Kuala Besut : Dewan Ulamak PAS
Pusat (DUPP) hari ini kesal dengan kejadian mengunci surau yang berlaku di
Kampung Alur Mujur, Kampung Lampu yang menyebabkan kesukaran jemaah terutama
bagi jemaah-jemaah luar Kuala Besut bagi melakukan solat berjemaah.
Disebalik anjuran rasulullah
s.a.w bagi umat Islam memakmurkan masjid dalam bulan Ramadhan, ada pihak yang
melakukan perkara sebaliknya.
Menurut Setiausaha DUPP Dr. Mohd
Khairuddin Aman Razali, DUPP sangat kecewa dengan kejadian tersebut yang mana
sepatutnya dalam hal memakmurkan rumah Allah semua pihak perlu mengenepikan
sentimen politik.
“Surau itu sudah ditinggal agak
lama, tetapi malangnya ada pihak telah mengunci surau tersebut (apabila ada
aktiviti).
Dengan tujuan yang kita nampak
ialah untuk menghalang ia dihidupkan dan dimakmurkan dengan sebaiknya.
Jadi perkara ini sangat
mengecewakan kita kerana dalam perkara memakmurkan rumah Allah s.w.t tidak
patut ada sentimen politik, (bahkan) kita patut berpakat ramai-ramai
memakmurkannya,” ujar beliau kesal.
Beliau yang pergi sendiri melihat
keadaan surau tersebut, memaklumkan bahawa beliau tidak dapat masuk kerana surau
tersebut berkunci.
Jelas beliau lagi, hal ini
seperti menghalang orang ramai untuk
beribadat dalam rumah Allah seperti contoh yang disebutkan dalam surah
al-Baqarah mengenai orang yang dilabelkan zalim oleh Allah apabila menghalang
orang dari menyebut nama Allah di dalam rumah Allah.
“Bagi saya tindakan mengunci
surau tak patut berlaku apatah lagi dalam keadaan sekarang kempen PRK yang
semua pihak perlu makmurkan surau dengan kehadiran ramai masyarakat seluruh
Malaysia datang bertumpu di Kuala Besut,” kata beliau lagi.
Dr. Khairuddin yang juga Ahli
Parlimen Kuala Nerus merayu agar pihak yang mengunci surau tersebut agar
membukanya kembali dan mengenepikan sentimen politik, dengan harapan agar surau
itu akan menjadi makmur selepas ini dan seterusnya.
Mengulas isu yang sama, Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh
surau itu sebenarnya dibina secara gotong royong oleh masyarakat setempat.
Ia kemudiannya diambilalih oleh
pihak tertentu dan semenjak pengambilalihan itu, surau tersebut menjadi mati
(dari aktiviti-aktiviti keagamaan).
Beliau yang juga mantan Adun
Kuala Besut turut mengkritik pihak yang terang-terang menggunakan masjid bagi
tujuan politik pihak tertentu, dan dalam masa yang sama menghalang pihak lain
dari menggunakan masjid atas alasan masjid tidak boleh dijadikan tempat
berpolitik.
Sambil memberi contoh kejadian
yang berlaku di Masjid Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong
Kedak, beliau memberitahu Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dihalang
untuk masuk ke dalam masjid walaupun untuk mengerjakan solat.
Tetapi dalam masa yang sama ada pemimpin dari Umno dibenarkan membuat program di dalam masjid-masjid di sekitar Kuala Besut.
Walaubagaimanapun beliau memuji
sikap staf-staf TUDM yang begitu perihatin dengan perkembangan ini dan berharap
mereka mengekalkan sikap profesional mereka terutama sebagai anggota kerajaan
yang tidak memihak.
DUPP juga dalam sidang media yang
sama, mengumumkan satu program Solat Hajat Perdana Dan Munajat yang akan
diadakan pada Selasa 23 Julai 2013 jam 3.30 pagi di Masjid Haji Yaakob, Kampung
Tok Saboh, Kuala Besut.
Program anjuran DUPP itu bertujuan
bagi memohon kemenangan dalam PRK ini, bukan hanya diadakan di Kuala Besut
tetapi di seluruh negara.
Sehubungan dengan itu, Dr
Khairuddin menyeru agar semua ahli-ahli serta penyokong-penyokong PAS walau di
mana juga berada, agar turut melakukan solat hajat serta munajat bagi memohon
kemenangan PAS di PRK Kuala Besut.
“Kita yakin bahawa tidak cukup
kita hanya menyediakan persiapan-persiapan fizikal dan berkempen mengajak
rakyat semaksima yang mungkin (untuk tarik undi) tetapi yang lebih penting
hubungan kita dengan Allah untuk mendapatkan kemenangan,” kata beliau.
0 comments :
Post a Comment