Saturday, August 31, 2013


“Peranan ibu bukan sahaja menasihati anak-anak, akan tetapi mereka juga mesti menasihati suami mereka.
Juga bapa mesti menasihati ibu, dengan saling nasihat-menasihati antara satu sama lain maka insyaAllah mendidik keluarga akan menjadi lebih berkesan,” demikian antara nasihat Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Beliau berucap ketika menjadi tetamu dalam program Seminar Keibubapaan anjuran Pasti Kawasan Tawau, Sabah
Disamping itu turut ditekankan beliau peri pentingnya doa dalam mendidik anak-anak bagi menuju kejayaan yang dikehendaki Islam.
Ibu bapa juga mestilah menunjukkan contoh yang cemerlang terutama di hadapan anak-anak kerana kepimpinan melalui tauladan itu akan sentiasa diingati oleh anak-anak
Sambil mengutip kisah-kisah dari al-Quran perihal memelihara anak-anak, beliau juga memberikan contoh-contoh doa yang telah dibaca oleh para nabi dan orang-orang soleh agar anak-anak menjadi orang yang berguna kepada agama.
Nabi Yahya menurut beliau lahir setelah bapa baginda Nabi Zakaria sudah terlalu tua, hasil dari doa yang berterusan oleh Nabi Zakaria yang tidak berputus asa untuk mendapat anak yang soleh.
Nabi Yahya kemudiannya menjadi seorang nabi yang kemudiannya dibunuh dalam usia yang muda kerana menegakkan agama Allah.
“Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa agar tidak berhenti berdoa untuk anak-anak kita menjadi anak yang soleh.
Selain berusaha mendidik dengan sempurna, doa itu sangat penting,” ujarnya lagi.
Dengan kes-kes membuang bayi oleh pelajar-pelajar universiti yang kononnya terpelajar, akan tetapi jahil agama, maka sewajarnyalah ibu bapa perlu bimbang kerana tidak tertolak kemungkinan anak-anak mereka juga akan terheret sama.
Oleh itu bagi menjaga masyarkat daripada kepincangan kehidupan, maka para ibu bapa mestilah menekankan secara serius pendidikan di rumah dan bukannya tanggungjawab mendidik anak-anak diserahkan kepada pihak sekolah sahaja.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyeru peserta seminar memerhatikan hasil pendapatan masing-masing supaya teselamat daripada perkara yang haram dan syubhah.
Ustaz Mohd Nor yang dalam program Lawatan Muhibbah ke Tawau bersama dengan rombongan, yakin dengan gabungan didikan yang betul, pendapatan yang halal dan juga doa yang berterusan maka insyaAllah anak-anak akan menjadi manusia yang berguna kepada agama.
Bismillahir Rahmaanir Rahiim

Alhamdulillah dan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi kita Muhammad s.a.w, keluarga baginda serta para sahabat r.a. Kita panjatkan kesyukuran kepada Allah yang telah menganugerahkan nikmat Islam dan hidayah untuk kita mengharungi zaman yang dipenuhi dengan fitnah akhir zaman. Rasulullah s.a.w telah bersabda :
“Akan berlaku fitnah yang banyak seperti suasana kegelapan malam yang dahsyat”
Sabda baginda lagi :
“Sesungguhnya tanda-tanda hampir kiamat bahawa ilmu akan berkurangan, kejahilan berleluasa, fitnah akan zahir dan banyaknya ‘al-Haraj’. Sahabat bertanya apakah itu al-Haraj?, rasulullah menjawab pembunuhan, pembunuhan.
Apabila menjelang 31 Ogos, kita akan mendengar laungan Merdeka! Merdeka! Tapi kita lupa erti kemerdekaan yang sebenarnya. Diwaktu seluruh pemuda di dunia Islam bangkt menuntut kemerdekaan dari pemerintah mereka, ramai pemuda di negara kita cuba dijajah minda dan hati oleh Umno dengan pemikiran lapuk yang berteraskan sekularisme dan pragmatisme. Kerajaan Umno BN terus berusaha menguasai nafsu anak muda dengan agenda hiburan yang melalaikan dan program yang jauh dari menepati nilai-nilai dalam Islam.
Anak-anak muda mesti ingat bahawa sejarah kemerdekaan bukan dicipta reka oleh Umno, tetapi ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang bersemangat anak muda dari pelbagai parti dan pertubuhan menentang segala penjajahan barat, ketika mana Umno menjadi proksi dan perkakas kepada penjajah ketika itu.
Saya mengajak anak muda mengingati sejarah kemerdekaan dengan pengertian yang disebut oleh Rabi’e bin Amir : “Sesungguhnya Allah membangkitkan kita untuk mengeluarkan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada kezaliman anutan-anutan kepada keadilan Islam dan dari kesempitan dunia kepada keluasannya.” Oleh itu anak muda mesti bangkit memerdekakan diri dan rakyat dari penjajahan minda dan kehidupan oleh pihak berkuasa kepada kebebsan hak-hak kemanusiaan dan Islam.
Saya merayu kepada anak-anak muda agar jangan mengisikan kemerdekaan ini dengan kemaksiatan, penzinaan dan kejahatan. Musuh Islam bergembira melihat anak muda Islam rosak dan lalai, ketika mereka boleh memperkasakan penguasaan mereka untuk membolot kekayaan rakyat dan melakukan kezaliman. Cukuplah kita penuhi paparan kehidupan dengan jenayah, gejala sosial dan penyakit masyarakat kerana kita anak muda Islam yang mempunyai kemuliaan dan maruah. Wallahua'lam

