KUALA TERENGGANU – Selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding di Parlimen Kemaman, Pemuda Pas Negeri Terengganu pula mencabar Ahmad untuk bertanding di Rhu Rendang.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah yang kurang bersetuju dengan tindakan Ahmad berkata, Umno tidak sepatutnya mencampuri hal ehwal ‘rumah tangga’ parti itu termasuk membabitkan penetapan calon Pas di kerusi tertentu.

Beliau juga turut melihat kenyataan Abdul Hadi yang bersedia bertanding di Parlimen Pekan sebelum ini juga tiada kaitan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), kerana Pas berhak meletakkan calon di mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai.

“Apa kaitan Pas dan Umno dan dia (Ahmad) sendiri pun tidak tahu menjadi calon di mana. Jadi, apa peranan dia untuk mengganggu ketetapan calon Pas dan Pas berhak menentukan calonnya di mana-mana kerusi. Kita juga cabar beliau tanding di kerusi Rhu Rendang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dun Rhu Rendang ketika ini disandang Abdul Hadi dan kerusi tersebut dikatakan sebagai kubu kuat Pas.

Mohd Nor berkata demikian sebagai mengulas laporan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ahmad yang juga Pengerusi Umno Terengganu berkata, Abdul Hadi sepatutnya bertanding di Kemaman, bukan menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak di Pekan, Pahang.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong dilihat tidak berpuas hati apabila turut mencabar Ahmad supaya bertanding di Parlimen Besut.

Sementara itu, beliau turut menganggap cabaran yang dibuat pimpinan Umno itu menunjukkan ketakutan terhadap kegagalan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Umno dalam keadaan takut kerana sehingga sekarang mereka tidak dapat menentukan tarikh pilihan raya,” katanya.

Bagi Pas katanya, beliau yakin dengan kewibawaan Presiden parti itu dan calon-calon Pakatan Rakyat (PR) yang lain untuk membawa kemenangan pada pilihan raya umum nanti.

“Kita yakin berasaskan perubahan rakyat untuk mendapatkan sokongan bukan sahaja terhadap Presiden Pas tetapi juga calon PR,” katanya.