Sunday, April 29, 2012

Ceramah Umum

Bersama dengan "Tiga Bekas"

Dato' Ustaz Taib Azamuddin

Ahli Parlimen Baling

(Bekas Imam Besar Masjid Negara)

Dato' Fauzi Abd. Rahman

Pengerusi PKR Pahang

(Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Datuk Mohd Sabri Ariff Abdul Aziz

Ahli DAP

(Bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan)

Bertempat di Kampung Laut Bukit Payong

Jam 9.00 Malam

Ahad 29hb April 2012

Jom dengar ceramah, pastinya menarik dengan pendedahan isu-isu terkini oleh dua orang bekas UMNO dan tazkirah dari bekas Imam Besar

Friday, April 27, 2012

Rakaman jawapan isu-isu berbangkit di dalam sidang DUN Terengganu pada 24-25hb April 2012 oleh YB Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah.Sila sebarkan

http://www.youtube.com/watch?v=dS1EFJKVDC8

http://www.youtube.com/watch?v=HTDsDV0wePM

http://www.youtube.com/watch?v=lLbTbwQAXYA
Petikan Malaysiakini:
 
PKR hari ini mendedahkan butiran keahlian Umno dua pemimpin paling penting dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melibatkan Pengerusi Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, Abdul Aziz menjadi anggota cawangan Sri Ampang Baru (bahagian Ampang) manakala Wan Ahmad pula di cawangan Kubang Bunggor (Pasir Mas) di Kelantan.

Nombor keahlian keanggotaan turut disertakan dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini.

NONE"Seorang yang diamanahkan menduduki jawatan sebagai anggota SPR hendaklah diyakini bebas, tidak berpihak dan ‘non-partisan'.

"Ternyata pengerusi dan timbalan pengerusi SPR gagal dalam ujian asas ini apakala terbukti mereka berdua sah menjadi ahli Umno...," kata Saifuddin.

Saifuddin semalam dilaporkan mencabar kedua-dua orang kuat SPR itu supaya menafikan menganggotai parti Umno atau beliau akan mendedahkan butiran keanggotaan mereka hari ini.

Katanya, anggota panel SPR tidak sepatutnya condong kepada mana-mana parti politik agar dilihat berkecuali dan bertindak dengan tidak memihak.

Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang juga menegaskan bahawa kepercayaan awam syarat tonggak dalam kriteria pelantikan seseorang anggota dalam SPR.

"Kita berpendapat jalan terbaik untuk kedua-dua mereka membantu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan institusi SPR lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang ialah segera meletak jawatan," kata Saifuddin.

Thursday, April 26, 2012

Ceramah Umum

Bertempat di Kampung Undang

Bukit Payong Marang

Tarikh : 26hb April 2012

Jam : 9.30 malam

Penceramah :


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu



YB Ahmad Zaki Ibrahim

Timbalan Speaker DUN Kelantan


Ustaz Azman Shapawi Abd.Rani

Mantan Timbalan Ketua Dewan

Pemuda PAS Pusat

Datanglah beramai-ramai bagi mendengar isu-isu terkini sidang DUN Terengganu dan politik negara.


Kuala Terengganu : YAB Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said hari ini seperti cuba memutar belitkan isu belanjawan kepada zoo yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri sedikit masa dahulu.
Isu belanjawan sebanyak hampir RM 100 juta yang telah diluluskan oleh dewan itu telah dibangkitkan oleh wakil Batu Burok Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ( PAS ).
Beliau membangkitkan belanjawan yang begitu besar jumlahnya ( walaupun belum dibelanjakan lagi ) hanya untuk zoo, sepatutnya ditumpukan dahulu kepada persoalan kemanusiaan lain yang lebih penting.
Ahmad kemudiannya bangun menuduh Syed Azman telah berbohong dengan mereka cerita tentang jumlah hampir RM 100 juta itu di dalam dewan.
Akan tetapi apabila Syed Azman bangun menyatakan bahawa apa yang beliau bangkitkan itu adalah perkara yang telah diluluskan oleh dewan satu ketika dahulu, Ahmad hanya meneruskan ucapannya tanpa memperbetulkannya.
Dengan sikap Yang DiPertua (YDP) Dewan yang dilihat tidak memihak Syed Azman, maka permohonan Syed Azman agar YDP mengarahkan Ahmad menarik balik tuduhan dia berbohong tidak dilayan.
Sementara itu permohonan pembangkang agar kerajaan menyatakan secara terperinci tentang syarat-syarat persetujuan penamatan saman royalti antara kerajaan negeri dengan Petronas juga ditolak.
Sidang Dewan telah dipendekkan kepada hanya dua hari iaitu 24 dan 25 April setelah cadangan Pengerusi, Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Ahmad Razif Abd. Rahman agar sidang hari ketiga dimasukkan kedalam hari kedua diterima.