Thursday, August 29, 2013


Wakaf Mempelam : Satu majlis “Jasamu Dikenang”  anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu (DPPKT)  telah diadakan semalam bertempat di sebuah restoran dekat sini.
Majlis yang dihadiri oleh hampir semua ahli jawatankuasa (AJK) baru DPPKT serta beberapa bekas kepimpinan DPPKT yang lalu bertujuan bagi meraikan mereka-mereka yang telah berjasa kepada DPPKT.
Turut memeriahkan majlis ialah Adun Alur Limbat, YB Ustaz Ariffin Deraman dan juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang hadir sebagai jemputan khas.
Dalam ucapan Ketua DPPKT Ustaz Wan Faizul Wan Abbas, beliau menyatakan hasrat utama kepimpinan beliau ialah untuk menambahkan lagi ahli DPPKT kerana pemuda adalah faktor utama kemenangan 5-0 di Kuala Terengganu.
Membayangkan tugas getir yang bakal dihadapi beliau, iaitu mempertahankan kemenangan, beliau seterusnya berharap agar semua AJK yang terpilih kali ini memberikan komitmen yang maksimum bagi membantu PAS mengekalkan kemenangan.
Manakala dalam ucapan YB Ustaz Mohd Nor pula, beliau mengingatkan agar AJK menjaga usrah yang dilihat sebagai elemen penting bagi memupuk kerjasama dalam pasukan Islam.
“Walaupun anda tak boleh hadir usrah, tapi pastikan anda mengetahui apakah kandungan usrah yang dibincangkan,” pesan beliau.
Beiau juga mengingatkan AJK agar tidak merasa bangga dengan sedikit sumbangan yang diberikan kerana perasaan bangga itu akan memusnahkan kebaikan yang telah dilakukan disamping ianya merendahkan pengorbanan orang terdahulu.
Beliau mengingatkan bahawa perjuangan Islam ini ialah perjuangan berantai yang mana bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang mengakhirinya.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada bekas pimpinan DPPKT dan penyerahan sijil kepada semua AJK yang teripilih dan yang dilantik.

Sunday, August 25, 2013

Petikan : Buletin Online

MARANG – PAS memberi amaran dan peringatan kepada semua umat Islam, golongan sekular di negara ini juga zalim dan jahat umpama Jeneral Fattah al-Sisi yang telah membunuh umat Islam di Mesir.
 
Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, PAS telah mencuba sedaya upaya untuk melaksanakan syariat Islam ketika memerintah negeri Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.
mohd nor hamzah“Apabila negeri Terengganu diperintah oleh PAS pada tahun 1999, kita berusaha besungguh-sungguh untuk melaksanakan syariat Allah, kita meluluskan undang-undang enakmen Hudud dan Qisas.
 
“Dimasa itulah Ketua Polis negeri Terengganu menyebut dalam ucapannya, dia tidak akan memberikan kerjasama terhadap kerajaan PAS di Terengganu,”ujarnya yang menegaskan, golongan sekular tidak membenarkan tertegaknya kerajaan yang mahu melaksanakan Islam diseluruh dunia.
 
Beliau berkata, sebagaimana yang berlaku di Mesir, apabila Islam menang melalui jalan demokrasi, golongan sekular tidak memberikan jalan mudah kepada kerajaan Mohamad Morsi.
 
Beliau yang juga ADUN Bukit Payong berkata demikian ketika berucap dalam majlis Ceramah Mesir Berdarah di masjid Rusila pada Khamis 22 Ogos lalu.
 
Menurutnya, kerajaan sekular Umno dan Barisan Nasional (BN) telah menyekat bantuan kewangan kepada kerajaan PAS di Kelantan dan kerajaan PAS yang memerintah Terengganu dirampas royalti minyak.
dermasiswa di tarik balik“Umno zalim macam (Jeneral) Fattah al-Sisi juga, oleh sebab itu kita jangan menganggap Fattah al-Sisi sahaja yang jahat, bukan kerajaan (Kudeta) Mesir sahaja yang jahat (kerajaan Umno-BN) telah menamatkan bantuan zakat kepada pelajar-pelajar yang mengaji agama.
 
