Wednesday, November 16, 2011

Oleh : Ustaz Mohd Nor Hamzah (Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu)

Bantuan RM100 kepada setiap pelajar :

Meneliti bantuan RM100 seorang kepada seluruh pelajar sekolah di seluruh negara telah secara amnya, adalah sesuatu yang positif. Pada zahirnya bantuan ini pastinya akan membantu ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak tahun hadapan. Alhamdulillah ianya sudah hampir selesai dibahagikan kepada ibu bapa. Ini adalah perkara yang tersurat yang mudah dibaca oleh sesiapapun berkaitan hal ini.

Tidaklah menjadi salah bila kita berterima kasih jika apa yang dibuat memberikan kebaikan kepada rakyat marhaen kerana dasar Islam yang PAS pegang dan julang selama ini, mengikut al-Quran dan sunnah antaranya ialah membantu manusia yang dalam kesusahan.Kita juga percaya bahawa bantuan ini adalah sebahagian impak daripada rancangan ‘Negara Berkebajikan’ PAS yang dengan jelas telah memberikan tekanan kepada kerajaan. Dan yang lebih utama, hasil dari tekanan ini, rakyat kebanyakan mendapat laba.

Akan tetapi berapa ramaikah diantara kita yang membaca perkara yang tersirat berkenaan pemberian ini? Pada saya, ia adalah sesuatu yang pelik kerana penggunaan duit kerajaan perlulah disandarkan kepada sesuatu sebab yang munasabah disamping tidak terkeluar dari garis perundangan.

Dimanakah peliknya dalam hal pemberian bantuan ini? Peliknya ialah kenapa bantuan ini diberikan kepada semua pelajar dan tidak kepada pelajar yang miskin dan yang layak sahaja? Jika dikatakan ini sebagai bantuan atau subsidi, kenapa tidak disasarkan kepada golongan yang sepatutnya sahaja? Iaitu golongan yang benar-benar memerlukannya?

Adakah dinamakan bantuan kepada pelajar-pelajar yang ibu bapa mereka adalah orang-orang kaya-raya dan mereka ini (pelajar-pelajar) belajar di sekolah elit dan terpilih? Sudah pastinya yuran mereka mahal yang pastinya tidak mampu ditanggung oleh semua orang kerana hanya mereka yang kaya dan mampu sahaja akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.

Bagi saya, saya melihat bantuan ini tidak lain hanyalah sebagai salah satu agenda politik BN menjelang pilihan raya umum ke 13 kerana ianya tidak kelihatan sampai keseluruhannya kepada golongan berpendapatan rendah. Sepatutnya golongan kaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang tidak mampu bukan menerimanya. Apa makna semua ini? Sudah terang taktik yang mereka gunakan ini hanya semata-mata untuk memancing undi.

Kedai Rakyat 1 Malaysia :

Satu lagi projek kerajaan BN untuk rakyat, yang saya sangat yakin dan percaya, ianya untuk mengimbangi motto muktamar tahunan PAS yang lalu iaitu Membangun Negara Berkebajikan. Walaupun BN mendakwa mereka sudah lama menjadi kerajaan berkebajikan, tetapi semakin hari semakin banyak pula idea-idea kebajikan yang mereka lakukan setelah PAS memperkenalkan konsep Negara berkebajikan ini. Saya cuba mencari nilai positif dan negatif dalam isu ini.

Positifnya ialah melalui Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), sepatutnya rakyat akan mendapat keuntungan melalui pengurangan kos keatas 250 jenis barangan sehingga 40% lebih murah di KR1M ini. 40% ialah satu jumlah yang banyak bagi mereka yang berpendapatan rendah. Daripada apa yang tersurat, kerajaan begitu prihatin kepada rakyat bawahan.

Akan tetapi disebalik gambaran indah yang tersurat itu, kelihatannya ada kehodohan yang tersirat iaitu hal-hal negatif, yang boleh dilihat jika kita menggunakan sedikit kebijaksanaan kita. Telah kelihatan kontorversi-kontroversi yang didedahkan oleh sesetengah pihak yang prihatin berkenaan perlaksanaan KR1M ini.

Contohnya seperti yang dibawakan oleh Nurul Izzah Anwar, Dr Dzulkefly Ahmad dan Tony Phua menunjukkan bahawa harga di KR1M tidaklah semurah seperti yang diwar-warkan. Antaranya harga peluntur didapati lebih mahal 60sen berbanding dengan pasaraya lain. Beliau juga memberikan senarai 23 jenis barangan yang dikatakan dari KR1M itu tidak semuanya murah, malah ada yang lebih mahal daripada pasaraya-pasaraya lain. Itu belum termasuk lagi dengan rungutan pengguna yang mengatakan barangan KR1M berkualiti rendah.

Dengan bukti-bukti yang telah diberikan oleh mereka, saya yakin dan percaya bahawa KR1M ini adalah salah satu lagi projek serampang yang banyak mata yang ingin direalisasikan oleh kroni-kroni BN. Bisnes yang mereka sedang lakukan sekarang ini mungkin boleh dikatakan sebagai bisnes untuk membina kekayaan melalui kroni-kroni dan produk-produk keperluan asas dengan harga murah.

Saya berharap agar rakyat faham dan peka dengan keadaan yang berlaku sekarang. Dengan pilihan raya umum semakin hampir, dan saya cuba menjelaskan taktik licik BN bagi memancing undi, supaya dapat dihidu oleh penyokong-penyokong PR dan rakyat Malaysia.

Saya tidak menyukai BN kerana mereka angkuh dan suka menyeleweng, (terbukti dalam laporan audit) dan mengakibatkan negara dan rakyat akan menanggung padah.

0 comments :

ARKIB