuasa dan buktikan dibawah peruntukan undang-undang mana, kami dituduh sedemikian.

 2- Tidak pernah ada peruntukan undang-undang yang menghalang kakitangan kerajaan menyokong parti-parti yang mereka sukai, sekaligus membuktikan JKKK Kubang Palas tidak demokratik cuba menafsir sendiri undang-undang dan bersikap kaduk naik junjung dengan sewenang-wenangnya cuba menggunakan kuasa dan menuduh penduduk kampung mereka sendiri memecahbelahkan rakyat, disamping cuba mempengaruhi pegawai Yayasan Islam Daerah Marang dengan tuduhan palsu.

 3- JKKK Kubang Palas juga telah jelas lari dari peranannya sebagai pihak yang sepatutnya merapatkan persefahaman sesama penduduk kampung, menjaga keselamatan dan keharmonian kampung tetapi sebaliknya mereka memilih untuk memecahbelahkan perpaduan penduduk Kampung Kubang Palas dengan mengkategorikan individu sebagai pembangkang atau bukan.

 4- JKKK Kubang Palas juga jelas gagal dalam memahami peranan guru-guru al-Quran ini sebagai golongan yang dipuji Allah kerana ilmu yang mereka ada bagi mendidik masyarakat agar kenal dengan kitab suci Allah ini. Allah dan Rasulullah meletakkan golongan yang paling baik ialah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarnya. Tetapi dendam politik mereka lebih menebal berbanding memikirkan fungsi sebenar guru al-Quran ini.

 5- JKKK Kubang Palas menganggap mereka mempunyai kuasa yang sangat besar bagi menentukan nasib seseorang terutama yang tidak sehaluan dengan mereka. Tetapi dalam waktu yang sama, mereka lupa bahawa duit elaun mereka itu dibayar oleh rakyat.

Suka saya mencadangkan kepada kerajaan negeri Terengganu agar dimasa hadapan, memilih JKKK yang lebih matang dan  sayang ilmu agama serta sedar diri. Ini penting bagi menjamin keselamatan, kemajuan dan keharmonian sesuatu kampung itu terpelihara. Jangan nanti yang menjadi mangsa ialah penduduk kampung sendiri kerana kedangkalan dan tahap berfikir JKKK terlalu rendah seperti yang ditunjukkan oleh JKKK Kubang Palas.
 
