Kuala Besut : Walaupun simulasi
dakwat kekal telahpun dijalankan oleh pihak Suruhajaya Pilihanraya (SPR) dan
turut disertai oleh pelbagai pihak antaranya wartawan, namun PAS masih merasa
sangsi dengan keberkesanannya.
Ini kerana kegagalan SPR menepati
janji mereka dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang lalu, masih belum cukup
dengan simulasi ini, bagi menebus kembali kepercayaan umum terutama sekali dari
pihak PAS.
Menurut Pengarah Pilihanraya PAS
Pusat Dr Hatta Ramli, beliau dimaklumkan bahawa kandungan bahan utamanya iaitu silver
nitrate didalam dakwat tersebut masih lagi satu peratus, sama seperti kandungan
yang diisytiharkan oleh SPR dalam PRU 13.
Namun umum mengetahui kesan
dakwat yang digunakan dalam PRU13 lalu, tidak kekal dan ianya menjadi tanda
tanya samada dakwat yang bakal digunakan itu adalah dakwat yang sama atau
tidak.
“Sekiranya dakwat yang sama, saya
ragui kenapa boleh berbeda begitu.
Akan tetapi jika dakwat baru yang
digunakan dalam simulasi ini, adakah dakwat yang sama (yang baru) akan
digunakan dalam PRK nanti?,” tanya beliau.
Sambil tidak menafikan kebaikan
dakwat kekal seperti yang didakwa oleh SPR dalam simulasi itu, beliau
menegaskan jika benar kekal, maka itulah yang sepatutnya fungsi sebenar dakwat
kekal agar tidak berlaku pengundian lebih dari sekali.
Satu demonstrasi penggunaan
dakwat kekal telah dijalankan oleh SPR hari ini.
Dalam satu kenyataan selepas
demonstrasi itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata,
suruhanjaya itu mendapati jika dakwat kekal itu dibasuh, warnanya akan muncul
semula pada jari.Seorang wartawan cuba mencuci dakwat tersebut sejam selepas itu, dan mendapati kesannya masih ada walaupun dua kali dibasuh dengan sabun.
Dakwat itu juga didakwa menjadi semakin gelap selepas beberapa ketika.
Tambah Dr Hatta lagi yang juga
Ahli Parlimen Kuala Krai, PAS kali ini bersedia dengan sebarang kemungkinan
hasil dari pengalaman dalam PRU13 yang lalu berkaitan dengan dakwat kekal ini.
“Kita telah bersedia (kali ini)
sekiranya kita dapati dakwat tersebut tidak kekal, untuk membuat laporan polis
dan pihak yang sepatutnya.
Tetapi saya rasa, kerana PRK ini
menjadi fokus seluruh negara, maka dia (SPR) pasti akan berusaha mencari jalan
agar dakwat yang digunakan kelihatan lebih baik.
Kerana kalau mereka (SPR) gagal
sekali lagi maka ini adalah sangat memalukan,” tegas beliau.
Beliau turut menzahirkan
kesangsian jika sekiranya pembekal dakwat tersebut masih dari pembekal yang
sama.
Beliau khuatir sekiranya dakwat
tersebut masih dari pembekal yang sama, maka ianya mungkin terdedah kepada
penipuan samada penipuan dari segi perniagaan atau penipuan dalam mendapat
pulangan politik.
Dr Hatta ditemui dalam program
penerangan kepada pengundi di Bazar Ramadhan Kampung Tok Has petang tadi bersama
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Adun Bukit Payong Ustaz Mohd
Nor Hamzah.
Untuk rekod, kerajaan Malaysia
masih merahsiakan nama pembekal dakwat kekal untuk PRU13 dan PRK Kuala Besut
dan mengambil sikap berdiam diri dengan pendedahan nama pembekal oleh Ahli
Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
0 comments :
Post a Comment