Thursday, November 24, 2011

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengumumkan bilik gerakan banjir telah dibuka di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan banjir kelak.

“Sukarelawan untuk membantu pasukan penyelamat yang akan bertugas semasa banjir sangat diperlukan,” kata setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Kenyataan beliau merujuk kepada laporan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan menerima lebihan hujan di antara 20 peratus hingga 40 peratus daripada normal berbanding tahun lepas, di antara bulan November 2011 hingga Mac 2012.

Berdasarkan ramalan itu, dan sekiranya intensiti hujan yang tinggi turun dalam masa singkat, serta ditambah pula dengan keadaan air pasang, maka situasi banjir akan menjadi lebih buruk.

Negeri-negeri yang dijangka menerima hujan yang tinggi antara lain adalah negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan Sabah.

Fenomena air pasang besar pula diramalkan akan berlaku pada 25 Disember 2011 dan 23 Januari 2012

.“DPPM mengingatkan kepada negeri-negeri yang dijangka akan mengalami banjir besar ini supaya sentiasa berjaga-jaga terutama di musim hujan,” kata Khairul Faizi lagi.

Menurutnya, DPPM sudah siap terutamanya tenaga yang akan bertugas, tenaga penyelamat dan bantuan kecemasan.

DPPM juga, ujarnya siap menghulurkan tenaga bantuan dan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Beliau berkata, Bilik Gerakan Banjir dan Bencana Alam ditubuhkan di peringkat negeri.

Katanya, untuk mendapatkan maklumat lanjut sila hubungi Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS negeri-negeri.

0 comments :

ARKIB