“Hantar pelajar tajaan kerajaan untuk diberi sumbangan zakat kepada pelajar-pelajar di Jordan, tiba-tiba bila pelajar sudah belajar di Jordan enggan belanja yang besar tiba-tiba dipotong dan dihentikan bantuan zakat untuk mereka,”jelasnya.
 
Beliau turut menyeru kepada umat Islam agar kembali menghayati ajaran dan kehidupan Islam kerana menurutnya, kejadian jenayah dan pembunuhan yang berleluasa, yang berlaku dengan banyaknya sekarang ini adalah merupakan tanda-tanda kehidupan akhir zaman.
 
“Masa menjadi dekat dan pendek, ilmu menjadi berkurangan (kerana) ulamak ramai yang mati, fitnah yang banyak (dan) berbagai-bagai, banyak berlaku pembunuhan.
 
“Pembunuhan (peniaga nasi kukus) yang berlaku di Paka beberapa hari yang lepas, pegawai (pengasas) bank ditembak, tembak-menembak yang (banyak) berlaku, jenayah yang meningkat ada hari ini tiada lain melainkan kita mesti kembali kepada undang dan agama Alllah SWT,”katanya

Saturday, August 24, 2013


Dizaman dahulu ada seorang raja. Baginda mempunyai seorang ahli sihir. Setelah ahli sihir itu merasakan dia telah tua, berdatang sembahlah dia kepada raja menerangkan dia telah tua dan hampir sampai ajalnya. Dia memohon kepada raja agar raja mencarikan anak kecil, kerana kepada anak itu akan diperturunkan segala ilmu sihirnya. Permohonan itu dikabulkan raja, lalu diserahkan kepadanya seorang anak kecil dan datanglah anak kecil itu berulang-ulang kepada tukang sihir itu mempelajari sihirnya.
Diantara tempat tinggal tukang sihir dan tempat tinggal anak itu ada pula berdiam seorang pendita. Anak itu sentiasalah singgah pula berteduh di tempat kediaman pendita itu dan banyak pula dia mendengar ucapan-ucapan dari pendita tua itu yang amat menarik hatinya. Maka kalau dia terlambat datang kepada tukang sihir, tukang sihir itu marah lalu memukulnya. Dan kalau dia terlambat pulang ke rumah orang tuanya kena marah pula mengapa terlambat pulang. Lalu diajarkan oleh pendita tua itu suatu jawaban, kalau ditanya oleh tukang sihir itu mengapa lambat, jawablah kerana terlambat turun dari rumah dan kalau ditanya pula di rumah mengapa terlambat, katakan guruku tukang sihir menahanku.
Dalam hal demikian selalulah dia pulang dan pergi ke rumah tukang sihir dan tetap singgah di rumah pendita. Pada suatu hari terhambatlah orang yang lalu lintas berjalan di jalan yang ditempuhnya kerana ada binatang buas mengganggu, sehingga orang merasa takut lalu di situ. Ketika itu anak kecil itu berada di sana. Lalu dia berkata “Akan aku uji manakah yang lebih dapat aku gunakan, ajaran tukang sihirkah atau ajaran pendita. Lalu diambil sebiji batu dan dia ucapkan “Ya Allah! Kalau ajaran pendita itu yang benar di sisi Engkau, lebih dari ajaran tukang sihir maka bunuhlah binatang ini! Supaya manusia yang lalu di jalan ini tidak terhalang juga”, Lalu dilemparkan batu itu kepada binatang tersebut. Maka matilah binatang itu dan lalu lintaslah manusia seperti biasa.
Setelah dia mengadap pendita itu diceritakanlah pengalamannya itu kepada pendeta itu. Maka berkatalah beliau “Wahai budak kamu telah mencapai darjat yang lebih tinggi daripada yang aku capai! Tetapi aku peringatkan engkau bahawa engkau akan menderita banyak percubaan. Maka kalau percubaan itu datang, janganlah engaku beritahukan perhubungan engkau dengan aku,”
Sejak waktu itu nama anak itu kian terkenal dan dapatlah dia mengubati orang ditimpa kusta dan penyakit lain-lain.
Raja mempunyai seorang pembesar yang selalu diajak raja bermesyuarat. Kebetulan pembesar itu buta. Dia mendengar cerita tentang anak itu lalu datanglah pembesar buta itu kepadanya dan membawa hadiah sebanyak-banyaknya dan berkata “Sembuhkanlah butaku! Hadiah ini adalah untukmu dan jika aku sembuh hadiah ini aku tambah lagi,”
