Wednesday, October 30, 2013

Petikan : Buletin Online
 
MARANG – PAS Terengganu menegaskan, selaku gerakan dakwah dan parti politik, menyokong pendirian dan tindakan tegas yang perlu dibuat terhadap mana-mana pihak yang menghina institusi agama.

Namun begitu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah melahirkan kebimbangan terhadap kes yang melibatkan Bekas Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu.

Menurutnya, kekeliruan rakyat terhadap kes tersebut, mungkin akan lebih membawa fitnah yang lebih besar.

YB Mohd Nor Hamzah“Kami (PAS) menyokong pendirian tegas perlu dibuat terhadap pihak yang menghina institusi agama.
 
(Namun begitu) kes seumpama ini dibimbangkan akan memburukkan imej Maidam dan status kehakiman syare’i dalam negeri, yang membuatkan rasa tidak hormat rakyat terhadap sistem pentadbiran agama dan kehakiman syarei,”ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang berita beberapa akhbar pada Ahad 27 Oktober yang melaporkan Datuk Ismail Yahya, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah, atas pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu.
 
Oleh itu, PAS mengharapkan pihak kerajaan dapat membuat penjelasan tentang kes tersebut supaya rakyat memahami isu yang sebenarnya dengan baik.
 
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan supaya suasana yang lebih ‘harmoni’ diambil bagi menyelesaikan ‘kemelut’ pentadbiran itu.
 
Beliau turut mempersoalkan sikap kerajaan Terengganu yang hanya ‘berdiam diri’, sedangkan, ia adalah sesuatu yang dipandang serius.
 
“Apakah tidak ada cara lain yang lebih kondusif dalam menyelesaikan isu salah faham atau cara perbincangan tertutup untuk mengharmonikan sistem bercorak Islam yang murni ini?
 
“Apakah sikap dan pendirian kerajaan terhadap isu ini?,”soal beliau.
 
Katanya, selaku Ahli Yang Berhormat, beliau mewakili PAS Terengganu mengharapkan agar isu ini dapat diselesaikan tanpa disensasikan dan menjadi ‘buah mulut’ rakyat.

Tuesday, October 29, 2013


Marang : PAS Marang dalam usaha persediaannya untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) 14 telah melantik tiga orang Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) yang baru bagi memantapkan lagi organisasi mereka.
Ketiga-tiga mereka yang baru dilantik itu ialah YB Ustaz Mohd Nor Hamzah untuk MTD Bukit Payong, Ustaz Arifin Deraman MTD Alor Limbat dan Ustaz Sulaiman Sulong bagi MTD Pengkalan Berangan.
Manakala bagi MTD Rhu Rendang, DUN yang diwakili oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, pengarahnya yang lalu Haji Mohammad Embong dikekalkan.
Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Marang Haji Yahaya Ali (kiri) lantikan wakil-wakil rakyat atau bekas calon itu adalah untuk memastikan tanggungjawab yang lebih berkesan untuk disempurnakan mereka.
Ini juga menurut beliau adalah untuk memberikan ruang kematangan kepimpinan memandangkan usia pengarah-pengarah baru ini masih muda.
Haji Yahaya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, juga berharap semua ahli jawatan kuasa yang dilantik bertindak pro aktif dan banyak turun padang dalam menangani masalah-masalah yang ada di peringkat Dun.
“Kita nak ,wakil-wakil rakyat dia sendiri yang memimpin MTD masing-masing, untuk memastikan dia lebih matang, bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran pengurusan parti.
Jawatankuasa yang dibentuk mengambil kira semua faktor dan latar belakang, menggabungkan orang lama dan baru untuk menjadikan MTD itu lebih mantap,” kata beliau.
Beliau juga merancang untuk memperbanyakkan kursus serta latihan kepimpinan bagi menyediakan pelapis kepimpinan PAS Kawasan Marang.
Mantan Adun Alor Limbat itu turut melahirkan keyakinan mengekalkan kemenangan di Marang serta merampas kembali DUN Pengkalan Berangan dalam PRU 14 nanti jika tiada persempadanan baru.
Untuk makluman, MTD adalah satu organisasi yang dibentuk dalam Pas yang menjadi penghubung antara cawangan-cawangan dengan kawasan-kawasan.
Ketika mula diwujudkan, ianya hanyalah bertujuan bagi membantu PAS untuk menghadapi pilihanraya dan jawatankuasanya dibubarkan sebaik sahaja selesai pilihanraya.
Akan tetapi menyedari fungsi MTD yang sangat penting dalam membantu pengurusan parti bagi membantu rakyat, maka ianya dikekalkan dan lantikan jawatankuasa baru diadakan setiap kali selesai pemilihan peringkat kawasan.
Sementara itu Pengarah-Pengarah MTD yang baru ketika ditemui masing-masing melahirkan rasa bersyukur dengan kepercayaan yang diberi PAS Kawasan Marang tetapi menyedari akan amanah yang berat itu.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang ditanya tentang agenda utama yang akan ditekankan berkata beliau akan memperkasakan pengurusan MTD bagi memantapkan lagi pengurusan agar memudahkan membantu rakyat.
Turut akan diberi penekanan ialah program tarbiyyah ahli-ahli PAS agar lebih memahami kehendak parti dan tidak terkeliru dengan pemikiran-pemikiran luar serta dapat disatukan pemikiran dengan kehendak al-Quran dan sunnah.
 
