Tuesday, November 1, 2011


Marang : Kalau dahulu antara lirik lagu nyanyiannya ialah “Andaikan matahari terbit dari barat, tak akan goyah cintaku kepadamu…”

Lirik ini telah mencetuskan kontroversi dan mendapat teguran dari Mufti Perak Tan Sri Harussani kerana ketika suasana hari kiamat (matahari terbit dari barat) masih mahu bermain cinta.

Itu kisah lebih 15 tahun dahulu. Sekarang dengan penampilan yang masih bertenaga tetapi dalam kawalan lunas-lunas Islam, Iwan Syahman (kiri) sudah tidak menoleh kebelakang lagi.

Baginya ketika zaman dangdutnya, dia hanya mahu berhibur dan menghiburkan peminat tanpa mempedulikan batas-batas yang harus dia jaga sebagai seorang muslim.

Itulah antara pengakuannya ketika mengadakan persembahan di sebuah restoran dekat sini malam tadi.

Dengan suaranya yang masih lunak, dia menghiburkan hadirin di restoran itu dengan tiga buah lagu nasyid yang liriknya tidak lagi memuja-muja cinta wanita akan tetapi yang menzahirkan cintanya kepada Allah.

Beliau kemudiannya menyambung persembahannya di tapak ceramah isu semasa di Kampung Gong Kubur kira-kira dua kilometer dari situ bersama penceramah jemputan Ustaz Suhaimi Saad dan Ustaz Mohd Nor hamzah.

Sementara itu Ustaz Suhaimi Saad dalam ceramahnya mempertikaikan cara BN menguruskan Negara yang mana menurutnya amat menyedihkan jika dinilai dari laporan audit oleh Ketua Audit Negara.

Antaranya ialah persoalan mengapa kereta rasmi kerajaan Negeri Terengganu boleh mengisi minyak sebanyak tiga kali dalam masa selang tiga minit dengan jumlah kesemua isian itu melebihi maksima tangki.

Ada juga dengan kereta kerajaan negeri yang sudah masuk dalam kategori dilupuskan tetapi masih menjalani proses penyelenggaraan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pahang berkata rakyat juga harus sedar dengan cubaan menipu dari kerajaan BN apabila mengatakan yuran persekolahan dilupuskan.

Sedangkan menurutnya ketika zaman Pak Lah, yuran sekolah sudahpun diisytiharkan lupus.

“Ni berapa kali nak lupus ni ? “, tanya beliau disambut dengan gelak ketawa hadirin.

Ceramah yang diberi nama PAS Ganti Umno, Nasyid ganti Dangdut itu diakhiri dengan persembahan nasyid oleh Iwan Syahman.

0 comments :

ARKIB