Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahir Rahmaanir Rahiim
Segala puji bagi Allah dan
selawat serta salam keatas rasulullah s.a.w. Firman Allah :
(Masa yang
diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang
menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia
berpuasa bulan itu (al-Baqarah 185).
Saudara
muslimin dan muslimat serta seluruh rakyat Terengganu khususnya rakyat Bukit
Payong, saya ucapkan selamat berpuasa moga-moga Allah memberikan kekuatan
kepada kita untuk menunaikan segala ibadat dibulan Ramadhan dan Allah taala mendudukkan
kita di bawah naungan rahmat, keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka
insyaAllah.
Bulan Ramadhan
merupakan bulan al-Quranul Karim, bulan diturunkan al-Quran yang berperanan
pada tiga perkara :
1- Petunjuk
kepada manusia
2- Keterangan-keterangan
dari petunjuk-petunjuk
3- Al-Furqan
iaitu pembeza kepada segala keburukan dan kejahatan dari kebenaran dan
kebaikan.
Mereka yang melakukan ibadat
puasa sepatutnya dapat melahirkan diri sebagai seorang insan yang bertaqwa
kepada Allah. Kerana orang-orang yang bertaqwa sahaja yang dapat menerima
petunjuk daripada Allah menerusi al-Quran. Oleh kerana itulah, bulan Ramadhan
sepatutnya dilakukan sebaik mungkin amalan-amalan yang baik bagi memenuhi janji
rasulullah kepada orang yang berpuasa yang melakukan dengan penuh keyakinan
akan mendapat keampunan Allah. Sabda rasulullah s.a.w:
“Barangsiapa yang berpuasa dibulan Ramadhan
dengan keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah akan diampunkan
dosa-dosanya yang lalu” (HR Bukhari).
Ibadat puasa juga mengajar kita bersabar
dan pahalanya hanya Allah yang akan membalasnya. Dalam hadis qudsi Allah
berfirman :
“Sesungguhnya puasa itu adalah khusus untuk-Ku
dan hanya Aku yang layak menentukan ganjarannya. Orang yang berpuasa
meninggalkan kehendak nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana mematuhi
perintah-Ku.” (HR Muslim).
Betapa hebatnya amalan puasa ini hinggakan
pahalanya ditentukan terus oleh Allah tidak seperti amalan-amalan yang lain.
Demikian juga pahala sabar seperti firman Allah :
“Sesungguhnya
orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka
dengan tidak terkira.” (az-Zumar : 10).
Sabar dalam
menahan kehendak nafsu, ujian perjuangan, segala pujukan dan godaan syaitan,
kesukaran dan kesulitan serta sabar dalam melakukan amalan-amalan soleh.
Suasana hari
ini kita melihat musuh-musuh Islam cuba dan berusaha untuk menekan dan
melakukan pelbagai kezaliman keatas pejuang-pejuang Islam. Maka tiadalah penawar
yang palin hebat dalam menghadapi musuh-musuh Islam ini melainkan dengan
kesabaran yang wujud dalam hati dan diri pejuang-pejuang Islam yang terdidik
dibulan Ramadhan.
Kita akan
sentiasa berhadapan dengan puak yang menentang Islam selama-lamanya. Mereka
kadang-kadang datang dengan identiti yang terang-terangan sebagai kafir dan
terkadang dalam identiti sebagai muslim yang penuh dengan tipu helah.
Menggunakan ayat-ayat tertentu dari al-Quran sebagai perisai bagi menghalalkan
perbuatan mereka dan pada masa yang sama membuang ayat-ayat yang dikira sebagai
merugikan mereka. Maka benarlah firman Allah :
“Apakah kamu
beriman dengan sebahagian kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain?”
(al-Baqarah : 85)
Sepatutnya
pertembungan ini dapat difahami melalui al-Furqaan (yang membezakan) iaitu
al-Quran kerana al-Quran dengan terang dan nyata telah mengajar kita
bagaimanakah untuk menguruskan perbezaan ini. Ianya juga mengajar kita
bagaimana kita sepatutnya berhadapan dengan perbezaan ini dan amatlah senang
bagi kita sebagai orang yang berpegang teguh dengan al-Quran akan dapat melihat
perbezaan antara hak dan batil ini menerusi kacamata al-Quran. Akan tetapi
malang sekali sekiranya al-Quran itu tidak kita jadikan sebagai penanda aras
bagi perbezaan ini, maka sudah pasti kita akan tertipu kepada mereka yang
menggunakan al-Quran sebagai permainan kezaliman mereka.
InsyaAllah
Allah taala akan memberikan keselamatan kepada kita semua dan Allah menjadikan
kita dari golongan yang sentiasa seolah-olah mendengar seruan malaikat “Wahai
orang-orang yang mencari kebaikan,
bergembiralah dengan janji-janji Allah. Wahai orang-orang yang mencari
kejahatan, berhentilah dari segala kemungkaran dan keburukan. Oleh itu sempena
bulan yang mulia ini sayugialah kita berhenti dari melakukan kejahatan dan
kemungkaran dalam semua bidang dan berterusan kita melakukan kebaikan dan
bergembira sehingga kita menemui Allah kerana kebaikan yang kita cari dan
sempurnakan hanya kerana Allah. Selamat menjalani ibadah puasa semoga kita keluar
dari madrasah Ramadhan ini sebagai orang yang bertaqwa kepada Allah insyaAllah.
Wallahua’alam
0 comments :
Post a Comment