Manakala YB Ustaz Arifin Deraman (kanan) yang juga berperancangan sama seperti YB Ustaz Mohd Nor, akan berusaha sebaik mungkin berperanan sebagai pengarah dan dalam masa yang sama sebagai wakil rakyat.
Beliau yang pertama kali memenangi pilihanraya, juga akan mencurahkan pengalaman beliau selama 30 tahun berkecimpung didalam bidang politik bagi menguatkan MTD Alor Limbat.
Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong (bawah) pula berharap agar semua AJK MTD yang dilantik dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya bagi membantu beliau menerajui MTD. 

Bekas calon di DUN Pengkalan Berangan itu juga berhasrat untuk memberikan kesedaran kepada semua AJK agar tidak menjadikan pengurusan MTD ini bermusim iaitu ketika pilihanraya sahaja.

Beliau yang baru berusia 36 tahun, dan menjadi pengarah MTD termuda, bertekad untuk merampas kembali DUN Pengkalan Berangan dengan mensasarkan pemuda-pemuda untuk dijadikan pengundi-pengundi tegar PAS.
Berdasarkan sokongan yang dizahirkan oleh pemuda-pemuda DUN Pengkalan Berangan pada PRU 13, beliau melahirkan keyakinan bukan sahaja akan dapat mengekalkan sokongan pemuda, malah akan menambah sokongan dari golongan itu.

Sunday, October 27, 2013

Petikan : Buletin Online
 
MARANG – Mantan Ketua Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata program Pemuda PAS mestilah digarapkan dan dilaksanakan serta dijayakan bersama anak-anak muda di seluruh kawasan.
 
Katanya, kepurusan piliharaya umum kali ke-13 lalu menunjukkan, arus sokongan pengundi muda telah membawa perubahan dan memenangkan calon-calon Pemuda PAS.
 
Beliau yakin sokongan orang muda dan pengundi itu akan kekal dan memenangkan PAS pada piliharaya umum kali ke-14 akan datang.
 
IMG-20131025-WA0014“Realitinya pengundi-pengundi muda mulai mendekati program-program kita (dan) arus tersebut dilihat daripada perubahan sokongan pengundi muda kini.
 
“Sokongan ini pastinya akan meningkat dan terus meningkat serta menjadi petanda positif dalam menghadapi PRU 14 sekiranya diiringi pelbagai tindakan dan program terbaik,”ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan konvoi motosikal berkuasa besar di perkarangan masjid Rusila pada Jumaat 25 Oktober.
 
Namun begitu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong menegaskan, kebangkitan orang_orang muda itu tidak akan bererti apa-apa kepada Islam sekiranya tidak dibimbing dengan tarbiyah islamiyah.
 
“Pemuda perlu dibimbing dan dipandu dengan bijaksana dan uslub yang tepat.
 
Pemuda hari ini terdedah dengan pelbagai cabaran dari segi politik, kerjaya dan kemasyarakatan,”katanya.
 
Oleh itu, kepimpinan pemuda yang akan mewarisi kepimpinan parti pada masa depan perlu bersedia dan menyiapkan diri dengan ilmu-ilmu agama, pengetahuan am dan gerakan.
 
IMG-20131025-WA0015“Kepimpinan pemuda yang akan mewarisi kepimpinan Parti pada masa depan perlu bersedia dan menyiapkan diri dengan persediaan iman, yang membentuk syaksiah islamiyyah yang sempurna mampu bertahan menghadapi cabaran.
 