Tuesday, April 24, 2012

Ucapan ini tidak dapat disampaikan oleh Ustaz Mohd Nor kerana Yang Dipertua Dewan telah menutup tempoh perbahasan


Bismillahir rahmaanir rahiim

Saya mengambil kesempatan untuk menulis beberapa faktor yang mahu saya sebut dalam perbahasan Di Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke 5 tetapi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri telah menutup tempoh perbahasan yang menjadikan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu tidak mendedahkan penyelewengan UMNO dan Kerajaan BN. Titah Diraja meletakkan hasrat yang besar demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tapi UMNO dan Kerajaan BN tidak mempedulikan hasrat mulia ini. Demi mencapai kesejahteraan rakyat, saya mengharapkan rakyat menilai dan membuat tindakan yang adil dalam menentukan pendirian dalam PRU 13. Kekayaan negeri bukan milik UMNO dan Barisan Nasional tetapi satu amanah dan pinjaman sementara untuk mana-mana pemerintahan untuk diurus dengan baik dan maslahat rakyat.

Saidina Umar bin Al-Khattab yang memerintah Kerajaan Islam yang lebih luas daripada Malaysia dan Terengganu, pernah menyebut dalam khutbah di Masjid Madinah, katanya :

أنما أنا فىمالكم كوالي اليتيم

Maksudnya : “Sesungguhnya saya pada harta kamu seperti penjaga anak yatim.”

Oleh itu, apabila seorang lelaki yang jahat dan dibenci oleh Saidina Umar dengan sebab buruk akhlaknya, datang menemui saidina Umar, Amir Mukminin dengan berkata : “Wahai Amiral Mukminin ! Adakah Tuanku suka kepada saya ? Jawab Saidina Umar : Tidak. Lelaki itu berkata lagi : Adakah engkau akan memberi, jika aku meminta sesuatu?. Jawab Umar : Ya kerana engkau berhak mendapatkannya.



Bagaimana sikap dan pendirian Umar Al-Khattab,  sahabat Rasulullah mengajar mana-mana Kerajaan supaya bersifat adil dan mengutamakan kesejahteraan serta kebajikan rakyatnya.

Saya mahu menyebut beberapa perkara yang kemungkinan sengaja dilakukan untuk menimbulkan  kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

1-     Isu Penamatan Pinjaman Taja Yayasan Islam kepada beberapa pelajar yang sedang menuntut di Pusat Pengajian Tinggi Mesir. Penamatan ini dimaklumkan kerana sikap pelajar-pelajar tersebut yang ghairah untuk menghayati tuntutan perlembagaan Malaysia dan hak-hak kemanusiaan yang dipelajarinya. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat jelata Malaysia untuk bercakap dan bersuara, berhimpun secara aman dan tanpa senjata, serta membentuk persatuan.Ini membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang demokratik.



Jika pelajar-pelajar tersebut dianggap salah kerana memakai baju kuning, sudah pasti  Kerajaan ini sangat marah pada rakyat yang memakai pakaian kuning. Apakah kesalahan pada warna ? Jika salah pada kalimah Bersih, sudah tentu kerajaan benci tulisan bersih yang ada kadang2 pada jalan yang tercatat Zon Bersih.

