Calon PAS Azlan Yusof berkata beliau tidak gusar dengan pengaruh keluarga calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang didakwa sebagai satu kelebihan kepada lawannya itu dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.
"Sama sahaja (cara berdepan dengan Tengku Zaihan). Kita pun anak jati Besut. Kita pun ramai ahli keluarga. Sama sahaja.

NONE"(Saya) tak takut untuk berdepan (dengan keluarga besar Tengku Zaihan). Insya-Allah, kita yakin menang pada kali ini. Kali ini giliran kami. Insya-Allah," katanya Azlan, yang mesra dengan pangilan Che Long.
Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Azlan menjawab soalan pemberita berhubung usaha beliau berdepan dengan Tengku Zaihan yang dilapor mempunyai keluarga besar di Kuala Besut.

Sementara itu, pengurus kempen Azlan, Hanapiah Mat berkata jentera PAS akan menumpukan usaha untuk mendekati pengundi melalui kunjungan rumah ke rumah dan juga ke premis perniagaan.
ADUN Chukai itu berkata, calon PAS itu juga akan menemui pengundi di pasar Ramadan dan masjid di kawasan Kuala Besut dalam kempen bertemakan "16:16 Terengganu Baru" itu.
"Selepas perarakan (penamaan calon) esok, kita mengambil (pendekatan) kempen terus bersentuh dengan rakyat... supaya rakyat lebih mesra kempen yang kita laksanakan," katanya.
Menurutnya, Azlan sebelum ini setiasa dekat dengan pengundi, terutama di kalangan nelayan, pengusaha keropok, petani dan pegawai kerajaan.

Kenyataan berkenaan timbul susulan laporan akhbar Sinar Harian hari ini yang memetik kenyataan bapa Tengku Zaihan, Che Ku Abdul Rahman berhubung pengaruh anggota keluarga mereka dalam pilihan raya kecil kali ini.
Che Ku berkata, beliau yakin sebahagian besar daripada kira-kira 3,000 orang anggota keluarganya itu akan memberi sokongan kepada BN."Di kalangan ahli keluarga itu ada yang terdiri daripada pembangkang, tetapi mereka menyatakan persetujuan untuk menyokong BN kerana faktor keluarga," kata Che Ku Abd Rahman seperti dilaporkan Sinar Harian.

Che Ku juga berkata ahli keluarganya mempunyai persatuan keluarga dikenali sebagai "keluarga Tuan Fatimah Tuan Long" malah turut mempunyai koperasi persatuan itu.