Tuesday, December 3, 2013


Oleh : Mat Teropong
Mengamati isu terbaru yang berlaku di negeri Terengganu Darul Iman iaitu isu Sabasun, saya ingin mengajak para pembaca memikirkan sejenak perihal sejarah, perlakuan dan pemikiran kita sebagai bangsa melayu. Sangkutkan sebentar baju Umno anda ataupun PAS mahupun PKR bagi menghadam lontaran pendapat saya ini. Jadikanlah diri kita sebagai bangsa melayu sahaja tanpa prejudis pengaruh politik kepartian.
Sabasun sebagaimana yang telah diketahui umum oleh penduduk Terengganu amnya dan Kuala Terengganu khasnya adalah sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bukan sahaja bumiputera malahan lebih khusus melayu Islam. Perniagaan ini telah berjalan semenjak 1997 lagi dan sehingga sekarang dengan dua buah pasarayanya telahpun membuka peluang pekerjaan kepada lebih kurang 400 orang di kedua-dua lokasi Bukit Kecil dan Wakaf Tembesu.
Apa yang menarik disini yang kita fahami ialah “kesungguhan” MBKT bekerja dengan cekap dan tegas keatas Sabasun dengan pelbagai karenah birokrasi seperti yang didakwa pemiliknya Encik Salmi bermula dari tanah paya yang hendak dibeli sehinggalah masalah CF dan akhirnya pembekuan untuk menyambung lessen perniagaan serta proses pengambilan semula tanah. Pernah suatu ketika, semua kemudahan parkir di hadapan pasaraya mereka di Bukit Kecil telah dihapuskan dan digantikannya dengan garisan kuning (dilarang meletak kenderaan) sehinggalah diadakan seperti pungutan suara oleh Sabasun bersama pelanggan-pelanggannya maka Alhamdulillah selepas desakan itu, maka diadakan semula kawasan parkir tersebut.
Saya secara peribadi pernah beberapa kali bertandang ke pejabat urusan Sabasun kerana urusniaga. Saya pernah melihat longgokan surat memohon bantuan pelajaran daripada Sabasun oleh pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka. Saya difahamkan pihak pengurusan Sabasun sentiasa komited membantu pelajar-pelajar bagi meneruskan pelajaran mereka. Pernah juga Sabasun memberikan sumbangan dalam rancangan “Bersamamu” terbitan TV3 sebagai salah satu khidmat kepada masyarakat. Itu antara jasa Sabasun kepada rakyat Terengganu. Tidak terkecuali dengan beberapa sumbangan sosial yang lain. Juga kakitangan mereka ditekankan untuk bersolat secara berjemaah dan juga mereka disediakan majlis ilmu pada waktu rehat zuhur oleh pengurusan mereka. Barang-barang pelanggan yang tertinggal, yang kurang akan diuruskan dengan amanah. Jarang dijumpai pengurusan sebegini.
Penggantungan sehingga kini lesen perniagaan mereka di Bukit Kecil dan juga pengambilan tanah mereka di Wakaf Tembesu, memperlihatkan kepelikan keputusan dari MBKT kepada perniagaan yang diusahakan oleh anak tempatan atau lebih tepat melayu-Islam anak negeri Terengganu sepatutnya dibantu. Hairan bukan, dengan kerajaan negeri yang hampir keseluruhannya melayu, kelihatan kerajaan seperti menekan pengusaha melayu anak tempatan ini. Bukanlah tugas saya bagi mengadili kes ini, tetapi isu ini pastinya akan menjadi buah mulut orang ramai dan masyarakat akan menilainya. Tetapi sebagaimana biasa hanyalah tiga bulan kehangatan isu ini, kemudian hanyut ditelan isu-isu lain. Sebab itu nasihat orang politik, kalau nak buat sesuatu yang drastik, buat selepas pilihanraya,lepas tiga bulan matilah isu itu. Jangan sebelum pilihanraya, nahas nanti. Tapi jangan lupa kuasa media baru sekarang ini mungkin mampu mengubah keadaan ini.
Sekarang kita lihat pula bangsa lain yang turut ada di sekitar Kuala Terengganu. Kita ambil bangsa cina sebagai contoh. Mereka juga mempunyai ideologi-ideologi yang berbeza sesama mereka. MCA, DAP, PKR malah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) turut ada dikalangan mereka. Tetapi yang membezakan mereka dengan kita ialah cara mereka berfikir. Apa sahaja yang menguntungkan mereka, mereka bersatu atas nama bangsa mereka. Tiada masalah dalam mencapai kata sepakat untuk kesejahteraan mereka dan komuniti mereka. Adakah mereka pentingkan diri? Ya mereka pentingkan diri dalam erti kata yang dibenarkan oleh undang-undang. Itulah kebijaksanaan cara mereka berpolitik. Dalam kawasan yang mereka majoriti, mereka menentukan dasar untuk kawasan itu manakala dalam kawasan persaingan undi yang sengit yang mereka minoriti, undi mereka penentu kepada kemenangan calon.