                                                                               

Apakah kerajaan mahu menafikan hak mereka untuk bersuara dan bercakap ? Mereka bukan Anti Kerajaan tetapi menjunjung tinggi hak-hak yang diperuntukkan dalam perlembagaan Malaysia. Apakah Kerajaan Terengganu tidak memperakui hak-hak yang diperuntukkan dalam perlembagaan ?.



Mungkin pihak kerajaan mahu Mahasiswa jangan berpolitik dan terlibat dalam parti politik. Tetapi pelik, kenapa pihak kerajaan bersikap tidak adil dengan membiarkan mahasiswa terlibat dengan kelab UMNO yang memang pertubuhan yang terlibat dengan parti politik ?. Jika terlibat dengan kelab UMNO boleh, kenapa dengan pertubuhan dan badan-badan lain tidak boleh. Mana kebebasan ? Mana amalan demokratik yang diamalkan ?



Perdana Menteri berucap di Majlis Perlancaran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kampus 2012 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, malam Rabu.

Menurut Perdana Menteri : “Apabila AUKU dipinda mahasiswa-mahasiswi berpeluang untuk ke mana pun, boleh pergi mana...boleh dengar ceramah siapa pun dan boleh juga menjadi anggota parti mana pun tapi bila dalam kampus hendaklah tumpu pada pelajaran masing-masing. Tak ada siapa boleh kata bahawa kita menutup minda pelajar kita...kita tak tutup minda pelajar kita, mereka boleh dengar siapa pun.”

Mungkin pihak Kerajaan Terengganu tidak sealiran dengan Perdana Menteri atau tidak mengambil tahu janji-janji Perdana Menteri terhadap Mahasiswa.

Apakah pihak Kerajaan pimpinan Menteri Besar hari sangat tidak memberi ruang untuk Mahasiswa merayu dan memang tiada belas kasihan ? Sedangkan, pihak kerajaan mesti sedar bahawa Mahasiswa ini mungkin akan memberi khidmat  dan kebaikan pada Negeri ini pada masa depan selepas mereka pulang. Anggaplah pelajar-pelajar ini seperti anak-anak yang sedang menghadapi banyak perkara yang sedang dipelajarinya. Hadapilah mereka seperti anak-anak dengan kasih sayang bukan balas dendam.



2-     Isu Kuari Di Bukit Apit Ajil yang baru diluluskan. Kuari bukan berada dalam kawasan saya tapi untuk kesejahteraan seluruh rakyat. Kerajaan boleh beritahu kepada dewan tentang syarikat yang diluluskan untuk mengendalikan Kuari ini.Dimaklumkan bahawa ia baru diluluskan dalam tempoh beberapa minggu ini. Kelulusan pembukaan Kuari ini akan menggangu dan menggugat kesejahteraan rakyat sekitar.



-         Saya dimaklumkan Kuari ini  akan menyebabkan gegarkan yang menjejaskan keharmoniaan pendudukan-penduduk setempat. Gegaran ini kemungkinan akan menyebabkan keretakan pada rumah-rumah kediaman dan terdedah dengan keruntuhan kerana Kuari ini berada kurang daripada 500 meter daripada kawasan kediaman rakyat. Dimaklumkan, pihak JPS dan bomba tidak bersetuju untuk meluluskan pembukaan Kuari ini. Disamping itu, Kuari  ini berada kurang  satu KM daripada Tangki Air Bukit Apit, Ajil.

-         Permasalahan kedua ialah Kuari-Kuari batu sudah banyak. Syarikat2 yang mengusahakan Kuari tahu bahawa permintaan batu sangat kurang  dan mengalami kemelesetan. Bahkan ada syarikat yang dijual kepada bukan melayu kerana tidak mampu menguasahakannya lagi.

-         Apakah Kuari ini diluluskan dengan gopoh tanpa mengambil kira pandangan pihak PJS dan bomba ? Kenapa ? Persoalan, kuari dilulskan kerana kepentingan syarikat yang mempunyai hubungan erat dengan OKU (Orang Kuat UMNO).



