Thursday, September 19, 2013


“Pakcik tak apa-apa, pakcik redha,” demikian ungkapan yang keluar dari mulut Mohamad @ Nordin ayah kepada Mohd Safwan Nordin yang dijatuhkan hukuman RM5500 dan penjara dua tahun baru-baru ini.
“Sudah ketentuan Allah apa nak buat,” ujarnya lagi dengan tenang.
Mohd Safwan Nordin dijatuhkan hukuman selepas didapati bersalah menyebabkan kerosakan kepada kereta peronda polis dan mencederakan polis ketika perhimpunan Bersih 3.0 berdekatan dengan Sogo tahun lalu.
Safwan yang sekarang ini berada di rumahnya dan sedang menunggu rayuan setelah mahkamah membenarkan permohonan peguambela Safwan untuk menangguhkan hukuman sehingga selesai proses rayuan.
Ditanya tentang masyarakat sekeliling dan saudara mara, Pakcik Nordin berkata tiada masalah dengan masyarakat dan saudara mara malah mereka turut menzahirkan simpati dan memberi sokongan moral.
Beliau berharap agar pasukan pembela berjaya dalam rayuan mereka untuk meringankan hukuman keatas anaknya.
 

Harapan yang sama turut dizahirkan oleh ibu Safwan yang kelihatan agak sedih dan tidak banyak bercakap mengenangkan nasib yang menimpa anak bujangnya itu.
Sementara itu Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan berusaha membantu semampu mungkin bagi meringankan bebanan keluarga pakcik Nordin.

Ketuanya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata demikian ketika menziarahi keluarga ini dan menegaskan ianya sudah menjadi kebiasaan DPPNT untuk membantu mereka yang ditimpa kesusahan.

Beliau hadir bagi memberikan sokongan moral serta memberikan kata-kata semangat kepada Mohd Safwan dan ahli keluarga juga turut mendoakan kesejahteraan ke atas mereka sekeluarga.

Di pihak Majlis Tindakan DUN (MTD) Pengkalan Berangan pula, timbalan pengarahnya, Ustaz Sulaiman Sulong telah menyatakan persetujuan untuk menghulurkan bantuan kewangan semampu yang boleh kepada keluarga Pakcik Nordin.

Kes Mohd Safwan mendapat perhatian, kerana ketika beliau dijatuhkan hukuman, anggota-anggota PDRM dan DBKL yang dikatakan sebagai pencetus kekecohan oleh panel yang dibentuk kerajaan, masih belum seorangpun didakwa.

0 comments :

ARKIB