Anak itu menjawab, saya tidak ada kuasa menyembuhkan apa juapun penyakit. Yang Maha Kuasa menyembuhkannya hanyalah Allah. Kalau tuan sudi beriman kepada Allah, saya akan berdoa kepada Allah memohon kepadaNya agar tuan disembuhkan. Mendengar ajakan anak itu maka berimanlah pembesar buta itu. Lalu anak itu berdoa maka pembesar itupun sembuhlah dan celiklah kedua belah matanya.
Setelah matanya sembuh datanglah kembali dia ke majlis raja. Raja sangat tercengang lalu bertanya : “Siapakah yang menyembuhkan matamu?,”
Pembesar itu menjawab “Tuhanku,”
Dengan hairan raja bertanya pula : “Apakah aku yang engkau maksudkan?,”
Dia menjawab : “Bukan! Tuhanku dan tuhan Tuanku adalah Allah,”
“Engkau mengakui ada lagi tuhan selain aku?,”
Pembesar itu tetap menjawab : “Tuhanku dan tuhan Tuanku adalah Allah,”
Raja sangat murka mendengar jawaban itu, sehingga orang besar itu ditangkap dan disiksa, sampai kerana tidak tahan mendarita sakit, dibukanya rahsia bahawa guru yang mengajarnya ialah anak kecil tersebut.
Anak kecil itupun ditangkap lalu ditanyai apakah benar dia dapat menyembuhkan orang berpenyakit kusta, buta dan lain-lain. Anak itu menjawab bahawa semua itu tidak benar! Dia tidak dapat menyembuhkan sesiapapun jua. Yang menyembuhkan segala sakit hanyalah Allah Yang Maha Kuasa.
“Akukah yang engkau maksudkan?,” tanya raja.
“Bukan,” jawab anak itu, “Tapi Allah!,”
“Apakah engkau mengaku pula ada tuhan selain aku?,” tanya raja lagi.
Dengan tegas anak itu menjawab pula : “Tuhanku dan tuhan raja ialah Allah,”
Mendengar jawapan demikian anak itu disiksa. Dia dipaksa mengaku darimana dia mendapat pelajaran yang amat ganjil itu. Kerana tidak tahan disiksa maka dia menunjukkan pendita yang mengajar dia. Pendita itu segera ditangkap. Diapun disiksa dan dipaksa meninggalkan agama yang dianutinya, mengatakan ada tuhan selain dari raja, namun pendita itu tidak mahu. Akhirnya kerana tidak mahu meninggalkan agama bertuhan kepada Allah itu, diperintahkan raja menggergaji kepala pendita itu. Kepalanya digergaji terbelah dua dan mati.
Kemudian dipaksa pula pembesar yang telah sembuh dari buta itu meninggalkan agama bertuhankan Allah itu dan kembali hanya bertuhan kepada raja. Diapun tidak mahu. Diapun digergaji juga, sampai terbelah dua badannya lalu mati.
Lalu dihadapkan anak kecil itu. Dia pun mulai dipaksa meninggalkan agama yang diimaninya, Tetapi dia tidak mahu. Lalu raja memerintahkan anak kecil itu dibawa ke puncak gunung, dan raja memerintahkan : “Apabila sampai di puncak gunung, paksa dia sekali lagi kembali kepada agama kita. Kalau dia tidak juga mahu lemparkanlah dia ke bawah.
Maka dibawalah oranglah dia ke puncak gunung. Sampai di sana kedengaranlah anak kecil itu berdoa : “Ya Allah, peliharakanlah aku dari mereka dengan kekuasaanMu,” Tiba-tiba bergoncanglah gunung itu dan orang-orang yang menghantar itulah yang jatuh dan anak kecil itu selamat.
Diapun turun dan terus mengadap raja. Lalu raja bertanya : “Apa khabar orang-orang yang aku suruh menghantarkan engkau ke gunung?,”
Anak itu menjawab :”Tuhanku telah memeliharakan daku dari mereka,”
Rupanya raja belum puas. Disuruhnya menangkap anak itu sekali lagi dan disuruh hantarkannya dengan sebuah sampan ke tengah laut. Diperintahkan kepada orang yang menghantarnya supaya memaksa anak itu kembali kepda agama asalnya kalau tidak mahu ditenggelamkan dia ke laut. Sekali lagi anak itu menadahkan tangan ke langit, maka datanglah angin ribut yang sangat besar. Tenggelamlah seluruh orang yang diperintahkan menghantarnya itu dan dia sendiri selamat berenang ke tepi. Dan kembali dia mengadap raja.