“(Perlu juga) persiapan ‘thaqafah’ islamiyyah dan thaqafah ‘ammah’ iaitu ilmu-ilmu Islam yang dipelajari daripada al-Quran, as-Sunnah, as-Sirah an-Nabawiyah, kehidupan para sahabat, fiqh dan usul fiqh, ilmu Aqidah, ilmu tazkiyah dan sistem-sistem Islam,
 
“(Dan juga) persediaan haraki, untuk bergerak dan menggerakkan bantera Islam dengan adab-adab berjemaah, melatih diri dan beribadat kepada Allah, melatih diri soal tanzim (organisasi) serta melatih diri menanggung kesusahan dan menghadapi ujian,”jelasnya.
 
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ustaz Kamaruzaman Abdullah, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Ustaz Mohamad Khalil Abdul Hadi, masing-masing mereka diamanahkan sebagai Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu yang baru.

Saturday, October 26, 2013


(Laporan program  YB Ustaz Mohd Nor Hamzah bersama PAS Sibu pada 19 dan 20hb Oktober)
Sibu : PAS Kawasan Sibu (PKS) iaitu kawasan bongsu yang dilahirkan di Sarawak bertekad untuk menjadikan kawasan mereka sebagai pusat bagi melahirkan para pendakwah yang berkualiti bagi PAS Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.
Hasrat itu dinyatakan oleh Timbalan Yang DiPertuanya, Andri Zulkarnaen Hamden (gambar) ketika ditemui selepas majlis penutupan Tamrin Tarbawi, program sulung anjuran PKS di PASTI al-Fateh Bandar Sibu baru-baru ini.
Dalam program itu juga, PASTI al-Fateh telah menerima sumbangan dari Tabung Kemiskinan Harakah yang diwakili oleh saudara Abdul Habib Abdul Hamid.
Menurut Andri, perkara itu menjadi keutamaan kerana penduduk Islam di Sibu amat-amat memerlukan pendakwah-pendakwah bagi membentuk pemikiran Islam di Sibu.
“Visi kita ialah nak terapkan ilmu terutama kepada penduduk setempat.
Bukan sahaja untuk ahli malahan kepada masyarakat setempat dan kita nak menjadi juara di mata masyarakat kepada kerja-kerja Islam di Sibu serta membawa (melalui pendakwah) masyarakat mendalami Islam.
Buat masa ini kita nak cakap pasal Islam lebih dari politik,” kata beliau.
Atas cita-cita itu maka PKS akan memulakan usaha-usaha mendirikan pusat-pusat pengajian serta sekolah-sekolah agama bagi membantu masyarakat setempat memahami agama Islam bagi memenuhi tuntutan dakwah.
Sementara itu, bagi rancangan politik pula, PKS bercadang bertanding dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (Dun) sebagai rancangan masa pendek PKS yang akan diadakan dalam jangkamasa dua tahun lagi.
Turut dimasukkan dalam rancangan masa pendek mereka ialah menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah lagi PASTI dan beberapa lagi cawangan di Bandar Sibu bagi mengukuhkan lagi organisasi mereka.
Ditanya tentang masalah-masalah penduduk setempat yang memerlukan tindakan segera, Andri memberitahu tumpuan PKS ketika ini ialah cuba membantu menyelesaikan masalah penempatan kepada mangsa kebakaran.
Mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Datuk baru-baru ini masih belum mendapat keputusan yang jelas berkenaan status tanah mereka sedangkan tanah mereka telah digazetkan oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan.
Dengan tindakan kerajaan itu, penduduk tidak dapat berbuat apa-apa dengan tanah mereka, ada yang menumpang di rumah-rumah saudara mereka dan ada juga telah dipindahkan ke Sibu Jaya.
Kampung mereka yang menghadap Sungai Rejang akan dijadikan kawasan “Water Front” oleh kerajaan negeri, sekaligus menyebabkan mereka terpaksa berpindah dan pampasan yang ditawarkan tidak berpatutan.
Masalah-masalah lain seperti tiada tanah perkuburan baru dan yang ada sudahpun padat, kekurangan masjid dan surau serta aktiviti keagamaan dan juga masalah penduduk tiada kad pengenalan akan diketengahkan.
PKS juga akan menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat dalam masa terdekat bagi membantu rakyat dalam kerja-kerja kebajikan dan juga akan menyalurkan maklumat-maklumat semasa bagi kefahaman rakyat.
Menurut Andi lagi, permasalahan ini sebenarnya telahpun diketengahkan, dan apabila PKS sekarang telah disahkan pendaftarannya, maka usaha-usaha membantu ini akan diteruskan dengan lebih giat lagi.
Bagi merealisasikan semua perancangan-perancangan ini, maka program sehingga akhir tahun ini telah disusun bermula dengan Tamrin Tarbawi ini, diikuti dengan program berkhatan beramai-ramai bagi fakir miskin.
Juga program “Back To School” yang akan membantu keluarga-keluarga miskin bagi meringankan beban mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
“Program-program yang berbentuk kebajikan ini akan dijalankan secara berterusan dan bukan hanya bermusim,” jelas Andri lagi yang juga dikenali sebagai Hud.
Beliau mempelawa semua pihak dari NGO dan kawasan-kawasan PAS lain untuk datang ke Sibu bagi menjalankan program dakwah dan membantu PKS berdakwah kepada masyarakat setempat dan mencapai matlamatnya.
Untuk rekod, populasi penduduk muslim di Sibu ialah sebanyak 18 peratus, majoritinya kristian.
Kepada yang berminat untuk mengadakan sebarang program kerjasama dakwah dengan PKS di Sibu, bolehlah menghubungi saudara Andri di talian 013 7202611.
Manakala bagi yang berminat untuk menghulurkan derma bagi membantu PKS menjalankan kerja-kerja dakwah dan siasah boleh masukkan sumbangan anda ke akaun Maybank : 5610 5123 0037
 
