Saturday, November 12, 2011

Marang : “Sepatutnya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) gembira dengan penyertaan ramai pendakwah yang ingin menyebarkan agama Islam.

Akan tetapi sayangnya kebanyakan pejabat agama seolah-olah tidak selesa dengan senario terkini dan seperti membenci pendakwah-pendakwah serta bertindak seperti mengikut telunjuk pihak ketiga pula.

Jika salah apa yang diajar (oleh pendakwah-pendakwah itu), maka perbetulkan,” kata ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas isu berkaitan ‘zikir agung’ yang menyebut nama bekas pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad di sebuah asrama kebajikan di Puchong yang sehingga kini masih tidak diambil tindakan oleh Jais.

Sedangkan ketika bekas artis Bob Lokman sedang memberikan tazkirah, Jais dengan pantas bertindak menghalang beliau pada hari yang sama.

Waran tangkap kepada Bob Lokman juga telah dikeluarkan baru-baru ini atas kesalahan mengajar tanpa tauliah.

Semalam didalam laporan sebuah akhbar tempatan, bekas orang kanan al-Arqam Sheikh Hussien Sheikh Omar telah membuat laporan polis terhadap Pengarah Jais, Marzuki Hussin atas kenyataannya berhubung isu ‘zikir agung’ ini.

Dalam kenyataannya, Marzuki mendakwa pihaknya telah mengetahui mengenai ‘zikir agung’ ini sejak setahun yang lalu tetapi masih belum mengambil tindakan sehingga kini.

Bertolak dari kenyataan Marzuki itu, Sheikh Hussien mendesak agar Marzuki meletak jawatan atas kegagalannya bertindak kerana ini adalah isu akidah.

“Jais sudah mengetahui berkenaan isu ‘zikir agung’ ini sejak setahun lalu. Sampai bila mahu siasat perkara ini?” beliau dipetik sebagai berkata.

Sheikh Hussien yang juga Timbalan Presiden Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) dilaporkan akan membawa perkara ini ke peringkat antarabangsa.

‘Zikir agung’ ini seperti yang dijelaskan oleh kakitangan asrama kebajikan itu, ialah menyebut-nyebut nama Abuya (Ashaari Muhammad) sebagai zikir selepas solat.
Mereka akan mengadu dan meminta pertolongan kepada Abuya dengan cara bertawassul.

Tambah Ustaz Mohd Nor lagi, sekiranya pendakwah-pendakwah ini tiada tauliah, maka berikan kepada mereka, sehingga terbukti penyelewengan agama telah dilakukan, barulah tindakan diambil.

Tetapi apa yang berlaku sekarang menurut beliau tindakan itu bagaikan salah diberi keutamaan diantara isu akidah dan isu tauliah.

“Jika hal seperti yang terjadi kepada saudara Bob berterusan, kita bimbang masyarakat akan membuat anggapan bahawa pejabat agama suka masyarakat menjadi jahil agama.

Jika tidak diselesaikan(tangkapan terhadap pendakwah-pendakwah tanpa tauliah), kita bimbang masyarakat akan terus tinggal dalam keadaan batil.

Dan yang paling kita tidak mahu, takut-takut ialah tindakan-tindakan ini dibayangi oleh tangan-tangan politik di belakang Jais,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu itu mengakhiri perbualan.

1 comments :

IbnAbdHalim said...

Sebenarnya pihak berkuasa tak akan ambil apa-apa tindakan ke atas ajaran sesat selagi mereka tak ganggu pihak berkuasa. Di sinilah peranan syaitan terserlah. Bisikan syaitan akan mengulit pihak berkuasa supaya pejam sebelah mata. Kalau kumpulan sesat boleh mendatangkan mudharat kepada pihak berkuasa syaitan akan cucuk supaya pihak berkuasa bertindak segera.

Contohnya ialah pertubuhan Al-Arqam sendiri. Pertubuhan tersebut bergerak tanpa apa-apa halangan sekian lama, namunn apabila Ashaari Muhammad buka mulut mahu jadi PM, maka dengan pantas pihak berkuasa bertindak. Licikkan?

Dalam perkara strategi manusia sentiasa kalah kepada syaitan. Bila orang buat baik syaitan tak senang duduk maka pihak berkuasa bertindak. Begitulah sebaliknya. Ini bermakna individu-individu yang menduduki kerusi-kerusi pihak berkuasa adalah manusia-manusia yang senantiasa menjadi mainan syaitan. Ingat, jerat tak lupakan pelanduk.

ARKIB