Saturday, October 26, 2013


(Laporan program  YB Ustaz Mohd Nor Hamzah bersama PAS Sibu pada 19 dan 20hb Oktober)
Sibu : PAS Kawasan Sibu (PKS) iaitu kawasan bongsu yang dilahirkan di Sarawak bertekad untuk menjadikan kawasan mereka sebagai pusat bagi melahirkan para pendakwah yang berkualiti bagi PAS Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.
Hasrat itu dinyatakan oleh Timbalan Yang DiPertuanya, Andri Zulkarnaen Hamden (gambar) ketika ditemui selepas majlis penutupan Tamrin Tarbawi, program sulung anjuran PKS di PASTI al-Fateh Bandar Sibu baru-baru ini.
Dalam program itu juga, PASTI al-Fateh telah menerima sumbangan dari Tabung Kemiskinan Harakah yang diwakili oleh saudara Abdul Habib Abdul Hamid.
Menurut Andri, perkara itu menjadi keutamaan kerana penduduk Islam di Sibu amat-amat memerlukan pendakwah-pendakwah bagi membentuk pemikiran Islam di Sibu.
“Visi kita ialah nak terapkan ilmu terutama kepada penduduk setempat.
Bukan sahaja untuk ahli malahan kepada masyarakat setempat dan kita nak menjadi juara di mata masyarakat kepada kerja-kerja Islam di Sibu serta membawa (melalui pendakwah) masyarakat mendalami Islam.
Buat masa ini kita nak cakap pasal Islam lebih dari politik,” kata beliau.
Atas cita-cita itu maka PKS akan memulakan usaha-usaha mendirikan pusat-pusat pengajian serta sekolah-sekolah agama bagi membantu masyarakat setempat memahami agama Islam bagi memenuhi tuntutan dakwah.
Sementara itu, bagi rancangan politik pula, PKS bercadang bertanding dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (Dun) sebagai rancangan masa pendek PKS yang akan diadakan dalam jangkamasa dua tahun lagi.
Turut dimasukkan dalam rancangan masa pendek mereka ialah menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah lagi PASTI dan beberapa lagi cawangan di Bandar Sibu bagi mengukuhkan lagi organisasi mereka.
Ditanya tentang masalah-masalah penduduk setempat yang memerlukan tindakan segera, Andri memberitahu tumpuan PKS ketika ini ialah cuba membantu menyelesaikan masalah penempatan kepada mangsa kebakaran.
Mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Datuk baru-baru ini masih belum mendapat keputusan yang jelas berkenaan status tanah mereka sedangkan tanah mereka telah digazetkan oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan.
Dengan tindakan kerajaan itu, penduduk tidak dapat berbuat apa-apa dengan tanah mereka, ada yang menumpang di rumah-rumah saudara mereka dan ada juga telah dipindahkan ke Sibu Jaya.
Kampung mereka yang menghadap Sungai Rejang akan dijadikan kawasan “Water Front” oleh kerajaan negeri, sekaligus menyebabkan mereka terpaksa berpindah dan pampasan yang ditawarkan tidak berpatutan.
Masalah-masalah lain seperti tiada tanah perkuburan baru dan yang ada sudahpun padat, kekurangan masjid dan surau serta aktiviti keagamaan dan juga masalah penduduk tiada kad pengenalan akan diketengahkan.
PKS juga akan menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat dalam masa terdekat bagi membantu rakyat dalam kerja-kerja kebajikan dan juga akan menyalurkan maklumat-maklumat semasa bagi kefahaman rakyat.
Menurut Andi lagi, permasalahan ini sebenarnya telahpun diketengahkan, dan apabila PKS sekarang telah disahkan pendaftarannya, maka usaha-usaha membantu ini akan diteruskan dengan lebih giat lagi.
Bagi merealisasikan semua perancangan-perancangan ini, maka program sehingga akhir tahun ini telah disusun bermula dengan Tamrin Tarbawi ini, diikuti dengan program berkhatan beramai-ramai bagi fakir miskin.
Juga program “Back To School” yang akan membantu keluarga-keluarga miskin bagi meringankan beban mereka yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
“Program-program yang berbentuk kebajikan ini akan dijalankan secara berterusan dan bukan hanya bermusim,” jelas Andri lagi yang juga dikenali sebagai Hud.
Beliau mempelawa semua pihak dari NGO dan kawasan-kawasan PAS lain untuk datang ke Sibu bagi menjalankan program dakwah dan membantu PKS berdakwah kepada masyarakat setempat dan mencapai matlamatnya.
Untuk rekod, populasi penduduk muslim di Sibu ialah sebanyak 18 peratus, majoritinya kristian.
Kepada yang berminat untuk mengadakan sebarang program kerjasama dakwah dengan PKS di Sibu, bolehlah menghubungi saudara Andri di talian 013 7202611.
Manakala bagi yang berminat untuk menghulurkan derma bagi membantu PKS menjalankan kerja-kerja dakwah dan siasah boleh masukkan sumbangan anda ke akaun Maybank : 5610 5123 0037

0 comments :

ARKIB