Barisan AJK DPPNT bagi sesi 2013-2015 bergambar bersama dengan mantan KP DPPNT YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Tetap Muktamar Ustaz Hamzah Ngah
 
Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) yang berlangsung di Pejabat Pas Kawasan Hulu Terengganu menyaksikan DPPNT mendapat ketua baru iaitu Ustaz Kamaruzzaman Abdullah.
Muktamar yang telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man itu telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang perwakilan dan pemerhati.
Muktamar kali ke-44 yang bertemakan Mencorak Masa Depan itu turut dihadiri oleh wakil perhubungan negeri Timbalan Pesuruhjaya 1 Terengganu Ustaz Satiful Bahari Mamat dan Ustaz Fadhli Shaari sebagai wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Tahun ini ialah muktamar pemilihan AJK baru bagi sesi 2013-2015 dan ketuanya yang sedia ada, YB Ustaz Mohd Nor telah melepaskan jawatan atas faktor umur.
Dalam pemilihan itu, YB Ustaz Hishamudin Abdul Karim, yang juga Adun Tepoh telah mendapat undi tertinggi daripada kesemua calon yang bertanding iaitu sebanyak 89 undi.
Ustaz Kamaruzzaman Abdullah bekas pensyarah (yang ketika itu dikenali sebagai KUSZA) dan calon Parlimen Hulu Terengganu telah dipilih secara syura sebagai Ketua Pemuda DPPNT yang baru.
YB Ustaz Hishamudin pula telah diamanahkan sebagai timbalan manakala Ketua Pemuda Kawasan Marang Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dilantik sebagai naib.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Dato’ Tuan Ibrahim menyeru pemuda agar berusaha dan berdoa agar berada atas sebab yang ditentukan oleh Allah maka pemuda akan menang atas sebab ditentukan Allah.
Beliau seterusnya menasihatkan pemuda agar sentiasa memenuhi hak Allah maka Allah akan penuhi hak kita sebagai contoh pemuda hendaklah sentiasa bersolat sunat, membaca al-Quran dan juga melazimi berzikir.
Dato’ Tuan Ibrahim juga menyatakan, Umno semakin lemah dan berusaha memecah belahkan diantara ahli-ahli Pas yang akhirnya buruk sangka dan perbalahan antara kita.
“PAS adalah satu-satunya gerakan Islam di Malaysia ini.
Tuan Guru Presiden telah berkali-kali melahirkan kebimbangan bahawa akan ada gerakan yang lain samada ditaja oleh musuh yang akhirnya api fitnah berlaku dalam gerakan Islam,” katanya.
Menyentuh mengenai kepimpinan parti, beliau menjelaskan, mereka sepatutnya yang dipilih melalui proses tarbiyyah dan bukan dari kalangan yang kita rasakan kerana hebatnya mereka.
Sambil memberikan anologi mengacau dodol, ketika mengacau dodol tidak ramai yang akan turut serta kerana berat tetapi apabila hampir masak, masing-masing menghulurkan pinggan.
Mengimbau peranan PAS dalam permuafakatan, PAS berjaya memberikan komitmen dengan parti-parti lain yang disepakati sejak dari dahulu lagi seperti dengan Parti Negara, Semangat 46 dan sehinggalah Pakatan Rakyat.
Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) itu juga menegaskan perlunya permuafakatan ini kerana ada di sesetengah tempat PAS tidak kuat dan memerlukan bantuan rakan-rakan politik.
Tetapi beliau mengingatkan pemuda supaya tidak keliru antara tahalluf dengan wala’ kerana tahalluf diteruskan selagi mana ianya menguntungkan Islam manakala wala’ ialah ketaatan kepada pimpinan.
Pemuda juga digesa menumpukan perkara yang penting dan utama bukan perkara remeh yang boleh memberikan kesan buruk kepada parti tetapi perlu difokuskan kepada hal yang betul untuk berjaya.
Akhirnya beliau menyeru kepada saf kepimpinan baru, penekanan kepada perkara-perkara tarbiyyah perlu dipertingkatkan dan diperkemaskan.
Barisan AJK DPPNT sesi 2013-2015 :
KETUA. : USTAZ KAMARUZZAMAN ABDULLAH
TIMBALAN. : YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
NAIB. : USTAZ MOHD KHALIL ABDUL HADI

