Tuesday, December 31, 2013

Assalamualaikum kepada semua rakyat Malaysia keseluruhannya dan Terengganu khususnya. Saya ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Tahun Baru 2014” yang bakal menjenguk kita tidak sampai beberapa jam lagi. Kami berdoa dan berharap agar anda semua berada dalam rahmat Allah sentiasa. Rahmat dalam semua bentuk, bukan sahaja dari segi kehidupan peribadi malahan lebih jauh dari itu rakyat semua dilimpahi rahmat melalui keadilan yang dikehendaki Islam dalam pentadbiran politik, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, undang-undang dan dalam semua segi insyaAllah.

Izinkan saya membuat sedikit sorotan tentang perjuangan PR tahun 2013, halangannya dan harapan kita di tahun 2014. Semoga rakyat yang membaca pandangan ini sedar akan apa yang berlaku dan berusaha merubahnya demi anak cucu mereka. Sistem keadilan dalam Islam tidak berlaku dalam pentadbiran negara kita sehingga kini walaupun sudah berlaku perubahan besar dalam PRU 13 baru-baru ini dimana 53% rakyat telah memberikan undi popular kepada Pakatan Rakyat. Tapi sayangnya format “first past the post” menjadi penghalang kepada sokongan rakyat ini. Dan akibatnya negara sekali lagi diperintah oleh tangan-tangan yang menjauhkan rakyat daripada corak pemerintahan yang berteraskan Islam dan juga keselesaan.

Sistem pilihanraya kita jelas terkongkong dengan helah yang berbagai sehinggakan Suruhanjaya Pilihanraya sepatutnya menjadi pengadil, turut masuk padang bersama-sama BN membentes kaki PR bagi memastikan kemenangan BN. Apa tidaknya dengan isu dakwat kekal sahaja mereka terkial-kial mencari jawapan. Itu belum termasuk lagi dengan isu kad pengenalan dan juga isu kerakyatan yang sangat menganehkan kita semua.

Selepas menang PRU 13, setelah berjanji kepada rakyat kini masanya BN mengotakan janji-janji mereka. Malangnya rakyat terus menerus diperbodohkan oleh BN  yang diketuai oleh Umno. Harapan bagi melihat harga kereta turun, sebaliknya mereka mahu melupuskan kereta berusia 12 tahun dan sekaligus “memaksa” rakyat buat hutang kereta baru sebaik sahaja selesai hutang kereta lama. Kenaikan harga barang sepertinya kutipan bayaran balik kepada kerajaan setelah bertungkus lumus “memberikan” segala kehendak rakyat ketika menabur janji-janji PRU, terus terusan berlaku kenaikan. Ada kenaikan yang sudah berlaku seperti kenaikan harga minyak, gula, tambang dan yang berada dalam barisan menunggu untuk 2014 pula ialah tol, GST, letrik dan lain-lain. Malang bagi ahli dan penyokong bawahan Umno-BN kerana mereka tiada kad pengecualian kepada semua kenaikan ini dengan kata lain, bayar tetap bayar tak kira walaupun engkau sokong BN dulu, kini selamanya.

Lebih memeritkan hati rakyat ialah jawapan-jawapan menteri yang mungkin separa sedar, ketika memberikan jawapan. Ugut dan memperbodohkan rakyat adalah ciri-ciri utama menteri kabinet masa kini. Bila tersepit dengan isu buatan mereka sendiri, mereka akan menuduh rakyat cuba menggulingkan kerajaan. “Keluar Malaysia jika tidak suka pada tindakan kerajaan””Harga kita masih rendah berbanding negara lain” “ Jangan beli jika mahal” “ Tiada aduan kenaikan harga bermakna rakyat setuju dengan kenaikan harga” adalah jawapan-jawapan ‘standard’ oleh menteri-menteri yang begitu setia dan patuh kepada keputusan kerajaan dan tidak pernah gagal dalam membodohkan pemikiran rakyat. Rakyat dipaksa berjimat dalam masa yang sama, kroni pula membeli kondo berharga 110 juta, acara menyambut Tahun Baru mereka berhabis-habisan dengan bunga api dan lain-lain pertunjukan dan pembaziran. Langkah memotong elaun dilihat hanya sebagai ‘pain killer’ kepada amukan rakyat. Isu besar pembaziran tidak diselesaikan, oleh itu pemotongan elaun tindakan kurang bermakna.