Lihat Kampung Cina sebagai contoh terbaik. Bermula dari zaman Tok Teng Sai, turun kepada Wong Fong Meng dan sehinggalah Toh Chin Yaw menjadi wakil rakyat DUN Bandar, semua mereka mendapat exco atas kapasiti rakan Umno iaitu MCA. Dalam tempoh bermula dari tahun 1982 sehingga 2013 MCA mengalami kekalahan sebanyak tiga kali 90, 99 dan 2013. Berselang menang dan kalah kadang-kadang undi cinapun tak membantu calon MCA. Bermakna sokongan kepada calon MCA tidaklah padu diberikan oleh bangsa mereka sendiri. Tetapi tahukan anda apa yang telah mereka berikan kepada bangsa mereka?
Ya, Kampung Cina sebuah kampung terletak di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu sebagai warisan kepada anak cucu mereka. Kesungguhan mereka bekerja bagi memastikan tanah Kampung Cina tidak dijadikan tanah pembangunan yang menjadi milik mutlak kerajaan, tetapi sebagai tanah warisan melalui usaha-usaha tersusun yang telah mereka jalankan sehingga berjaya menggunakan kuasa Unesco bagi mempertahankan tanah mereka berhasil.
Ada apa dengan Kampung Cina? Bagi saya yang membesar di kawasan yang berdekatan dengannya melihat satu perubahan yang cukup signifikan dengan pengiktirafan dari Unesco itu. Apa tidaknya dulu Kampung Cina mempunyai kawasan yang terhad, sempit, sukar mencari kawasan parkir, kotor kerana penuh dengan najis burung walit (mereka sudah menjalankan perniagaan sarang burung walit sejak berzaman). Nah sekarang hasil dari kerja keras pimpinan mereka mendapat pengiktirafan Unesco tanpa mengira MCA, DAP, PKR mahupun DHPP, mereka berjaya membuatkan kerajaan membuka kawasan yang lebih luas, dengan kawasan parkir yang cukup selesa, bersih kerana ia sudah menjadi kawasan pelancongan selain tetap mendapat laba dari perniagaan burung walit mereka.
Bukan itu sahaja, mereka yang tinggal di situ juga mendapat satu kawasan perniagaan yang baru yang disediakan oleh kerajaan hampir percuma iaitu mungkin cuma perlu membayar lesen perniagaan sahaja. Bagaimana ini berlaku? Bukankah kerajaan telah menambak laut di belakang rumah-rumah mereka yag suatu ketika dulu tempat pembuangan najis dan air buangan secara semulajadi? Jadi jika dahulu mereka membuka kedai dihadapan jalan utama sahaja, tetapi sekarang mereka di”hadiahkan” sebuah lagi kedai dengan membuka pintu belakang yang ditambak menghadap laut pula. Dari satu pintu kepada dua pintu. Mengadap ke Pulau Warisan pulau buatan manusia dengan kawasan parkir yang luas serta dengan gemerlapan lampu warna warni dimalam hari, menjadikan  tempat baru di Kampung Cina ini satu peluang perniagaan yang sangat bagus. Itu belum lagi dikira expo-expo yang sering diadakan di situ. Cuba tanya pasal CF untuk bangunan-bangunan di Kampung Cina. Saya yakin semua tak patuh piawai. Dan yang paling hebat, apabila dah digazetkan di bawah Unesco, maka mesti ada peruntukan untuk Kampung Cina. Lihat betapa untungnya politik mereka?
Bagaimana pula nasib dengan Pasar Payang yang kebanyakkan penjualnya adalah melayu Islam yang terletak seberang jalan yang kira-kira tak sampai 20 meter itu ? Pasar Payang akan dirobohkan, itulah kata putus Dato’ Ahmad Said, noktah. Dimana silapnya kita sebagai orang melayu? Apakah salah jika diletakkan Pasar Payang itu sebagai tempat orang-orang melayu kebanyakkan tumpang berniaga?Khabarnya mahu dinaik taraf kepada tempat jualan yang berhawa dingin bersama hotel. Manalah mampu peniaga biasa nak bayar sewa. Alangkah indahnya jika pemikiran kita sama seperti pemikiran kaum cina? Alangkah beruntungnya kita dapat membantu sesama kita? Tiadalah tulisan ini mengajak pembaca menuju kepada kebencian kaum atau agama. Ianya hanya mengajak untuk membuat anjakan paradigma diatas apa yang berlaku kepada bangsa kita ini. Cakap-cakap mendakwa bangsa kita sebagai kuat berdengki, perlakuan kita kepada yang bukan sealiran pemikiran dengan kita walaupun sama bangsa, sentiasa ragu-ragu dan pemikiran kita tidak di luar kotak. Hasilnya kita jarang dapat membantu sesama kita. Itu dakwaan orang. Tetapi jika tidak berubah, jangan pula disalah orang yang membuat tuduhan kerana kita sendiri membuktikannya
Jika sikap kita kekal negatif begini, maka saya percaya bahawa kita juga memerlukan Unesco  bagi membantu Sabasun meneruskan kelangsungan perniagaan mereka kerana Unesco antara tugasnya ialah memelihara tapak warisan ataupun sesuatu tamadun atau bangsa yang hampir pupus di dunia ini daripada terus pupus. Dan pengurusan Sabasun adalah spesis Melayu yang cemerlang yang hampir pupus kerana membantu Melayu menaikkan taraf ekonomi melayu yang masih wujud dikalangan kita, spesis yang jarang ada dikalangan bangsa Melayu. Bukankah Kerajaan Melayu Melaka pernah membuktikannya dulu?

0 comments :

ARKIB