Thursday, April 12, 2012


Bukit Payong : Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria disifatkan sebagai tidak memahami makna ibadat dan politik apabila mengeluarkan kenyataan mengecam rancangan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau beberapa hari lalu.

Hal ini ditegaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah semalam.

Menurut beliau, Ibnu Taimiyyah menjelaskan ibadat ialah suatu kalimah yang menggambarkan himpunan tentang perkara-perkara yang disuruh dan diredhai Allah.

Bahkan tambah beliau lagi, agama itu nasihat, Rasulullah bersabda "Agama itu adalah nasihat,". Para sahabat bertanya "Nasihat untuk siapa ?,"


Rasulullah menjawab " Nasihat kerana Allah, Rasulullah, berdasarkan ajaran al-Quraan, untuk pemimpin umat Islam dan masyarakat.

Nasihat dan teguran yang paling baik ialah nasihat kepada pemimpin yang memikul amanah Allah untuk mentadbir bumi dan ingatan untuk masyarakat agar mempunyai wa’yu siasi (kesedaran politik) dengan berbagai cara supaya ummah tidak tertipu dan binasa.

Baru-baru ini Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau merancang untuk menggunakan masjid sebagai lokasi perhimpunan protes mereka terhadap pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Kuantan pada Jumaat, 13 April ini.

Rancangan itu telah disifatkan oleh Tan Sri Harussani sebagai satu mainan politik oleh pihak-pihak tertentu dan beliau membantahnya.

Beliau berhujah lagi dengan menegaskan bahwa masjid ialah tempat untuk beribadat dan bukan tempat untuk bergaduh dan berpecah belah.

Ustaz Mohd Nor juga menegaskan bahawa risiko kepada alam sekitar dan masyarakat sekeliling perlu dititik beratkan dalam hal Lynas ini.

“Jadi memang Lynas ada kaitan dengan politik sebab risiko terdedah kepada ancaman radiasi akan dihadapi oleh penduduk berdekatan.

Dan himpunan di masjid-masjid ini adalah untuk memberitahu masyarakat serta mahu mencegah perkara yang buruk berlaku kepada masyarakat,” ujar beliau.

Beliau juga menganggap bahawa kenyataan Tan Sri Harussani itu tidak lebih hanya untuk mempertahankan kezaliman pemerintah.

“Tan Sri Harussani sewajarnya meletak jawatan sebagai mufti kerana dia gagal memahami dan jahil tentang politik Islam,” tegas beliau.

Sambil memberi contoh, Ustaz Mohd Nor dengan jelas menyatakan bahawa Saidina Umar pernah ditegur oleh Salman al-Farisi di dalam masjid, begitu juga ucapan-ucapan politik telah diucapkan oleh khalifah-khalifah Islam di dalam masjid.

Dengan sinis beliau bertanya, apabila masjid bukan tempat bergaduh, kenapa baru-baru ini seorang ahli jawatankuasa masjid ditumbuk kerana tidak berpuashati dengan keputusan pemilihan masjid, tidak ditegur oleh Tan Sri Harussani.

Bahkan mungkin juga dia lupa bagaimana UMNO telah meruntuhkan masjid Bujal di Kemaman.

“Apakah berita itu tidak sampai kepada beliau atau kerana puak-puak yang melakukan itu dikatakan sebagai ahli Umno?,” tanya beliau.

0 comments :

ARKIB