Tuesday, December 24, 2013


Saya ingin menarik perhatian rakyat Terengganu dengan laporan seramai kira-kira 200 orang guru Kafa dikatakan telah ditamatkan kontrak oleh Yayasan Islam Terengganu (lihat lampiran).
Dari sumber-sumber yang saya perolehi, tindakan ini dianggap sebagai tidak demokratik dan kelihatannya seperti satu agenda membalas dendam. Dengan menamatkan kontrak mereka, kerajaan seolah-olah telah menutup pintu perbincangan yang sepatutnya dibuka seluas-luasnya kepada guru-guru Kafa ini sesuai dengan motto kerajaan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan” oleh kerajaan negeri.
Penamatan kontrak ini juga dilihat sebagai sesuatu yang menghairankan kerana dengan jumlah yang begitu besar, ianya kelihatan seperti pengurusan Yayasan Islam ataupun guru-guru Kafa itu sedang menghadapi masalah yang serius. Apa alasan yang sebenarnya? Adakah guru-guru tersebut kurang terlatih? Maka kenapa tidak dipertingkatan kemahiran mereka dengan kursus-kursus yang sesuai? Juga kita merasa hairan kerana pencapaian Kafa Terengganu adalah antara yang terbaik di Malaysia dan jika tenaga pengajar itu dikatakan kurang mahir bagaimana Terengganu menjadi antara yang terbaik? Dan jika masalah disiplin yang menjadi sebab utamanya, kenapa begitu ramai yang dikenakan tindakan? Ini memperlihatkan seolah-olah Yayasan Islam tidak mampu mengawal kakitangan kontraknya.
Kesan besar dari penamatan kontrak secara besar-besaran ini adalah kepada pelajar-pelajar keseluruhannya. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencari pengganti dalam masa yang singkat dengan jumlah yang begitu besar apatah lagi dengan tarikh bermulanya sesi persekolahan 2014 hanya tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi. Mereka memperjudikan nasib pelajar-pelajar ini.
Saya dengan ini menyeru agar semua rakyat Terengganu membuka mata hati agar sedar akan perkara ini yang mana mungkin juga terkena kepada saudara mara atau orang-orang terdekat dengan anda semua. Setelah kerajaan pusat yang juga pimpinan Umno-BN saban masa mengisytiharkan kenaikan harga barang-barang dan kos-kos lain selepas PRU, berlawanan dengan janji-janji mereka sebelum PRU dahulu, penamatan kontrak ini sekaligus akan memberikan impak kepada guru-guru tersebut dalam menghadapi hari-hari mendatang.Saya benar-benar berharap agar ini bukan dendam politik tetapi kelihatannya agak sukar untuk diterima bahawa ianya bukan dendam setelah mengambil kira faktor-faktor yang nyata.
Saya berdoa kepada Allah semoga semua guru-guru Kafa yang diberhentikan itu dikurniakan pahala atas ketabahan mereka dan Allah maha mendengar doa orang yang dizalimi.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
21 Safar 1435H bersamaan 24hb Dis 2013M

0 comments :

ARKIB