Thursday, September 12, 2013


Kuala Besut : Sepertimana Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Polis DiRaja Malaysia disarankan mempunyai Unit Agama dalam pasukan mereka dan berfungsi memulihkan kesedaran agama dikalangan anggota mereka.
“Cadangan kami, unit seperti ini wajib ditubuhkan oleh pihak polis, dimana pihak keselamatan ini harus diberi penambahbaikan ilmu (agama) kepada mereka.
Apatah lagi soal agama adalah penting bagi pihak keselamatan.
Bayangkan tanpa agama, tanpa pemerkasaan iman, mereka akan mudah terjebak dengan rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya,” demikian saranan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Riduan Mohamad Nor (kanan) kepada PDRM.
 

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas satu laporan menyebut kira-kira 40 peratus pelatih-pelatih PDRM tidak tahu mandi junub.
Laporan dalam sebuah akhbar harian tempatan itu juga mendedahkan kira-kira 40 hingga 50 peratus diantara mereka tidak lancar mengucap syahadah dan juga bermasalah dalam solat.
Laporan tersebut didedahkan oleh Datuk A Kadir Jasin ketika beliau menjadi ahli panel dalam Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia.
Menurut Ustaz Riduan, perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana bagi beliau ini adalah bukti sistem pendidikan negara telah gagal terutamanya berkaitan pendidikan agama.
Tambah beliau lagi melalui Unit Agama PDRM itu, anggota-anggota dicadangkan supaya mengikuti kelas-kelas agama secara jam kredit contohnya selama empat jam seminggu bagi memastikan kefahaman mereka dalam ilmu agama.
Mengulas isu yang sama, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (kiri) bersependapat dengan Ustaz Riduan iaitu sistem pendidikan yang ada sekarang gagal kerana tidak meletakkan agama sebagai teras.
Sistem yang tidak berpaksikan quran, sunnah, ijmak dan qias ini menurut beliau lagi hanya memandu manusia kearah keduniaan sahaja dan meminggirkan akhirat, dan inilah hasil yang diperolehi.
Beliau mendedahkan bukan sahaja di Pusat Latihan Polis malahan di pusat-pusat pengajian tinggi juga mengalami masalah berkaitan dengan perkara asas agama ini yang dbeliau yakini hasil kerana kegagalan sistem pendidikan.
“Kita tidak ada jalan kedua, ketiga, kita ada satu jalan iaitulah balik kepada syariat Allah.
Balik kepada konsep negara Islam, pendidikan Islam dan segala-galanya mengikut acuan Islam.
InsyaAllah (dengan mengikut Islam) kita akan memperolehi kejayaan yang lebih besarlah,” tegas beliau.
Beliau seterusnya berharap rakyat sedar dengan keadaan ini dan membantu proses menukar kerajaan yang ada agar sistem kehidupan yang berpandukan material dan dunia semata-mata ditukar kepada takutkan Allah.
Dan atas alasan inilah menurut beliau, tujuan utama menukar kerajaan, bukan semata-mata taksub kepada parti tetapi PAS berkehendakan supaya negara Malaysia ini akan menjadi bertambah baik dengan sistem Islam.
Kedua-dua mereka ditemui dalam majlis kesyukuran meraikan petugas-petugas PRK Kuala Besut di Markas PAS Kampung Baru Kuala Besut .
Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan bagi majlis ini dan dihadiri oleh sebahagian besar AJK Badan Pehubungan PAS Negeri Terengganu selain dari petugas-petugas dan juga penyokong-penyokong PAS.

0 comments :

ARKIB