Sistem pendidikan kita juga gagal dalam melahirkan pelajar-pelajar yang kita mahu kategorikan sebagai  modal insan. Mereka mungkin berjaya dalam hal keduniaan, tetapi meminggirkan aspek keagamaan. Tidak sedikit bilangan siswa-siswi, graduan-graduan yang muncul wajah mereka di dada-dada akhbar atas kes-kes yang memualkan kita semua. Zina, buang anak, dadah, rempit terkadang sebati dengan mereka walaupun terpelajar. Sayang, ilmu dunia memandu mereka ke arah yang dimurkai Allah bukan redha Allah. Nantikanlah malam tahun baru dan malam-malam sambutan yang lain untuk sebahagian mereka berpesta dengan pesta maksiat. Manakala institusi-institusi yang berteraskan keagamaan seperti Sekolah Agama Rakyat yang sudah terbukti keberkesanannya melahirkan insan-insan yang faham agama, dibiarkan  mati dengan pelbagai alasan politik yang diluar penerimaan akal yang waras. Malahan permintaan yang sangat tinggi kepada sekolah agama negeri seperti yang berlaku di Terengganu, membuktikan bahawa sistem sekular gagal membina sahsiyah pelajar-pelajar.

Di Terengganu juga, kesan kenaikan harga barang paling dirasai. Ini jelas dilihat apabila harga-harga barangan keperluan meningkat sehinggakan lebih mahal dari bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Dengan bajet yang sentiasa defisit, tetapi besar iaitu kira-kira 2.2 billion, kerajaan masih gagal dalam menangani banyak perkara-perkara penting. Keutamaaan bajet lebih kepada pembangunan material iaitu projek-projek tetapi dengan kualiti yang menghampakan. Lihatlah contoh keruntuhan demi keruntuhan yang berlaku dengan projek-projek kerajaan kepada kontraktor-kontraktor yang berulang-ulang melakukan kesilapan yang sama. Akibat salah urus, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini, maka timbullah isu seperti pembaziran, pecah amanah, ketirisan atau mungkin kebocoran yang sangat nyata. Amanah rakyat dibakul sampahkan.

Rakyat mengharapkan dengan bajet yang besar, kualiti kehidupan semakin selesa malah jauh dari itu, persiapan untuk kehidupan akhirat mesti juga ditekankan. Tetapi malang bagi rakyat Terengganu apabila bukan sahaja perkara penting seperti agama tidak ditekankan, tetapi  kehidupan biasa mereka juga menjadi tidak teratur. Contoh terbaik ketika banjir baru-baru ini, rakyat Kemaman khasnya bukan sahaja melihat, malah merasakan sendiri jerih payahnya ketika mereka memerlukan kepada bantuan kerajaaan, mereka memperolehi kekecewaan kerana bantuan yang diharapkan diurus dengan baik. Malah sebaliknya, PAS tampil dengan pasukan Unit Amalnya telah dilihat seolah-olah menggantikan jentera kerajaan. Lebih menyentuh hati, PAS lebih dipercayai atau dalam bahasa Terengganu ‘Senang Kirra, Mudoh Bassa” dalam menyalurkan bantuan tanpa melihat kepada warna bendera mangsa sehinggakan pasukan keselamatanpun datang memohon bantuan dari Unit Amal. Sebagai penutup tirai 2013, inilah pukulan yang sangat memalukan kerajaan Umno-BN Terengganu atas kegagalan mereka mengurus secara tersusun bantuan banjir.

Oleh itu kami percaya tahun 2014 bukanlah tahun yang akan memberikan keceriaan kepada rakyat Terengganu khasnya dan juga Malaysia secara keseluruhannya. Tetapi tahun 2014 adalah tahun “Lanyak Rakyat” oleh kerajaan Umno-BN. Walaupun kerajaan BN Terengganu menjaja "merakyat pertadbiran dan pembangunan" tetapi itu hanyalah retorik semata-mata. Permulaan 2014 sudah dapat kita lihat bibit-bibit kedukaan yang bakal mengetuk pintu rumah rakyat dengan pengumuman kenaikan itu dan ini, yang mana pasti akan mencekik kehidupan rakyat jelata terutama yang miskin.

Oleh itu PAS dan rakan-rakan politik semuanya akan cuba membantu rakyat demi kehidupan yang lebih baik samada dunia dan akhirat. Kami insyaAllah akan memperjuangkan nasib rakyat yang tertindas disamping rakyat sendiri perlu sedar dan membuat perubahan agar “mengajar” Umno-BN dalam setiap pilihanraya samada kecil atau umum agar mereka tahu kuasa rakyat adalah penentu kepada kesinambungan hayat Umno-BN atau rakyat akan terus diperbodohkan dan ditindas oleh Umno-BN untuk penggal seterusnya. Moga dengan usaha-usaha murni yang berterusan dari PAS dan rakan-rakannya, Allah akan menurunkan “Rahmat Untuk Semua” rakyat di Malaysia insyaAllah.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
31hb Dis 2013

0 comments :

ARKIB