Saturday, August 31, 2013


“Peranan ibu bukan sahaja menasihati anak-anak, akan tetapi mereka juga mesti menasihati suami mereka.
Juga bapa mesti menasihati ibu, dengan saling nasihat-menasihati antara satu sama lain maka insyaAllah mendidik keluarga akan menjadi lebih berkesan,” demikian antara nasihat Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Beliau berucap ketika menjadi tetamu dalam program Seminar Keibubapaan anjuran Pasti Kawasan Tawau, Sabah
Disamping itu turut ditekankan beliau peri pentingnya doa dalam mendidik anak-anak bagi menuju kejayaan yang dikehendaki Islam.
Ibu bapa juga mestilah menunjukkan contoh yang cemerlang terutama di hadapan anak-anak kerana kepimpinan melalui tauladan itu akan sentiasa diingati oleh anak-anak
Sambil mengutip kisah-kisah dari al-Quran perihal memelihara anak-anak, beliau juga memberikan contoh-contoh doa yang telah dibaca oleh para nabi dan orang-orang soleh agar anak-anak menjadi orang yang berguna kepada agama.
Nabi Yahya menurut beliau lahir setelah bapa baginda Nabi Zakaria sudah terlalu tua, hasil dari doa yang berterusan oleh Nabi Zakaria yang tidak berputus asa untuk mendapat anak yang soleh.
Nabi Yahya kemudiannya menjadi seorang nabi yang kemudiannya dibunuh dalam usia yang muda kerana menegakkan agama Allah.
“Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa agar tidak berhenti berdoa untuk anak-anak kita menjadi anak yang soleh.
Selain berusaha mendidik dengan sempurna, doa itu sangat penting,” ujarnya lagi.
Dengan kes-kes membuang bayi oleh pelajar-pelajar universiti yang kononnya terpelajar, akan tetapi jahil agama, maka sewajarnyalah ibu bapa perlu bimbang kerana tidak tertolak kemungkinan anak-anak mereka juga akan terheret sama.
Oleh itu bagi menjaga masyarkat daripada kepincangan kehidupan, maka para ibu bapa mestilah menekankan secara serius pendidikan di rumah dan bukannya tanggungjawab mendidik anak-anak diserahkan kepada pihak sekolah sahaja.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyeru peserta seminar memerhatikan hasil pendapatan masing-masing supaya teselamat daripada perkara yang haram dan syubhah.
Ustaz Mohd Nor yang dalam program Lawatan Muhibbah ke Tawau bersama dengan rombongan, yakin dengan gabungan didikan yang betul, pendapatan yang halal dan juga doa yang berterusan maka insyaAllah anak-anak akan menjadi manusia yang berguna kepada agama.

0 comments :

ARKIB