Thursday, November 28, 2013

Petikan : Buletin Online
 
KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut optimis terhadap muzakarah antara Pas dan Umno dan berharap ia benar-benar direalisasikan dalam memastikan pemerintahan Islam dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.

Menurutnya, Pas Terengganu turut mengalu-alukan muzakarah tersebut sebagaimana dinyatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dalam ucapan penggulungan sempena Muktamar Agung Pas Ke-59 barubaru ini.

“Saya daripada dahulu lagi memang berharap sungguh perkara ini (muzakarah antara Pas dan Umno) jadi kenyataan,” katanya.

Mohd Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam mencadangkan muzakarah tersebut dilakukan secara langsung bagi memberi peluang kepada rakyat di negara ini mengetahui inti pati perbincangan yang berlangsung.

Dalam laporan Sinar Harian 25 November, Abdul Hadi menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan Umno dalam melaksanakan pemerintahan Islam.

Katanya, muzakarah itu akan disertai ulama Pas yang juga berperanan penting dalam melaksanakan ajaran Islam.

Sementara itu, Mohd Abdul Wahid turut menafikan bahawa penolakan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap cadangan muzakarah antara Pas dan Umno sebelum ini menyebabkan perkara itu gagal dilaksanakan.

“Dahulu pun tidak jadi bukan kerana Mursyidul Am tidak setuju, kadang-kadang orang berani tetapi apabila waktunya sudah dekat, tak jadi. Kita atas dasar untuk kebaikan bersama boleh bertemu dan berbincang,” jelasnya.

Katanya, Pas sebenarnya terbuka mengadakan muzakarah dengan semua pihak jika tujuan untuk kepentingan bersama.

Ditanya sama ada muzakarah perlu kepada persetujuan rakan parti iaitu PKR dan DAP, beliau melihat tiada keperluan sedemikian kerana masing-masing bebas berbincang demi kebaikan rakyat.

“Tidak timbul (persetujuan dari PKR dan DAP). Kalau hendak muzakarah antara BN dan PR pun boleh atau antara parti dan parti. Kita bebas (sebagai sebuah negara) demokrasi,” katanya.

0 comments :

ARKIB