AHLI JAWATANKUASA

USTAZ SHEIKH HANAFI ABDUL AZIZ
YB USTAZ HILMI HARUN
SAUDARA ZAIDAN ABDULLAH
USTAZ WAN MOHD FAIZUL WAN ABAS
SAUDARA AL GHAZALI ABU BAKAR
USTAZSULAIMAN SULONG
USTAZ HAMDI HARUN
USTAZ NASIR ABDUL RAZAK
USTAZ RAMLAN YAHYA
USTAZ AZIZUL HISHAM
Petikan : Sinar Harian
 
Doktor maut rempuh jejantas            

Beginilah keadaan kereta BMW dipandu mangsa yang terbabit dalam kemalangan di hadapan Klinik Kesihatan Bukit Payung, Marang, semalam.
 
MARANG – Seorang doktor maut apabila kereta jenis BMW dipandunya hilang kawalan dan merempuh jejantas di Kilometer 8 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhadapan Klinik Kesihatan Bukit Payung, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Mohd Ramli Muda, 57, yang memandu kereta bersendirian, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dari arah Ajil, Hulu Terengganu.

Susulan kemalangan tersebut, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, di sini, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Mohd Ramli yang menguruskan sebuah klinik di Chabang Tiga, Kuala Terengganu, disahkan menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian selepas dikeluarkan pasukan penyelamat daripada kenderaan.
 
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh jejantas tersebut.

“Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian, kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.
 
Difahamkan, jenazah mangsa yang merupakan seorang peminat kereta mewah dan memiliki sebuah Ferrari, dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Kuala Terengganu.