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
Ketua Penerangan BPPNT

Wednesday, January 15, 2014

Oleh : Mat Teropong

Bismillah.Kisah-kisah ini adalah samada dari kuliah, bacaan dan pengalaman aku sendiri:
Kisah 1 :
Diceritakan ketika Rabiatul Adawiah lahir (zaman selepas wafatnya rasulullah saw), ayahnya tidak mempunyai wang. Takdir Allah dia bermimpi berjumpa rasulullah s.a.w dalam tidurnya. Rasulullah menyuruh dia pergi ke rumah menteri dan mengambil 400 dinar daripada menteri tersebut kerana menteri tersebut “berhutang” dengan baginda.
Apabila hal itu diajukan kepada menteri itu, maka dia amat terkejut kerana bagaimana mungkin dia berhutang dengan rasulullah kerana mereka tidak pernah bertemu. Setelah lama baru dia mendapat jawapan 400 dinar itu adalah kafarah baginya kerana lupa berselawat pada hari Jumaat. Amalan menteri itu ialah berselawat sebanyak 1000 kali seminggu iaitu 100 kali setiap hari dan 400 kali pada hari Jumaat dan pada suatu Jumaat dia terlupa untuk berselawat. Dengan senang hati ,menteri itu menyerahkan 400 dinar dan bersyukur kerana rasulullah menerima selawatnya dengan izin Allah.
Kisah 2 :
Seorang ibu tua sedang dalam keadaan sakit. Lalu anaknya menziarahinya. Rumahnya diperbuat dari tanah liat seperti rumah orang zaman dahulu dan dia tidak mahu meninggalkan rumahnya itu. Anaknya menawarkan doktor yang terbaik bagi merawatnya, tetapi dia menolak. Dia menjawab bahawa dia mengetahui apa sebab sakitnya itu dan ubatnya. Katanya “Jika tiga hari aku tidak bertemu dengan rasulullah, maka aku akan sakit,” sambil mulutnya tak lepas-lepas dari berselawat. Bayangkan sudah berapa lama ibu itu bermimpi berjumpa rasulullah? Sehinggakan selawat adalah ubat kepada sakitnya.
Kisah 3 :
Aku bertemu seorang tua yang menjadi bilal di Masjid Paka. Aku mengetahui melalui kawan aku bahawa dia pernah bermimpi bertemu dengan rasulullah. Aku terus bertanya berkenaan mimpi dia itu. Pada mulanya dia keberatan untuk menjawab takut riak mungkin. Tapi lepas beberapa lama diapun berkongsi petua. Katanya paling kurang berselawatlah 100 kali sehari.
Kisah 4 :
Aku terbaca di Harakah berkenaan pendedahan Tuan Guru Nik Aziz bahawa Tuan Guru Haji Hadi sudah beberapa kali bermimpi bertemu rasulullah. Suatu petang lepas solat asar aku menunggu TG Haji Hadi di pintu keluar masjidnya (dia ada laluan khusus untuk keluar) terus aku beri salam, bersalaman dengannya dan terus bertanya apakah amalan yang dia lakukan setiap hari hingga dapat bermimpi bertemu rasulullah. Dia jawab ringkas “ selawat”, aku tanya lagi banyak mana sehari? Dia jawab dia tak mengira berapa banyak dia selawat sehari.
Kisah 5 :
Seorang murid bertanya kepada seorang imam berkenaan cara untuk bermimpi berjumpa rasulullah. Imam itu menyuruh dia ke rumahnya pada malam itu untuk mendapatkan cara bermimpi bertemu rasulullah. Pesan imam kepada muridnya supaya makan malam di rumahnya. Sampai di rumah imam, muridnya dijamu  dengan makanan-makanan yang masin semuanya. Selesai makan tanpa diberi minum muridnya disuruh tidur untuk bermimpi berjumpa rasulullah.
