• Calon Pemuda Pas: Cara berbeza, visi sama
  • Suhaizan(kiri), Kamaruzaman(tengah) dan Zulhazmi(kanan)
 
MUKADIMAH

Pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Pemuda menyaksikan kehadiran wajah baru dan lama. Berbeza prinsip dan visi dalam perjuangan, ketiga-tiganya begitu optimis dalam usaha membangkitkan semangat baru orang muda. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, SUHAIZAN KAIAT, KAMARUZAMAN MOHAMAD dan ZULHAZMI SHARIFF, masing-masing mempunyai agenda tersendiri bagi menambat hati perwakilan menjelangnya Muktamar Pas 22 November depan. Wartawan Haslina Kamaludin, Norutul Ilham Mad Jari dan Adzhar Jamaluddin bersama jurufoto Mizan Mat Tamin berjaya mendapatkan reaksi ketiga-tiga calon Ketua Pemuda Pas ini bagi merungkai azam mereka.

SUHAIZAN
Dialog, medium penting sampaikan hujah

Bagaimana anda melihat Pemilihan Pas 2013, adakah semakin sengit atau sama sahaja dengan yang sebelum ini?

Pada saya, pertandingan kali ini tidak sengit kerana dua calon lagi Kamaruzaman (Mohamad) dan Zulhazmi (Shariff) adalah sahabat saya, walaupun kita bertanding tapi masih berhubung seperti biasa.

Bezanya tahun ini adalah Pas Pusat memberi garis panduan untuk berkempen dan yang penting kempen itu tidak memburukkan pihak lawan. Jadi dengan itu wujudlah usaha di peringkat kawasan, negeri untuk mengadakan dialog.

Adakah sesi dialog secara terbuka ini penting?

Pada saya ia baik. Berdasarkan pengalaman saya bersama Pas sewaktu di Johor, mereka memilih pemimpin dan tidak ada garis panduan, seperti tunjuk-tunjuk sahaja. Macam kita beli kuih. Saya pernah terfikir mengapa jadi begitu dan mudah sekali pilih pemimpin, seolah-olah rakyat yang memilih pemimpin itu tidak tahu apa yang mereka mahukan. Pada saya, apabila adanya usaha dialog, wacana atau perdebatan, pemimpin itu akan tahu yang dikehendaki anak muda.

Bilakah anda memulakan kempen?

Saya tidak suka panggil berkempen. Saya lebih selesa menyebut sebagai perbincangan dan untuk bertukar-tukar pandangan, makanya komitmen dengan semua pihak ini perlu. Saya sudah mulakan awal lagi. Ada banyak forum sudah dan akan saya sertai. Saya akan menjelajah ke setiap negeri untuk melihat perkembangan di semua kawasan dalam masa terhad begini, memang tidak akan terlaksana. Jadi, saya gunakan medium terbaik iaitu penggunaan media baru yang saya lihat sangat efektif.

Adakah pandangan anda mengenai media baru ini, khususnya dalam waktu berkempen ini?

Anak-anak muda sudah terbiasa dengan media baru seperti blog, whatssapp, email, Youtube dan sebagainya. Inilah zamannya. Jadi kita mesti manfaatkannya dengan betul. Kalau kita tengok dalam media sosial, baru kita akan tahu apa yang anak-anak muda mahukan. Di situ kita akan dapat manfaatkannya, rugi kalau tidak digunakan.

Apakah pandangan anda melihat persaingan kedua-dua calon?

Persaingan kali ini seimbang, kedua-dua pihak sama sahaja. Zulhazmi selalu menyebut, kehadiran beliau kerana mahu meraikan demokrasi dalam Pas. Beliau masuk kerana melihat tidak ada persaingan dalam Pemuda Pas. Jadi dia rasa bertanggungjawab untuk meraikan demokrasi dalam jawatan Pemuda Pas. Saya mula aktif dengan Pas bersama-sama Kamaruzaman. Beliau Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan dan saya Pemuda Pas Johor. Bukan persaingan kerana kita sama-sama kawan. Dalam Pas, kami berlumba-lumba untuk memberi khidmat kepada parti, bukannya berlumba-lumba untuk jatuhkan orang.

Apa keyakinan anda untuk dipilih sebagai Ketua Pemuda dan apakah visi anda?