3-     Yayasan Pembangunan Keluarga dan Yayasan Islam sudah pasti berperanan untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Aset-aset yang dimiliki oleh YPK dan YIT semestinya diurus dan dimajukan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Akhir ini, timbul beberapa persoalan yang berkaitan dengan tanah-tanah milik YPK dan YIT. Persoalannya, adakah tanah-tanah tersebut telah dijual kepada pengusaha-pengusaha ?. Kenapa ia dijual ? Dikatakan bahawa ia dijual dengan harga murah. Tanah YPK depan Sekolah Sultan Sulaiman 1 akan dibina apartmen mewah setinggi  25 tingkat. Adakah tanah YPK di mukim Banggol, Kemaman seluas 12 hektar lebih telah dijual kepada Syarikat TOTAL MERIT Sdn Bhd. Adakah tanah Yayasan Islam sebelah bangunan Wisma Darul Iman, sebelah Sekolah Tg Ampuan Meriam juga telah  dijual ? Berapa harganya ? Tanah Yayasan Islam yang menjadi tapak tadika/kelas KAFA sebelah Sekolah Tg Ampuan Meriam akan dirobohkan.

Akhirnya, saya menyeru kepada seluruh rakyat dan pengundi agar menilai Kerajaan UMNO yang terus memerintah dengan rakus dan sombong pada PRU 13. PAS ganti UMNO.

Sunday, April 15, 2012

Assalamualaikum

Siri kuliah oleh al- Fadhil Ustaz Mohd Nor Hamzah untuk tatapan anda semua, moga-moga bermanafaat insyaAllah

http://www.youtube.com/watch?v=hrW4peB_asA

http://www.youtube.com/watch?v=Qzqsf-qNvnk

Titian Baru : Sejumlah besar helaian risalah yang mengandungi ayat al-Quran didapati bertebaran berhampiran Masjid Titian Baru selepas solat jumaat baru-baru ini.

Risalah yang bermaksud untuk berkempen oleh pihak tertentu itu ditemui oleh kebanyakan jemaah masjid apabila selesai menunaikan solat jumaat.

Kebanyakan risalah itu telah dipijak samada oleh pejalan kaki atau kenderaan kerana semua jemaah tidak mengetahui adanya ayat-ayat al-Quran di dalam risalah tersebut.

Salah seorang jemaah Encik Rosli, yang menemui risalah itu merasa teramat kesal dengan tindakan pihak terbabit yang melakukan kerja-kerja sebegitu tanpa mengira sensitiviti terhadap kesucian al-Quran.

Beliau yang jelas kesal dengan tindakan yang menghina ayat-ayat Allah itu bertanya apakah mereka tiada akal untuk berfikir dengan waras ketika melakukan kerja-kerja sebegini.

“Dalam gambar itu ayat-ayat dari surah al-Mukminuun 1 dan 2 dapat dilihat dengan jelas.

Mereka ini memang ternyata jahil atau mungkin tidak mengenal huruf-huruf al-Quran.

Satu lagi persoalan yang bermain dalam fikiran saya, mereka menabur risalah ini ketika orang ramai sedang bersembahyang jumaat, mereka tu tak bersembahyang ke?,” tanya beliau lagi.

Beliau bersama teman-temannya kemudiannya berusaha mengutip semua risalah itu setelah menyedari ianya mengandungi ayat-ayat al-Quran agar tidak terus dipijak orang ramai.

Tambah beliau lagi, kalaupun mana-mana pihak yang terbabit betul-betul mahu berkempen, berkempenlah dengan cara yang betul tanpa mahu menamakan pihak terbabit.

Beliau menyeru kepada pihak yang terbabit agar insaf dan tidak mengulangi perkara-perkara dosa sebegini dimasa hadapan kerana dibimbangi bala dari Allah yang akan menimpa.

Saturday, April 14, 2012

Bukit Payong : Pemuda PAS Bukit Payong telah membuat persiapan terakhir bagi menghadapi pilihanraya ke 13 dengan terasminya Markas Besar Pemuda DUN di sini, semalam.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Marang Ustaz Khalil Abdul Hadi, seluruh ahli jawatankuasa Pemuda DUN dan wakil PAS Kawasan Marang Encik Harris Abd.Malek.

