Tuesday, March 16, 2010

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu meminta agar Kerajaan Negeri melaksanakan hukum Islam sebagai dasar pemerintahannya bagi mengurangkan kadar jenayah yang semakin berleluasa berlaku di negeri ini.
Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya mencontohi amalan yang dilakukan ketika zaman pentadbiran Pas sehingga memperlihatkan penurunan kadar jenayah dalam kalangan belia.

Dalam masa sama, beliau menganggap pengurangan kes jenayah yang berlaku pada zaman Pas disebabkan keberkatan pemerintahan berlandaskan tuntutan me-lalui al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

“Kita yakin kenaikan mendadak jumlah penglibatan belia dalam jenayah di negeri ini disebabkan ketiadaan keberkatan Allah SWT terhadap pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak mahu tunduk kepada perintah Allah dalam hal pentadbiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Kerajaan Negeri perlu melakukan usaha bersungguh-sungguh ke arah pelaksanaan hukum Islam berdasarkan kepada Perlembagaan Negeri Terengganu yang di’islam’kan berdasarkan pada zaman pemerintahan Pas pada 1999 hingga 2004.

Mengulas lanjut beliau yang juga ADUN Bukit Payung berkata, pihaknya tidak berasa terkejut dengan statistik berdasar maklumat polis bahawa 60 peratus kadar jenayah yang berlaku di negeri ini membabitkan belia.

Namun, beliau amat kecewa apabila 6,000 pelajar sekolah menengah yang terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah dianggap kecil berbanding jumlah keseluruhan pelajar itu di negeri ini.

“Sepatutnya jumlah itu dipandang sebagai sangat membimbangkan kerana ia melibatkan perlakuan jenayah. Perbandingan sepa-tutnya dibuat berdasarkan kepada bilangan, bukan peratus,” katanya.

Beliau berkata, sepa-tutnya perkara tersebut dipandang serius dan khuatir dengan sikap memperkecilkan perkara seperti itu akan menyebabkan bilangan jenayah meningkat dari masa ke masa.

“Justeru, kami bersedia bekerjasama dengan pihak polis atau mana-mana badan pencegahan jenayah untuk membendung masalah ini agar tidak berterusan dan merebak dengan lebih meluas,” katanya.

Thursday, March 11, 2010


Rusila, MARANG - Pas Kawasan Marang akan menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Perayaan Jubli Perak Pas Kawasan Marang, 12 dan 13 Mac ini.


Ketua Penerangan Pas Kawasan Marang, Sidek Abu Bakar (Gambar) berkata, sempena perayaan itu juga, pameran perdagangan akan diadakan termasuk rawatan as-syifa.
Menurutnya, pada 12 Mac ini, Pertandingan Menjala Terbuka peringkat negeri diadakan di Rusila.

“Malamnya, kami mengadakan ceramah perdana diketuai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Turut serta, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Yang Dipertua Pas Kawasan Marang, Yahaya Ali,” katanya.

Pada 13 Mac pula, Pertandingan Larian Jubli Perak bagi kategori kanak-kanak dan terbuka bermula dari jam 7.30 hingga 9 pagi.

Pada petangnya, pertandingan memasak, anyaman, mewarna, melukis poster, gubahan tuala, me-ngikat aiskrim, membungkus ketupat pulut, dan pelbagai lagi diadakan pada jam 2.30 petang sehingga jam 7 malam.

Sebelah malamnya pula, Malam Kesenian Islam akan bermula jam 9 sehingga jam 12 malam.

Antara artis yang membuat persembahan adalah Kumpulan Saujana dan penyajak Dinsman.

Sementara itu, Sidek berkata, Pertandingan Memancing 2010 Peringkat Kebangsaan akan diadakan 13 Mac ini di pesisir Pantai Rusila dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Yuran pendaftaran bagi setiap joran adalah RM30 dan RM50 bagi penyertaan dua joran. Kami menyediakan 300 kemeja T percuma kepada penyertaan terawal.

“Hadiah ditawarkan cukup lumayan iaitu motosikal Honda EX5 bernilai RM5,000 bagi tempat pertama, TV LCD 42 inci bagi tempat kedua, peti sejuk dua pintu bagi tempat ketiga dan hadiah barangan elektrik seperti kipas, seterika serta mesin pengisar bagi tempat keempat hingga ke-20,” katanya.

Menurutnya, pendaftaran bagi pertandingan memancing peringkat kebangsaan boleh dibuat dari 12 Mac, bermula jam 3 petang di Rusila. Sebarang keterangan lanjut, boleh menghubunginya menerusi talian 019-9201704.-SinarHarian

ARKIB