Dizaman dahulu ada seorang raja.
Baginda mempunyai seorang ahli sihir. Setelah ahli sihir itu merasakan dia
telah tua, berdatang sembahlah dia kepada raja menerangkan dia telah tua dan
hampir sampai ajalnya. Dia memohon kepada raja agar raja mencarikan anak kecil,
kerana kepada anak itu akan diperturunkan segala ilmu sihirnya. Permohonan itu
dikabulkan raja, lalu diserahkan kepadanya seorang anak kecil dan datanglah
anak kecil itu berulang-ulang kepada tukang sihir itu mempelajari sihirnya.
Diantara tempat tinggal tukang
sihir dan tempat tinggal anak itu ada pula berdiam seorang pendita. Anak itu
sentiasalah singgah pula berteduh di tempat kediaman pendita itu dan banyak
pula dia mendengar ucapan-ucapan dari pendita tua itu yang amat menarik hatinya.
Maka kalau dia terlambat datang kepada tukang sihir, tukang sihir itu marah
lalu memukulnya. Dan kalau dia terlambat pulang ke rumah orang tuanya kena
marah pula mengapa terlambat pulang. Lalu diajarkan oleh pendita tua itu suatu
jawaban, kalau ditanya oleh tukang sihir itu mengapa lambat, jawablah kerana
terlambat turun dari rumah dan kalau ditanya pula di rumah mengapa terlambat,
katakan guruku tukang sihir menahanku.
Dalam hal demikian selalulah dia
pulang dan pergi ke rumah tukang sihir dan tetap singgah di rumah pendita. Pada
suatu hari terhambatlah orang yang lalu lintas berjalan di jalan yang
ditempuhnya kerana ada binatang buas mengganggu, sehingga orang merasa takut
lalu di situ. Ketika itu anak kecil itu berada di sana. Lalu dia berkata “Akan
aku uji manakah yang lebih dapat aku gunakan, ajaran tukang sihirkah atau ajaran
pendita. Lalu diambil sebiji batu dan dia ucapkan “Ya Allah! Kalau ajaran pendita
itu yang benar di sisi Engkau, lebih dari ajaran tukang sihir maka bunuhlah
binatang ini! Supaya manusia yang lalu di jalan ini tidak terhalang juga”, Lalu
dilemparkan batu itu kepada binatang tersebut. Maka matilah binatang itu dan
lalu lintaslah manusia seperti biasa.
Setelah dia mengadap pendita itu
diceritakanlah pengalamannya itu kepada pendeta itu. Maka berkatalah beliau “Wahai
budak kamu telah mencapai darjat yang lebih tinggi daripada yang aku capai!
Tetapi aku peringatkan engkau bahawa engkau akan menderita banyak percubaan.
Maka kalau percubaan itu datang, janganlah engaku beritahukan perhubungan
engkau dengan aku,”
Sejak waktu itu nama anak itu
kian terkenal dan dapatlah dia mengubati orang ditimpa kusta dan penyakit
lain-lain.
Raja mempunyai seorang pembesar
yang selalu diajak raja bermesyuarat. Kebetulan pembesar itu buta. Dia
mendengar cerita tentang anak itu lalu datanglah pembesar buta itu kepadanya
dan membawa hadiah sebanyak-banyaknya dan berkata “Sembuhkanlah butaku! Hadiah
ini adalah untukmu dan jika aku sembuh hadiah ini aku tambah lagi,”
Anak itu menjawab, saya tidak ada
kuasa menyembuhkan apa juapun penyakit. Yang Maha Kuasa menyembuhkannya
hanyalah Allah. Kalau tuan sudi beriman kepada Allah, saya akan berdoa kepada
Allah memohon kepadaNya agar tuan disembuhkan. Mendengar ajakan anak itu maka
berimanlah pembesar buta itu. Lalu anak itu berdoa maka pembesar itupun
sembuhlah dan celiklah kedua belah matanya.
Setelah matanya sembuh datanglah
kembali dia ke majlis raja. Raja sangat tercengang lalu bertanya : “Siapakah
yang menyembuhkan matamu?,”
Pembesar itu menjawab “Tuhanku,”
Dengan hairan raja bertanya pula
: “Apakah aku yang engkau maksudkan?,”
Dia menjawab : “Bukan! Tuhanku
dan tuhan Tuanku adalah Allah,”
“Engkau mengakui ada lagi tuhan selain
aku?,”
Pembesar itu tetap menjawab : “Tuhanku
dan tuhan Tuanku adalah Allah,”
Raja sangat murka mendengar
jawaban itu, sehingga orang besar itu ditangkap dan disiksa, sampai kerana
tidak tahan mendarita sakit, dibukanya rahsia bahawa guru yang mengajarnya
ialah anak kecil tersebut.