Dalam ucapan perasmiannya Ustaz Mohd Nor menggesa agar semua pemuda menanamkan didalam diri sifat kepatuhan kepada ketua dan tidak berkira-kira dalam menjalankan tugas.

Sambil memberikan contoh yang berlaku kepada pasukan tentera Tholut ketika menentang Jalut dizaman dahulu, kisah di dalam al-Quran itu seharusnya dijadikan iktibar terbaik bagi jemaah.

"Walaupun Tholut adalah dari kalangan orang miskin dan ditolak kepimpinannya oleh sebahagian besar bani Israel namun bagi mereka yang patuh dan percaya akan perintah Allah maka mereka itulah yang mendapat kemenangan," tegasnya.

Tambah beliau lagi laluan bagi kemenangan pasti akan ada ujian dan tidak akan berjaya sesuatu perjuangan itu sekiranya tidak berjaya menghadapi ujian itu.

"Askar-askar Tholut telah diberitahu bahawa mereka akan menghadapi ujian dalam perjalan perang mereka menentang Jalut.

Ujian mereka ialah sebatang sungai setelah perjalanan yang jauh merentasi padang pasir dan bukit bukau.

Sesiapa yang beriman ialah orang yang tidak meminum air sungai itu atau mereka yang hanya mengambil seteguk sahaja air sungai itu.

Namun, sebahagian besar mereka gagal dalam ujian itu apabila mereka meminum air sungai itu sehingga kekenyangan," katanya mengimbau sejarah al-Quran di dalam surah al-Baqarah itu.

Oleh itu beliau menggesa agar pemuda mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi ujian dalam perjuangan ini.

Pemuda juga digesa agar merapatkan saf yang mana ianya sangat disukai oleh Allah seperti yang Dia ungkapkan di dalam surah as-Saf berkenaan perancangan yang baik patut dilakukan oleh jemaah Islam dalam menghadapi perang.

Turut berucap ialah Ustaz Khalil Abdul Hadi yang menekankan agar menjaga semangat setiakawan didalam jemaah.

Beliau turut menyeru kepada pemuda agar tidak terlalu menghiraukan perkara remeh temeh yang kadangkala berlaku dalam jemaah agar tumpuan kepada perkara yang lebih besar tidak terjejas.

Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran oleh Ustaz Mohd Nor dan jamuan makan gulai kambing.

Thursday, April 12, 2012

Petikan Sinar Harian Edisi Cetak :


Kuala Terengganu : Dewan Pemuda PAS Negeri mendesak agar mufti dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bertindak segera dengan pertuduhan PAS sebagai parti ajaran sesat.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, tidak ada gunanya jika Umno terus menuduh PAS sekiranya tidak ada bukti kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat yang boleh menjurus kepada suasana tidak aman.

Menurutnya, Umno boleh menuduh PAS bermacam-macam tetapi perlu bertanggungjawab atas kenyataan mereka yang dilihat hanya sekadar 'gula-gula pilihanraya'.

"Mereka (umno) sebenarnya tidak ada isu untuk mengenakan PAS sebab itu mereka bangkitkan isu lama yang lapuk.
( Tulisan jawi sepatutnya huruf 'siin' di cetak huruf 'syiim' )

Bagaimana mereka kata PAS sesat, sedangkan tulisan jawi di kain rentang mereka pun boleh salah.

Siapa yang sesat sebenarnya? Saya harap pihak berkuasa agama bertindak kerana isu sebegini sangat sensitif yang boleh menyebabkan masyarakat kita berpecah," katanya sebagai reaksi balas mengenai penganjuran wacana anjuran Badan Perhubungan Umno Terengganu di Taman Tamadun Islam di sini, semalam.

Mohd Nor dalam nada sinis berkata Umno boleh meneruskan wacana itu sebagaimana yang dihasratkan agar rakyat terus berfikir mengenai kebenarannya dan berkata, wacana itu sebenarnya menguntungkan PAS.

Katanya, dengan teknologi maklumat yang kini hanya di hujung jari, rakyat sudah boleh menilai siapa yang berada di pihak yang benar.