Diapun ditanya apa yang telah terjadi. Dia menjawab, tuhannya telah menolongnya dan orang-orang itu telah tenggelam semuanya. Kemudian dia berkata kepada raja : “Hai raja, Tuanku tidak akan dapat membunuhku kalau dengan cara demikian. Barulah akan berhasil Tuanku membunuhku jika tuan kerjakan apa yang aku suruhkan. Kalau tidak Tuanku kerjakan apa yang aku suruhkan, tidaklah berhasil maksud Tuanku menyingkirkan aku dari dunia ini”
Lalu raja bertanya : “Apakah yang engkau minta itu?”
Anak itu menjawab : “Tuanku suruh manusia berkumpul di satu tempat. Kemudian Tuanku suruh menaikkan aku ke atas kayu palang (salib), lalu Tuanku ambil satu anak panah kepunyaanku sendiri dari dalam busurnya. Kemudian Tuanku bidik aku dengan tepat, lalu baca : “Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini.” Dengan melakukan demikian barulah Tuanku dapat membunuhku.
Permintaannya dilakukan oleh raja, diambil anak panahnya dari busurnya dengan mengucapkan : “Dengan nama Allah, Tuhan anak kecil ini” lalu dipanahnya anak kecil itu, kena tepat pada jantungnya dan terkulailah kepalanya, sedang tangannya memegang pangkal panah yang telah tersisip di dadanya dan diapun matilah. Tiba-tiba terkeluar dari mulut seluruh orang yang hadir: “Kami beriman dengan Tuhan anak kecil ini”
Gempitalah suara di tanah lapang itu menyatakan iman kepada Tuhan Allah yang dipercayai oleh anak kecil itu. Maka berbisiklah seseorang kepada raja : “Tidakkah Tuanku perhatikan? Bukankah apa yang Tuanku takuti selama ini telah terjadi? Budak kecil itu mati tapi semua orang telah menganut ajarannya?,”
Sangat murkalah raja apabila melihat manusia telah berbalik arah. Lalu raja memerintahkan menangkap orang-orang yang terang-terang menyatakan percaya kepada Tuhan anak kecil itu, dan baginda suruh gali lubang-lubang atau parit-parit besar. Dan diancamlah orang : “Barangsiapa yang masih berpegang kepercayaan anak kecil itu, akan dimasukkan ke dalamnya dan dibakar. Dan barangsiapa yang kembali kepada agama pusaka nenek moyang mereka akan selamat.”
Mendengar itu, tidaklah mereka mundur, malahan mereka berduyun-duyun mendekati lubang yang ternganga menunggu giliran dibakar. Maka adalah diantara mereka itu seorang perempuan yang sedang mendukung anaknya, seketika telah dekat ke pinggir lubang itu, timbul ragu-ragu dalam hatinya. Tiba-tiba berkatalah anak didalam dukungannya itu : “Teguhkanlah hatimu, ibuku! Ibu adalah di dalam agama yang benar,”
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim dan diriwayatkan juga oleh an-Nasa’i dan juga Tirdmizi dari Shuhaib.
Tersebut lagi cerita lain tentang lubang pembakaran itu, iaitu ketika Raja Dzu Nuas beragama Yahudi memaksa penduduk Najran yang telah lama memeluk agama Nabi Isa a.s. setelah raja beragama Yahudi itu menakluki negeri tersebut dijalankanlah paksaan kepada penduduk supaya memeluk agama Yahudi. Orang Nasrani diwaktu itu dibawah pimpinan penditanya yang sangat tua, sehingga kemanapun berjalan, dia itu ditandu. Ketika Yahudi menanyai aqidahnya, dia menjawab bahawa dia beriman kepada Allah Yang Maha Esa dan beriman kepada syariat Nabi Isa a.s dan dia tidak akan merubah kepercayaannya itu. Maka ditangkaplah dia dan para pengikutnya, digali lubang dan dinyalakan api di dalamnya dan dilemparkanlah mereka ke sana. Dan mereka masuk ke dalam lubang itu dengan tidak mengeluh, kerana yakin akan pendiriannya.
Ibnu Katsir menyatakan dalam tafsirnya bahawa penggalian lubang dan pembakaran terhadap orang yang beriman yang teguh pada keyakinannya itu, bukanlah kejadian satu kali, malahan berkali-kali. Ibnu Katsir menyalinkan keterangan dari dari Ibnu Abi Hatim bahawa penggalian lubang pembakaran itu pernah terjadi di Yaman dizaman raja-raja Tubba’, di Konstantinople dizaman Konstantin memaksa orang Nasrani melepaskan kepercayaan mereka yang asli tentang tauhid, dan kejadian juga di Iraq iaitu di negeri Babil dizaman Raja Bukhtinashr (Nabukadnesar) yang membuat berhala dan memaksa orang menyembah berhala itu. Maka Nabi Danial tidak mahu mengorbankan kepercayaannya kepada Allah Yang Maha Esa bersama kedua temannya ‘Izriya dan Mikhaail. Lalu dibuat lubang dan diunggunkan kayu-kayu kering ke dalamnya dan dimasukkan ketiga-tiga orang beriman itu ke dalamnya. Namun sesampai mereka ke dalam api yang bernyala itu, mereka tetap hidup dengan segar bugar dan keluar dengan selamat. Padahal bersama ketiga orang yang beriman diantaranya seorang nabi itu,  dimasukkan pula sembilan orang yang dianggap pemberontak kepada raja, semuanya hangus terbakar.
 “Petikan dari Kitab Tafsir al-Azhar karangan Almarhum Professor Dr. Hamka” - (dari tafsir surah al- Buruj)
-Bandingkan dengan keadaan di Mesir, Syiria, Palestin dan di mana-mana sahaja tempat yang Umat Islam diganyang. Sebenarnya mereka sedang dipaksa “terjun dalam  parit yang di dalamnya api sedang menyala-nyala. Sucinya perjuangan mereka jauh meninggalkan kita yang masih terkial-kial dengan ujian yang sedikit. Moga kita juga dikurniakan kekuatan seperti mereka insyaAllah. Wallahua’lam.

