Orang ramai diminta agar tidak
termakan dengan kenyataan-kenyataan dari pimpinan Umno yang dilihat sebagai
islamik, tetapi dalam masa yang sama ia sebenarnya tersasar jauh daripada
sunnah.
Ini adalah penting bagi menjaga
umat Islam dari terjerumus ke dalam perangkap mereka yang berkepentingan
terlebih lagi dalam suasana pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut sedang
berlangsung.
Saranan ini dibuat oleh Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai ulasan
balas kepada kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Nawi Mohamad.
“Istiqarah hanya dilakukan
apabila kita berhadapan dengan dua pilihan yang pada pandangan kita sama baik,
iaitu kita hendak mencari mana yang lebih baik.
Akan tetapi tidak perlu bagi kita
solat istiqarah apabila kita berhadapan dengan perkara hak dan batil. Ketika
itu wajib kita memilih yang hak.
Dalam politik Malaysia ini,
ternyatalah PAS adalah hak dan Umno adalah batil dengan segala perkara yang
telah terbukti dan dapat dilihat kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh Umno
keatas rakyat bukan sahaja di Kuala Besut malahan di seluruh Malaysia.
Jadi tiada sebab bagi pengundi
Kuala besut menuruti syor oleh YB Nawi kerana telah jelas bahawa Paslah parti
yang perlu dipilih oleh pengundi, tak perlulah pengundi buat istiqarah,” tegas
beliau.
Bahkan tambahnya lagi, sewajarnya, rakyat
menunaikan solat hajat agar Allah
membuka hati pengundi Kuala Besut dikurniakan hidayah dan taufiq untuk
menyokong kebenaran dan PAS.
Dalam kenyataan Nawi yang
disiarkan dalam sebuah akhbar semalam, beliau dilaporkan sebagai berkata
pengundi Kuala Besut yang sukar membuat pilihan dalam PRK Kuala Besut disyorkan
agar melakukan solat Istiqarah bagi memohon petunjuk.
Ini tambahnya lagi untuk masa
depan, kerana soal memilih calon ini bukan perkara main-main katanya di hadapan
usahawan kecil dan petani di Kuala Besut sambil menekankan perlunya BN dipilih
semula dalam PRK ini.
Mengulas satu lagi contoh yang
menyalahi sunnah yang dilakukan oleh Umno, Ustaz Mohd Nor yang juga Adun Bukit
Payong, menasihatkan agar calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman supaya
bersegera berbuka puasa apabila sudah tiba waktu berbuka.
Sambil mengutip sepotong hadis riwayat
Bukhari dan Muslim yang bermaksud “manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan
selama mereka menyegerakan berbuka” beliau mencadangkan agar calon BN menurut
sunnah rasulullah s.a.w.
“Tiada perkara yang lebih baik
daripada menuruti sunnah dengan betul.
Apabila perkara sunnah
diketepikan, maka tiadalah kebaikan walaupun kelihatan begitu hebat amalan yang
dilakukan seseorang.
Inilah implikasi politik dalam BN,
apabila ketiadaan exco agama yang bertanggungjawab membimbing dan memandu
rakyat agar mengikuti sunnah Rasulullah,” tambah beliau lagi.
Dalam laporan TV3 kelmarin, calon
BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dikatakan lewat berbuka puasa kerana ingin
bertemu para pengundi di sekitar Kuala Besut.
Beliau seterusnya melihat masalah
kekeliruan syiar ini adalah kerana Umno tidak meletakkan Islam pada tempat
sebenarnya berbeza dengan PAS yang sentiasa mendahului al-Quran, sunnah, ijmak
dan qias dalam amalan mereka.
Oleh itu beliau mencadangkan agar
pimpinan Umno tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan agama yang
mengelirukan masyarakat.
Ustaz Mohd Nor juga menyeru agar pengundi-pengundi
Kuala Besut agar melihat sendiri kekacauan pemikiran yang dilakukan oleh
pimpinan Umno yang mengelirukan masyarakat bukan sahaja dalam hal dunia malahan
perkara akhirat juga.
0 comments :
Post a Comment