Monday, October 14, 2013


 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd
Bismillah. Segala puji bagi Allah yang menguasai sekelian alam ini. Tiba kita pada hari kebesaran Islam iaitu Eid Adha. Besarnya pengertian Eid Adha kepada kita kerana didalamnya mengandungi ibadah haji. Dinyatakan pula dari mulut Rasulullah s.a.w yang mulia bahawa 10 hari terawal bulan Zulhijjah ini adalah hari-hari yang disukai oleh Allah. Hari yang sangat cocok memperbanyakkan ibadat. Dalam meraikan hari yang besar ini, kita tidak akan terlepas dari mengaitkannya dengan keluarga bapa kepada agama hanif iaitu nabi Ibrahim a.s. Contoh dan teladan yang ditunjukkan oleh baginda, seharusnya kita sebagai orang yang mengaku beriman mengambil iktibar yang sebanyak-banyaknya daripada baginda.
Baginda seorang yang digelar dalam al-Quran seorang yang penghiba, seorang yang penyabar terhadap kaumnya, rajanya serta bapanya dalam menyampaikan agama Allah. Beliau juga sangat berkeyakinan tinggi terhadap apa jua keputusan dari Allah kerana mempercayai bahawa Allah tidak akan mensia-siakan dirinya. Baginda meninggalkan isteri dan anaknya berdua di tengah-tengah padang pasir yang tandus dan di lembah yang gersang dari air dan makanan. Isteri yang disayangi serta anak lelaki yang sekian lama ditunggu kelahirannya, dengan perintah Allah, baginda terpaksa berpisah sebagai ujian kenabiannya.
Begitu hebat baginda mendidik isterinya, sehinggakan si isteri tidak merasakan goyah keyakinannya ditinggalkan di lembah gersang itu apabila Ibrahim mengesahkan bahawa perlakuannya itu adalah atas perintah Allah dan isterinya begitu yakin menjawab yang Allah pasti tidak akan mensia-siakan mereka berdua. Itulah keyakinan mereka terhadap janji-janji Allah, terhadap rezeki dan ajal maut mereka. Mereka tekad menyerahkannya kepada Allah. Tidak hanya isterinya terdidik dengan keyakinan kepada Allah itu, anaknya juga ditunjangi keyakinan yang sama apabila bersedia untuk mati seketika menerima arahan untuk dijadikan korban kepada Allah. Malah dengan kekuatan dalaman hasil tarbiyyah bapa kepada ibu, ibu kepada anaknya dan anaknya kepada isterinya. Terbukti keyakinan kepada Allah apabila Ibrahim a.s yang menziarahi anaknya yang ketika itu tiada di rumah kerana keluar berburu, disambut oleh menantunya yang tidak tahu bersabar dan lupa mengucapkan syukur dengan ujian kehidupan, lalu diisyaratkan Ibrahim a.s kepada anaknya agar menceraikan isteri yang tidak tahu bersyukur itu.
Dan apabila didatangi kali kedua Ibrahim ke rumah anaknya dan disambut oleh menantu baru baginda yang sentiasa melahirkan rasa syukur dan yakin kepada Allah serta sabar, walaupun dengan keadaan yang diketahui payah, maka Ibrahim  mengisyaratkan kepada putera kesayangannya agar mengekalkan isteri yang tahu bersyukur dan yakin itu. Hasil dari pasangan yang redha kepada ketentuan dan yang berkeyakinan tinggi terhadap Allah ini, dari zuriat mereka, maka lahirlah benih yang mulia iaitu Muhammad Bin Abdullah s.a.w, keturunannya nabi Ibrahim yang menuruti keyakinan nenek moyang baginda, dan memelihara agama Allah yang hanif iaitu agama Islam yang lurus yang akan membawa manusia menuju kemuliaan dunia dan akhirat jika menurutinya dengan benar.
Dapatkah kita lihat dalam sirah nabi Ibrahim ini, bahawa ketaatan dan keyakinan kita terhadap Allah akan membuahkan hasil yang begitu gemilang bukan sahaja di dunia malah di akhirat lebih-lebih lagi? Sehinggakan keturunan baginda dimuliakan Allah. Inilah kualiti yang tertinggal dalam diri orang-orang Islam masakini. Kehilangan keyakinan terhadap Allah menghumbankan mereka ke lembah yang hina. Kualiti keyakinan kita kalau adapun sangatlah rendah dan lebih malang kerana kita kelihatan sepertinya sudah tiada lagi keyakinan terhadap Allah.
Keruntuhan akhlak umat Islam adalah hasil daripada kehilangan keyakinan kepada Allah. Kita hanya dilihat menjalankan ritual-ritual Islam yang kadang kala tiada kita faham apakah makna disebalik ibadat kita itu. Lebih menyayatkan hati ibadat-ibadat itu ditambah dengan sesedap rasa kerana tiada kefahaman terhadap ilmu dan keyakinan terhadap Allah. Hasil dari penyelewengan-penyelewengan ibadat dan keyakinan ini, maka timbullah berita-berita tentang rasuah, pecah amanah, penyelewengan itu dan ini, seperti isu penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara berkenaan perbelanjaan yang begitu rakus tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab terhadap duit rakyat. Islam tidak pernah mengajar penganutnya melakukan hal yang demikian, membaham segala yang diamanahkan kepada mereka dengan cara yang batil. Islam yang asalnya indah, menjadi hodoh hasil dari perbuatan golongan ini.
Kejahatan inil adalah hasil dari hilangnya keyakinan manusia  terhadap Allah, tiada lagi rasa gerun akan janji azab dan tiada rasa kenikmatan terhadap janji nikmat bagi yang melakukan kebaikan. Tiadalah pernah sampai ke telinga kita bahawa para anbia yang yakin dengan janji-janji Allah, mengerjakan penyelewengan bagi menjaga kepentingan diri, tidak pernah sama sekali. Penyelewengan hanya terjadi bermula dari hati yang kotor, jauh dari keyakinan yang benar terhadap Allah dan sering memikirkan habuan dunia sahaja. Bagi mereka yang hilang keyakinan terhadap Allah, dunia inilah tempatnya mereka mengumpulkan segala-galanya.
Tidak sebagaimana keyakinan para rasul seperti yang dinukilkan dalam surah as-Syuaara apabila kesemua nabi Nuh, Hud, Saleh, Lut serta Syuaib menegaskan kepada kaum mereka bahawa “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepad Allah tuhan sekelian alam. Bermaksud mereka tidak mengejar kesenangan atau balasan di dunia apatah lagi secara batil. Inilah dia, bagi yang hatinya yakin sepenuhnya terhadap Allah, mereka menunggu saat ketika Allah melaksanakan pembalasan untuk mendapatkan bahagian mereka yang hakiki.
Maka sayugialah kita semua bersempena Eid Adha ini, bersama-sama mengikut jejak-jejak tinggalan nabi Ibrahim a.s serta keluarga baginda atas keyakinan mereka yang hakiki, tiada kegoyahan sedikitpun terhadap Allah. Kita bina keyakinan itu dari dalam diri, kita bentuk ia dalam keluarga kita dan seterusnya kepada masyarakat kita agar keyakinan itu akan menghalang segala penyelewengan dan kejahatan yang ada di sekeliling kita. Takutlah Allah, yakinlah bahawa balasan azab dan nikmat itu benar maka insyaAllah kita akan menjadi insan yang bertaqwa. Wallahua’lam.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd.
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
9 Zulhijjah 1434