Friday, August 9, 2013

 
Petikan :Malaysiakini
 
Terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini.

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata maklumat itu diperoleh daripada kajiannya terhadap statistik penceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2011.

Ini berikutan terdapat purata 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi tahun 2011.

"Statistik perceraian daripada Jakim dari tahun 1990 hingga 2010 sentiasa menunjukkkan peningkatan kes penceraian setiap tahun," katanya kepada Bernama.

Noor Aziah berkata situasi itu berlaku kerana kebanyakan individu yang mendirikan rumah tangga didapati tidak memahami mahupun mengetahui akan falsafah sebenar sesebuah perkahwinan itu.

Justeru, beliau meminta masyarakat supaya melengkapkan diri dengan ilmu agama dan rumah tangga sebelum melangsungkan perkahwinan bagi mengurangkan kes perceraian sekali gus membentuk sebuah keluarga bahagia.

"Sebenarnya institusi keluarga itu adalah asas pembangunan sesebuah negara dan kalau institusi keluarga itu berjalan dengan baik maka negara pun akan jadi lebih baik," katanya.

Menyentuh mengenai belia pula, beliau meminta kerajaan memperbanyakkan penganjuran program keilmuan dan keagamaan kepada golongan belia di negara ini dalam usaha melahirkan belia berakhlak mulia, pada masa hadapan.

Noor Aziah berkata berdasarkan dapatan hasil kajiannya, mendapati gejala sosial seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah dan minum arak dalam kalangan belia Islam kini, berada pada tahap membimbangkan.

"Antara beberapa kaji selidik yang saya lakukan adalah Kajian Belia Bermasalah di Malaysia 2009, Kajian Belia, Dadah dan HIV:Punca dan Hak pada tahun 2010, dan Kajian Pembinaan Modul Ta’dib di Sekolah Henry Gurney, Melaka 2011.

"Hasil kajian ini membuatkan saya risau akan akhlak golongan belia pada masa ini yang mana bagi pandangan saya berpunca daripada tidak menghayati ilmu agama sepenuhnya walaupun ada pendidikan agama tetapi tidak mengamalkan ilmu agama yang ada itu. Kebanyakan responden menjawab tidak tahu sembahyang atau sudah lupa macam mana hendak sembahyang sewaktu ditemu bual," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata penularan gejala tidak sihat itu bakal memberi impak negatif kepada pembangunan modal insan negara ini sekiranya tidak ditangani segera.

"Dari kajian yang saya buat, saya dapati kanak-kanak pun mula mencuba seks semuda 12 tahun dan saya juga mendapati semasa saya membuat kajian 'Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia' pada 2007, mendapati ibu paling muda mengandung yang saya temu bual ialah 13 tahun.

"Macam mana negara ini hendak melahirkan seorang pemimpin yang berkaliber dan mempunyai personaliti terhormat pada masa depan sekiranya belia kini tidak mempunyai akhlak sepatutnya dikehendaki dalam Islam," katanya.

Apabila ditanya pendekatan kreatif yang boleh dilaksanakan bagi menarik minat belia terhadap program itu, Noor Aziah berkata ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara antaranya mencari 'role model' dari kalangan belia yang berjaya dalam bidang tertentu seperti johan Tilawah al-Quran, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, jaguh sukan dan artis.

Noor Aziah juga berkata kira-kira 80 peratus golongan belia bermasalah datang daripada keluarga ibu tidak bekerja atau suri rumah sepenuh masa.

Beliau yang juga anggota Majlis Penyelaras bagi Perlindungan Kanak-kanak Malaysia itu berkata angka itu didapati menerusi Kajian Belia Bermasalah di Malaysia 2009 yang melibatkan responden berumur 15 tahun hingga 40 tahun.

Sehubungan itu, beliau berkata peranan institusi kekeluargaan juga penting untuk memartabatkan pembangunan sahsiah diri golongan belia negara.

"Di sini peranan ibu bapa penting memberi pendidikan agama sepenuhnya kepada anak-anak. Pada pemerhatian saya kebanyakan anak-anak hanya dapat ilmu agama daripada guru agama dan apabila bersama ibu bapa mereka tidak belajar.

"Oleh demikian, saya menyarankan supaya kita semua kembali kepada perkara asas iaitu didikan agama dan memperbaiki mutu keluarga yang sedia ada dan yang akan dibina," katanya.