Bukit Payong : Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria disifatkan sebagai tidak memahami makna ibadat dan politik apabila mengeluarkan kenyataan mengecam rancangan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau beberapa hari lalu.

Hal ini ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah semalam.

Menurut beliau, Ibnu Taimiyyah menjelaskan ibadat ialah suatu kalimah yang menggambarkan himpunan tentang perkara-perkara yang disuruh dan diredhai Allah.

Bahkan tambah beliau lagi, agama itu nasihat, Rasulullah bersabda "Agama itu adalah nasihat,". Para sahabat bertanya "Nasihat untuk siapa ?,"


Rasulullah menjawab " Nasihat kerana Allah, Rasulullah, berdasarkan ajaran al-Quraan, untuk pemimpin umat Islam dan masyarakat.

Nasihat dan teguran yang paling baik ialah nasihat kepada pemimpin yang memikul amanah Allah untuk mentadbir bumi dan ingatan untuk masyarakat agar mempunyai wa’yu siasi (kesedaran politik) dengan berbagai cara supaya ummah tidak tertipu dan binasa.

Baru-baru ini Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau merancang untuk menggunakan masjid sebagai lokasi perhimpunan protes mereka terhadap pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Kuantan pada Jumaat, 13 April ini.

Rancangan itu telah disifatkan oleh Tan Sri Harussani sebagai satu mainan politik oleh pihak-pihak tertentu dan beliau membantahnya.

Beliau berhujah lagi dengan menegaskan bahwa masjid ialah tempat untuk beribadat dan bukan tempat untuk bergaduh dan berpecah belah.

Ustaz Mohd Nor juga menegaskan bahawa risiko kepada alam sekitar dan masyarakat sekeliling perlu dititik beratkan dalam hal Lynas ini.

“Jadi memang Lynas ada kaitan dengan politik sebab risiko terdedah kepada ancaman radiasi akan dihadapi oleh penduduk berdekatan.

Dan himpunan di masjid-masjid ini adalah untuk memberitahu masyarakat serta mahu mencegah perkara yang buruk berlaku kepada masyarakat,” ujar beliau.

Beliau juga menganggap bahawa kenyataan Tan Sri Harussani itu tidak lebih hanya untuk mempertahankan kezaliman pemerintah.

“Tan Sri Harussani sewajarnya meletak jawatan sebagai mufti kerana dia gagal memahami dan jahil tentang politik Islam,” tegas beliau.

Sambil memberi contoh, Ustaz Mohd Nor dengan jelas menyatakan bahawa Saidina Umar pernah ditegur oleh Salman al-Farisi di dalam masjid, begitu juga ucapan-ucapan politik telah diucapkan oleh khalifah-khalifah Islam di dalam masjid.

Dengan sinis beliau bertanya, apabila masjid bukan tempat bergaduh, kenapa baru-baru ini seorang ahli jawatankuasa masjid ditumbuk kerana tidak berpuashati dengan keputusan pemilihan masjid, tidak ditegur oleh Tan Sri Harussani.

Bahkan mungkin juga dia lupa bagaimana UMNO telah meruntuhkan masjid Bujal di Kemaman.

“Apakah berita itu tidak sampai kepada beliau atau kerana puak-puak yang melakukan itu dikatakan sebagai ahli Umno?,” tanya beliau.

Wednesday, April 4, 2012

Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah

Bismillahir rahmaanir rahiim

Meneliti berita terbaru beberapa hari lepas berkenaan janin yang dibuang dan kepalanya pecah terhantuk di longkang kerana dibawa oleh aliran air yang deras, menguris hati ini. Janin yang berusia empat bulan itu dibuang bagaikan sampah, tiada harga bagi satu nyawa manusia oleh manusia lain yang bersifat kehaiwanan. Bukan mudah untuk membaca bait-bait laporan tentang berita yang menyayatkan hati itu walaupun sudah dihidangkan dengan mungkin ratusan laporan seumpamanya kerana ianya melibatkan nyawa manusia yang sepatutnya menjadi perkara yang paling dihargai oleh manusia, akan tetapi disia-siakan begitu sahaja oleh tangan-tangan yang
tidak takut akan janji hukuman dari Allah atas dosa membunuh. Begitulah apabila agama dibakulsampahkan oleh masyarakat. Amat sukar untuk hati menerima ajaran agama apabila hati telah dipenuhi dengan kekotoran dosa dan noda. Tiada lagi rasa takut kepada Allah. Kejahatan masyarakat ini adalah hasil dari perbuatan tangan-tangan manusia.Benarlah firman Allah dalam surah ar-Rum yang menyatakan bahawa