Sebelum saya terima pencalonan ini, saya mengkaji keperluan anak muda masa kini. Saya lihat usaha yang dibuat Pemuda Pas masa terdahulu banyak kebaikan yang perlu kita teruskan. Selain meneruskan, kita juga perlu membuat beberapa penambahbaikan khususnya dibuat ustaz Nasruddin Hassan iaitu asas yang baik dalam tarbiah, ini konsep yang baik. Saya juga akan buat beberapa penambahbaikan untuk melihat dan menghasilkan satu kepercayaan rakyat kepada Pas yang merupakan gerakan Islam yang unggul di Malaysia ini.

Antaranya mendepani isu rakyat secara berkesan, Pemuda Pas ini harus dilihat secara inklusif dan bukannya eksklusif, memerlukan sayap Pemuda yang semak dan imbang dengan parti, mewujudkan dan memberi ruang kepada golongan profesional untuk mengomposisikan Pemuda Pas dan meneruskan legasi tarbiah yang dilihat sebagai usaha untuk pemantapan untuk ahli-ahli Pas supaya dia berjuang lebih kuat sikit.

KAMARUZAMAN
Lebih gemar tarbiyah daripada berkempen

Bagaimana strategi saat akhir menawan hati Perwakilan, adakah akan ada pecutan saat akhir?

Saya tidak ada apa-apa strategi untuk itu. Saya tampil hari ini di atas dasar menghormati pencalonan daripada kawasan. Saya tidak mahu dianggap terlalu bersaing dan seakan-akan berebut jawatan. Pada saya, jawatan itu satu amanah. Tidak diberikan jawatan juga, saya ada amanah yang harus diteruskan iaitu meneruskan perjuangan Pas. Bagi saya, tidak wujud istilah pecutan saat akhir atau apa sahaja kerana saya tidak berusaha ke arah itu.

Pencalonan anda dikatakan layak berdasarkan latar belakang anda dan penglibatan anda dalam Pas, respons anda?

Saya menghormati kenyataan itu. Tidak dinafikan, saya bermula dengan Pas sekitar tahun 2000 bersama-sama Suhaizan. Saya pernah menjadi Setiausaha Pemuda Pas Pusat. Saya juga diamanahkan menjadi komander keselamatan dalam demonstrasi Bersih 1.0,2.0 dan 3.0 Selain itu, saya turut menjadi timbalan pengarah untuk demonstrasi Anti ISA. Saya rasakan pengalaman inilah yang dilihat untuk saya bertanding dalam pemilihan kali ini. Walaupun kalah, saya tetap akan terus berjuang dalam Pas atas dasar perjuangan Islam. Ini adalah amanah besar untuk saya.

Anda dilihat tidak menonjol berbanding dua lagi calon. Adakah ini strategi anda?

Sudah saya katakan, tidak wujud sebarang strategi untuk pertandingan ini. Saya tidak ke depan kerana itu bukan cara saya. Saya menghormati rakan-rakan saya, cuma saya lebih gemar menggunakan pendekatan tarbiyah, kerana itu diajar kepada saya. Sememangnya, tidak salah untuk berkempen, tetapi itu bukan saya. Saya gembira melihat semua calon ke depan dan membentangkan hujah masing-masing kerana kami di dalam Pas bertunjangkan Islam dan saya menyokong mereka semua.

Apabila tidak kempen, anda dilihat seolah-olah tidak bersungguh-sungguh?

Bukan tidak bersungguh-sungguh. Saya menghormati pencalonan saya sebagai ketua pemuda yang saya lihat adalah satu lagi cara untuk mengimarahkan ahli-ahli dalam Pas. Kami bersaing secara sihat. Secara jujurnya, memang saya tidak ada muncul dalam mana-mana program.

Bukan meminggirkan diri tetapi saya lebih suka perwakilan mengenali dan memahami cara kerja saya. Saya memang orang di belakang tabir yang sangat aktif. Pada ketika ini, saya dilantik sebagai Yang dipertua Pas bagi kawasan baru di Putrajaya. Kerana itu, saya agak sibuk dengan kerja-kerja kawasan baru ini. Pelbagai kerja amal yang sedang kami usahakan.

Dikatakan anda menolak untuk berada di atas satu pentas dengan calon-calon yang lain untuk berdebat?

Saya akui, saya terpaksa menolak dengan baik usaha murni ini. Tetapi, saya tidak tergamak untuk melakukannya.

Saya bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja asalkan bukan dengan ahli Pas sendiri. Jemputlah saya untuk berdebat dengan Umno, saya sedia, tetapi bukan Pas. Saya diajar begitu. Jadi demi menghormati mereka, saya tidak boleh.

Apakah visi anda dan bagaimana melihat pertandingan tiga penjuru seperti ini?