Keesokan harinya mereka bangun bersolat dan selesai semua solat dan wirid, imam itu bertanyakan mimpi muridnya. Jawab muridnya “Saya bermimpi saya ditimpa hujan yang sangat lebat semalam, tetapi tidak pula berjumpa rasulullah tuan” Jawab imam, “Benar, itulah mimpi yg betul” yang membuatkan muridnya kehairanan. Dia yang tidak puashati terus bertanya apa maksudnya dengan mimpi itu.
Jawab imam “Kamu sangat dahagakan air kerana selepas makan malam dengan makanan yang masin, pastinya kamu mencari air. Kerana air itu yang sangat-sangat bermain dalam fikiran kamu maka kamu bermimpi berjumpa air. Begitulah juga dengan rasulullah, jika rasulullah sentiasa berada dalam hati dan pemikiran kita kerana cinta dan kasihnya kita kepada baginda, maka kita akan bertemu dengan baginda. Tetapi rasulullah tiada di hati kita, mana mungkin kita bertemu dengan baginda” terang imam lagi.
Lima kisah teratas bukan dalil, ianya hanya pengalaman yang diberitakan. Tidak kisah samada mahu dipertikaikan atau diterima, yang penting ianya melibatkan menteri, presiden parti, seorang bilal yang tua naik motor sahaja berulang alik ke masjid dan seorang makcik tua yang miskin, yang satu persamaan mereka ialah mereka dapat bertemu dengan rasulullah dalam mimpi. Dengan amalan yang hampir sama oleh mereka semua iaitu berselawat dengan sebanyak-banyaknya, maka tidak kira pangkat dan harta, mereka mendapat keistimewaan ini.
Jadi untuk kita menjadi umat yang dikasihi dan mengasihi rasulullah, maka kita hendaklah sentiasa mengingati baginda dalam apa jua keadaan. Dengan selawat 100 kali yang kurang dari lima minit untuk di selesaikan, kita kelihatannya amat berkira-kira dengan baginda, tetapi dalam masa yang sama mengaku kononnya sebagai pengikut rasulullah s.a.w. Sedangkan Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas nabi, maka apakah kita lebih tinggi dan mulia dari keduanya? Berselawatlah tanpa menetapkan hari-hari khusus, tetapi berselawatlah sentiasa kerana rasulullah s.a.w berpesan orang yang paling hampir dengan baginda di akhirat nanti ialah orang yang paling banyak berselawat ke atas baginda. Tidak inginkah kita kepada syafaat baginda?
Sahabat sekelian, kita semakin jauh dari rasulullah dengan pelbagai keadaan. Samada jauh itu kerana dua sebab iaitu meninggalkan sunnahnya dan satu lagi jarak zaman kita dengan baginda. Satu tidak dapat dikembalikan iaitu zaman atau masa, kita tidak mungkin dapat hidup bersama baginda lagi selama-lamanya di dunia ini. Tetapi satu lagi dapat kita ambil semula iaitu kembali kepada sunnah baginda dengan mengamalkannya semampu kita untuk menjadikan rasulullah dekat dengan kita. InsyaAllah kita akan menjadi golongan yang rasulullah sebutkan iaitu kaum yang tidak mengenali baginda tetapi berpegang dengan bersungguh-sungguh sunnah baginda. Moga kita dikurniakan syafaat oleh baginda dengan izin Allah. Allahumma Solli a’la Muhammad Wa’ala aali Muhammad.

