Tuesday, October 29, 2013


Marang : PAS Marang dalam usaha persediaannya untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) 14 telah melantik tiga orang Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) yang baru bagi memantapkan lagi organisasi mereka.
Ketiga-tiga mereka yang baru dilantik itu ialah YB Ustaz Mohd Nor Hamzah untuk MTD Bukit Payong, Ustaz Arifin Deraman MTD Alor Limbat dan Ustaz Sulaiman Sulong bagi MTD Pengkalan Berangan.
Manakala bagi MTD Rhu Rendang, DUN yang diwakili oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, pengarahnya yang lalu Haji Mohammad Embong dikekalkan.
Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Marang Haji Yahaya Ali (kiri) lantikan wakil-wakil rakyat atau bekas calon itu adalah untuk memastikan tanggungjawab yang lebih berkesan untuk disempurnakan mereka.
Ini juga menurut beliau adalah untuk memberikan ruang kematangan kepimpinan memandangkan usia pengarah-pengarah baru ini masih muda.
Haji Yahaya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, juga berharap semua ahli jawatan kuasa yang dilantik bertindak pro aktif dan banyak turun padang dalam menangani masalah-masalah yang ada di peringkat Dun.
“Kita nak ,wakil-wakil rakyat dia sendiri yang memimpin MTD masing-masing, untuk memastikan dia lebih matang, bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran pengurusan parti.
Jawatankuasa yang dibentuk mengambil kira semua faktor dan latar belakang, menggabungkan orang lama dan baru untuk menjadikan MTD itu lebih mantap,” kata beliau.
Beliau juga merancang untuk memperbanyakkan kursus serta latihan kepimpinan bagi menyediakan pelapis kepimpinan PAS Kawasan Marang.
Mantan Adun Alor Limbat itu turut melahirkan keyakinan mengekalkan kemenangan di Marang serta merampas kembali DUN Pengkalan Berangan dalam PRU 14 nanti jika tiada persempadanan baru.
Untuk makluman, MTD adalah satu organisasi yang dibentuk dalam Pas yang menjadi penghubung antara cawangan-cawangan dengan kawasan-kawasan.
Ketika mula diwujudkan, ianya hanyalah bertujuan bagi membantu PAS untuk menghadapi pilihanraya dan jawatankuasanya dibubarkan sebaik sahaja selesai pilihanraya.
Akan tetapi menyedari fungsi MTD yang sangat penting dalam membantu pengurusan parti bagi membantu rakyat, maka ianya dikekalkan dan lantikan jawatankuasa baru diadakan setiap kali selesai pemilihan peringkat kawasan.
Sementara itu Pengarah-Pengarah MTD yang baru ketika ditemui masing-masing melahirkan rasa bersyukur dengan kepercayaan yang diberi PAS Kawasan Marang tetapi menyedari akan amanah yang berat itu.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang ditanya tentang agenda utama yang akan ditekankan berkata beliau akan memperkasakan pengurusan MTD bagi memantapkan lagi pengurusan agar memudahkan membantu rakyat.
Turut akan diberi penekanan ialah program tarbiyyah ahli-ahli PAS agar lebih memahami kehendak parti dan tidak terkeliru dengan pemikiran-pemikiran luar serta dapat disatukan pemikiran dengan kehendak al-Quran dan sunnah.
 
Manakala YB Ustaz Arifin Deraman (kanan) yang juga berperancangan sama seperti YB Ustaz Mohd Nor, akan berusaha sebaik mungkin berperanan sebagai pengarah dan dalam masa yang sama sebagai wakil rakyat.
Beliau yang pertama kali memenangi pilihanraya, juga akan mencurahkan pengalaman beliau selama 30 tahun berkecimpung didalam bidang politik bagi menguatkan MTD Alor Limbat.
Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong (bawah) pula berharap agar semua AJK MTD yang dilantik dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya bagi membantu beliau menerajui MTD. 

Bekas calon di DUN Pengkalan Berangan itu juga berhasrat untuk memberikan kesedaran kepada semua AJK agar tidak menjadikan pengurusan MTD ini bermusim iaitu ketika pilihanraya sahaja.

Beliau yang baru berusia 36 tahun, dan menjadi pengarah MTD termuda, bertekad untuk merampas kembali DUN Pengkalan Berangan dengan mensasarkan pemuda-pemuda untuk dijadikan pengundi-pengundi tegar PAS.
Berdasarkan sokongan yang dizahirkan oleh pemuda-pemuda DUN Pengkalan Berangan pada PRU 13, beliau melahirkan keyakinan bukan sahaja akan dapat mengekalkan sokongan pemuda, malah akan menambah sokongan dari golongan itu.

0 comments :

ARKIB