Friday, October 11, 2013


Marang : Adun Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah hari ini membidas sikap Adun-Adun Umno Terengganu yang dilihat secara terang mengenepikan usul berkaitan kepentingan rakyat yang perlu disegerakan.
Hal ini jelas beliau dapat diperhatikan ketika Sidang DUN baru-baru ini dimana penolakkan usul Masjid Kampung Tebauk, di Dun Bukit Tunggal yang runtuh yang dibawa oleh Adun PAS telah di tolak.
Sebaliknya isu syiah yang kurang utama berbanding dengan isu masjid runtuh itu telah diterima untuk dibahas oleh Yang DiPertua (YDP) Dewan ketika itu.
Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib berkaitan syiah.
"Saya mengesahkan bagi pihak kerajaan negeri, bahawa negeri Terengganu bebas dari fahaman syiah.
Terengganu bersih dari fahaman ini dan penyebaran risalah pula hanya satu provokasi untuk dilihat seolah-olah Syiah itu berada di Terengganu.
Tidak ada satu tempat pun di seluruh daerah di negeri ini yang mempunyai kegiatan syiah dan tidak ada seorang pun umat Islam di negeri ini yang mengamalkan fahaman ini, semuanya mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah," Ghazali dipetik sebagai berkata.
Beliau turut mengesahkan bahawa setakat ini tiada seorangpun yang telah ditangkap berkaitan fahaman syiah di Terengganu.
YB Ustaz Mohd Nor melahirkan kehairanan dengan sikap kerjaan yang beriya-iya mahukan usul syiah dibahas di dalam dewan, akan tetapi dalam masa dua minggu kemudiannya mereka menafikan kes ini adalah kes besar.
“Kita dapat lihat permainan Umno di sini dengan memomokkan isu syiah supaya dilihat kononnya mereka mempertahankan agama tetapi sebenarnya melarikan diri dari menjawab isu masjid runtuh.
Takkan dalam masa dua minggu mereka boleh menyelesaikan siasatan dan mengeluarkan laporan berkaitan syiah di seluruh Terengganu?
Jelas Umno cuba meminggirkan isu kepentingan rakyat Terengganu,” kata beliau.
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) turut mempersoalkan apa sudah jadi dengan golongan yang diwartakan sesat di Terengganu, apakah tindakan yang telah kerajaan ambil.
Sementara itu Adun Teluk Pasu, YB Ustaz Ridzuan Hashim (gambar) ketika diminta mengulas isu yang sama, turut bersependapat dengan YB Ustaz Mohd Nor.
Beliau yang bangun bagi membawa usul masjid runtuh ketika sidang dun baru-baru ini yang kemudiannya ditolak oleh speaker dewan, melihat isu syiah itu penting tetapi bukan keutamaan ketika itu, malah tambah beliau lagi isu syiah ini sudah lama.
Menurut beliau lagi isu syiah ini telahpun diambil keputusan dan tindakan diperingkat nasional oleh pihak berkuasa agama.