Tuesday, January 14, 2014


Bismillah. Alhamdulillah dan segala puji bagi rasulullah saw. Bersyukur kita kepada Allah kerana dengan limpah rahmatNya diberikan umur untuk berada dalam bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran rasulullah saw insan yang kita cintai. Bertemakan tema yang sama, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, membayangkan kepada kita semua betapa pentingnya kesederhanaan dalam mengharungi kehidupan ini. Contoh yang rasulullah berikan ketika memimpin umatnya, tidak menggambarkan bahawa baginda seorang pemimpin yang gila kuasa, harta, pangkat atau semua hal keduniaan.
Disebabkan fokus baginda hanyalah ditumpukan kepada menyelamatkan manusia dari kesesatan kepada jalan yang benar dan lurus, sambungan dari agama nenek moyang mereka iaitu Nabi Ibrahim a.s, maka baginda tidak tertarik kepada kemewahan dunia. Tidak seperti pemimpin sekarang yang begitu rakus membahagi-bahagikan harta sesama mereka seolah-olah harta itu milik mereka. Rasulullah juga melaksanakan amanah dengan sepenuh hati hanya kerana Allah kerana baginda sedar bahawa baginda akan kembali mengadap Allah apabila tiba masanya. Sedangkan pemimpin sekarang menyakini akan amanah itu adalah keuntungan bagi membaham harta negara dan sepertinya mereka tidak akan mati.
Rasulullah dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang amanah dan setia kepada perintah Allah dan rasul dan memberi nasihat yang betul kepada rasulullah berbanding kepimpinan sekarang yang mempunyai penasihat-penasihat yang sentiasa dalam fikiran mereka bagaimana mahu menambahkan lagi harta dengan mudah. Tiada lagi takut dengan amaran Allah dan rasul. Rasulullah juga sentiasa mengajarkan ilmu agar umat baginda pandai dan tahu yang mana betul dan salah mengikut acuan Islam. Tetapi pemimpin sekarang ini terus-terusan memperbodohkan rakyat dengan pelbagai cara dan rupa agar senang bagi mereka melaksanakan kerja-kerja jahat mereka.
Perkataan kezaliman dan penindasan keatas rakyat baginda tidak pernah wujud dalam kamus hidup baginda kerana sifat seorang pemimpin sejati ialah melindungi rakyatnya bukan menzalimi mereka. Tetapi kezaliman bagi pemimpin sekarang ibarat aur dengan tebing. Rakyat ditindas dan dizalimi kerana bimbang akan kuasa mereka tergugat. Apa-apa perkara yang menyusahkan, rakyat akan kena dulu. Ketika rakyat diminta berjimat cermat, kisah-kisah sang ketua pula yang bermandikan wang, menabur duit disana-sini cukup pantas berlegar di depan mata yang menjadikan rakyat cukup mual kepada pemimpin. Dibandingkan dengan rasulullah saw yang benar-benar hidup dalam wasitiyyah sehinggakan makan baginda kadang-kadang tidak cukup, dan akhirnya wafat dalam keadaan hampir tiada harta dengan baju besi baginda digadaikan kepada seorang yahudi walaupun dia menjadi pemerintah yang sedang berkembang biak disebelah arab.
Cubalah kita benar-benar memahami slogan yang diberikan agar kita bukan sahaja dapat menyelaminya malah sekaligus menjadikan wasatiyyah atau kesederhanaan itu sebagai amalan. Tapi malangnya kesederhanaan rasulullah tidak diikuti tetapi pembaziran yang diteruskan. Sedangkan rasulullah saw diutuskan bagi membawa rahmat ke seluruh alam. Juga akhlak rasulullah tidak dituruti sedangkan hadis menyebut, baginda diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia. Kita perlu membuang jauh-jauh pemimpin yang hanya pandai bercakap tentang kehebatan rasulullah dalam masa yang sama menentang segala sunnah dan suruhan dari Allah dan rasul sebaliknya pula mengamalkan apa yang Allah dan rasul larang. Mereka inilah yang menghancurkan kesatuan ummah sebenarnya. Moga kita terlindung dari kepalsuan ini. Allahumma solli ala Muhammad wa ala aali muhammad.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Penerangan BPPNT

12 Rabiul Awwal 1435 / 14 Januari 2014

Monday, January 13, 2014

Petikan : BuletinOnline
 
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar negeri Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said disarankan mengambil tindakan undang-undang terhadap ‘Pakatan Rakyat Election News’ yang menuduh beliau menggelapkan atau ‘songlap’ bantuan banjir.
 
Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sekiranya Ahmad Said merasakan pihak tersebut berbohong, tindakan keras mestilah diambil.
 
“Kami (PAS) bimbang juga dengan tuduhan seumpama ini dan kami mengharapkan tuduhan seumpama ini tidak sewajarnya berlaku tetapi kemungkinan ada asas yang perlu dinilai.
 
Bahkan jika dia bohong,  sepatutnya Menteri Besar memberi respon yang agak keras untuk menyaman pihak media yang dikatakan menuduh beliau,”ujarnya.
 
Ustaz Mohd Nor berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Gerak Kerja Penerangan Peringkat Kawasan Kuala Terengganu di Kualai Ibai dekat sini semalam.
 
Beliau yang juga ADUN Bukit Payong berkata demikian ketika memberi respon terhadap pendedahan yang dibuat oleh Ahmad Said sendiri, disiarkan 8  Januari lalu.
 
ADUN Kijal itu melahirkan kekecewaan, kerana beliau dituduh mengelapkan bantuan banjir di Kemaman pada bulan lalu.
 
Sehubungan itu, PAS juga menggesa kerajaan negeri mendedahkan jumlah sebenar bantuan-bantuan yang diberikan samada oleh pihak istana atau oleh kerajaan negeri.
 