Ini pertandingan sihat. Saya melihat semua ahli Pas memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada semua calon.

Masing-masing dengan visi dan matlamat sendiri untuk membangunkan Pas.

Saya sudah lama mengenali Suhaizan. Kami sama-sama menyertai Pas dahulu. Sahabat lama saya yang sangat agresif dalam pelbagai isu.
Seorang lagi sahabat saya, Zulhazmi, beliau masih baru tetapi saya melihat misi beliau besar untuk memajukan Pas. Masing-masing kuat dan siapa pun terpilih, saya pasti Pemuda akan terus memberikan yang terbaik demi agama, parti dan tanah air. Saya
juga ada visi untuk Pemuda.

Saya sudah ada pengalaman dengan akar umbi dan tahu apakah yang perlu dilakukan untuk Pemuda. Saya mahu melihat pemerkasaan organisasi dalam pas. Saya mahu melihat sama ada dewan atau cawangan boleh menjadi satu organisasi kuat.


ZULHAZMI
Hasrat lahir pembaharuan dinamik

Bagaimana anda melihat kempen kotor (gambar anjing) yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semasa kempen sebelum ini?

Saya sendiri tidak rasa terkesan langsung dengan taktik yang dimainkan mereka. Cuma saya agak tergores apabila ada pimpinan daripada kelompok pemuda Pas sendiri yang mengatakan meletakkan gambar anjing itu dibuat oleh
saya sendiri untuk mendapat simpati.

Bagi saya, kesan negatif tersebut akan dirasai oleh parti Pas sendiri. Hal ini sedikit sebanyak akan membuatkan masyarakat memandang serong kepada Pas. Selain itu, saya yakin perwakilan untuk pemilihan kali ini tidak sesekali akan termakan dan terpengaruh dengan taktik kotor seperti meletakkan gambar anjing yang dibuat sebelum ini.

Boleh anda jelaskan secara menyeluruh berkenaan visi dan misi yang ingin dibawa untuk jawatan Ketua Pemuda?

Secara keseluruhan, visi dan misi saya adalah untuk menggerakkan Pemuda selaku satu unit yang memimpin dan bukannya selaku pengikut sematamata.

Sebagai salah satu sayap yang menggerakkan parti Pas, Pemuda Pas sendiri perlu mengemukakan isu yang berlainan dengan Pas pusat. Maksudnya, Pemuda Pas perlu menghidupkan identiti dan personalitinya sendiri tanpa perlu dibayangi oleh Pas pusat.

Oleh yang demikian, masyarakat boleh membezakan antara Pas pusat dan Pemuda.

Bagaimana anda melihat persaingan pada kali ini?

Persaingan di antara calon bersifat terbuka dan berjalan suasana yang amat baik. Bagi saya, menang atau kalah itu bukan perkara pokok sebaliknya pengukuhan selain melahirkan pembaharuan yang dinamik bagi kepimpinan pemuda Pas itu yang menjadi keutamaan.

Apakah kelemahan paling ketara yang dilihat melalui kepimpinan Pemuda ini?

Kelemahan yang paling ketara adalah berkenaan dengan kurangnya perhatian terhadap permasalahan yang membelenggu rakyat dan golongan belia.

Saya melihat isu ini seolah-olah seperti dipandang sepi sedangkan kedua-duanya amat berkait rapat dan amat memerlukan perhatian serius daripada kepimpinan pemuda.

Imej dan personaliti anda dilihat amat berbeza dengan kepimpinan Pas yang lain, adakah perbezaan ini yang ingin anda ketengahkan?

Saya berpendapat imej dan personaliti itu tidak membawa sebarang makna yang besar. Selagi saya berpakaian kemas, menutup aurat dan tidak melanggar hukum yang ditetapkan ALLAH itu sudah memadai.

Islam menganjurkan sesuatu yang senang, mudah difahami dan bersifat menyeluruh. Bagi saya, mungkin dengan personaliti sebegini mampu untuk menarik umum khususnya golongan belia dengan lebih mudah sekaligus mereka juga tidak akan berasa segan
apabila mendampingi diri ini.

Sekiranya terpilih untuk memegang jawatan selaku ketua Pemuda Pas, apakah harapan anda?

Saya akan memberikan sepenuh komitmen kepada kepimpinan Pas khususnya Pemuda. Dalam pada itu, saya juga akan meneruskan segala dasar yang ditetapkan oleh parti demi memastikan Pas bergerak dalam satu unit yang kuat dan mampu menarik sokongan belia di negara ini.