“Ancaman kepada akidah dan juga akhlak bukan hanya datang dari syiah sahaja.
Sekularisma juga adalah satu bentuk ancaman kepada akidah umat Islam.
Kenapa dari dulu tidak ditekankan masalah sekularisma yang juga jelas bertentangan dengan agama Islam?,” tanya beliau.
Beliau yang juga Timbalan DPPNT menyimpulkan dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh exco Terengganu itu jelas isu syiah bukan keutamaan tetapi sekadar jalan untuk kerajaan melarikan diri dari menjawab isu Masjid Kampung Tebauk.
Petikan : Buletin Online
 
MARANG – Hari ini, Jumaat 6 Zulhijjah bersamaan 11 Oktober adalah hari yang agak sibuk kepada Ahli Dewan Udangan Negeri Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu.
 
Bermula dengan menyampaikan ilmu, mengisi kuliah subuh seawal selepas Subuh, Ustaz Mohd Nor akan bersarapan pagi bersama penduduk Kampung di Surau Tok Dir.
 
Kemudian, beliau akan bersama penduduk Taman Perumahan Kos Rendah (Rumah Murah) Bukit Payong, bergotong royong membaik pulih pejabat sukarelawan Bomba yang sudah agak uzur.
 
IMG-20131010-WA0009Kemudian beliau bertemu dengan penduduk Kampung Pengakalan Berangan, mendirikan solat Jumaat dan akan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Kampug Pengkalan Beranga pada jam 1.00 tengahari.
 
Pada sebelah petangnya, Ustaz Mohd Nor akan bersama masyarakat dan merasmikan program Sukaneka dan perlawanan bola sepak yang dianjurkan oleh cawangan PAS Kampung Gong Kubur di Bukit Payong.
 
Pada lewat petang, beliau akan ‘berkejar’ ke pantai bagi bersama-sama dan beramah mesra dengan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Pacuan Empar Roda Kawasan Marang (PASAK).
 
Sebaik selesai program PASAK di Kelulut, Ustaz Mohd Nor akan terus ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula bagi menyampaikan ilmu kepada penduduk di Kampung Pela.
 
Beliau akan menunaikan solat maghrib dan menyampaikan kuliah maghrib di surau Kampung Pela, Ajil.

Tuesday, October 8, 2013

Petikan : Buletin Online
 
KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Terengganu akan menghantar 1000 petugas untuk membantu PAS negeri Kedah memperahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada pilihanraya kecil (PRK) yang akan diadakan 4 November depan.
 
Ariffin
Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Terengganu, YB Ariffin Deraman berkata mesyuarat Jabatan Piliharaya PAS Pusat minggu lalu memutuskan, jentera pembantu dari PAS Terengganu ditugaskan di daerah mengundi Padang Lumat dan Batu 16.
 
Oleh itu, katanya, 100 orang petugas akan bertugas pada setiap hari berkempen di dua daerah mengundi terbabit bermula pada hari peamaan calon 23 Oktober ini.
 
“Kebiasaannya jika berlaku PRK kekuatan jentera (dari Terengganu) adalah minima 100 orang pada hari biasa namun pada hari penamaan calon serta hari pengundian selalunya tidak kurang 1000 orang akan hadir,
IMG-20131006-WA0020
“Jabatan Pilihanraya PAS Pusat telah memutuskan PAS Terengganu ditugaskan untuk membantu jentera di daerah mengundi Padang Lumat dan daerah mengundi Batu 16,”ujarnya.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat optimis, PAS akan memenangi kembali kerusi DUN Sugai Limau kerana menurutnya ia adalah salah satu DUN yang menjadi kubu kuat PAS di negeri Kedah.
 
Katanya pada piliharaya umum kali ke-13 Mei lalu, bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Razak yang mewakili PAS memperolehi 13,294 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan 10,520 undi.
 
Meurutnya, kerusi DUN Sungai Limau kosong apabila Allahyarham Ustaz Azizan meninggal dunia pada 26 September lalu.
 
Sehubungan itu, pada 29 September, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md Rozai Shafian telah menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Limau, Yan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Penyerahan notis itu adalah mengikut perkara 53 fasal kecil 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang perlu memaklumkan kekosongan kerusi DUN kepada SPR supaya pilihan raya kecil dapat diadakan dalam tempoh 60 hari.
 
Pada 3 Oktober lepas, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan tarikh PRK Sungai Limau adalah pada 4 November dan hari penamaan calon adalah pada 23 Oktober.

ARKIB