Selain ia merupakan satu ketelusan pentadbiran kerajaan, menurut Ustaz Mohd Nor, ia juga bagi mengelakkan sebarang salah faham dan syak wasangka oleh semua pihak.
 
“Berapakah kos bantuan yang hendak disalurkan daripada pihak istana kepada mangsa banjir,  berapakah duit istana? Berapakah duit kerajaan negeri?
 
“Dan berapa banyakah bantuan ini diberikan kepada mangsa banjir, supaya mangsa banjir sedar saluran bantuan yang disampaikan kepada mereka tepat, mengikut kos yang telah ditetapkan oleh pihak istana sendiri,”tegasnya.

Wednesday, January 8, 2014


Bismillahir rahmaanir rahiim
Alhamdulillah, dua hari lepas seramai enam orang tahanan terakhir Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telahpun dibebaskan. Kita mengucapkan syabas kepada semua tahanan dan tidak lupa juga kepada kumpulan di belakang tabir yang begitu gigih memperjuangkan nasib tahanan ISA ini iaitu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Kejayaan semua pihak terbabit dalam memastikan ISA tidak lagi diperlukan pada zaman yang moden ini sekaligus membuktikan bahawa kerajaan BN sebenarnya turut memperakui akta ISA ini tidak lagi sesuai.
Dengan penghapusan ISA ini sepatutnya kerajaan memohon maaf terhadap mangsa-mangsa ISA yang dengan terang dan nyata telah dizalimi. Ada yang bercerai dengan pasangan masing-masing, ada yang tidak mampu menyara anak untuk bersekolah, ada juga pasangannya sehinggakan berkerja di kelab-kelab malam bagi menyara keluarga. Begitulah dosa-dosa kerajaan yang tidak pernah mendakwa tahanan-tahanan ISA ini di mahkamah bagi membuktikan pertuduhan tetapi menjatuhkan hukuman dengan menahan mereka tanpa bicara.
Kita menyambut baik langkah menghapuskan ISA tetapi dalam waktu yang sama masih ragu-ragu dengan akta yang baru kerana dibimbangi akan digunakan secara salah untuk kepentingan politik BN yang sudah dimaklumi seperti yang pernah dilakukan dalam Operasi Lalang, dan lain-lain operasi yang jelas menganiaya penentang politik BN.
Kita ingin mendapatkan kepastian dan juga jaminan dari pihak kerajaan bahawa bentuk ISA tidak akan berulang dalam akta baru iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada 31 Julai 2012 yang menggantikan ISA.
Kami yang berkeyakinan penuh dengan sistem perundangan Islam ingin mempelawa agar kerajaan memilih untuk menyelesaikan isu-isu perundangan dengan menggunakan cara Islam yang mana sistem pendakwaan Islam adalah jelas, adil dan dapat mencegah jenayah dari berleluasa berbanding sistem ciptaan manusia.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Penerangan BPPNT

08 Januari 2014 bersamaan 6 Rabiul Awwal 1435

Monday, January 6, 2014


Assalamualaikum

Saya mewakili saf pimpinan dan ahli Pas Terengganu ingin mengucapkan takziah kepada Yang Di Pertua Majlis Daerah Besut (MDB), Tuan Haji Ibrahim     bin Mohamad, serta keluarga beliau diatas kejadian tembakan di kediamannya awal pagi hari ini (Isnin 6 Januari 2014). Kami juga berdoa agar Allah  mengurniakan ri'ayah (pemeliharaannya) dan keselamatan serta ketenangan kepada Tuan Haji sekeluarga dalam meneruskan aktiviti harian dan melaksanakan tugas.  