Tuesday, August 6, 2013





Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd

Segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas junjungan rasulullah s.a.w, berserta keluarga dan sahabat-sahabat baginda r.a. Ramadhan al Mubarak hampir melabuhkan tirainya. Dengan segala tawaran yang hebat daripada Allah kepada mahkluknya yang lemah ini, bagi mereka yang yakin dan percaya dengan janji-janji Allah maka mereka akan merebutnya dengan bersungguh-sungguh bagaikan tiada akan berjumpa lagi dengan Ramadhan bagi meraih taqwa.
Syawal yang bakal disambut nanti, dihiasi dengan kisah suka duka ummah di seluruh dunia. Di Malaysia kekalahan umat Islam didalam PRK Kuala Besut dengan menyaksikan limpahan rasuah dari parti pemerintah yang begitu bersungguh-sungguh mahu menghapuskan peluang parti Islam PAS untuk sekali lagi memerintah Terengganu. Dengan “kepungan” ratusan juta ringgit yang dijanjikan didalam pemikiran rakyat, menyebabkan rakyat Kuala Besut berada dipersimpangan bagi memilih calon dengan waras.
Dimana-mana sahaja di dunia ini apabila Islam berdiri di situ maka akan pasti ada tentangan yang akan diberikan dari pihak penentang Islam dengan pelbagai cara dan bentuk tentangannya. Mereka akan sedaya upaya mencuba untuk memadamkan cahaya Islam, akan tetapi Allah yang menjadi pelindung cahaya itu, tidak akan membenarkan. Ini adalah resam dunia. Firman Allah :
 “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)” (as-Shaff : 8)
Dunia juga ketika ini sedang menyaksikan pergolakan di Mesir, bumi yang sentiasa basah dengan darah para pejuang agama Allah. Betapa demokrasi yang dilaung-laungkan telah dinodai atas nama “demokrasi” juga. Sedangkan jelas dan nyata kemenangan parti Islam yang diketuai oleh Dr. Mursi, melalui pilihanraya yang sah menurut undang-undang ciptaan mereka sendiri. Para pejuang Islam bukan sahaja di Mesir, malahan di seluruh dunia, dikepung dari pelbagai sudut demi untuk melumpuhkan bukan sahaja sebahagian malahan kepada Islam itu sendiri secara keseluruhannya mengikut rentak dan tarian kuffar.
Inilah dia Perang Ahzab moden. Soladiriti kuffar membentuk gabungan luar dan dalam bagi menjahanamkan Islam dengan niat untuk memadamkan cahaya Allah dengan bertopengkan demokrasi. Sejarah Ahzab menyaksikan kemenangan kepada tentera Islam dengan hancurnya kesatuan kuffar sedangkan umat Islam dalam kesulitan yang amat sangat bertahan sehingga datang janji Allah. Kemenangan itu datang pada syawal, setelah sekian lama dikepung dalam keadaan memeritkan dan menggongcangkan keimanan dengan goncangan yang dahsyat, sebagai tapisan dari Allah terhadap hamba-hambanya, mengekalkan golongan yang ikhlas berjuang dan mengeluarkan munafik dari jalan perjuangan. Moga syawal ini memberikan berita kemenangan bagi rakyat Mesir yang sudah berzaman duduk dibawah pemerintahan sekular.
Begitu juga isu Syiria yang mencengkam hati dan perasaan umat Islam seluruh dunia dengan kesengsaraan yang mereka alami, bagi mempertahankan maruah umat Islam syria berhadapan dengan pemerintah mereka sendiri yang begitu rakus menyembelih rakyat sendiri. Semoga kemenangan dipihak mujahidin. Perjuangan kita masih jauh lagi berbanding dengan perjuangan mereka.
Syawal yang bakal menjelang ini juga hadir bersama liputan berita-berita jenayah dalam negara yang sangat mengerikan. Lebih kurang tujuh kes mati ditembak yang sehingga kini masih dalam siasatan dan tiada tangkapan mahupun pertuduhan rasmi. Keamanan kita tergugat dengan kesediaan pembunuh-pembunuh upahan untuk dibayar dengan harga serendah RM1000 bagi mereka menggalas tugasan “malaikat maut”.
Petaka apakah yang menimpa umat sekarang ini? Tiadalah jawapan yang lain melainkan kita wajib kembali kepada Islam secara keseluruhannya, bukan hanya sebahagian dan terpilih. Firman Allah :
“Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. [Al-Baqarah: 85].
Kegagalan manusia mengambil serta memahami isi kandungan al-Quran adalah malapetaka yang terbesar yang mendorong kepada kemusnahan kehidupan yang penuh kebaikan dan kemuliaan kepada kejahatan dan kehinaan. Mereka mengambil apa yang menguntungkan sahaja dan menolak apa yang dianggap merugikan atau yang menyekat hasrat mereka bagi meraih kehendak dunia dari al-Quran. Sedangkan Allah menyuruh manusia mengambil Islam itu secara menyeluruh agar selamat dari mengikuti jejak langkah syaitan. Firman Allah :
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (al Baqarah : 208)
Maka Islam sahajalah penyelamat bagi manusia keseluruhannya. Maka bersempena Eidul Fitri ini, wajiblah kita kembali kepada fitrah kehidupan ini iaitu kembali kepada Allah, tuhan sekelian alam. Hanya dengan mengikut kehendak Allah melalui sunnah rasulnya dan kitab al Quran, maka kita dijanjikan keselamatan oleh Allah, di dunia dan akhirat.
Akhir kata marilah kita sama-sama menadahkan tangan memohon agar Ramadhan kali ini akan memberikan ketaqwaan yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya agar dengan ketaqwaan itu maka kita dapat menyelamatkan diri kita, keluarga kita dan masyarakat secara keseluruhannya daripada kemurkaan Allah. Maaf Zahir Batin daripada saya, keluarga, seluruh AJK DPPNT dan MTD Bukit Payong Taqabbalallahu minna waminkum. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd

