Assalamualaikum
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Walillaahil Hamd
Segala puji bagi Allah kerana dengan kehendakNya, kita bertemu lagi dengan Eidul Adha pada tahun 1433 ini. Semoga kita semua mendapat lebih kebaikan pada hari yang penuh barakah ini. Ketika ini (9 Zulhijjah) umat Islam yang menjadi tetamu Allah sedang menjalani rukun haji iaitu Wuquf di Arafah. Manakala kita yang tidak menunaikan haji, disunatkan berpuasa sunat Arafah sebagai mengejari ganjaran yang dijanjikan rasulullah s.a.w.
Suka saya mengingatkan peristiwa pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s ketika menerima ujian agar meninggalkan anak dan isterinya di tanah yang tandus dan gersang dan tidak berpenghuni iaitu di Mekah atas nama perintah dari Allah. Kekuatan jiwa isteri baginda Hajar, juga dapat dilihat apabila dia menerima dengan redha ketika bertanya kepada Nabi Ibrahim adakah ini arahan Allah? Dan apabila nabi Ibrahim menjawab “Ya” diapun membalas dengan penuh keyakinan “Maka Allah tidak akan mensia-siakan kami”.
Begitulah pula apabila anak lelaki baginda, nabi Ismail, apabila telah meningkat dewasa, didatangkan kepada oleh Allah nabi Ibrahim mimpi agar menyembelih satu-satunya anaknya itu. Jelas terbukti kekuatan jiwa ayah serta ibunya telah diwarisi oleh anaknya Ismail dengan menyuruh nabi Ibrahim melakukan penyembelihan itu hasil keyakinannya yang tidak berbelah bagi kepada Allah. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran sebagai bukti kepada ketaatan keluarga nabi Ibrahim ini untuk dijadikan contoh kepada umat terkemudian.
Akan tetapi satu persoalan kepada para pembaca yang saya kasihi, disebalik kisah pengorbanan keluarga nabi Ibrahim ini, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar telah menghayati hakikat pengorbanan itu. Adakah kita sudah dikira berkorban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti yang diajarkan oleh rasulullah? Adakah dengan menghadam cerita pengorbanan keluarga nabi Ibrahim saban tahun ketika menghampiri Eidul Adha dikira sebagai berkorban?
Sudah tentu tidak semudah itu hakikat korban dihayati. Apa yang lebih penting setelah kita mendengar cerita kisah keluarga nabi Ibrahim dan menyembelih binatang sebagai tanda pengorbanan kita ialah kita mesti bersungguh-sungguh menghayati hakikat korban itu dengan memenuhi segala kehendak Allah keatas hambanya. Kita berkorban waktu tidur kita semata-mata mencari keampunan dan redhaNya di tengah-tengah malam. Kita mengorbankan harta benda kita demi menegakkan agama Allah. Kita mengorbankan rasa takut kita kepada ancaman dari mana-mana pihak kerana kita mencegah mungkar. Kita berkorban masa bagi memelihara keluarga kita dari api neraka serta lain-lain jalan pengorbanan yang memerlukan kekuatan jiwa yang kental.
Dan akhirnya kemuncak pengorbanan kita kepada Allah ialah mengorbankan jiwa kita demi kerana Allah. Pastinya pengorbanan jiwa kerana Allah tidaklah semudah seperti yang dikatakan atau didengar. Kerana ianya satu perniagaan yang menguntungkan yang dijamin oleh Allah seperti dalam firmanNya dalam surah as-Shaf ayat 10:
“Wahai orang-orang yang beriman mahukah Aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang melepaskan kamu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta benda kamu dan dengan jiwa kamu. Dan itu lebih baik jika kamu mengetahuinya”
Tetapi sayang, dek kerana kelemahan dan ketakutan kita untuk berkorban, maka agama kita dihina sebegitu rupa. Tiada jalan lain lagi yang harus kita lakukan kecuali berkorban dengan segala kepunyaan kita kerana Allah untuk menaikkan kembali ketinggian Islam. Ingatlah akan amaran Allah yang Dia akan menggantikan dengan kaum lain sekiranya kita tidak mahu berkorban mempertahankan agamaNya
Oleh itu sentiasalah bersiap sedialah untuk berkorban demi kerana Allah. Jika kita sentiasa dalam keadaan bersedia berkorban demi kerana Allah maka insyaAllah Allah akan membantu kita dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar ini. Hanya orang-orang yang benar-benar cintakan Allah sahaja yang akan berkorban kerana Allah. Maka persiapkanlah diri kita semua agar menjadi hamba yang mencintai Allah dengan sepenuh jiwa dan raga. Jagalah Allah, maka Allah akan menjaga kamu. Semoga pengorbanan kita semua diterima Allah dan kita semua termasuk dari kalangan hambaNya yang berkorban demi kerana Allah insyaAllah.
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Walillaahil Hamd
Ustaz Mohd Nor Hamzah
9 Zulhijjah 1433
0 comments :
Post a Comment