Friday, December 20, 2013


Alhamdulillahi rabbil alamiin. Segala puji bagi Allah yang masih lagi memberikan hidayah petunjuk pada kita agar istiqamah dalam melaksanakan kerja-kerja Islam. Saya memohon taufik dan hidayah dari Allah swt agar terus dapat memikul amanah atas perlantikan Ketua Penerangan serta kepercayaan yang diberikan oleh YB Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru Ustaz Satiful Bahari Mamat dalam memenuhi segala gerakan yang akan dilakukan oleh pimpinan PAS negeri Terengganu sesi 2013-2015 kearah memerintah negeri Terengganu dan  menguasai Wisma Darul Iman insyaAllah.
Saya telah diamanahkan sebagai Ketua Penerangan bagi menggerakkan satu lajnah. Lajnah yang dinamakan diperingkat pusat Penerangan dan Hubungan Media dalam memenuhi hasrat dan cita-cita besar seperti yang diungkapkan oleh Pesuruhjaya ketika mengumumkan perlantikan Jawatankuasa Harian dan Ahli Jawatankuasa, Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang baru.
Saya melihat bahawa penerangan diletakkan kedudukan yang besar untuk digerakkan agar dapat membuka minda dan mencorakkan pemikiran rakyat terhadap perkembangan politik dan isu-isu dan maklumat sehingga akhirnya mereka dapat mengubah kerajaan yang ada hari ini dan menentukan sikap paling baik dalam PRU 14 insyaAllah. Kita berhadapan lapisan masyarakat yang pelbagai, terdiri daripada penduduk bandar, luar bandar, muda, tua, lelaki, perempuan, golongan pertengahan, miskin, kaya, professional, pensyarah, orang biasa dan pelbagai golongan yang sudah tentu mempunyai latar belakang pemikiran yang berbeza-beza. Maka dimasa yang sama PAS mesti menggerakkan isu-isu dan maklumat-maklumat agar sampai kepada semua lapisan masyarakat ini dengan kaedah-kaedahnya tersendiri.
Yang menjadi persoalan asasnya bagaimana caranya PAS akan menyampaikan isu dan maklumat-maklumat kepada masyarakat luar bandar, golongan miskin, golongan pertengahan, perempuan, warga tua agar mereka dapat melihat perkembangan-perkembangan isu yang ada ini yang penuh dengan kepincangan penyelewengan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan kerajaan BN.  Agar mereka yang meletakkan rujukan dan sumber penerangan mereka bukan sahaja dari media perdana seperti RTM TV3, Utusan Malaysia atau juga Berita Harian, tetapi lebih dari itu, kita ingin pastikan supaya mereka mula mencari sumber-sumber yang lebih jujur, jelas dan terang dengan fakta-fakta agar dapat memahami kedudukan politik yang ada pada hari ini.
Saya selaku Ketua Penerangan menyedari bahawa kita akan berhadapan dengan tiga keadaan ataupun aspek dalam menggerakkan penerangan. Pertama bagaimana kita ingin mengembangkan dan menggarap maklumat-maklumat serta isu-isu dan fakta-fakta yang jelas. Yang kedua bagaimana kita mahu menyampaikan dan menyalurkan maklumat tentang perkembangan program, aktiviti-aktiviti parti, YB-YB dan pendekatan-pendekatan kemasyarakatan dan kebajikan dan pelbagai lagi yang dilakukan oleh PAS  dalam menunjukkan imej yang besar dalam menggambarkan persepsi yang terang, bersih dan baik (dan sememangnya PAS begitu) terhadap masyarakat agar mereka meletakkan keyakinan bahawa PAS adalah layak untuk mentadbir dan menguruskan negeri ini bahkan sudah masanya menyerahkan tampuk pemerintahan kepada PAS dan sudah cukup Umno dengan korupsinya, penyelewengannya, kepincangannya dengan berbagai kegagalan pada sudut pengurusan ekonomi yang baik, pada sudut pengurusan pembangunan yang jujur dan benar maka pada masa itulah bagaimana kita mahu menyampaikan maklumat-maklumat tentang parti kita.
Ketiga, bagaimana kita mahu pastikan kaedah dan cara yang berbagai-bagai ini yang benar-benar memberi kesan dan sampai maklumat ini dan isu penting kepada rakyat sehingga mereka dapat membentuk pandangan umum atau “Public Opinion” yang positif kepada PAS dan mereka mula mempunyai kesedaran yang tinggi untuk membuat perubahan dalam PRU 14 nanti. Didalam lajnah ini ada satu perkara yang dianggap perlu diambil perhatian dalam suasana dunia langit terbuka yang terdedah dengan perkembangan teknologi yang baru bagaimana kita mahu melakukan hubungan media yang jelas dan mempergunakan seluruh sumber-sumber dan kaedah-kaedah yang ada untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat. Oleh kerana itu saya yakin dan percaya dapat mencari dan memperoleh sokongan dan dokongan bukan sahaja dari jentera parti tetapi juga dari golongan profesional yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dan juga dari berbagai-bagai golongan-golongan yang bersedia dengan jujur untuk membongkar segala penyelewengan  dan kepincangan yang ada dalam kerajaan hari ini agar isu-isu berkait dengan kepincangan dan penyelewengan ini dapat kita garapkan, kita kembangkan dan kita boleh sampaikan kepada rakyat.
Begitu juga hubungan PAS dengan pihak media. Tak kira samada media cetak ataupun maya yang mana saya percaya mereka semua adalah pihak yang memainkan peranan penting bagi menyampaikan isu-isu yang sepatutnya diketahui masyarakat. Bagi saya samada media arus perdana mahupun bukan asalkan memberikan kebaikan atas laporan mereka, kita mesti meraikan mereka.

Saya bersikap terbuka untuk mengemukakan cadangan ini kepada semua pihak bahkan kita akan pastikan Jabatan Penerangan yang digerakkan akan membuka satu ruang yang dinamakan sebagai e-Aduan ataupun e-Maklumat untuk rakyat mengedarkan dan menyampaikan maklumat yang ada di dalam negeri mereka, kawasan, ataupun cawangan, aduan-aduan yang mahu mereka sampaikan untuk kita panjangkan bagi kita memaparkan ketidak caknaan kerajaan hari ini terhadap rakyat. InsyaAllah dengan dokongan dari semua pihak, dengan taufik dan hidayah dari Allah kita akan menggerakkan Lajnah Penerangan Dan Hubungan Media ini dengan sebaik mungkin untuk mencorakkan pemikiran rakyat dan memiliki kesedaran politik yang besar bagi melakukan perubahan besar dalam PRU 14 nanti insyaAllah. Wallahua’lam.

0 comments :

ARKIB