Monday, September 16, 2013


Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) hari ini mendesak pihak berwajib menyiasat dan menjatuhkan hukuman kepada anggota-anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ini kerana dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh portal berita, panel yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia telah mengesahkan bahawa anggota-anggota PDRM dan DBKL yang menjadi punca huru-hara Bersih 3.0.
Ketuanya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menggesa siasatan segera diadakan kerana laporan yang dikeluarkan setebal 500 muka surat itu diketuai oleh bekas Ketua Polis negara Tun Hanif Omar bagi menjamin keadilan kepada semua.
“Seorang peserta telah dijatuhkan hukuman dan ketika ini sedang menunggu rayuan, itu keputusan mahkamah, kita kena patuh.
Tetapi apabila punca kepada kekecohan telah dikenalpasti, maka apakah hukuman kepada mereka yang bertindak memulakannya?
Sepatutnya, supaya berlaku adil, satu siasatan segera sejurus sahaja laporan diterima dijalankan keatas mereka-mereka yang dikatakan sebagai pemula kekecohan,” kata beliau.
Beliau ditemui dalam majlis makan malam mengutip dana pendidikan Madrasah Darul Iman di sebuah restoran di Bukit Payong.
Beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan kuasa secara berlebihan oleh anggota-anggota PDRM dan DBKL  seperti dalam laporan panel itu menjadi punca kepada tindak balas orang ramai.
Laporan panel itu juga turut menyalahkan DBKL kerana memberikan alasan yang rapuh untuk tidak membenarkan penggunaan Dataran Merdeka oleh peserta Bersih 3.0.
Turut dilaporkan ialah anggota-anggota polis menggunakan kekerasan terhadap provokasi.
Bersih, pada 24 Julai 2012 telah diisytiharkan sebagai entiti yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Adun Bukit Payong, Marang itu turut mempersoalkan siasatan dan tindakan keatas kumpulan yang memaki DYMM Sultan Terengganu sedikit masa dahulu.
“Kita ingin tahu setakat manakah siasatan yang telah dijalankan keatas mereka yang suatu masa dahulu menggelarkan DYMM Sultan Terengganu sebagai “Natang” (binatang)?
Kes ini juga sepatutnya dipandang serius kerana DYMM adalah ketua agama Islam negeri dan tidak seharusnya baginda digelar dengan gelaran menghina sebegitu, tetapi sehingga kini statusnya kita tidak tahu,” tegas beliau.
Sambil beliau membandingkan kes di Perak, hukuman yang sama sepatutnya dijatuhkan ke atas penentang-penentang DYMM Sultan Terengganu.
Bagi YB Ustaz Mohd Nor, beliau melihat kerajaan seperti menggunakan peluang bagi menakut-nakutkan rakyat dalam menyatakan pandangan mereka walaupun berhimpun dalam keadaan aman seperti yang berlaku di Perak.
 

Oleh itu beliau berharap agar kes-kes yang besar seperti yang beliau sebutkan di atas tidak dipandang kecil oleh pihak berwajib.
Ini kerana kata beliau, menurut Islam, keadilan mesti ditegakkan tidak kira samada ke atas rakyat biasa mahupun orang ternama.

0 comments :

ARKIB