Kami juga mengharapkan pihak polis dapat mengenalpasti dan mengetahui motif kejadian tersebut dalam masa yang terdekat.. Kejadian tersebut dianggap satu kes besar dan perlu diambil perhatian oleh rakyat kerana ia melibatkan pegawai kerajaan dan keselamatan mereka. Kejadian tersebut menimbulkan tanda tanya, adakah berpunca daripada isu melibatkan mereka yang dikenali atau hanya melibatkan jenayah rombakan dan samun? Tapi tiada pula laporan yg menunjukkan berlaku samun dan rompakan. Akan tetapi amat menakutkan jika kes ini adalah kes dendam ataupun ugutan disebabkan tugasan, kerana ancaman ini sekaligus akan menidakkan kuasa pegawai-pegawai kerajaan ini dan juga cuba menyekat pegawai kerajaan dari melaksanakan amanah mereka.
Suasana tersebut menambahkan lagi kebimbangan rakyat, lanjutan daripada daripada kejadian pembunuhan seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Pahang juga berlaku di rumah. Suasana ini menjadi pengajaran kepada seluruh umat Islam supaya kembali kepada syariat Islam. Dengan kejadian ini juga, sekaligus memaparkan kegagalan undang-undang dan sistem yang direka oleh manusia hari ini.  
Tanda tanya terus berlegar dalam fikiran rakyat, bagaimana senjata begitu mudah diperolehi? Bagaimana senjata boleh dibawa masuk dengan begitu mudah ke negara ini.? Rakyat berhak bertanya kerana keselamatan rakyat kini sudah terancam. Akan tetapi bagaimana jawapannya dari kerajaan kita tunggu.

 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Penerangan BPPNT

6hb Januari 2014

“Bila cinta sudah melekat, tahi kucingpun rasa coklat,” begitulah ungkapan dari penceramah yang membincangkan perihal murtad yang mengundang ketawa jemaah sebuah masjid berdekatan Bukit Payong dekat sini.
Program berkenaan kepentingan dakwah kepada masyarakat majmuk dan ancaman murtad kepada masyarakat Islam di Malaysia telah diadakan di Masjid Titian Baru dalam Dun Bukit Payong baru-baru ini.
Program anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong itu telah menjemput Ustaz Muhammad Fitri Abdullah (kiri) seorang pendakwah bebas yang juga bekas mubaligh Hindu sebagai penceramah.
Ustaz Muhammad Fitri yang sekarang ini berkhidmat dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor sebagai Naib Pengerusi 2.
Program yang bertujuan bagi memberi kesedaran kepada ahli kariah yang berdekatan agar lebih melihat dakwah ini sebagai satu tanggungjawab bersama yang mesti dijalankan secara berterusan.
Antara intipati kuliah beliau, manusia akan dipandang mulia apabila mengambil Islam sebagai cara hidup walaupun dia seorang bukan Islam kerana Islam itu agama fitrah dan fitrah itu adalah perkara yang disukai seluruh manusia.
Maksud beliau semua kebaikan ada dalam Islam tetapi jika kita sebagi muslim tidak mempraktikkan ajaran Islam itu, maka kita tidak dipandang hina, malah negara-negara barat lebih dilihat keelokannya kerana mengambil Islam.
Orang Islam juga disarankan agar menambahkan lagi ilmu dengan sentiasa membaca dan menghadiri majlis-majlis ilmu agar tidak berfikiran jumud.
“Saya ambil inisiatif dan saya belajar agama hindu sebab saya mahu jadi pandai dalam agama saya dulu.
Dan apabila saya masuk Islam saya teruskan pula dengan belajar Islam dengan bersungguh-sungguh,” ujar beliau memberi motivasi kepada hadirin.

