Dewan Pemuda PAS Terengganu akan
menggerakkan jentera pilihanraya dengan
sehebat-hebatnya dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Besut nanti kerana ianya
penting bukan sahaja di peringkat negeri malahan di peringkat nasional.
Penegasan ini dinyatakan oleh
ketuanya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditanya tentang persiapan jentera
pemuda negeri baru-baru ini.
Jentera pemuda selain dari akan
berkampung di Kuala Besut, juga akan menerapkan strategi sentuhan mesra kepada
pengundi-pengundi terutamanya anak-anak muda dan sebagaimana tradisi PAS, akan
menghindari sikap kasar dan kesat ketika berkempen.
Beberapa program juga telah dan
akan dirancang bagi menyemarakkan lagi kempen PRK ini dengan ditunjangi oleh
pemuda DUN Kuala Besut dan Kawasan Besut sebagai tuan rumah.
“Kita akan menurunkan tokoh-tokoh
dan ikon anak-anak muda (dalam PRK ini) seperti Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
sendiri, timbalannya, al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus serta ramai lagi.
InsyaAllah dengan sentuhan mereka
ini, anak-anak muda ini akan membuat perubahan dalam PRK ini,” kata beliau
melahirkan keyakinan.
Beliau juga meminta agar jentera
Umno tidak bertindak agresif supaya perjalanan PRK yang pertama selepas PRU 13
ini, berjalan dengan lancar dan sempurna.
“Kita mengharapkan agar jentera
Umno jangan bersikap agresif, bersikap kasar, kerana kami Dewan Pemuda PAS
negeri dan pemuda-pemuda telah menanamkan suatu sikap yang baik untuk turun
(berkempen).
Dan kami tidak akan berundur ke
belakang jika sikap kasar dan agresif dan samseng (jika) dilakukan oleh
petugas-petugas Umno,”
Beliau bersikap optimis apabila
ditanya tentang keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang telah mengumumkan
tarikh PRK pada bulan ramadhan (24 Julai) dengan beliau mengajak anak-anak muda
mengambil semangat dari Perang Badar.
Walaupun dalam serba kekurangan,
akan tetapi semangat dan keyakinan kepada Allahlah maka tentera yang sedikit
tidak mustahil akan menewaskan tentera yang banyak dengan izin dari Allah.
Tambah beliau lagi, jika
sekiranya SPR mengadakan PRK dalam bulan syawal juga, tidak menjadi masalah
kepada pejuang-pejuang PAS yang akan mengambil iktibar dari kisah peperangan
Ahzab yang dimenangi oleh tentera-tentera Islam dengan berbekal semangat ruh
taqwa.
Ruh taqwa itu adalah hasil didikan
pada bulan ramadhan yang menurut beliau lagi, akan diperolehi jika
bersungguh-sungguh dalam mengerjakan dan meningkatkan mutu ibadat masing-masing
sambil beliau menyeru agar pemuda sentiasa memperkuatkan kualiti ibadat.
Berkeyakinan penuh bahawa
persiapan jentera Pemuda Kawasan dan Dun berada ditahap yang tinggi, beliau menyeru
agar keupayaan jentera pemuda dipertingkatkan ketahap maksimum menjelang
penamaan calon sehingga hari pembuangan undi.
Sambil melahirkan keyakinan yang
tinggi PRK kali ini bakal berpihak kepada PAS, beliau seterusnya memberikan
gambaran laluan PAS untuk kembali memerintah Terengganu terbuka luas sekiranya
menang PRK Kuala Besut ini.
“Saya mengharapkan PRK kali ini
bukanlah suatu pilihanraya yang mengecewakan kita tetapi pilihanraya yang
menggembirakan kita kerana laluan kemenangan
untuk PAS memerintah negeri Terengganu kemungkinan cerah kalau kita
menang.
Sekarang kita sedang membuat dua
petisyen di Hulu Besut, dengan kes yang berlaku apabila undi pos dibeli oleh
calon yang ada pada masa itu dan insyaAllah petisyen yang kita buat di Kuala
Berang.
Maka (sekiranya) dua petisyen ini
jugak menang di mahkamah ataupun akan berlaku PRK, laluan kita kearah
kemenangan di Terengganu insyaAllah terbuka,” ujarnya penuh keyakinan.
Beliau akhirnya merayu kepada
pengundi-pengundi di Kuala Besut agar melihat bagaimana kegagalan Menteri Besar
sekarang Dato’ Seri Ahmad Said dan memerintah Terengganu dengan dendam dengan
mengenepikan banyak projek yang sepatutnya dijalankan di Besut.
Inilah masanya bagi pengundi
Kuala Besut untuk menghentikan keegoan Ahmad Said yang bagi beliau tidak
menghormati Dato’ Seri Idris Jusoh, tokoh dari Besut yang telah banyak
merancang projek bagi penduduk Besut.
0 comments :
Post a Comment