“Telah timbul kerosakan dan bala bencana di darat oleh dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan tangan-tangan manusia”

Pernah diwar-warkan dahulu untuk digubal akta bagi memperuntukan hukaman yang berat berkaitan kesalahan kes pembuangan bayi ini oleh kabinet. Cetusan idea itu turut dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Maka telah dipersetujui oleh kabinet untuk menetapkan kes pembuangan bayi akan disisasat dibawah akta 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mandatori jika sabit kesalahan. Kelulusan oleh kabinet itu telah dilakukan kira-kira hampir dua tahun lalu iaitu pada bulan Ogos 2010. Setelah itu, sehingga kini, masih belum kedapatan walau seorangpun pesalah yang dikenakan dengan hukuman berat seperti yang dijanjikan. Apakah maknanya dengan hukuman berat yang dijanjikan, sedangkan kes pembuangan bayi masih terus-terusan berlaku?

Statistik yang diambil bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun 2010 sehingga Kabinet membuat keputusan itu. Kes yang dicatat tahun ini saja hampir menyamai jumlah 65 kes yang berlaku di seluruh negara pada 2006. Malah, dikatakan dalam tempoh 24 jam selepas keputusan Kabinet itu diumumkan, empat lagi kes buang bayi dilaporkan. Ini tidak termasuk kes kelahiran anak luar nikah yang jumlahnya mencapai ratusan ribu. Menurut statistik Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf, dicatat dalam tempoh 2000 sehingga Julai 2008, sebahagian besarnya Melayu. Statistik ini hingga tahun 2010 sahaja. Bagaimana 2011 dan 2012?

Apa yang sangat jelas disini ialah ada dua perkara yang tidak seiring perjalanannya dalam hal ini iaitu hukuman berat yang bakal dikenakan dengan perlaksanaan kepada hukuman itu. Laungkanlah seberat mana sesuatu hukuman itu, tapi sekiranya tidak disertakan dengan perlaksanaan hukuman sebenar, maka manusia tidak akan takut.Inilah tanda gagalnya undang-undang jenayah masa kini. Apa ada pada ugutan tanpa disertakan perlaksanaannya? Kes pembuangan bayi ini adalah bermula daripada pergaulan bebas, bermesra-mesra dengan pasangan berlainan jantina dan kemudiannya berzina. Adakah remaja yang masih muda dan bertenaga dan masih mencari-cari nikmat dunia itu akan meninggalkan zina yang penuh kenikmatan itu hanya kerana diugut?

Lihat sahaja kes penari tiang di Seremban baru-baru ini. Kes-kes sebegini adalah diantara penyebab permulaan kepada zina dengan mempertontonkan aksi-aksi ghairah demi sedikit wang. Atas kesalahan menari tiang dan berpakaian menjolok mata, mereka didenda sebanyak RM25 seorang oleh mahkamah. Denda yang dibayar sambil tersenyum oleh mereka sepertimana gambar mereka di muka depan sebuah akhbar yang melaporkan kes tersebut baru-baru ini. Ada diantara mereka seperti GRO sanggup berbuat lebih dari itu sepertimana pendedahan-pendedahan kerja-kerja “pintu belakang” mereka dibongkar oleh pihak berkuasa apabila membuat serbuan di tempat-tempat sebegitu. Inilah kegagalan kepada sistem undang-undang yang ada sekarang ini. Mengugut dengan hukuman yang berat, kemudian apabila ada kes yang boleh dikaitkan atau permulaan kepada kes yanglebih berat (seperti tarian tiang ini yang menghala kearah zina) maka hukuman ringan dikenakan. Lebih mencengkam jiwa apabila ada komen dari menteri yang mengatakan bahawa janganlah lihat hanya kepada denda RM25 itu sahaja akan tetapi kaunseling yang diberikan kepada pesalah itu yang lebih penting. Kenyataan yang sungguh merentap dan menghiris hati bila dibaca.