Beliau kemudiannya setelah memeluk agama Islam mempelajari dengan bersungguh-sungguh agama Islam ini dan berjaya menjadi mubaligh, satu usaha dan kerja yang patut dicontohi oleh semua orang Islam iaitu mencari ilmu.
Beliau turut menyentuh birokrasi jabatan agama juga turut menjadi halangan dengan sikap segelintir kakitangannya yang mana kesilapan ini sepatutnya boleh dielakkan.
Beliau yang memegang ijazah ekonomi Universiti Utara Malaysia berpendapat sepatutnya orang Islam mengalu-alukan apabila bukan Islam mula menunjukkan sikap berbaik-baik dengan Islam melalui sikap kita yang tunjuk bahawa kita juga menyayangi mereka.
Jangan kerana sikap kita yang mengasingkan bukan Islam akan menjadi penyebab kita diseksa oleh Allah kerana tidak menyebarkan dakwah kepada bukan Islam.
Pendedahan berkenaan murtad serta kes-kes terbaru dan yang lampau dihidangkan kepada jemaah sebagai pengajaran dan tindakan oleh ibu bapa.
Menurut beliau antara faktor yang paling utama orang-orang Islam ingin menukar agama ialah terperangkap dalam cinta, perkahwinan, pengaruh filem, kemiskinan, lemah pegangan agama,terpengaruh dengan material.
Masalah persekitaran, komplot dari musuh, tiada pembimbing dan kelemahan penguatkuasaan juga menjadi penyebab kepada penukaran agama.
Faktor kejahilan menambahkan lagi masalah menukar agama ini kerana orang-orang Islam tidak tahu untuk mengajak orang bukan Islam untuk masuk kedalam Islam malah sebaliknya merekalah yang ditarik masuk kedalam agama lain.
Beliau juga mendedahkan jumlah permohonan penukaran kepada agama Hindu adalah lebih tinggi berbanding agama Kristian, bersalahan dengan apa yang orang ramai fikirkan selama ini.