Friday, August 2, 2013

Petikan : Malaysian Insider




Petisyen pilihan raya yang dibuat oleh PAS untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu mencatat rekod kos petisyen paling tinggi apabila pempetisyen dikenakan kos sebanyak RM150,000.

Hakim Mahkamah Pilihanraya Kuala Terengganu, Datuk Mariana Yahya menolak petisyen yang dibuat seorang pengundi di kawasan itu, Ahmad Zamani Yusof.

Ahmad Zamani diwakili peguam Saipudin Othman, Faris Irwan Mustafa dan Mohd Azwan Mohd Rosli.
Mahkamah menganugerahkan kos sebanyak RM50,000 kepada setiap respondan petisyen ini iaitu Adun Kuala Berang, Tengku Putera Tengku Awang; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus pilihan raya DUN ini.

Sebelum ini, hakim yang sama menganugerahkan hanya RM30,000 kepada wakil rakyat PAS dari DUN Teluk Pasu Ridhuan Hashim dan Rantau Abang, Alias Harun.

Petisyen yang dikemukan oleh BN terhadap mereka ditolak oleh mahkamah sama.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS Muhyidin Abdul Rashid kalah kepada Tengku Putera dengan majoriti 449 undi di DUN Kuala Berang.

Kos petisyen

Sebelum ini, rekod kos petisyen dicatat oleh calon PKR untuk parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, apabila dikenakan kos RM120,000.

Ekoran itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang dibuat dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen.

Semalam Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu membangkitkan isu ini dalam sidang medianya.

"Kes pengendalian pilihan raya semacam ada pengarahan. Ia diselesaikan tanpa perbicaraan dan kos yang dituntut mahkamah amat luar biasa dikenakan ke atas petisyen dari PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat," kata Mohamad Sabu dalam sidang media itu.

Sehubungan itu, beliau mewakili PAS melahirkan rasa pelik dengan kepincangan yang berlaku sedangkan sebelum ini SPR dan kerajaan berkata, mana-mana yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya ini boleh membawanya ke mahkamah.

"Jangan salahkan rakyat jika ada persepsi di kalangan mereka mahkamah sekarang kembali ke zaman (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dulu yang boleh ditentukan keputusannya dan berlaku beli belah hakim yang menyebabkan rakyat tidak mendapat keadilan sebenarnya," tambah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media sama.

Beliau bimbang, selepas protes kepada SPR, rakyat akan buat protes pula di depan Istana Keadilan kerana tidak berpuashati dengan pengadilan kes petisyen pilihan raya ini.

Hulu Besut

Dalam perbicaraan hari ini, mahkamah pilihan raya Kuala Terengganu turut menolak petisyen yang dibuat terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Seorang pengundi, Salleh Sidek membuat petisyen terhadap Nawi kerana mendakwa beliau memberikan rasuah, satu kesalahan yang dinyatakan dalam peraturan pilihan raya.

Mahkamah juga menolak petisyen ini dengan kesilapan teknikal dan mengarahkan pempetisyen membayar kos RM50,000 terhadap respondan iaitu Adun BN.

Pempetisyen turut diwakili peguam Saipudin Othman, Faris Irwan Mustafa dan Mohd Azwan Mohd Rosli.
Petikan : Sinar Harian
  • Jalan rosak ganggu kelancaran lalu lintas
  • Keadaan kerosakan jalan juga menyebabkan air bertakung apabila hujan.
MARANG – Pengguna jalan raya berhampiran Pasar Besar Kedai Buluh dekat sini, meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani masalah kerosakan jalan yang mengganggu kelancaran lalu lintas berdekatan pasar berkenaan.

Penduduk, Abdul Ghani Mohamad, 40, berkata, masalah kerosakan jalan itu bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada pengguna, malah mampu menyebabkan kemalangan menimpa pelajar dari sekolah berdekatan.

“Masalah seperti itu seharusnya dipandang serius dan ia juga bukan perkara baru dan harus ditangani segera supaya tidak mendatangkan rasa tidak puas hati pengguna selain mengelak berlaku kemalangan di lokasi jalan rosak itu,” katanya.

ARKIB