Berbeza dengan undang-undang Islam. Islam mengugut akan mengenakan hukuman berat dan Islam mewajibkan manusia melaksanakannya, tiada pilihan hukuman ringan. Apabila disebut hudud, maka ianya dari Allah dan tiada manusia yang boleh membuat tawar menawar. Tersebut dalam satu kisah ketika salah seorang perempuan dari kalangan Bani Ma’zum didapati bersalah kerana mencuri, maka rasulullah s.a.w memutuskan hukuman potong tangan ke atas wanita itu. Maka bermesyuaratlah orang-orang penting dari Bani Ma’zum bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih ringan untuk wanita itu. Kemudian diutuskan wakil mereka menemui Usamah bin Zaid, cucu angkat kesayangan baginda untuk menyampaikan hasrat mereka. Maka apabila dipersembahkan kepada rasulullah rayuan itu, merah padamlah muka baginda kerana marah. Antara lain sabda baginda ialah kaum sebelum ini telah dibinasakan oleh Allah kerana apabila mereka dari kalangan kaya dan berpangkat melakukan kesalahan, maka hukuman yang ringan sahaja dikenakan.

Manakala apabila kaum yang lemah dan miskin melakukan kesalahan maka hukuman berat dijatuhkan dan baginda bersabda lagi bahawa jika sekiranya anak perempuan kesayangan baginda Fatimah binti Muhammad bersalah kerana mencuri, maka baginda akan memotong tangannya. Begitulah keadilan dan ketegasan Islam yang tidak memilih ‘bulu’. Tidak akan
berundur seincipun apabila diperintahkan Allah. Itulah ketinggian taqwa seperti yang selalu disebut khatib dalam khutbah Jumaat. Dek kerana ketegasan itulah maka manusia takut dengan hukuman Allah. Apa dikata, dikota.

Islam mengutamakan pencegahan dalam perkara dosa. Islam seboleh-bolehnya tidak mahu menghukum manusia. Oleh kerana itu diseru manusia agar mencegah diri dari melakukan dosa besar. Lihatlah apabila Allah berfirman dalam surah al- Isra’

“Dan janganlah kamu menghampiri zina”.

Dia tidak menyebut “melakukan” tetapi “menghampiri”. Apabila hampirpun jangan, maka apatah lagi melakukannya. Begitulah keindahan pencegahan yang Allah anjurkan kepada kita. Akan tetapi awas untuk manusia yang tetap juga berdegil untuk melakukan dosa besar, maka hukuman yang dijanjikan amatlah berat. Dan jika pemerintah tidak melaksanakannya maka pemerintah itu pula akan dikenakan azab oleh Allah diakhirat nanti. Maka tiada jalan lain lagi kecuali kita kembali kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan semua laranganNya. Telah terbukti kegagalan sistem yang dibina oleh manusia untuk membentuk dan mengawal manusia. Kerana manusia tidak mencipta manusia. Hanya sistem yang terbaik adalah datangnya dari pencipta manusia itu sendiri iaitu Allah. Maka bersegeralah kita kembali kepada Allah.

Akhirnya saya menyeru kepada semua remaja-remaja, belia-belia dan muda-mudi yang sedang sibuk dengan mencari kenikmatan dunia agar segera meninggalkan perkara-perkara dosa yang bakal mengundang kemurkaan Allah. Kita bukannya tidak boleh berhibur dan mencari keseronokan, akan tetapi mestilah berpada-pada dan dalam lingkungan yang dibenarkan Allah. Ayuh pemuda-pemudi sekelian, jangan sia-siakan masa muda kamu dengan perkara yang bakal merugikan kamu sendiri. Kamulah generasi yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara dimasa depan. Ustaz mengharapkan diri ustaz dan kamu serta keluarga kita semua dilindungi Allah sentiasa insyaAllah.

Wallahua’lam

ARKIB