Friday, January 3, 2014


Assalamualaikum. Saya ingin menarik perhatian seluruh rakan-rakan yang terkesan dengan kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mengeluarkan kenyataan yang agak ekstrem berkenaan dengan perhimpunan “Turun”  pada malam tahun baru yang lalu. Tak perlu saya perincikan segala butir patah kenyataan beliau kerana saya yakin saudara-saudari sekelian boleh mengaksesnya dari internet.
Suka saya mengingatkan kepada Tan Sri agar mengambil pengajaran dari Surah al-Hujuraat ayat 6 berkenaan saranan berhati-hati apabila menerima sebarang berita daripada orang yang fasik. Ibnu Al-Qayyim berkata, Abu Abdillah bin Baththah dalam kitabnya dari Al-Khal’ dari Imam Ahmad bahwasanya beliau berkata:”Tidak layak bagi seorang menyandarkan dirinya untuk berfatwa hingga dalam dirinya terdapat lima karakter:
Pertama: Dia harus memiliki niat baik, karena jika ia tidak memilikinya,tidak ada cahaya berkah baginya dan dalam kata-katanya – Niat Tan Sri dilihat sentiasa melindungi Umno yang mana sepatutnya Tan Sri seorang mufti, sepatutnya bersikap neutral.
Kedua: Dia harus memiliki ilmu, kesabaran, wibawa dan tenang – Dalam hal ini saya melihat Tan Sri kurang sabar kerana selalu gopoh dalam mengeluarkan pendapat terutama apabila melibatkan PAS. Begitu juga kewibawaan Tan Sri sudah pudar contoh terjadi apabila Tan Sri mengeluarkan fatwa haram keatas sambutan Valentine’s Day, Kongsi Raya, Raya Berkembar dengan Krismas dan juga Sure Heboh dimana orang Umno sendiri menolak fatwa Tan Sri malah memperlekehkannya pula.
Ketiga: Dia harus memiliki pemahaman yang kuat dari pengetahuan - Cara Tan Sri mengambil berita sangat lemah contoh seperti yang berlaku pada malam tahun baru yang lalu, tiada siapapun yang datang mahu turunkan kerajaan tetapi hanya mahu kerajaan turunkan harga barang-barang keperluan. Kedua ketika Tan Sri melaporkan akan ada umat Islam dimurtadkan satu masa dahulu dan pemberi maklumat Tan Sri ketika itu Raja Sherina telah ditangkap kerana telah memberikan maklumat palsu. Rupanya maklumat yang Tan Sri sebarkan adalah palsu, dan menimbulkan keresahan kepada masyarakat.
Keempat: Keperibadian yang kuat dan tidak terpengaruh oleh kritik manusia – Tan Sri tidak dilihat mempunyai peribadi yang kuat kerana sering memberikan fatwa yang belainan kepada pihak yang lain. Contoh apabila penyokong Idris Jusoh yang terang-terang mengangkat banner di hadapan istana Sultan Terengganu dan menggelarkan tuanku sultan sebagai “Natang” (binatang) tiada pula Tan sri mengeluarkan fatwa bughah kepada mereka. Bukan itu sahaja malah perhimpunan demi perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menentang kerajaan Kelantan, Selangor dan juga Kedah sedikit masa dahulu, Tan Sri juga ketika itu kelihatan tidak menjumpai perkataan bughah dalam kamus Tan Sri untuk diberikan kepada mereka yang berdemostrasi itu.
Kelima: Memiliki pengetahuan tentang keadaan manusia – Saya percaya yang Tan Sri kurang mempunyai pengetahuan tentang manusia kerana itulah Tan Sri selalu digunakan orang dalam banyak hal terutama menjadi barisan depan dalam membelasah Pakatan Rakyat. Juga dengan mengatakan bahawa ulamak PAS tidak memahami al-Quran, memperlihatkan lagi kedangkalan Tan Sri dalam menilai manusia. Sekurang-kurangnya ulamak PAS telah berjaya menghapuskan kedai-kedai judi di Kelantan dan Terengganu sehingga kini tidak kelihatan lagi.
Tan Sri juga gagal melihat Malaysia ini adalah sebuah Negara demokrasi yang menjamin hak berhimpun dengan aman, apatah hal ini telah diakui oleh banyak pihak bahawa Himpunan Turun malam tahun baru itu berlangsung dalan keadaan aman. Maka mengisytiharkan bugahah dan halal darah peserta himpunan  itu adalah sangat jauh dari kebenaran dimana Malaysia ini bukanlah sebuah negara yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.
Dengan segala bukti yang dinyatakan juga dengan selera Tan Sri yang dilihat tinggi dan konsisten dalam menghentam Pakatan Rakyat, maka sebaiknya Tan Sri membuka baju mufti dan turun secara terhormat ke gelanggang politik dan bukannya hanya tahu melempar batu sambil tangan disembunyikan. Ini  akan memberikan kepastian kepada rakyat dan mengetahui apakah warna kulit Tan Sri yang sebenarnya.
Rakyat merindui mufti-mufti seperti Mufti Izzudin, an- Nawawi yang begitu lantang menyuruh raja dan pembesar dahulu yang mengeluarkan harta mereka ketika menghadapi serangan tentera Tartar sebelum mengambil harta rakyat dan bukan seperti sekarang, ketika keadaan ekonomi yang mencengkam hidup rakyata, rakyat dahulu disuruh berkorban dan menanggung sengsara dengan sokongan orang agama yang berkepit dengan BN.
Oleh itu kami mencabar Tan Sri untuk menyatakan kesediaan berdebat dengan sesiapa sahaja ulamak dalam PAS tentang isu ini dalam masa seminggu. Jika Tan Sri gagal untuk menyatakan kesediaan berdebat maka rakyat boleh menilai bahawa Tan Sri seorang yang pengecut dan menyembunyikan kebenaran berlawanan dengan firman Allah “ Dan serulah agama Allah dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah dengan cara yang lebih baik (al-Nahl : 125).
Kami juga menggesa agar Tan Sri menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kerana mengelirukan rakyat dan kami juga mendesak pihak kerajaan supaya menyiasat terhadap kenyataan ini yang boleh mencetuskan huru-hara dalam Negara.
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT

ARKIB