Sunday, September 22, 2013


 
Pihak pengurusan Madrasah Darul Iman (MDI) baru-baru ini telah mengadakan satu program mengutip dana bagi membina bangunan tambahan dalam rangka menambahkan lagi jumlah pelajar mereka.
Program ‘Makan Malam Sambil Menderma’ itu telah mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan apabila kesemua 40 meja habis dijual.
Hampir 300 orang penderma termasuk ahli keluarga mereka hadir dalam program ini yang turut disertai oleh Adun Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah serta Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Ustaz Baharudin Mohammad.
 

Menurut jurucakap MDI saudara Ashraf Muda, tujuan utama kutipan ini ialah kerana MDI bercadang untuk menyiapkan bangunan bagi pelajar-pelajar tahfiz termasuk pejabat, rumah guru, kelas dan juga asrama.
“Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini, dan sekarang kita sedang menunggu kelulusan pelan bangunan dari pihak Majlis Bandaraya.
Kita menganggarkan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas Aidil Adha nanti selepas pelan diluluskan dengan anggaran kos keseluruhan ialah kira-kira RM800 ribu.
Kita berharap ianya akan siap dalam masa seperti yang dijadualkan dan untuk itu kita memerlukan sokongan dari orang ramai dalam pelbagai bentuk sumbangan bagi menjayakan projek yang baik ini,” kata beliau.
MDI adalah sekolah rendah agama swasta yang mengikut sukatan Kementerian Pelajaran dan mempunyai seramai kira-kira 650 orang pelajar dari tahun satu hingga tahun enam yang mana setiap satunya mempunyai empat kelas.
Baru-baru ini pelajar-pelajar tahun enam mereka telah selesai menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Bagi yang berminat untuk menghulurkan sumbangan kewangan, bolehlah menyalurkan sumbangan kepada akaun MDI – Maybank 5630 1923 3967
Kepada mereka yang ingin menyumbangkan bahan binaan ataupun apa-apa bentuk sumbangan selain kewangan bolehlah berhubung dengan Mudir MDI Ustaz Mazlan Ibrahim di talian 0199024674 bagi sebarang urusan.

0 comments :

ARKIB