Anak kecil itupun ditangkap lalu
ditanyai apakah benar dia dapat menyembuhkan orang berpenyakit kusta, buta dan
lain-lain. Anak itu menjawab bahawa semua itu tidak benar! Dia tidak dapat
menyembuhkan sesiapapun jua. Yang menyembuhkan segala sakit hanyalah Allah Yang
Maha Kuasa.
“Akukah yang engkau maksudkan?,”
tanya raja.
“Bukan,” jawab anak itu, “Tapi
Allah!,”
“Apakah engkau mengaku pula ada
tuhan selain aku?,” tanya raja lagi.
Dengan tegas anak itu menjawab
pula : “Tuhanku dan tuhan raja ialah Allah,”
Mendengar jawapan demikian anak
itu disiksa. Dia dipaksa mengaku darimana dia mendapat pelajaran yang amat
ganjil itu. Kerana tidak tahan disiksa maka dia menunjukkan pendita yang
mengajar dia. Pendita itu segera ditangkap. Diapun disiksa dan dipaksa
meninggalkan agama yang dianutinya, mengatakan ada tuhan selain dari raja,
namun pendita itu tidak mahu. Akhirnya kerana tidak mahu meninggalkan agama
bertuhan kepada Allah itu, diperintahkan raja menggergaji kepala pendita itu.
Kepalanya digergaji terbelah dua dan mati.
Kemudian dipaksa pula pembesar
yang telah sembuh dari buta itu meninggalkan agama bertuhankan Allah itu dan kembali
hanya bertuhan kepada raja. Diapun tidak mahu. Diapun digergaji juga, sampai
terbelah dua badannya lalu mati.
Lalu dihadapkan anak kecil itu.
Dia pun mulai dipaksa meninggalkan agama yang diimaninya, Tetapi dia tidak
mahu. Lalu raja memerintahkan anak kecil itu dibawa ke puncak gunung, dan raja
memerintahkan : “Apabila sampai di puncak gunung, paksa dia sekali lagi kembali
kepada agama kita. Kalau dia tidak juga mahu lemparkanlah dia ke bawah.
Maka dibawalah oranglah dia ke
puncak gunung. Sampai di sana kedengaranlah anak kecil itu berdoa : “Ya Allah,
peliharakanlah aku dari mereka dengan kekuasaanMu,” Tiba-tiba bergoncanglah
gunung itu dan orang-orang yang menghantar itulah yang jatuh dan anak kecil itu
selamat.
Diapun turun dan terus mengadap
raja. Lalu raja bertanya : “Apa khabar orang-orang yang aku suruh menghantarkan
engkau ke gunung?,”
Anak itu menjawab :”Tuhanku telah
memeliharakan daku dari mereka,”
Rupanya raja belum puas. Disuruhnya
menangkap anak itu sekali lagi dan disuruh hantarkannya dengan sebuah sampan ke
tengah laut. Diperintahkan kepada orang yang menghantarnya supaya memaksa anak
itu kembali kepda agama asalnya kalau tidak mahu ditenggelamkan dia ke laut.
Sekali lagi anak itu menadahkan tangan ke langit, maka datanglah angin ribut
yang sangat besar. Tenggelamlah seluruh orang yang diperintahkan menghantarnya
itu dan dia sendiri selamat berenang ke tepi. Dan kembali dia mengadap raja.
Diapun ditanya apa yang telah
terjadi. Dia menjawab, tuhannya telah menolongnya dan orang-orang itu telah
tenggelam semuanya. Kemudian dia berkata kepada raja : “Hai raja, Tuanku tidak akan
dapat membunuhku kalau dengan cara demikian. Barulah akan berhasil Tuanku
membunuhku jika tuan kerjakan apa yang aku suruhkan. Kalau tidak Tuanku
kerjakan apa yang aku suruhkan, tidaklah berhasil maksud Tuanku menyingkirkan
aku dari dunia ini”
Lalu raja bertanya : “Apakah yang
engkau minta itu?”
Anak itu menjawab : “Tuanku suruh
manusia berkumpul di satu tempat. Kemudian Tuanku suruh menaikkan aku ke atas
kayu palang (salib), lalu Tuanku ambil satu anak panah kepunyaanku sendiri dari
dalam busurnya. Kemudian Tuanku bidik aku dengan tepat, lalu baca : “Dengan
nama Allah, Tuhan anak kecil ini.” Dengan melakukan demikian barulah Tuanku
dapat membunuhku.
Permintaannya dilakukan oleh
raja, diambil anak panahnya dari busurnya dengan mengucapkan : “Dengan nama
Allah, Tuhan anak kecil ini” lalu dipanahnya anak kecil itu, kena tepat pada
jantungnya dan terkulailah kepalanya, sedang tangannya memegang pangkal panah
yang telah tersisip di dadanya dan diapun matilah. Tiba-tiba terkeluar dari
mulut seluruh orang yang hadir: “Kami beriman dengan Tuhan anak kecil ini”
Gempitalah suara di tanah lapang
itu menyatakan iman kepada Tuhan Allah yang dipercayai oleh anak kecil itu.
Maka berbisiklah seseorang kepada raja : “Tidakkah Tuanku perhatikan? Bukankah
apa yang Tuanku takuti selama ini telah terjadi? Budak kecil itu mati tapi
semua orang telah menganut ajarannya?,”
Sangat murkalah raja apabila
melihat manusia telah berbalik arah. Lalu raja memerintahkan menangkap
orang-orang yang terang-terang menyatakan percaya kepada Tuhan anak kecil itu,
dan baginda suruh gali lubang-lubang atau parit-parit besar. Dan diancamlah
orang : “Barangsiapa yang masih berpegang kepercayaan anak kecil itu, akan
dimasukkan ke dalamnya dan dibakar. Dan barangsiapa yang kembali kepada agama
pusaka nenek moyang mereka akan selamat.”
Mendengar itu, tidaklah mereka
mundur, malahan mereka berduyun-duyun mendekati lubang yang ternganga menunggu
giliran dibakar. Maka adalah diantara mereka itu seorang perempuan yang sedang
mendukung anaknya, seketika telah dekat ke pinggir lubang itu, timbul ragu-ragu
dalam hatinya. Tiba-tiba berkatalah anak didalam dukungannya itu : “Teguhkanlah
hatimu, ibuku! Ibu adalah di dalam agama yang benar,”
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad dan Muslim dan diriwayatkan juga oleh an-Nasa’i dan juga Tirdmizi dari
Shuhaib.
Tersebut lagi cerita lain tentang
lubang pembakaran itu, iaitu ketika Raja Dzu Nuas beragama Yahudi memaksa
penduduk Najran yang telah lama memeluk agama Nabi Isa a.s. setelah raja
beragama Yahudi itu menakluki negeri tersebut dijalankanlah paksaan kepada
penduduk supaya memeluk agama Yahudi. Orang Nasrani diwaktu itu dibawah
pimpinan penditanya yang sangat tua, sehingga kemanapun berjalan, dia itu
ditandu. Ketika Yahudi menanyai aqidahnya, dia menjawab bahawa dia beriman
kepada Allah Yang Maha Esa dan beriman kepada syariat Nabi Isa a.s dan dia tidak
akan merubah kepercayaannya itu. Maka ditangkaplah dia dan para pengikutnya,
digali lubang dan dinyalakan api di dalamnya dan dilemparkanlah mereka ke sana.
Dan mereka masuk ke dalam lubang itu dengan tidak mengeluh, kerana yakin akan
pendiriannya.
Ibnu Katsir menyatakan dalam
tafsirnya bahawa penggalian lubang dan pembakaran terhadap orang yang beriman
yang teguh pada keyakinannya itu, bukanlah kejadian satu kali, malahan
berkali-kali. Ibnu Katsir menyalinkan keterangan dari dari Ibnu Abi Hatim
bahawa penggalian lubang pembakaran itu pernah terjadi di Yaman dizaman
raja-raja Tubba’, di Konstantinople dizaman Konstantin memaksa orang Nasrani
melepaskan kepercayaan mereka yang asli tentang tauhid, dan kejadian juga di
Iraq iaitu di negeri Babil dizaman Raja Bukhtinashr (Nabukadnesar) yang membuat
berhala dan memaksa orang menyembah berhala itu. Maka Nabi Danial tidak mahu
mengorbankan kepercayaannya kepada Allah Yang Maha Esa bersama kedua temannya ‘Izriya
dan Mikhaail. Lalu dibuat lubang dan diunggunkan kayu-kayu kering ke dalamnya
dan dimasukkan ketiga-tiga orang beriman itu ke dalamnya. Namun sesampai mereka
ke dalam api yang bernyala itu, mereka tetap hidup dengan segar bugar dan
keluar dengan selamat. Padahal bersama ketiga orang yang beriman diantaranya
seorang nabi itu, dimasukkan pula
sembilan orang yang dianggap pemberontak kepada raja, semuanya hangus terbakar.
“Petikan dari Kitab Tafsir al-Azhar karangan
Almarhum Professor Dr. Hamka” - (dari tafsir surah al- Buruj)
-Bandingkan dengan keadaan di
Mesir, Syiria, Palestin dan di mana-mana sahaja tempat yang Umat Islam
diganyang. Sebenarnya mereka sedang dipaksa “terjun dalam parit yang di dalamnya api sedang
menyala-nyala. Sucinya perjuangan mereka jauh meninggalkan kita yang masih
terkial-kial dengan ujian yang sedikit. Moga kita juga dikurniakan kekuatan
seperti mereka insyaAllah. Wallahua’lam.
0 comments :
Post a Comment